Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Bertaubat Sebelum Sembahyang Hajat

الجواب

Mendirikan sembahyang adalah antara sebaik-baik jalan untuk meminta pertolongan daripada Allah Ta‘ala selain sifat sabar. Ini kerana dalam sembahyang itu terkumpul berbagai-bagai bentuk ibadat rohani dan jasmani; kebersihan, menutup aurat, menghadap qiblat, ikhlas, membaca al-Qur’an, mengucap syahâdah, selawat ke atas Nabi Shallallahu alaihi wasallam dan banyak lagi.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah), dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang. (Surah al-Baqarah: 45)

Adapun sembahyang yang sunat dikerjakan apabila hendak meminta pertolongan daripada Allah Ta‘ala atau meminta dikabulkan sesuatu hajat adalah sembahyang Hajat. Apakah sembahyang Hajat itu?

Sembahyang Hajat ialah sembahyang sunat yang didirikan jika ingin memohon suatu hajat yang dibenarkan oleh syara‘ (bukan perkara maksiat) kepada Allah Ta‘ala atau meminta supaya Allah Ta‘ala kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia. Sembahyang Hajat tidak terikat dengan waktu. Ia boleh dikerjakan apabila diperlukan pada bila-bila masa sama ada siang ataupun malam asalkan bukan pada waktu-waktu karâhah (waktu-waktu yang ditegah untuk mendirikan sembahyang sunat).

Maka jika dikehendaki sesuatu hajat daripada Allah Ta‘ala atau meminta supaya Allah Ta‘ala kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia, sama ada hajat itu mustahak ataupun tidak, sama ada perkara itu berkaitan dengan agama ataupun urusan keduniaan, maka dirikanlah sembahyang ini dengan menyempurnakan wudhu dan menyempurnakan segala perkara wajib dan sunatnya.

Sembahyang Hajat dikerjakan sebanyak dua rakaat, dan ada pula para ulama yang mengerjakannya sehingga dua belas rakaat sekaligus dengan satu salam, iaitu dengan cara bertasyahhud di setiap dua rakaat atau melakukannya dengan enam kali salam (dua-dua rakaat). Mengerjakannya secara dua-dua rakaat ini adalah lebih afdhal berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Sembahyang Hajat sunat didirikan secara bersendirian. Bagaimanapun, tidak makruh yakni harus mendirikannya secara berjemaah.

Kaifiyyahnya

1. Niat sembahyang Hajat:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.

Jika menjadi imam ditambah dengan perkataan (إِمَامًا) ertinya “menjadi imam”, sementara jika menjadi makmum ditambah dengan perkataan (مَأْمُومًا) ertinya “menjadi makmum”.

2. Surah-surah yang sunat dibaca:

Selepas membaca surah al-Fâtihah, dibaca surah al-Kâfirûn sekali manakala pada rakaat kedua selepas surah al-Fatihah dibaca surah al-Ikhlâsh sekali.

Sebilangan ulama pula mengamalkan membaca surah al-Kautsar pada rakaat pertama enam kali dan surah al-Kâfirûn enam kali selepas membaca surah al- Fâtihah pada rakaat kedua.

Menurut sebahagian ulama, makruh membaca surah al-Fâtihah dan surah-surah selepasnya dengan bacaan jahar (suara yang kuat), tidak kira siang ataupun malam. Akan tetapi tidak makruh jika dinyaringkan bacaannya kerana mengajar makmum akan bacaan-bacaan sembahyang.

Ada juga pendapat dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah yang mengatakan bahawa sunat imam mengangkat suara sedikit, iaitu dalam kadar di antara bacaan isrâr dan jahar (pertengahan) jika sembahyang Hajat itu dikerjakan di waktu malam dengan syarat tidak mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Jika perbuatannya itu boleh mengganggu maka sunat membacanya dengan isrâr (suara yang perlahan).

3. Do‘a:

Selepas memberi salam dan membaca wirid, dibaca do‘a dengan dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian dibaca do‘a berikut:

Ertinya: Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Bertimbang rasa lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah yang memiliki ‘Arasy yang Agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Aku memohon kepadaMu akan segala yang menyebabkan aku memperoleh rahmatMu dan segala yang menyebabkan aku memperolehi pengampunanMu dan terpelihara daripada segala dosa dan beroleh segala kebajikan serta selamat daripada segala dosa. Janganlah Engkau tinggalkan bagiku suatu dosa melainkan Engkau mengampunkannya, dan tiada suatu kerungsingan melainkan Engkau memberikan kelapangan daripadanya, dan tiada suatu keperluan yang Engkau redhai melainkan Engkau tunaikannya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada sekalian yang mengasihani. Ya Allah!

Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadapkan wajahku kepadaMu dengan perantaraan NabiMu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Nabi rahmat! Wahai Nabi Muhammad, sesungguhnya aku menghadapkan wajahku melalui Tuan kepada Tuhanku bagi menunaikan hajatku (keperluanku) ini agar hajatku ini diperkenankan kepadaku. Ya Allah! Kurniakanlah syafaatnya (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) di dalam permohonanku.

Imam an-Nawawi Rahimahullah turut menambah bahawa adalah digalakkan juga untuk dibaca do‘a ketika ditimpa kesusahan yang berikut ini:

Ertinya: Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami daripada seksa api neraka.

KaifiyyahMengerjakan Sembahyang Hajat Dua Belas Rakaat

Imam al-Ghazali Rahimahullah menerangkan kaifiyyah mengerjakan sembahyang Hajat dua belas rakaat dalam kitabnya Ihyâ ‘Ulûm ad-Dîn, beliau berkata: “Sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Wuhaib bin al-Wardi Rahimahullah, beliau berkata: “Sesungguhnya antara do‘a yang tidak ditolak itu ialah bersembahyang seorang hamba sebanyak dua belas rakaat, di mana dia membaca Umm al-Kitâb (surah al-Fâtihah), ayat al-Kursiy dan surah al-Ikhlâsh pada tiap rakaat.” Apabila telah selesai bersembahyang, dibaca do‘a ini:

Ertinya: Maha suci Tuhan yang berpakaian dengan pakaian kemuliaan dan menentukan dengannya. Maha suci Tuhan yang berkasih sayang dengan kemuliaanNya dan bermurah dengannya. Maha suci Tuhan yang menghitung segala sesuatu dengan ilmuNya. Maha suci Tuhan yang tiada yang berhak bertasbîh melainkan kepadaNya. Maha suci Tuhan yang memiliki kurniaan dan anugerah. Maha suci Tuhan yang memiliki kemuliaan dan kemurahan. Maha suci Tuhan yang memiliki kekuasaan. Aku memohon kepadaMu dengan daerah-daerah kemuliaan daripada ‘ArasyMu, dan kemuncak rahmat daripada KitabMu, dan dengan namaMu yang Agung dan kemuliaanMu yang Tinggi, dan kalimat-kalimatMu yang sempurna dan meliputi segala, yang tidak dapat dilampaui oleh orang yang baik ataupun jahat. Bahawa Engkau limpahkan selawat atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kaum keluarganya.

Kemudian dia pohonkan hajat yang tidak mengandungi sebarang maksiat padanya, maka insyâ’ Allah hajatnya itu akan dikabulkan.

Wuhaib Rahimahullah berkata: “Telah dikhabarkan kepada kami bahawa telah dikatakan: Jangan kamu ajarkan kaifiyyah ini kepada orang-orang yang bodoh agar mereka tidak mengambil kesempatan dengan memohon pertolongan dengannya atas perkara maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.”

Amalan ini bersumber daripada sebuah hadits riwayat Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu yang dikeluarkan dalam Musnad al-Firdaus yang mana tarafnya adalah sangat dha‘îf. Bagaimanapun, Imam al-Hafiz Rahimahullah berkata sepertimana yang dinukilkan dalam kitab at-Targhîb wa at-Tarhîb: “Berpegang dengan amalan ini hendaklah atas dasar percubaan (amalan) para ulama, bukannya atas dasar haditsnya (yang sangat dha‘îf itu).”

Bertaubat Sebelum Sembahyang Hajat

Antara syarat do‘a dan permohonan yang dikabulkan itu ialah bebas daripada dosa, maka sesiapa yang memohon sesuatu kepada Allah sedangkan dia mempunyai satu dosa yang dia belum lagi bertaubat daripadanya maka permintaannya itu adalah lebih cenderung untuk ditolak. Ali al-Khawwas Rahimahullah berkata: “Sembahyang sunat Tasbih perlu dikerjakan sebelum mendirikan sembahyang sunat Hajat, ini sepertimana yang dikhabarkan bahawa sembahyang sunat Tasbih itu menghilangkan semua dosa. Selalunya, dosa-dosa itu adalah penyebab suatu hajat yang dipohonkan itu lambat dikabulkan.”

Diriwayatkan juga bahawa Ali al-Bujairi Rahimahullah apabila diminta oleh seseorang untuk mendo‘akannya, dia terlebih dahulu akan berkata kepada mereka: “Bacalah oleh kamu:

Ertinya: Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia, yang Hidup dan berdiri sendiri serta aku bertaubat kepadaNya daripada segala dosa.”

Kemudian barulah dia mendo‘akan mereka. Lalu dia pun berkata: “Wahai anak-anakku, bagaimanakah seorang hamba itu memohon suatu hajat daripada Tuhannya padahal Tuhannya sedang murka kepadanya kerana maksiat yang dilakukannya? Jika dia telah bertaubat daripada dosanya itu, maka barulah ada kemungkinan do‘anya itu akan dimakbulkan.”

Berdasarkan kata-kata ulama ini, maka sayugianyalah seseorang itu muhâsabah dirinya dengan bertaubat dan memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukannya sebelum mendirikan sembahyang Hajat supaya permohonannya yang baik itu dipandang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7343

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص