Etika Tetamu Dalam Majlis Jamuan
Tiada siapapun akan terlepas daripada etika dalam pergaulan. Bagi Islam semuanya diatur dengan teliti, biarpun perkara itu nampak kecil. Namun jangan dipandang kecil sesuatu perkara itu jika ia tidak digemari oleh Islam, lebih-lebih lagi kalau ia membawa kepada haram. Ini menunjukkan betapa Islam itu suatu syariat yang sangat indah.
Dalam apa jua majlis, Islam telah menggariskan apa etika yang perlu diikut. Tujuannya supaya orang yang dijemput sebagai tetamu bersopan-santun dan beradab, hatta dalam majlis biasa pun setiap tetamu dikehendaki mengikut apa jua yang ditetapkan oleh pihak yang menjemput dari segi waktu kehadiran, pakaian, di mana dia akan duduk, cara yang sopan ketika mengambil makanan, bila dia patut meninggalkan majlis dan selainnya. Oleh kerana itu tetamu dalam apa jua majlis tidak patut mempermudahkan dan mengabaikan sikap mereka sebagai tetamu.
Siapa Dia Tetamu?
Tetamu yang dimaksudkan di sini adalah sesiapa yang hadir dalam walîmah (majlis) atau undangan dengan izin. Manakala menurut Imam al-Qalyubi, tetamu itu ialah sesiapa yang hadir dalam jamuan seseorang atas undangan orang tersebut walaupun secara umum atau seseorang yang tahu akan redha mudhîf (orang yang menjemput atau mengundang, atau tuan punya majlis) dengan kehadirannya.
Menikmati Makanan Yang Terhidang: Perlukah Kepada Izin?
Hukumnya adalah harus bagi tetamu untuk menikmati atau memakan apa-apa makanan yang telah dihidangkan kepadanya oleh mudhîf, walaupun tanpa keizinan secara lafaz. Maka memadailah izin (untuk makan) itu dengan qarînah ‘urfiyyah (isyarat atau tanda mengikut adat kebiasaan) dan memadai juga dengan perbuatan mudhîf tadi, iaitu menghidangkan makanan tersebut.
Walau bagaimanapun sunat bagi mudhîf berkata kepada tetamu ketika membawa atau menghidangkan makanan: “Bismillah” atau “Silakan makan” atau yang seumpamanya daripada ibarat-ibarat yang secara terang-terangan menunjukkan keizinannya membenarkan tetamu untuk menikmati hidangan. Adapun selain daripada itu, iaitu yang bukan dihidangkan kepada tetamu, maka tidak boleh dia memakannya.
Namun terdapat beberapa pengecualian, bahawa tetamu tidak boleh memakan makanan yang dihidangkan tanpa izin mudhîf, iaitu apabila:
1. Mudhîf masih menunggu ketibaan tetamu lain yang belum hadir.
2. Terdapat sufrah (meja atau tempat makan) yang masih kosong yang belum diisi oleh tetamu-tetamu.
3. Mudhîf masih menanti makanan yang belum tiba atau perkara lain yang seumpamanya.
Dalam hal ini, tetamu yang sudah hadir tidak boleh makan melainkan hendaklah menunggu sehingga tetamu yang dinantikan itu tiba. Ataupun sehingga mudhîf, termasuk wakilnya, mengizinkannya makan secara lafaz atau menggunakan isyarat.
Had Memakan Makanan
Apakah had atau kadar makanan yang dibolehkan untuk dimakan dalam sesuatu majlis? Pendapat para ulama dalam perkara ini antaranya ialah:
i. Jika ada qarînah (tanda atau isyarat) yang kuat bahawa makanan yang dihidangkan itu adalah untuk dimakan kesemuanya atau untuk dihabiskan, maka boleh dihabiskan. Jika bukan untuk dihabiskan kesemuanya, maka adalah dilarang berbuat demikian.
ii. Janganlah memperbesarkan suapan dan makan dengan cepat supaya dengan berbuat demikian dia boleh memperolehi makanan yang banyak dan sehingga dengan caranya itu dia menghalang hadirin yang lainnya daripada memperolehi atau menikmati makanan tersebut. Lebih-lebih lagi jika makanan itu sedikit. Malah ada ulama menghukumkannya haram.
iii. Janganlah tetamu makan melebihi daripada apa yang pada lazimnya atau pada kebiasaannya kadar yang dimakan oleh individu selainnya.
iv. Wajib bersikap adil terhadap tetamu lain umpamanya jangan makan dua biji tamar atau dua biji anggur sekaligus, melainkan tetamu yang bersamanya mengizinkannya. Perkara ini telah disebutkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Jangan kamu makan secara qirân (dua biji kurma sekali suap ke mulut) kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang qirân. Kemudian dia (‘Abdullah) berkata: “Kecuali seseorang itu telah mendapat izin daripada saudaranya (yang makan bersamanya).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Makan Sehingga Melebihi Had Kenyang
Yang dimaksudkan dengan had kenyang itu ialah apabila seseorang itu tidak dianggap lapar. Malah ada ulama merumuskan bahawa adalah haram makan melebihi had kenyang dalam keadaan sehingga mendatangkan bahaya, sama ada daripada harta (makanan) sendiri atau orang lain. Manakala makruh hukumnya jika dalam keadaan selainnya.
Tujuan Selain Daripada Untuk Dimakan
Bertepatan dengan maksud mudhîf bahawa tujuan makanan itu dihidangkan adalah untuk menjamu tetamu dan untuk dimakan oleh tetamu itu sahaja. Maka tetamu tidak boleh memperlakukan sesuatu ke atas makanan tadi dengan sewenang-wenangnya selain daripada memakannya.
Maka dapat difahami, perkara yang tidak boleh dilakukan oleh tetamu terhadap makanan yang dihidangkan untuknya dalam majlis tersebut antaranya adalah:
1. Melakukan sesuatu terhadap makanan mudhîf, umpamanya dengan:
• Memberi makanan kepada orang yang meminta ataupun yang lainnya seperti memberi makan kucing. Maka hukum berbuat demikian adalah haram melainkan jika dia mengetahui (dengan yakin) atau mengetahui dengan cara zhann (sangkaan) adanya redha mudhîf; maka ketika ini hukumnya tidak haram.
• Membawa makanan balik ke rumah dan memberi makanan tersebut kepada orang lain.
• Menjual makanan atau menghibahkannya.
2. Melakukan sesuatu terhadap makanan yang telah ditentukan oleh mudhîf untuk tetamu yang tertentu, umpamanya:
• Tidak boleh bagi aradzil (orang biasa) untuk memakan hidangan istimewa yang dikhaskan untuk tetamu kehormat.
• Haram bagi orang yang disediakan dengan makanan yang istimewa memberi makanan itu kepada orang yang disediakan dengan makanan yang sederhana. Adapun sebaliknya, maka itu tidak mengapa.
Adapun tetamu yang dihidangkan dengan makanan yang sama nilainya, maka memberi dan mengambil makanan sesama mereka adalah harus.
Bagaimanapun membezakan makanan antara tetamu adalah makruh kerana boleh melukakan hati dan perasaan sebahagian tetamu yang lain.
3. Mengambil makanan yang dihidangkan oleh mudhîf dikecualikan dengan beberapa syarat:
• Harus bagi tetamu mengambil sesuatu daripada makanan yang dihidangkan atau mengambil makanan tetamu yang duduk semeja dengannya dan membawa makanan tersebut pulang ke rumah dengan syarat dia mengetahui keredhaan mudhîf sekalipun secara sangkaan sahaja. Apabila ada keredhaan, maka bolehlah dia berbuat demikian. Maka perlu juga diamati bahawa keredhaan mudhîf itu berbeza menurut keadaan, kadar yang diambil, hal keadaan mudhîf dan bentuk majlis itu.
Jika tetamu merasa ragu atau syak tentang keizinan atau keredhaan mudhîf, maka pada ketika ini haram dia mengambil sesuatu daripada makanan tersebut sepertimana haramnya tathafful (تطفّل) iaitu seseorang hadir tanpa diundang.
Adalah haram siapa yang masuk atau datang ke majlis seseorang untuk mengambil makanan orang tersebut tanpa izin dan dia tidak mengetahui keredhaan tuannya sama ada secara pasti ataupun secara sangkaan.
Bagaimana Dengan Wadah Makanan?
Selain daripada makanan dan minuman, wadah atau bekas, piring dan mangkuk atau seumpamanya untuk meletak dan menyimpan makanan di dalamnya, maka ia bukanlah termasuk dalam kategori makanan atau minuman sepertimana yang telah diterangkan di atas.
Oleh itu apabila tetamu mengambil atau memegang wadah yang berisi makanan, lalu wadah tersebut pecah atau rosak disebabkan oleh tetamu, maka wajib diganti wadah tersebut jika diminta. Ini kerana wadah yang di tangan tetamu itu adalah barangan yang dipinjam. Begitu juga jika tetamu membawa pulang wadah tanpa izin, hendaklah diganti atau dikembalikan semula.
Sunat Bagi Tetamu Mendo‘akan Mudhîf
Sunat bagi tetamu, sekalipun dia tidak makan, untuk mendo‘akan mudhîf. Daripada Anas bahawa apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepada Sa‘d bin ‘Ubadah, beliau pun membawakan untuk Baginda sekeping roti dan (sejenis) minyak tumbuh-tumbuhan. Baginda pun memakannya dan kemudian bersabda (mengucapkan do‘a):
Maksudnya: Orang-orang yang puasa telah berbuka di sisi kamu, orang-orang yang baik (orang bertaqwa yang salih) telah memakan makanan kamu dan para malaikat telah memohonkan rahmat bagi kamu sekalian. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adab Mudhîf Terhadap Tetamu
Antara adab mudhîf terhadap tetamunya ialah menyambut tetamu dengan mesra dan memuliakannya, mengucapkan alhamdulillah dan menyatakan kegembiraan kerana memperolehi tetamu di sisinya. Juga berterima kasih kerana kesudiannya menjadi tetamu.
Sesungguhnya memuliakan tetamu itu adalah tuntutan agama dan dengan berbuat demikian mudhîf akan termasuk dalam golongan orang yang beriman. Hadits Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya... (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh kerana itu, antara adab dan cara mudhîf memuliakan tetamu yang lebih utama ialah dengan menyambut kedatangan dan mengiringi pemergiannya dari majlis.
Mestikah Mudhîf Makan Bersama Tetamu?
Bukanlah menjadi satu kemestiaan bagi mudhîf untuk makan bersama tetamunya. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu dia berkata:
Maksudnya: Sewaktu aku masih kanak-kanak, aku berjalan-jalan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda singgah ke rumah seorang budak yang pandai menjahit. Lalu budak itu menghampiri Baginda dengan membawa piring besar berisi makanan dan di atasnya (hidangan daripada sejenis) buah labu. (Aku lihat) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat menyukai buah labu itu. Anas berkata: “Apabila aku melihat perkara itu, aku pun turut mengambil makanan itu dan meletakkannya pada tangan Baginda”. Anas berkata: “Setelah itu budak tadi pun kembali meneruskan pekerjaannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Bagaimanapun makan bersama tetamu boleh menggembirakannya dan menghilangkan ketidak-selesaannya. Manakala beramah mesra dengan para jemputan dalam perbualan dan ikut serta dengan mereka makan juga merupakan adab yang wajar diamalkan oleh mudhîf.
Secara dasarnya adab, cara dan tertib yang diajarkan dan digariskan oleh Islam, sekalipun hukumnya adalah sunat, ia perlu dijaga dan dijadikan budaya supaya tercapai kesempurnaan hidup.
Dalam konteks adab makan umpamanya, Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa menjaga adab-adab tersebut sama ada ketika makan bersendirian, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu menjadi tetamu dan berada dalam satu majlis. Ini kerana makan dengan cara yang beradab itu boleh mencerminkan keperibadian seseorang.
Sebagai tetamu, diharuskan makan apa yang dihidangkan sekalipun tanpa izin tuan punya majlis, namun tunggulah dahulu sehingga tetamu yang lain sudah hadir atau meja sudah dipenuhi. Makan pula biarlah sederhana, jangan terlalu kenyang dan jangan pula mengambil makanan berlebihan yang menjadi hak bahagian tetamu lain yang duduk semeja.
Perbuatan ‘menapau’ atau mengambil dan membungkus makanan selepas majlis elok jangan dijadikan trend atau budaya, mana tahu tuan punya majlis ‘berkata-kata’ (tidak redha). Janganlah perkara ini diabaikan dan dipermudahkan kerana tanpa keredhaan mudhîf makanan yang di‘tapau’ boleh menjadi haram. Tambahan dari itu, mengambil dan membungkus makanan lebih-lebih lagi hadirin baru saja menikmati hidangan dan mungkin masih lagi berhajat kepadanya adalah satu sikap yang sangat perlu dihindari.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7335
