Jangan Lupa Beristighfar!
Istighfâr sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfâr yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika dilihat pada pengertian istighfâr, maka tiada perbezaan antara istighfâr dan taubat. Dari satu sudut, istighfâr dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kedua-duanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).
Hakikat istighfâr dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun daripada segala dosa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfâr sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi. (Surah an-Nisâ:106)
Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbîhlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. (Surah al-Mu’min:55)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menganjurkan kepada hamba-hambaNya agar sentiasa beristighfâr bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman, lelaki mahupun perempuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan). (Surah Muhammad: 19)
Walaupun istighfâr adalah sunat, namun perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfâr merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfâr bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfâr sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Fadhilat Beristighfâr
Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi mereka yang mengamalkan istighfâr. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfâr.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfâr pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu ni‘mat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu. (Surah Hud: 3)
Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfâr dan taubat ialah Allah akan memberi ni‘mat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfâr dan bertaubat kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal. (Surah Âli Imran: 135-136)
Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfâr”.
Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfâr”.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfâr, antaranya:
Dalam sebuah hadits Qudsi, Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdo‘a dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfâr (nya) begitu banyak.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfâr akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfâr. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.
Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadits yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang selalu beristighfâr, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfâr itu antaranya adalah:
i. Memperoleh keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak.
ii. Menyenangkan hati daripada kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
iii. Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfâr bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
iv. Memperolehi perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfâr merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
v. Memelihara diri daripada melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfâr dapat membersihkan hati daripada lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
vi. Memperoleh keutamaan dan anugerah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa ni‘mat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.
Bilakah Waktu Untuk Beristighfâr?
Tiada dihadkan waktu yang khusus untuk beristighfâr. Adalah sunat untuk beristighfâr pada bila-bila masa sahaja. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan bilakah masa-masa yang baik untuk beristighfâr. Maka adalah perlu untuk menjaga waktu-waktu istighfâr tersebut agar permohonan ampun yang dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan diperkenankan.
1. Selepas melakukan sesuatu dosa atau kesalahan.
Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mana-mana sahaja daripada seorang hamba yang melakukan dosa, maka dia pun berwudhu kemudian dia bangun dan mengerjakan sembahyang dua rakaat, kemudian dia memohon ampun kepada Allah (atas dosa yang dilakukannya), melainkan Allah akan mengampunkannya”. Kemudian Abu Bakar membaca ayat ini: (tafsirnya): “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Menjadi do‘a dan zikir sepanjang hari.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali. (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan istighfâr sebagai amalan harian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ma‘shûm (bebas daripada dosa), namun Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tetap beristighfâr agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa. Hadits ini juga bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang memerintahkan hambaNya untuk sentiasa beristighfâr kepadaNya sepanjang hari:
Tafsirnya: Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbîhlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. (Surah al-Mu’min:55)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyatakan tentang penghulu istighfâr (sayyid al-istighfâr) yang boleh dijadikan amalan sepanjang hari, tidak kira pagi atau petang, siang mahupun malam. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penghulu istighfâr adalah dengan mengucapkan: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan ni‘matMu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampuni aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau”. Dan siapa yang mengucapkannya (penghulu istighfâr) pada siang hari serta menyakininya, lalu mati pada hari tersebut sebelum menjelang waktu petang, maka dia termasuk antara ahli syurga. Dan siapa yang mengucapkannya pada malam hari dan dia menyakininya, lalu mati sebelum menjelang pagi, maka dia termasuk antara ahli syurga. (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Di waktu sahur.
Waktu sahur yang dimaksudkan di sini adalah satu pertiga yang akhir dari malam hingga terbit fajar.
Maksudnya: Tuhan kita akan turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berbaki satu pertiga yang akhir pada setiap malam, seraya berfirman: “Siapa yang berdo‘a kepadaKu, maka Aku akan mengabulkannya, dan siapa yang meminta daripadaKu, maka Aku akan memberinya, dan siapa yang memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan mengampunkannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
4. Ketika terbenam matahari.
Beristighfâr pada waktu terbenamnya matahari juga antara masa yang digalakkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkannya sebuah do‘a:
Maksudnya: Ya Allah, ini adalah penemuan malamMu, dan perginya siangMu, dan (kedengaran) suara-suara mu’adzdzin menyeruMu, dan kehadiran sembahyang-sembahyangMu, aku memohon kepadaMu agar Engkau memberi keampunan kepadaku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
5. Di waktu Hendak Masuk Tidur.
Daripada Abu Sa‘id Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa membaca ketika dia hendak pergi ke tempat tidurnya: “ َ
selainNya, yang Hidup lagi Berdiri dengan sendirinya, dan aku bertaubat kepadaNya) sebanyak tiga kali, nescaya diampunkan oleh Allah segala dosa-dosanya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
6. Waktu keluar dari tandas.
Diriwayatkan daripada Yusuf bin Abu Burdah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila keluar dari tandas, Baginda membaca: غفرانك (aku memohon keampunan Engkau wahai Tuhanku). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
7. Setelah selesai Berwudhu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar umatnya tentang do‘a setelah berwudhu.
Maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan RasulNya. Ya Allah, jadikanlah aku antara orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku antara orang-orang yang menyucikan diri. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga beristighfâr pada bacaan ketika wudhu. Dalam satu riwayat daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang berwudhu dan mendengar Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berdo‘a:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, luaskanlah rumahtanggaku dan berikanlah keberkatan pada rezekiku. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
8. Ketika masuk ke dalam masjid.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila masuk ke dalam masjid, Baginda membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu. (Hadits riwayat Ibnu Majah) 9. Ketika keluar dari masjid. Apabila keluar dari masjid, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu kelebihanMu. (Hadits riwayat Ibnu Majah) 10. Ketika Ruku‘. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika ruku‘ membaca:
Maksudnya: Maha Suci Engkau Ya Tuhan kami, dan dengan memuji Engkau, Ya Allah ampunkanlah aku. (Hadits riwayat Muslim) 11. Ketika Sujud. Pada ketika sujud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga membaca:
Maksudnya: Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami, dan dengan memuji Engkau, Ya Allah ampunkanlah aku. (Hadits riwayat Muslim)
Kemudiannya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah atas semua dosa-dosaku, baik yang halus mahupun yang besar, baik yang awal mahupun yang akhir dan baik yang terang mahupun yang tersembunyi. (Hadits riwayat Muslim)
12. Ketika duduk di antara dua sujud.
Apabila duduk antara dua sujud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan membaca:
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, bantulah aku, muliakanlah aku, berikanlah rezeki kepadaku dan berikanlah petunjuk kepadaku dan berikanlah kemaafan kepadaku.
Do‘a seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam juga membaca:
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunkanlah aku, ampunkanlah aku. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
13. Sesudah tasyahhud.
Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu pernah diajarkan oleh Rasulullah Shalllallahu ‘alaihi wasallam satu do‘a yang dibaca di dalam sembahyang (ketika duduk di dalam tasyahhud):
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku dengan aniaya yang banyak, dan tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunkanlah aku dengan keampunan daripadaMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
14. Sesudah memberi salam di akhir sembahyang.
Diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila ingin berpaling daripada sembahyangnya (selepas memberi salam), Baginda akan beristighfâr sebanyak tiga kali, kemudian berkata: َّ Allah! Engkau Maha Penyelamat dan daripada Engkau keselamatan, dan keberkatan daripadaMu wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
15. Ketika sembahyang jenazah.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak hanya memohon keampunan pada orang yang masih hidup, malahan juga kepada orang yang sudah tiada. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Polan bin Polan dalam perlindunganMu dan dalam jaminanMu, selamatkanlah dia daripada seksa kubur dan azab api neraka. Dan Engkaulah yang menunaikan janji dan segala pujian. Ya Allah, ampunilah dia dan kasihilah dia. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
16. Sesudah mengebumikan mayat.
Memohon ampun untuk mayat yang telah dikebumikan merupakan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang patut dicontohi. Ini merupakan do‘a buat mayat tersebut agar dosa-dosa yang pernah dilakukannya akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Utsman bin Affan Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai mengebumikan mayat, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berhenti lantas bersabda kepada orang yang hadir:
Maksudnya: Mohonlah ampun kepada Allah untuk saudara kamu yang telah dikebumikan, dan pohonkanlah baginya keteguhan dalam menjawab apa yang ditanyakan kepadanya; sesungguhnya dia sekarang sedang disoal. (Hadits riwayat Abu Daud)
17. Ketika berjumpa dengan sesama Muslim.
Daripada al-Barra’ bin ‘Azib Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila bertemu dua orang Muslim, kemudian keduanya bersalam, memuji Allah dan memohon ampun kepada Allah, nescaya diampunkan oleh Allah akan keduanya. (Hadits riwayat Abu Daud)
18. Ketika gerhana matahari.
Membaca zikir, do‘a dan istighfâr ketika berlakunya gerhana matahari adalah anjuran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam agar manusia akan terhindar daripada bala dan azab daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Diriwayatkan daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu bahawa pada suatu ketika telah berlaku gerhana matahari. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bangun dari tempat duduknya dalam ketakutan, takut-takut akan berlaku Hari Kiamat. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam lantas pergi ke masjid dan sembahyang dengan berdiri, ruku‘ dan sujud yang panjang. Abu Musa Radhiallahu ‘anhu hanya memerhatikan perbuatan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Baginda kemudiannya bersabda:
Maksudnya: Inilah tanda-tanda yang diutuskan Allah, bukan kerana kematian seseorang, dan bukan kerana hidupnya seseorang (lahir), tetapi Allah menakutkan hamba-hambaNya dengannya (tanda-tanda itu). Maka apabila kamu melihat sesuatu seperti itu, bergegaslah kamu mengingati Allah dan berdo‘a kepadaNya dan memohon ampun kepadaNya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
19. Ketika ditimpa kesempitan rezeki, gundah hati dan kegelisahan jiwa.
Rahsia untuk mendapat keluasan rezeki serta ketenangan hati dan jiwa adalah dengan beristighfâr. Tidak ramai yang mengetahuinya, namun inilah hikmat kalimat istighfâr bagi siapa yang sentiasa mengamalkannya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang selalu beristighfâr, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya. (Hadits riwayat Abu Daud)
20. Ketika meminta hujan.
Tafsirnya: Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia amat Pengampun. (Kiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak, dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 10-12)
21. Sesudah selesai khutbah, ceramah dan seumpamanya.
Adalah elok beristighfâr setelah selesai menyampaikan khutbah, ceramah, ucapan-ucapan tertentu dan lain-lain lagi sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mengakhiri khutbah Baginda. Ini juga diikuti oleh para sahabat dan ahli salaf ash-shâlih yang lain.
Maksudnya: Setakat inilah percakapan yang aku sampaikan dan aku memohon ampun kepada Allah bagi diriku dan bagi kamu sekalian. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
22. Ketika hendak meninggalkan majlis.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa duduk dalam satu majlis, di dalamnya banyak terjadi percakapan yang boleh mengandungi dosa, maka sebelum bangun daripada majlis tersebut (hendaklah dia berkata): ُ (Maha suci Engkau ya Allah dan dengan memuji Engkau, aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Engkau, aku memohon ampun kepada Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau), nescaya Allah akan mengampunkan dosanya yang terjadi di dalam majlis itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Antara Lafaz Istighfâr Di Dalam Al-Qur’an Dan Hadits
Al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak mengajarkan tentang do‘a-do‘a yang mengandungi lafaz istighfâr yang bertujuan untuk mengharap maghfirah (pengampunan) daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Antaranya:
1. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah bagi kami dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (Surah Âli Imran: 193)
2. Terdapat do‘a yang dibaca oleh Nabi Adam ‘Alaihissalam sebagai memohon pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala selepas baginda dan Siti Hawwa’ ‘Alaihimassalam melanggar perintahNya dengan memakan buah khuldi kerana hasutan Iblis:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi. (Surah al-A‘raf: 23)
3. Do‘a Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam yang memohon keampunan bagi dirinya, kedua ibu bapanya serta bagi orang-orang yang beriman:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan Hari Pembalasan. (Surah Ibrahim: 41)
4. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan oleh sahabat bagaimana untuk beristighfâr, lantas Baginda menjawab:
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah, aku memohon ampun kepada Allah. (Hadits riwayat Muslim)
5. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah, tiada tuhan kecuali Dia, yang tetap hidup dan kekal, dan aku bertaubat kepadaNya. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
6. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar tentang penghulu istighfâr (sayyid al-istighfâr) sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Penghulu istighfâr adalah dengan mengucapkan: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan ni‘matMu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampuni aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Memang banyak do‘a, zikir dan wirid yang mengandungi lafaz istighfâr. Setiap satu daripadanya berlainan cara atau kalimat yang digunakan, namun tujuannya tetap sama iaitu untuk beroleh maghfirah (pengampunan) dan perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Oleh kerana penting istighfâr itu dalam kehidupan, maka tidak sewajarnya ia diabaikan, apatah lagi dilupakan. Dalam perkara ibadat yang disunatkan, jangan dipermudah-mudahkan, jangan jua ditinggalkan. Jadikan prinsip: Kalau tidak dapat buat semua, jangan tinggalkan semua. Mulakan langkah: Walaupun sedikit, tetapi berterusan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7331
