Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

“Khâtam An-Nabiyyîn”: Menurut Al-Qur’an Dan Hadits

Perkataan khâtam menurut kebanyakan kamus ialah sesuatu yang terakhir atau bahagian yang akhir daripada sesuatu. Khâtam an-nabiyyîn pula bermaksud nabi yang terakhir atau penutup sekalian nabi.

Ulama tafsir yang terkemuka sependapat dalam mengertikan kata khâtam an-nabiyyîn sebagai nabi yang terakhir.

Abu Hayyan al-Andalusi dalam tafsirnya al-Bahr al-Muhîth berkata: “Khâtam an-nabiyyîn bermakna tidak akan ada lagi nabi sesudahnya (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam).”

Ibnu ath-Thabari pula menyatakan dalam tafsirnya bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Nabi yang terakhir daripada sekalian nabi-nabi.

Manakala Syeikh Zamakhsyari dalam kitabnya al-Kasysyâf berkata: “Khâtam an-nabiyyîn bererti penutup sekalian nabi-nabi.”

Beriman Kepada Rasul

Dalam Islam, beriman kepada rasul-rasul adalah suatu tuntutan syara‘ dan menjadi salah satu daripada rukun iman yang wajib diimani. Beriman kepada rasul-rasul itu boleh dilakukan secara ijmâl dan tafshîl.

Beriman kepada rasul-rasul secara ijmâl ialah beriman kepada nabi-nabi Allah dan rasul-rasulNya yang diketahui kenabian dan kerasulan mereka secara umum – tidak disebutkan nama-nama mereka satu persatu di dalam al-Qur’an.

Manakala beriman kepada rasul-rasul secara tafshîl ialah beriman kepada nabi-nabi Allah dan rasul-rasulNya yang diketahui kenabian dan kerasulan mereka secara khusus satu persatu dengan jalan wahyu (disebutkan nama-nama mereka di dalam al-Qur’an).

Di dalam al-Qur’an disebutkan bahawa bagi setiap umat diutuskan seorang rasul sebagaiman Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya. (Surah Yunus: 47)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami telah telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Thâghût. (Surah an-Nahl: 36)

Tujuan Allah mengutus para nabi dan rasul ialah supaya membimbing manusia ke jalan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, kerana tanpa bimbingan dan pimpinan dengan pedoman, manusia akan hidup menurut hawa nafsunya. Selain itu, mereka dibentuk sebagai role model kepada manusia lain. Para rasul akan melaksanakan dan memberi contoh teladan bagaimana panduan tersebut dilaksanakan dalam hidup manusia melalui sikap dan perbuatan mereka.

Nabi Terakhir Menurut Al-Qur’an

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memilih dan mengutus rasul-rasul ke alam dunia ini yang terdiri daripada seorang manusia di kalangan mereka sendiri. Ini adalah supaya rasul-rasul itu dapat menyiapkan diri mereka untuk menerima wahyu (syari‘at) daripada Allah Ta‘ala dan menyampaikannya kepada kaumnya, di mana Allah Ta‘ala lebih mengetahui, siapakah yang patut dipilih dan layak menerima jawatan rasul itu. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. (Surah al-An‘âm: 124)

Oleh yang demikian, adalah wajib beriman bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Nabi dan Rasul yang terakhir, tidak ada nabi dan rasul selepas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Ahzâb: 40)

Menurut al-Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan bukti yang kuat bahawa tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tentang perkara ini banyak hadits mutawâtir (hadits yang sangat kuat) diceritakan oleh para sahabat dan tâbi‘în. Maka jika ada orang yang mendakwa bahawa dia adalah nabi (selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) orang itu adalah pembohong.

Berkata Ibnu ‘Athiyah bahawa ayat di atas adalah dalil (nash) yang menunjukkan tidak ada nabi selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Inilah pendapat semua ulama khalaf dan salaf.

Nabi Terakhir Menurut Hadits

Al-Qur’an al-Karim dengan jelas menyebutkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah penutup segala nabi dan rasul. Manakala ijmâ‘ ulama tafsir berpendapat perkataan khâtam bererti penutup. Ini bererti tidak ada nabi sesudah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebab dengan kedatangan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, maka syari‘at Islam telah sempurna.

Anas Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya risâlah dan nubuwwah telah terputus. Maka tidak ada lagi rasul dan nabi sesudahku. Baginda bersabda lagi: “Maka terasa berat perkara sedemikian kepada manusia”. Sabda Baginda lagi: “Kecuali al- Mubasysyirât”. Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah al-Mubasysyirât itu?” Baginda menjawab: “Mimpi seorang lelaki Muslim, kerana mimpi itu adalah sebahagian daripada nubuwwah (kenabian).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya perumpamaanku dengan para nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah. (Pembinaannya) disempurnakan dan diperelokkan kecuali di suatu sudut di mana terletak sebiji batu-bata (yang belum dimasak). Maka sesiapa yang mengelilingi dan mengkagumi rumah tersebut lalu mereka akan berkata: “Alangkah baiknya sebiji bata itu diletakkan! Baginda menjawab: “Akulah bata itu dan akulah penutup segala nabi.” (Hadits riwayat al-Bukhari) Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Dilebihkan aku daripada nabi-nabi yang lain dengan enam perkara: (Iaitu) diberikan kepadaku kata-kata yang sedikit tetapi mempunyai makna yang luas (al-Qur’an), diberikan aku kemenangan dengan menimbulkan rasa takut di hati musuh, dihalalkan bagiku rampasan perang, dijadikan bumi bagiku suci dan tempat bersujud (masjid), diutus aku untuk seluruh makhlukNya dan aku sebagai penutup sekalian para nabi. (Hadits riwayat Muslim)

Az-Zuhri mendengar daripada Muhammad bin Jubair bin Mat‘am daripada bapanya, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Aku adalah Muhammad, dan aku adalah juga Ahmad dan aku al- Mâhi (iaitu), kerana aku dihancurkan kekufuran. Aku al-Hâsyir (iaitu) dikumpulkan manusia di bawah tumitku (untuk mengikuti aku) dan aku al-‘Âqib (iaitu) tiada nabi selepasku. (Hadits riwayat Muslim)

Riwayat daripada ‘Irbath bin Sariyah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya aku (telah dijadikan) hamba Allah sebagai penutup segala nabi, manakala Adam ‘Alaihissalam (dijadikan) bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat Ahmad)

Dengan demikian, jelaslah bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah Nabi dan Rasul terakhir, selepas Baginda tidak ada lagi nabi mahupun rasul yang diutus.

Mengingkari Kenabian Dan Kerasulan Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Menurut pengarang kitab Syarh al-Baijuri ‘ala al-Jawharah bahawa orang-orang yang ingkar akan kenabian para nabi atau ingkar kerasulan mereka yang memang diutuskan oleh Allah untuk menjadi rasul, maka orang-orang yang mengingkari itu hukumnya adalah kafir, kecuali bagi orang-orang awam yang tidak pernah belajar ilmu Tauhid. Mereka hanya boleh dihukumkan kafir apabila mereka ingkar selepas mereka belajar (mengetahuinya).

Pengarang kitab Rûh al-Ma‘âni menyatakan bahawa orang-orang yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa Muhammad sebagai Nabi terakhir adalah kafir dan hendaklah dihukum mati dalam negara Islam.

Begitu juga menurut al-Hayyan pangarang kitab al-Bahr al-Muhîth menyatakan bahawa orang-orang sedemikian adalah zindiq dan wajib dibunuh.

Adakah Turunnya Nabi Isa ‘Alaihissalam Ke Dunia Ini Membawa Risalah Baru?

Turunnya Nabi Isa ‘Alaihissalam telah dinyatakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam beberapa riwayat, antaranya riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Tidak berlaku Hari Kiamat sehingga turun kepada kamu putera Maryam sebagai orang yang membawa keadilan. Baginda akan menghancurkan salib, membunuh khinzîr, menegakkan jizyah dan meningkatkan kestabilan hidup/kemakmuran sehingga tidak ada seorang pun yang menerimanya (daripada harta).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ibnu Katsir mengatakan bahawa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kembalinya Isa ‘Alahissalam sangatlah banyak dan sangat kuat untuk mendukung kepercayaan ini.

Ibnu Hazm pula menulis dalam kitabnya al-Fishal fi al-Milal wa an-Nihal bahawa kepercayaan ini berdasarkan hadits yang amat kuat. Maka tidak ada tokoh ulama yang tercatat mengingkari kepercayaan ini, sekalipun golongan Mu‘tazilah.

Al-‘Allamah al-Qurthubi telah menyatakan dalam kitabnya at-Tadzkirah bahawa ada kaum atau puak yang berpendapat tentang turunnya Nabi Isa ‘Alaihissalam ke dunia ini sebagai rasul yang memerintahkan supaya penghuni dunia mentaati Allah dan menjauhi laranganNya. Dengan perkataan lain, baginda membawa risalah baru selepas risalah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Pendapat ini terkeliru kerana ia bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Tetapi dia (Muhammad) adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. (Surah al-Ahzâb: 40)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah bersabda:

Maksudnya: Tidak ada nabi (yang diutus) selepasku. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sabda Baginda yang lain:

Maksudnya: Aku adalah al-‘Âqib iaitu tidak ada selepasku nabi. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, tidak ada keraguan bahawa Nabi Isa ‘Alaihissalam turun ke dunia ini bukanlah sebagai Nabi yang membawa syari‘at baru lain selain daripada syari‘at yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan baginda ‘Alaihissalam itu turun sebagai salah seorang daripada pengikut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sesuai dengan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada ‘Umar:

Maksudnya: Sekiranya pun Musa masih hidup beliau hanya mengikuti aku.

Al-Mawardi pula menyatakan dalam tafsirnya bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah nabi yang terakhir manakala Nabi Isa ‘Alaihissalam diturunkan adalah sebagai hakim dan imam yang adil berdasarkan syari‘at Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dipertanggungjawabkan untuk membunuh Dajjal dan membinasakan kayu-kayu salib.

Penutup

Berdasarkan penjelasan di atas, khâtam an-nabiyyîn (penutup sekalian nabi-nabi) itu ialah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qur’an dan hadits-hadits mutawâtir daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Oleh itu, dakwaan yang mengatakan seseorang itu nabi atau rasul selepas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, adalah pembohongan besar yang boleh membawa kepada kufur.

Perlu diingat bahawa pengakuan sebagai nabi atau rasul selepas Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah salah satu daripada tanda-tanda kecil Hari Kiamat sebagaimana riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Tidak akan tiba Hari Kiamat itu sehingga ada dua golongan besar saling berbunuh-bunuhan, di antara keduanya itu berlakulah peperangan yang besar di mana da‘wah kedua-duanya adalah satu. Dan tidak akan tiba Hari Kiamat itu sehingga banyak kaum Dajjal pendusta yang bilangannya hampir tiga puluh orang, semuanya mengaku bahawa dirinya adalah Rasulullah. (Hadits riwayat al-Bukhari)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7366