Bencana Tsunami: Meluntur Keangkuhan, Ambil I‘tibâr, Segera Bertaubat
Kejadian bencana alam iaitu gempa bumi yang mengakibatkan berlakunya gelombang maut yang lebih dikenali dengan nama Tsunami telah menggemparkan penduduk dunia. Rata-rata manusia melahirkan rasa terkejut dan sedih ke atas apa yang berlaku. Tidak dinafikan ia merupakan antara kejadian bencana alam yang paling dahsyat yang pernah terjadi dalam sejarah. Bencana ini mengakibatkan banyak jiwa terkorban melebihi angka seratus ribu orang dan kemusnahan besar ke atas harta benda yang berlaku dengan tiba-tiba dan cepat sekali. Ini belum lagi termasuk jumlah yang tercedera dan ratusan ribu orang yang kehilangan tempat berteduh. Kemudian selepas itu, para mangsa Tsunami itu akan menghadapi penderitaan hidup yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Jika dipandang secara sepintas lalu, malapetaka seperti ini berlaku adalah akibat proses alam semulajadi. Akan tetapi sebagai orang Islam yang beriman kita patut beri‘tiqâd bahawa apa yang berlaku itu adalah dengan takdir Allah dan sebagai tanda kebesaran dan kekuasaanNya yang ditunjukkan kepada manusia. Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi, menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Berkuasa untuk bertindak menurut apa yang dikehendakiNya. Ini jelas sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan. (Surah al-Anbiyâ’: 23)
Namun begitu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala Maha Bijaksana tentang segala apa yang dilakukanNya. Semuanya diletakkan pada tempat dan keadaan yang sesuai. Cuma kita sebagai makhlukNya tidak dapat menyelami segala hikmah yang terkandung di dalam perkara yang ditakdirkanNya. Kalaupun kita dapat menyelaminya, hanya sebahagian kecil sahaja yang terjangkau oleh akal fikiran manusia. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah: 30)
Segala apa yang ditakdirkan Allah, sungguhpun sebahagiannya mendatangkan bahaya dan dukacita kepada makhlukNya tentunya mengandungi hikmah. Sebab, mustahil Allah menciptakan sesuatu dan mentakdirkannya dengan sia-sia tanpa sebarang hikmah. Orang-orang yang sentiasa mengingati Allah berkata sebagaimana yang diungkapkan di dalam al-Qur’an:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. (Surah Âli ‘Imran: 191)
Apa yang dapat ditanggapi ialah bahawa ia berfungsi sebagai pengajaran kepada manusia supaya mengambil i‘tibâr daripada apa yang berlaku. Setiap apa yang ditunjukkan oleh Allah daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya hendaklah dimanfaatkan oleh umat manusia dengan mengambil pengajaran atau i‘tibâr. Perintah mengambil i‘tibâr atau pengajaran ini jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. (Surah al-Hasyr: 2)
Keengganan umat manusia untuk mengambil i‘tibâr daripada apa yang didatangkan oleh Allah daripada tanda-tanda kekuasaanNya akan mengakibatkan hati menjadi alpa, lalai dan ini akan menyebabkan mereka jauh daripada rahmat dan belas kasihan Allah. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar daripada (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu), dan mereka (yang bersifat demikian) jika melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan (yang membawa kepada) petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya. (Surah al-A‘râf: 146)
Di dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah diterangkan beberapa jumlah hikmah yang terkandung di dalam kejadian bencana dan bala yang berlaku kepada manusia, antaranya ialah:
i. Adakalanya bencana atau malapetaka itu berlaku sebagai balasan Allah Ta‘ala kepada orang yang tidak beriman kepadaNya dan mengkufuri ni‘matNya, seperti peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh ‘Alaihissalam, angin ribut kencang yang menimpa kaum Nabi Hud ‘Alaihissalam, pekikan kuat yang menghancurkan kaum Nabi Salih sehingga menjadi seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, peristiwa kaum Nabi Luth yang ditimpakan angin ribut dengan dihujani batu, peristiwa Fir‘aun dan pengikutnya tenggelam di dalam laut, peristiwa Qarun yang ditelan bumi dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam al- Qur’an:
Tafsirnya: Maka masing-masing Kami binasakan disebabkan dosanya, iaitu di antaranya ada yang kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan mereka ditelan bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah!) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. (Surah al-‘Ankabût: 40)
ii. Adakalanya bencana yang berlaku itu untuk menjadi alat pengukur atau batu ujian bagi membezakan di antara orang-orang yang benar-benar beriman dengan yang sebaliknya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah al-‘Ankabût: 2-3)
iii. Adakalanya bencana yang berlaku itu diundang oleh kerosakan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah ar-Rûm: 41)
iv. Adakalanya pula bencana itu terjadi untuk menjadi salah satu cara bagi membersihkan diri orang-orang yang beriman dan sabar daripada segala kesalahan dan dosa serta untuk melipatgandakan pahala mereka. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Surah al-Baqarah: 155-157) Di dalam hadits shahîh disebutkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang Muslim itu tidak ditimpa dengan keletihan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, kesengsaraan dan kesusahan, bahkan sehingga duri yang menyakitinya melainkan semua itu Allah berkenan untuk menghapuskan dosa-dosanya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bahkan boleh saja bencana itu terjadi akibat daripada semua sebab-sebab yang disebutkan di atas.
Mungkin ada orang bertanya, adakah relevan jika dikatakan bahawa bencana gelombang Tsunami itu berlaku adalah sebagai bala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala disebabkan oleh dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia, sedangkan yang turut menjadi mangsa adalah negara Islam, orang-orang Islam dan ribuan kanak-kanak yang tidak berdosa?
Sebagai respons kepada pertanyaan itu, pertama sekali perlu dijelaskan bahawa rahsia dan hikmah yang sebenarnya di sebalik apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui dan Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Âli ‘Imran: 182)
Jika diandaikan bala yang diturunkan itu disebabkan dosa dan maksiat yang berlaku, ianya tidak semestinya tertimpa kepada golongan yang tidak beriman atau orang-orang dewasa yang berbuat dosa sahaja, tetapi boleh saja turut tertimpa kepada golongan yang beriman, sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak yang tidak berdosa. Cuma bezanya dari segi kesudahan masing-masing, sama ada tergolong ke dalam kalangan orang yang beruntung di sisi Allah dengan mendapat keampunan dan keredhaanNya ataupun tergolong ke dalam kalangan orang-orang yang rugi.
Perkara ini disandarkan kepada beberapa buah hadits, antaranya yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila berlaku maksiat di kalangan umatku, Allah ‘Azza wa Jalla akan menimpakan azab daripadaNya dengan meliputi sekalian mereka. Aku (Ummu Salamah) berkata: “Wahai Rasulullah, sungguhpun di kalangan mereka pada hari itu terdapat orang-orang yang salih?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya”. Ummu Salamah berkata: “Lalu bagaimana hal keadaan mereka itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mereka ditimpa oleh apa yang menimpa umat manusia, kemudian akhirnya mereka mendapat keampunan daripada Allah dan keredhaanNya.” (Hadits riwayat Ahmad)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam riwayat yang lain:
Maksudnya: Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran lalu tidak berusaha untuk mencegahnya maka telah hampir Allah menimpakan seksaanNya dengan meliputi sekalian mereka. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Sebenarnya, jika sesuatu bala atau cubaan datang menimpa seseorang, sekumpulan manusia atau sesebuah negeri, jika demikian itu dianggap sebagai azab yang diturunkan Allah sebagai balasan terhadap kemungkaran dan kederhakaan yang telah dilakukan, maka dengan anggapan sedemikian akan dapat melunturkan segala keangkuhan manusia, sama ada mereka yang ditimpa musibah atau sesiapa sahaja yang mahu mengambil i‘tibâr daripada musibah itu, mengejutkan mereka daripada kelekaan bersuka ria, menyedarkan mereka daripada hanyut kerana terlalu ‘iski’ (gembira) sehingga lupa daratan yang mengundang kemurkaan Allah. Seterusnya ini mendorong mereka untuk bertaubat, beristighfâr dan kembali kepada Allah.
Segala kejadian bencana alam yang berlaku mudah-mudahan akan sentiasa menggoncangkan hati kita kerana gerun, gementar dan takut kepada Allah dan memantapkan lagi keimanan. Sebab, beginilah ciri-ciri peribadi orang-orang yang beriman. Orang-orang yang benar-benar beriman itu hanya dengan dibacakan ayat Allah sahaja sudah cukup untuk menggoncangkan hati dan memantapkan iman mereka. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah al-Anfâl: 2)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7371
