Ketahuilah Bahaya Cuai Dalam Sukatan Dan Timbangan
Islam menuntut umatnya untuk mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal. Antara jalan mencari rezeki yang halal itu ialah berniaga, Sembilan daripada sepuluh punca rezeki itu adalah bersumber daripada perniagaan. Ia adalah satu pekerjaan yang mulia kerana jika dilihat dari segi sejarah, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan seorang peniaga. Baginda dikenali sebagai seorang pemuda yang sangat jujur, baik dalam hal kehidupan seharian mahupun dalam perniagaan. Disebabkan kejujuran Baginda itu juga, Baginda digelar al-Amîn.
Namun tujuan dan matlamat asal berniaga itu janganlah dicemari dengan perkara-perkara yang haram seperti memutar-belit, mengelirukan, mengkhianat, memeras pembeli dan menipu seperti mengurangkan timbangan dan sukatan kerana perbuatan itu mengurangkan hak pengguna. Malahan ia juga termasuk di antara dosa-dosa besar.
Walaupun ada undang-undang untuk menyekat dan seterusnya menghalang sebarang penipuan dalam urusan jual beli, namun kerana liciknya penjual terjadi juga penipuan dalam perniagaan dengan berbagai-bagai cara.
Perintah Menyempurnakan Sukatan Dan Timbangan
Syariat Islam telah lebih dahulu memerintahkan dan mengajarkan agar umatnya mengamalkan sikap jujur dalam semua hal dan ini termasuklah jujur dalam menyempurnakan sebarang sukatan, timbangan, takaran dan ukuran. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (Surah ar-Rahmân: 9)
Ini kerana perbuatan mengurangi timbangan itu bermakna mengurangi hak manusia dan perkara ini adalah dilarang. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi. (Surah Hud: 85)
Di samping itu terdapat beberapa ayat lain mengenai sukatan dan timbangan; antaranya surah Yusuf, ayat 59, awal surah al-Muthaffifîn dan satu ayat lagi yang menceritakan bahawa Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam apabila diutus kepada kaumnya penduduk negeri Madyan, baginda ‘Alaihissalam bukan sahaja diperintahkan untuk menyeru mereka kepada tauhîd, bahkan juga menyeru mereka agar menyempurnakan sukatan dan timbangan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syu‘aib. Baginda berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-A‘râf: 85)
Antara hadits yang menyebut supaya menyempurnakan timbangan dan sukatan ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sukatlah sehingga kamu memenuhinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kemudian diriwayatkan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya:
Maksudnya: Apabila kamu menjual, maka sukatlah dengan sempurna dan apabila engkau membeli (makanan) mintalah untuk disukat dengan sempurna. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hikmat Di Sebalik Sukatan Dan Timbangan
Mereka yang menyukat dan menimbang barangannya dengan sempurna akan diberkati berdasarkan niatnya semata-mata untuk mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada al-Miqdam bin Ma‘di Karib Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sukatlah atau timbanglah makanan kamu, maka kamu akan diberkati. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, keberkatan yang diperolehi hasil daripada menimbang dan menyukat sesuatu itu adalah selamat dan terpelihara daripada buruk sangka.
Balasan Menepati Timbangan
Orang-orang yang jujur dalam urus niaganya, khususnya dalam menyukat dan menimbang barangan akan memperolehi kebaikan di dunia dan pahala di akhirat. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). (Surah al-Isrâ’: 35)
Secara dasarnya seorang peniaga yang menyempurnakan timbangan adalah seorang peniaga yang jujur. Renungkanlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai ganjaran yang diperolehi oleh seorang peniaga yang jujur sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id:
Maksudnya: Pedagang yang jujur lagi dapat dipercayai, (dia) berserta para nabi, orang-orang yang jujur dan para syuhadâ’ (orang-orang yang mati syahid). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Balasan Mengurangi Timbangan
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, perbuatan mengurangi timbangan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar kerana pelakunya memakan harta secara bâthil. Selain daripada mendapat dosa, antara balasan lain yang telah disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits ialah:
1. Mendapat kecelakaan di akhirat.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka apabila menerima sukatan (gantang-cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada Hari (Kiamat) yang amat besar (huru-haranya). Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam? (Surah al-Muthaffifîn: 1-6)
Ayat ini merupakan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak menepati timbangan. Apakah yang dimaksudkan dengan kecelakaan itu? Ia bererti azab yang amat pedih di akhirat. Menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula ‘wail’ adalah nama sebuah wadi atau lembah dalam neraka Jahannam yang mengalir di dalamnya nanah ahli neraka; disediakan untuk orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Mengapa ayat di awal surah al-Muthaffifîn ini diturunkan? Antara sebabnya ialah ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mula-mula tiba di Madinah:
• Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Baginda mendapati penduduk Madinah tergolong di antara orang-orang yang berkelakuan buruk dalam sukatan. Apabila mereka membeli daripada peniaga lain, mereka meminta supaya disukat dan ditimbang dengan betul dan shahîh, tetapi bila mereka menjual pula, mereka akan mengurangkan timbangan dan sukatan daripada yang sepatutnya. Lalu Allah menurunkan ayat di atas dan setelah itu mereka pun memperbaiki cara mereka melakukan sukatan.
• Seorang lelaki (peniaga) yang bernama Abu Juhainah mempunyai dua set alat sukatan yang berlainan. Salah satunya digunakan untuk menyukat barangan yang dibelinya dari peniaga lain dan yang satu lagi digunakan untuknya menjual barangannya kepada pembeli.
2. Punca turunnya bala.
• Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah datang menemui mereka, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Wahai seluruh orang-orang Muhajirin! Ada lima perkara, bila sudah merata perbuatan itu daripada kamu sekalian (maka akan tiba balasannya), dan aku mohon perlindungan daripada Allah (agar kamu tidak) menemui lima perkara ini. (Salah satu daripadanya ialah): Tidaklah mereka (suatu kaum itu) mengurangi sukatan dan timbangan, melainkan mereka akan mendapat seksa (berupa) kemarau, kesulitan bahan makanan dan penguasa yang zalim ke atas mereka. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
• Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada orang-orang yang menggunakan sukatan dan timbangan:
Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya kamu semua diberikan kuasa ke atas perkara yang mana bangsa-bangsa dahulu sebelum kamu telah binasa kerananya: Sukatan dan timbangan.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
• Antara balasan lain ialah Allah telah membinasakan dan melenyapkan kaum Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam kerana perbuatan mereka menipu orang ramai dalam perkara timbangan dan sukatan.
3. Terkeluar daripada golongan umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan mengurangkan timbangan adalah serupa dengan menipu, manakala penipuan pula adalah dilarang dalam Islam. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengingatkan bahawa:
Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu (memperdayakan) kami, maka bukanlah dia daripada (golongan) kami. (Hadits riwayat Muslim)
Manakala dalam hadits lain menyebutkan bahawa orang yang menipu itu balasannya adalah api neraka seperti riwayat daripada ‘Abdullah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menipu (memperdayakan) kami, maka bukanlah dia daripada (golongan) kami. Dan (seorang) penipu dan putar belit (tempatnya) dalam api neraka. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
4. Dihapuskan keberkatan.
Daripada Hakim bin Hizam Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Penjual dan pembeli sama-sama bebas menentukan jual-belinya selagi kedua-duanya belum berpisah atau sabda Baginda lagi: “Sehingga kedua-duanya berpisah”. Maka jika kedua-duanya jujur dan berterus-terang, maka jual beli mereka akan diberkati (Allah), dan jika kedua-duanya saling menyembunyikan dan mendustai (curang), maka berkat dalam jual beli mereka akan dihapuskan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berhati-Hati Dalam Sukatan Dan Timbangan
Bagi seorang peniaga, hendaklah berusaha sedaya upayanya supaya memperhatikan ketepatan alat timbangan dan sukatannya. Jangan bersikap cuai, sambil lewa atau kurang mengambil perhatian ketika menimbang, kerana Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu jadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi. (Surah asy-Syu‘arâ’: 181-183)
Dalam kitab az-Zawâjir, diceritakan kisah seorang yang sakit menghadapi sakarât al-maut, akan tetapi dia masih tidak dapat mengucapkan syahâdah sekalipun telah dibimbing oleh seorang salih. Apabila dia sedar (sembuh), orang salih itu pun bertanya: “Wahai saudaraku, mengapakah setelah aku bimbing engkau untuk mengucapkan syahâdah, lidahmu masih tetap tidak dapat mengucapkannya?”
Lantas orang yang sakit itu menjawab: “Wahai saudaraku, (berat) timbangan (mîzân) itu berada di atas lidahku dan itulah yang menghalangku daripada mengucapkan syahâdah.”
Orang salih pun segera bertanya: “Demi Allah! Apakah engkau telah mengurangkan timbangan?”
Dia pun menjawab: “Demi Allah! Tidak demikian! Akan tetapi apabila saya menimbang barang, saya sekadar menimbangnya seketika sahaja dan kurang memperdulikan jarum petunjuk berat timbangan dengan tepat.”
Jika demikianlah berat dan dahsyatnya akibat daripada kelalaian dan kecuaian yang dilakukan ketika menimbang barang, bagaimana pula balasan bagi orang yang memang senghaja mengurangkan, menipu atau senghaja mengubah-suai timbangan dengan maksud untuk melakukan kecurangan (penipuan) dalam timbangan?!
Anjuran Melebihkan Sukatan Dan Timbangan
Adalah diakui bahawa manusia itu tidak memiliki kesempurnaan dan tidak mustahil boleh saja terjadi pengurangan tanpa disenghajakan. Hal ini telah dijelaskan dalam surah al-An‘âm firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya. (Surah al-An‘âm: 152)
Sesiapa yang telah berusaha untuk menyempurnakan hak untuk dirinya, hak pembelinya dan juga membuat sukatan dengan baik, tetapi jika dia tersilap (tanpa disenghajakan) setelah menyempurnakan usaha dan upayanya, maka tiadalah dosa ke atasnya.
Sungguhpun demikian, jika seorang peniaga itu masih merasa was-was dan takut akan risiko yang bakal dihadapi akibat daripada kecuaian atau pengurangan yang tidak disengahajakan ketika membuat timbangan dan sukatan, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan sepertimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Qais bin Abu Gharzah Radhiallahu ‘anhu. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah datang kepada mereka yang pada waktu itu digelar ‘samasirah’ (orang tengah dalam urusan jual-beli). Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun memberi mereka satu nama atau gelaran yang lebih elok, iaitu ‘tujjâr’ (pedagang atau peniaga). Seterusnya Baginda bersabda:
Maksudnya: Wahai para pedagang! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu (kedua-duanya) selalu mendatangi (tempat) jual beli. Maka campurkanlah jual belimu dengan sedekah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Untuk mengelakkan kemungkinan berlaku kekurangan dalam sukatan atau timbangan, maka eloklah dibuat tambahan; mudah-mudahan tambahan itu akan menjadi sedekah (jika ternyata sukatan atau timbangan sudah mencukupi).
Sesungguhnya harta dan kekayaan pada hakikatnya tidak akan berkurang kerana bersedekah. Abu Kabasyah al-Annamari meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (akan) berkurang harta seorang hamba itu kerana bersedekah. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Kesimpulan
Kejujuran itu sangat penting dan perlu ada dalam setiap individu sama ada dia seorang penjual mahupun pembeli. Seorang peniaga yang jujur akan mendapat pahala, keberkatan pada hasil perniagaannya dan memperolehi kemenangan di akhirat. Malah akan membawa kepada keuntungan yang lebih banyak lagi semasa di dunia kerana mendapat kepercayaan orang ramai yang akan terus berurus niaga dengannya. Bahkan pedagang atau peniaga yang jujur itu akan bersama-sama para nabi dan para syuhadâ’.
Di samping itu hendaklah berusaha untuk menyempurnakan timbangan dan mengambil perhatian terhadap ketepatan jarum atau petanda timbangan dengan sebaik mungkin agar menghindari kecuaian dan pengurangan yang tidak disenghajakan.
Seorang peniaga yang menipu timbangan dengan mengurangkannya ketika menjual dan melebihkan sukatannya ketika membeli barang akan mendapat dosa, tidak tergolong dalam umat Islam dan dijanjikan dengan azab yang amat pedih di akhirat. Jika perkara ini berleluasa dan menjadi kebiasaan, maka ia akan menjadi sebab diturunkan bala akibat perbuatan mereka itu. Mahukah seseorang itu menjerumuskan dirinya ke dalam ancaman ini hanya kerana menipu atau mengurangkan satu kadar yang sedikit? Peniaga sedemikian akan menghapuskan keberkatan dalam perniagaannya dan apabila diketahui oleh pembeli, pasti mereka akan menjauhkan diri daripada berjual beli dengannya. Lebih malang lagi, mereka yang berniaga di kawasan sekitarnya akan turut terjejas dan mengalami kerugian kerana disangka terlibat sama dalam penipuan, walhal mereka itu jujur dalam perniagaan mereka.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7347
