Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Awas! Jangan Cuba-Cuba Menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Pada masa ini, banyak cara telah digunakan dan dilakukan, sama ada secara langsung atau sebaliknya, yang boleh mencemarkan keperibadian dan kemuliaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lebih menyedihkan lagi ialah apabila perbuatan menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dilakukan secara terang-terangan oleh musuh-musuh Islam. Selaku orang Islam, perkara sedemikian tidak boleh dipandang ringan. Oleh yang demikian, adalah wajib ke atas semua umat Islam mengetahui dengan jelas apakah perkara-perkara yang dianggap boleh menghina atau mendustakan Nabi itu dan kesan serta akibat daripadanya.

Kedudukan Dan Kemuliaan Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Dalam Al-Qur’an

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Nabi dan Rasul terakhir wajib diimani. Baginda diutus sebagai pembimbing dan pemimpin umat manusia dan alam seluruhnya.

Dalil-dalil yang mewajibkan umat Islam supaya memuliakan, mengagungkan, menghormati dan mentaati Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya dia taat kepada Allah. (Surah an-Nisâ’: 80)

Perintah Allah ‘Azza wa Jalla untuk memuliakan dan menghormati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya. (Surah al-Hujurât: 1)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana sesetengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan sesetengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. (Surah al-Hujurât: 2)

Bahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan para malaikatNya memberi segala penghormatan dan kebaikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)

Gambaran Yang Sesuai Dengan Fitrah Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Meletakkan seseorang itu pada suatu kedudukan yang selayaknya dan memperlakukannya sesuai dengan taraf kemuliaan, martabat dan darjatnya adalah dituntut dalam agama Islam. Perkara ini dinyatakan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tempatkan manusia itu (sesuai) menurut kedudukan-kedudukan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Maka sesuai dengan kedudukan dan martabat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia dan tinggi, setiap gambaran yang dinisbahkan kepada Baginda wajiblah dengan gambaran yang baik, indah dan elok. Jauh dari sebarang kekurangan dan kecacatan yang mengaibkan serta tidak pula menyalahi fitrah Baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul.

Maka gambaran yang baik itu merangkumi keseluruhan diri Baginda dari pelbagai segi, antaranya ialah:

Akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah al-Qur’an dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan uswah hasanah, iaitu contoh ikutan yang baik kepada umatnya. Perkara ini telah disebutkan dalam al- Qur’an, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafisrnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzâb: 21)

Manakala Sayyidatina ‘Aisyah dan para sahabat Radhiallahu ‘anhum dalam riwayat mereka telah menceritakan tentang kemuliaan dan ketinggian keperibadian serta akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya:

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah orang yang paling baik akhlaknya. (Hadits riwayat Muslim)

Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu orang yang paling dermawan (dalam hal kebaikan) dan Baginda paling dermawan pada bulan Ramadhan tatkala bertemu (malaikat) Jibril. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah seorang yang keji (dalam percakapan dan perbuatan) dan bukan (juga) seorang yang senghaja membuat keji, bukan seorang yang suka berteriak di pasar dan (Baginda) tidak membalas kejahatan dengan kejahatan (melainkan dengan kebaikan). Akan tetapi Baginda seorang yang suka memaafkan dan (menzahirkannya dengan) berjabat tangan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Antara bukti bahawa Baginda seorang yang suka memaafkan bahkan Baginda membalas kejahatan dengan kebaikan sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah bahawa dia bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berperang di kawasan Najd apabila mereka tiba di suatu lembah yang terdapat banyak pohon yang berduri. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun beristirahat di bawah salah satu pohon tadi dan menggantungkan pedangnya pada cabang pohon tersebut. Manakala para sahabat yang lainnya berteduh di sekitar kawasan lembah. Selanjutnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki datang kepadaku ketika aku sedang tidur. Lelaki tersebut telah mengambil pedangku yang tergantung pada cabang pohon itu. Ketika aku sedar dia telah berdiri dekat kepalaku dan aku tidak perasan ternyata pedang itu sudah terhunus di tangannya. Lelaki tersebut berkata kepada ku:

Maksudnya: Siapakah yang akan dapat mencegah kamu dariku? Aku (Baginda) menjawab: “Allah”. Kemudian dia berkata untuk kali kedua: “Siapakah yang akan dapat mencegah kamu dariku?”Lalu aku (Baginda) menjawab: “Allah”. Baginda selanjutnya bersabda: “Lelaki tadi pun menyarungkan pedang tersebut lalu terduduk.” Kemudian lelaki tersebut dibiarkan sahaja oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat Muslim)

Di samping keindahan dan keelokan akhlak dan keperibadian Baginda, begitu juga rupa fizikal Baginda telah disebutkan dalam banyak riwayat, antaranya ialah:

Âtsâr yang diriwayatkan oleh Ismail bin Abu Khalid bahawa Abu Juhaifah Radhiallahu ‘anhu berkata mengenai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Aku (Abu Juhaifah) memandang (kepada) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan adalah Hasan bin ‘Ali ‘Alaihimassalam itu mirip kepada Baginda. Aku (Ismail) berkata kepada Abu Juhaifah: “(Bayangkanlah) sifat Baginda kepadaku.” Abu Juhaifah berkata: “Baginda itu berkulit putih, berambut hitam yang memutih (mulai beruban).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Al-Jurairi bertanya kepada Abu ath-Thufail apakah dia pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Abu ath-Thufail pun menjawab:

Maksudnya: Ya, Baginda berkulit putih bersih dan berwajah tampan. (Hadits riwayat Muslim)

Penghinaan Terhadap Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Khatib asy-Syarbini dalam bab ar-riddah menjelaskan bagaimana suatu perbuatan atau perkataan daripada seorang Muslim yang dianggap sebagai mendustakan dan menghina mana-mana nabi atau rasul. Antara pendustaan dan penghinaan terhadap para nabi dan rasul ialah:

i. Menafikan (tidak membenarkan) kenabian atau kerasulan mana-mana nabi atau rasul Allah, iaitu daripada 25 orang nabi yang wajib diimani. Begitu juga syak dengan kerasulan salah seorang Rasul. ii. Mendustakan mana-mana nabi atau rasul. iii. Menghina diri rasul atau nabi tersebut. iv. Merendah-rendahkan (memperolok-olokkan) rasul atau nabi. v. Merendah-rendahkan nama rasul atau nabi. vi. Memperkecilkan satu anggota daripada anggota-anggota tubuh nabi dengan maksud penghinaan. vii. Mempersendakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Antara contoh mempersendakan sunnah Rasulullah itu adalah seperti berikut:

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjilat ketiga-tiga jari Baginda apabila telah selesai makan. Adapun sunnah ini berdasarkan riwayat daripada Anas:

Maksudnya: Bahawa (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) jika Baginda telah (selesai) makan sesuatu makanan, Baginda menjilat ketiga-tiga jari Baginda. (Hadits riwayat Muslim)

Lalu seseorang itu mengatakan cara makan Nabi sedemikian itu menjijikkan!

Contoh yang lain, apabila dikatakan kepadanya: “Potonglah kuku kamu kerana itu merupakan sunnah.”

Maka dia berkata: “Aku tidak akan melakukannya sekalipun ia (memotong kuku) adalah sunnah!”

Dia bermaksud dengan jawapan-jawapan tersebut untuk mengejek-ejek atau mempersendakan sunnah.

Contoh-contoh di atas merupakan suatu penghinaan terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Menzahirkan Bentuk Diri Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Adalah Dilarang

Menzahirkan bentuk fizikal Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam apa jua bentuk, cara dan niat adalah dilarang dalam Islam. Bahkan hukumnya haram. Sama ada tujuannya adalah untuk menyanjung atau mengagungkan, ataupun dengan niat untuk menghina. Cara menzahirkan itu pula adalah melalui apa jua medium (bentuk atau cara), misalnya:

1. Melalui Ukiran, Lukisan Atau Lakaran

Sejarah telah merakamkan bahawa tujuan sesuatu benda diukir menjadi patung pada mulanya hendak dijadikan iktibar atau mengenang jasa dan sebagai penghormatan, tetapi berakhir dengan ukiran tersebut menjadi objek yang disembah, dipuja, diagungkan dan diletakkan di tempat yang tinggi seolah-olah ia sesuatu yang mulia.

Beginilah yang telah disebut dalam surah Nuh bahawa patung yang pada asalnya diukir sebagai penghormatan untuk orang-orang salih pada zaman Nabi Nuh, disembah dan diagungkan pula oleh orang yang terkemudian. Ini adalah hasil daripada bisikan syaitan dan juga kerana mereka menyangka itulah yang telah dilakukan oleh nenek moyang mereka.

Tafsirnya: Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwâ‘, Yaghûts, Ya‘ûq dan Nasr.” (Surah Nuh: 23)

Oleh kerana itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang dengan kerasnya perbuatan mengukir dan melakar atau melukis objek-objek yang bernyawa sebagaimana sabda Baginda riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar (berjisim iaitu patung atau tidak berjisim iaitu lukisan, tenunan, ukiran dan sebagainya) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan pertayaan penghinaan): “Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Melukis gambar Nabi merupakan pembohongan dan pendustaan semata-mata kerana mereka yang melukis gambar itu tidak melihat Nabi dan mustahil dia melihat Nabi kerana dia hidup dalam zaman yang berlainan. Perbuatan ini juga dilarang hatta sekalipun semasa hidup Baginda sendiri.

1. Melalui Lakonan Filem, Pentas atau Rakaman Suara

Para ulama di seluruh dunia, dalam fatwa mereka dan juga keputusan persidangan Islam, telah melarang dan membantah dengan keras dan seterusnya mengharamkan sebarang lakonan yang dilakonkan di dalamnya (karakter) Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga Baginda, nabi-nabi yang terdahulu atau para sahabat. Para ulama juga menentang sebarang percubaan untuk melakonkan karakter Baginda dan mereka yang lainnya dalam filem, lakonan pentas atau sandiwara radio.

Perbuatan ini dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap darjat dan merendahkan serta menjatuhkan martabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Berdasarkan penjelasan di atas, ukiran seperti patung dan lukisan (karikatur), lakonan dalam filem atau di atas pentas, suara-suara melalui radio dan sebagainya dalam bentuk apa pun, semua ini dianggap menjatuhkan martabat dan kemuliaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Hukuman Daripada Pendustaan Dan Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Menurut Matn al-Minhâj ath-Thâlibîn dalam kitab Mughni al-Muhtâj, apabila seseorang Muslim itu mendustakan mana-mana nabi atau rasul sebagaimana contoh-contoh yang telah disebutkan di atas, maka akibat daripada perbuatannya itu boleh membawa kepada riddah (murtad, iaitu terkeluar daripada agama Islam).

Perkara ini telahpun ditegaskan berulang kali dalam beberapa firman Allah Ta‘ala dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ijmâ‘ ulama. Allah Ta‘ala dalam firmanNya telah menyatakan kufur ke atas sesiapa yang menghina Allah dan RasulNya:

Tafsirnya: Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. (Surah at-Taubah: 65-66)

Al-Imam Ibnu al-Mundzir juga menyatakan kesepakatan ulama bahawa sesiapa yang menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka ke atasnya hukuman bunuh.

Manakala dalam firman Allah Ta‘ala yang lain, orang yang mempermain-mainkan para rasul Allah yang terdahulu telah ditimpakan dengan azab, firmanNya:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu. (Surah al-Anbiyâ’: 41)

Adapun pendustaan terhadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menempah tempat yang diperbuat daripada api neraka. Dalam sebuah hadits shahîh daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Dan sesiapa yang mendustakanku dengan senghaja, maka (hendaklah) dia (sendiri) menyediakan tempatnya daripada api neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada Abu ‘Ubaid daripada Salmah bahawa beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang membangsakan (mengatakan) perkataan kepadaku (sedang) aku tidak pernah mengatakan perkataan itu, maka (hendaklah) dia (sendiri) menyediakan tempatnya daripada api neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pendustaan Dan Penghinaan Daripada Musuh-Musuh Islam

Pendustaan dan penghinaan yang dilakukan oleh sesiapapun tidak terkecuali daripada hukum dalam Islam. Kerana itulah antara sebab yang boleh membatalkan perjanjian keamanan bagi ahli dzimmah ialah apabila mereka secara terang-terangan mencela agama Islam, al-Qur’an, menghina Allah atau menyatakan sesuatu yang buruk mengenai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau rasul-rasul yang lain.

Begitu juga penghinaan yang dilakukan oleh ahli keluarga dan kerabat yang kafir. Pada asalnya, hukumnya adalah makruh bagi seorang yang berperang membunuh ahli keluarganya dan mahramnya yang kafir, bahkan perkara ini sangat ditegah. Namun Imam an-Nawawi berpendapat bahawa jika mereka menghina Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau menghina RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan mengatakan sesuatu yang buruk mengenai Rasul, atau menghina agama Islam, maka pada ketika itu tidak lagi dihukumkan makruh membunuh mereka. Perkara ini sebagaimana dalam Syarh Matn al-Minhâj dalam Mughni al-Muhtâj:

Ertinya: Dan makruh bagi orang yang berperang membunuh kerabat dan (membunuh) mahram adalah lebih-lebih lagi (makruh hukumnya). Saya berpendapat: Melainkan jika dia (orang yang berperang itu) mendengarnya (kerabat dan mahram yang kafir) menghina Allah atau Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Wallâhu A‘lam.

Ini kerana mendahulukan hak Allah dan hak RasulNya adalah lebih utama dalam semua hal sebagaimana dalam firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Mujâdalah:

Tafsirnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (Surah al-Mujâdalah: 22)

Manakala melahirkan kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam ayat di atas mencerminkan keimanan seseorang. Itulah juga yang disebut dalam hadits riwayat Anas bin Malik bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Hadits riwayat Muslim)

Perbuatan menghina Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu jika datangnya daripada orang Islam, maka akibatnya adalah selain dia menjadi kufur dan jika tidak segera bertaubat; akan dikenakan hukuman yang amat berat serta dijanjikan dengan azab di akhirat kelak.

Jika penghinaan itu datangnya daripada orang-orang bukan Islam, maka kewajipan kita orang Islam membela dan mempertahankan kemuliaan dan kehormatan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7314