Hindarkan Perkara-Perkara Yang Menjejaskan Kesempurnaan Ibadat Puasa
Ibadat puasa bulan Ramadhan merupakan peluang untuk umat Islam mengaut pahala serta ganjaran sebanyak-banyaknya. Ia merupakan satu ibadat rahsia dan peribadi antara hamba dengan Tuhannya. Pahala ibadat puasa pula tidak seperti pahala ibadat-ibadat yang lain. Pahala puasa serta ganjarannya tidak terbatas kerana ia adalah hak milik mutlak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Setiap amal anak Adam itu dilipatgandakan sebanyak sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda. Allah Ta‘ala berfirman: “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, dia meninggalkan syahwat dan makanannya keranaKu. Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: Satu kegembiraan ketika dia berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika dia bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau harum kasturi. (Hadits riwayat Ahmad)
Dalam usaha untuk mencapai kebaikan yang telah dijanjikan dalam hadits di atas, seseorang itu mestilah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram dan juga perkara-perkara yang dimakruhkan semasa berpuasa. Sungguhpun perkara-perkara itu hanya makruh, akan tetapi sebagai seorang Muslim yang ingin puasanya diterima dengan sempurna oleh Allah Ta‘ala, perkara-perkara tersebut mesti dijauhi kerana hukum makruh itu sendiri membawa maksud sesuatu yang dilarang, sungguhpun tidak berdosa namun dikurniakan pahala kerana meninggalkannya. Ini dapat membantu seseorang itu supaya dapat menjalani ibadat puasanya dengan lebih sempurna agar ianya selari dengan rahsia dan hikmah pensyariatannya.
Perkara-Perkara Yang Makruh Dilakukan Semasa Berpuasa
Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika seseorang itu berpuasa ialah:
1. Meninggalkan adab-adab puasa.
Meninggalkan adab-adab yang dianjurkan dalam ibadat puasa itu bererti melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dihindari untuk mencapai kesempurnaan dalam ibadat tersebut.
Adab-adab puasa itu termasuklah mengerjakan perkara-perkara yang sunat dikerjakan ketika berpuasa selain meninggalkan perkara-perkara yang dituntut supaya ditinggalkan. Perkara-perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang berpuasa itu umpamanya ialah menyegerakan berbuka puasa. Menyegerakan berbuka puasa terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang Maghrib adalah sunat, kerana ia merupakan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sebagai contoh lagi bagi perkara-perkara yang disunatkan itu ialah melambatkan waktu bersahur. Kadar waktu yang disunatkan untuk bersahur ialah ketika hampir waktu fajar, iaitu tempoh masanya kira-kira dalam kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat al-Qur’an sebelum terbit fajar.
Daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Umatku sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur. (Hadits riwayat Ahmad)
Meninggalkan perkara-perkara yang disunatkan sudah tentu kurang menepati apa yang telah dikehendaki oleh syara‘.
Begitu juga makruh melakukan perbuatan-perbuatan yang dituntut oleh agama untuk meninggalkannya walaupun pada dasarnya perbuatan-perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa. Perbuatan yang dimaksudkan itu seperti tidak memelihara anggota tubuh badan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong, berangan-angan yang terlalu panjang dan sebagainya. Meninggalkan perkara-perkara maksiat adalah lebih-lebih lagi dituntut seperti mengeluarkan kata-kata yang ditegah atau haram umpamanya mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah (berdebat) kerana perkelahian dan bersumpah bohong.
Walaupun meninggalkan perkara-perkara di atas ketika mengerjakan ibadat puasa merupakan perkara sunat, hal ini tidak mengubah kedudukan asalnya sebagai perkara-perkara haram yang wajib dijauhi. Dalam makna yang lain, apabila seseorang menjauhkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara di atas, dia akan memperolehi dua pahala; pahala wajib kerana memelihara anggota tubuh badannya daripada perkara yang haram dan pahala sunat kerana meninggalkan perkara tersebut semasa mengerjakan puasa.
Sebaliknya pula, jika orang yang berpuasa itu tidak memelihara lidahnya daripada perkara-perkara yang keji dan terlarang seperti berdusta atau mengumpat, dia mendapat dosa kerana melakukan perkara yang haram dan dia juga telah menyalahi tuntutan perkara sunat kerana tidak menjaga dirinya daripada perkara-perkara di atas ketika berpuasa.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang bâthil (dusta) dan (sebaliknya) melakukannya (pula) maka Allah tidak menghendaki (memerlukan) untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadits lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenar-benarnya ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
2. Mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Ketika mengerjakan ibadat puasa, menjaga rongga-rongga anggota badan seperti lubang mulut, telinga, hidung, dubur dan sebagainya daripada dimasuki oleh benda-benda yang membatalkan puasa adalah wajib. Oleh kerana itu, mendedahkan rongga-rongga tersebut kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa adalah makruh dan perlu dielakkan.
Antara perbuatan-perbuatan yang boleh mendedahkan rongga-rongga anggota badan kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah mubâlaghah atau berlebih-lebihan semasa berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung, menyelam dalam air, mengunyah dan juga merasa makanan dengan lidah.
i. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke lubang hidung ketika berwudhu asalnya sunat dilakukan hatta ketika mengerjakan ibadat puasa. Bagaimanapun, berlebih-lebihan dalam perkara tersebut ketika berpuasa adalah makruh. Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu mengumur-ngumurkannya sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam. Manakala berlebih-lebihan semasa memasukkan air ke lubang hidung itu bererti menyedut air dengan nafas hingga sampai ke pangkal hidung (khaisyum).
‘Ashim bin Laqith bin Shaburah Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya telah berkata: “Wahai Rasulullah! Terangkan kepadaku tentang hal wudhu”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sempurnakanlah wudhu (iaitu dengan menyampaikan air ke seluruh anggota yang wajib dikenakan air wudhu), bukalah celah-celah jari-jemarimu dan bersungguh-sungguhlah memasukkan air ke dalam lubang hidung kecuali jika kamu sedang berpuasa. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Apabila air masuk melalui mulut atau lubang hidung melewati batas yang dibenarkan, iaitu air tersebut masuk ke bahagian had batin mulut (tempat makhraj huruf hamzah (ء) atau ha marbuthah ( ه) atau melebihi pangkal hidung disebabkan mubâlaghah ketika berkumur-kumur atau memasukkan air ke lubang hidung, mengikut pendapat yang ashah (lebih tepat) dalam mazhab asy-Syafi‘e, akan membatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama seperti wudhu dalam bilangan yang wajib ataupun sunat. Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan senghaja.
Jika air masuk kerana perkara-perkara yang tidak dituntut agama seperti mengambil air wudhu lebih daripada bilangan tiga kali, atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.
ii. Menyelam dalam air akan menyebabkan puasa menjadi batal jika air memasuki rongga-rongga anggota tubuh-badan yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, perbuatan tersebut adalah makruh dilakukan sekalipun dalam perkara-perkara yang dituntut seperti mandi wajib atau mandi-mandi sunat.
Jika air masuk dengan tidak senghaja ketika seseorang itu mandi tanpa menyelam dalam air, puasa tidak akan menjadi batal.
iii. Makruh merasa makanan dengan lidah kerana ia boleh menyebabkan makanan tertelan masuk ke dalam perut. Perbuatan itu juga boleh membuka selera makan bagi orang yang berpuasa itu dan ini boleh membawa kemungkinan yang dia tidak mampu menahan dirinya untuk terus berpuasa.
Bagaimanapun, tidaklah makruh bagi orang yang sedang berpuasa untuk merasa makanan yang dimasaknya jika terdapat keperluan untuk merasa dan memperbaiki makanan yang dimasaknya itu.
Begitu juga makruh mengunyah makanan, kerana di samping sebab-sebab di atas, ia boleh menyebabkan air liur berkumpul dan menjadi banyak. Menurut pendapat jumhûr ulama, air liur yang mempunyai rasa atau bau makanan itu tidak membatalkan puasa, walau bagaimanapun apabila ditelan hukumnya adalah makruh.
Makanan yang dikunyah itu juga boleh menyebabkan orang yang berpuasa merasa dahaga. Di samping itu, bau mulut kesan mengerjakan ibadat puasa yang sepatutnya dijaga boleh menjadi hilang.
Dalam sebuah hadits mauqûf, Ummu Habibah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: Orang yang berpuasa tidak wajar mengunyah makanan. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Bagaimanapun, tidak makruh mengunyahkan makanan untuk dimakan oleh anak kecil jika tidak dapat dielakkan daripada melakukannya, seperti kerana ketiadaan orang lain ataupun tiada cara lain selain daripada mengunyahkannya.
3. Melakukan perkara-perkara harus yang tidak selari dengan rahsia pensyariatan ibadat puasa.
Antara tujuan pensyariatan ibadat puasa itu ialah untuk melatih diri seseorang supaya lebih mentaati perintah Allah Subahanahu wa Ta‘ala. Menurut ulama, berlapar dan berdahaga itu dapat melemahkan dan mengekang nafsu syahwat daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah dan perkara-perkara maksiat.
Keadaan rasa lapar dan perut kosong itu akan memberi kesan yang besar dalam menjernihkan hati seseorang dan seterusnya akan menggiatkan lagi anggota tubuh badan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebaliknya perut yang kenyang itu akan menyebabkan hati menjadi keras dan mudah alpa daripada mengingati Allah dan ini akan mendorong rasa malas untuk melakukan perintah-perintahNya.
Oleh sebab itu, ketika berbuka puasa seseorang itu dituntut agar tidak makan secara berlebihan sehingga terlalu kenyang kerana ini bertentangan dengan maksud dan rahsia ibadat puasa itu sendiri.
Antara perkara-perkara yang tidak selari dengan rahsia ibadat puasa itu juga ialah tidak menjaga diri daripada apa yang dinamakan sebagai perkara-perkara syahwat yang mubâh. Syahwat yang dimaksudkan dalam hal ini ialah perkara-perkara yang selalunya menjadi keinginan seseorang dan pada dasarnya hukumnya adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Perkara-perkara ini dapat dikategorikan sebagai perkara-perkara yang menyeronokkan sama ada perkara-perkara yang sedap didengar, dilihat, disentuh ataupun dihidu.
Antara contoh perkara-perkara di atas ialah mendengar lagu yang dinyanyikan tanpa alat-alat muzik yang haram digunakan, melihat perhiasan atau ukiran yang cantik atau sedap dipandang dan juga menghidu minyak wangi atau benda-benda yang harum.
Atas sebab yang sama seperti di atas, mandi kerana tiada tujuan yang dituntut oleh syara‘ atau sekadar bersuka-suka pada siang hari bulan Ramadhan juga makruh dilakukan. Bagaimanapun, sekiranya tujuan mandi itu adalah kerana mengerjakan sembahyang Jumaat, tidak sempat mandi junub sebelum terbit fajar, ingin menghadiri perhimpunan orang ramai, bau badan yang busuk atau seumpamanya, maka mandi atas tujuan-tujuan tersebut tidaklah makruh bahkan dituntut dan disunatkan pula.
Sayugia diingatkan dalam perkara ini, jika majlis yang ingin dihadiri itu diadakan pada sebelah malam, maka menurut pendapat sesetengah ulama adalah lebih baik (disunatkan) mandi pada sebelah malam juga dan bukannya pada siang hari ketika mengerjakan puasa.
Menurut ulama juga, lebih awlâ (utama) meninggalkan bercelak mata ketika mengerjakan puasa, kerana ia juga merupakan perbuatan berhias-hias dan bersenang-senang yang tidak sehaluan dengan rahsia ibadat puasa itu sendiri.
4. Bersiwak selepas masuk waktu Zhuhur sehingga sebelum waktu terbenamnya matahari.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu pada Hari Kiamat lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkataan ‘lebih harum’ dalam hadits ini merupakan pujian dan tanda keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap orang yang tidak menghilangkan bau mulutnya akibat berpuasa itu. Ini juga membawa maksud bahawa perbuatan membiarkan bau mulut ketika berpuasa itu merupakan satu perkara yang dituntut. Sebaliknya menghapuskannya pula adalah makruh.
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullah menyatakan sebab mengapa bersiwak itu makruh setelah masuknya waktu Zhuhur adalah kerana bau mulut yang terhasil pada waktu itu adalah kesan daripada ibadat puasa yang dikerjakan. Bau mulut yang terjadi sebelum waktu itu pula boleh jadi disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti kesan makanan atau minuman yang diambil sebelum imsâk.
Sesetengah ulama berpendapat jika bau mulut bukan disebabkan kesan ibadat puasa semata-mata contohnya bau mulut kerana tidur atau kerana termakan makanan yang berbau busuk secara tidak sengaja, maka tidaklah makruh bersiwak ataupun memberus gigi walaupun selepas masuknya waktu Zhuhur.
Bagaimanapun, menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, pendapat yang awjah (lebih tepat) menyatakan hukum makruh itu tetap berlaku sekalipun perubahan bau itu bercampur antara kesan berpuasa dengan kesan faktor lain.
Atas sebab yang serupa, maka dapat diqiyâskan bahawa memberus gigi selepas waktu tergelincirnya matahari juga makruh. Bagaimanapun, dalam hal ini seseorang yang sedang berpuasa mestilah memastikan bahawa air, ubat gigi dan seumpamanya tidak masuk ke bahagian had batin mulut sewaktu memberus gigi kerana jika ini berlaku ia akan membatalkan puasa.
5. Mengucup isteri atau sebaliknya.
Makruh ke atas orang yang mudah terangsang syahwatnya untuk melakukan persetubuhan atau mudah inzâl (keluar air mani) mengucup isteri atau suami pada bibir, mencium pipi dan sebagainya ketika sedang mengerjakan puasa. Perbuatan tersebut makruh kerana ditakuti ia boleh mendorong seseorang untuk melakukan persetubuhan.
Sementara orang yang tidak mudah terangsang syahwatnya pula, meninggalkan perbuatan mengucup bibir isteri atau mencium pipinya adalah lebih utama kerana setiap orang yang berpuasa disunatkan untuk menjauhkan dirinya daripada segala perkara-perkara syahwat.
Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, perbuatan mencium bibir itu termasuk dalam kategori karâhah at-tahrîm (makruh yang hampir kepada peringkat haram) kerana ia boleh merosakkan ibadat puasa yang dikerjakan.
Juga termasuk dalam perkara-perkara yang mendorong berlakunya persetubuhan atau inzâl itu ialah berpelukan, bersentuh-sentuhan kulit tanpa dilapiki oleh sesuatu dan sebagainya. Oleh sebab itu, ulama mengqiyâskan perkara-perkara tersebut adalah seperti hukum mencium ketika mengerjakan puasa.
6. Berbekam.
Berbekam pada dasarnya harus dan tidak membatalkan puasa. Bagaimanapun, meninggalkannya adalah lebih utama kerana perbuatan tersebut boleh melemahkan tubuh badan orang yang berpuasa dan ini akan mendorongnya untuk berbuka.
Makruh juga melakukan perkara-perkara yang seumpamanya, seperti menderma darah di siang hari bulan Ramadhan bagi orang yang sedang berpuasa kerana perbuatan ini boleh melemahkan anggota badan.
Abdul Rahman bin Abu Laila berkata bahawa seorang lelaki daripada kalangan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meriwayatkan:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada berbekam dan mengerjakan puasa wishal (menyambung puasa secara berterusan tanpa berbuka di malam hari). Bagaimanapun Baginda tidak mengharamkan kedua-dua perkara itu kerana kasih Baginda terhadap sahabat-sahabatnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Penutup
Adalah mustahak bagi setiap Muslim memastikan puasanya itu jauh daripada perkara-perkara yang dilarang walaupun larangan-larangan itu hanya dalam peringkat makruh supaya puasanya itu menjadi suatu puasa yang berkualiti dan bukanlah sekadar menperoleh lapar dan dahaga sahaja.
Sememangnya untuk mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara makruh semasa puasa ini memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Hanya hamba yang bersifat sabar, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam mendirikan puasa sahaja yang mampu dan akan berusaha bersungguh-sungguh menjaga anggota zahir dan batinnya daripada melakukan larangan-larangan ini semata-mata kerana inginkan ganjaran yang lebih dan berlipat ganda serta mengharap keredhaan Allah. Orang-orang yang sabar dan ikhlas ini akan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kurniakan dengan pahala yang tidak terkira.
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah az-Zumar: 10)
Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadhan dan mengetahui batas aturannya serta menjaga perkara-perkara yang patut dijaga maka dihapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Melakukan perkara makruh itu walaupun tidak berdosa, namun ia tetap mempunyai nilai larangan dalam menuju kesempurnaan ibadat puasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7327
