Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Kasih Sayang Melalui Doa

Amalan berdoa di kalangan umat Islam bukanlah suatu perkara yang baru, malahan ianya telah sebati dengan Muslimin dan Muslimat sejak dari zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Baginda telah menunjukkan kepimpinan dan ikutan bagaimana berdoa dan mendoakan.

Hukum berdoa adalah sunat (mustahabb iaitu digalakkan). Dalam al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat suruhan yang memerintahkan supaya berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke arah kebaikan, sama ada dalam keadaan senang ataupun susah, di kala suka ataupun duka, secara bersendirian mahupun berjemaah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)

Menurut Imam al-Qurthubi bahawa ayat di atas menunjukkan perintah Allah Ta‘ala supaya sentiasa berdoa dan beribadat kepadaNya. Ayat ini juga memberi kegembiraan dan kesenangan kepada makhluk Allah kerana dijanjikan bahawa doa-doa tersebut akan dikabulkan, melainkan ada sebab-sebab lain mengapa suatu doa itu tergantung-gantung atau ditolak.

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghâfir: 60)

Telah disebutkan dalam banyak hadits shahîh mengenai doa, antaranya ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemurah, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan (tidak menerima) kedua tangannya (doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Manakala hadits-hadits berikut diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada doa. (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Barang siapa yang tidak berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka Allah murka kepadanya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Akan dikabulkan doa seorang daripada kamu selama mana dia tidak terburu-buru mengatakan: “Aku sudah berdoa (kepada Allah), namun doaku belum dikabulkan.” (Hadits riwayat Muslim)

Mendoakan Orang Lain Tanpa Pengetahuannya

Alangkah indahnya Islam itu apabila menganjurkan supaya umatnya saling doa mendoakan antara satu sama lain, sama ada orang yang didoakan itu mengetahuinya ataupun tidak, lelaki atau perempuan, yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.” (Surah al-Hasyr: 10)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan. (Surah Muhammad: 19)

Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Setiap hamba Muslim yang mendoakan saudaranya pada ketika saudaranya itu tidak ada (tanpa pengetahuannya), maka malaikat akan berkata: “Semoga kamu juga mendapat seumpama (doa) itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Malah doa seorang Muslim terhadap saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya adalah mustajâb berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Adapun doa seorang Muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah mustajâb. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan bagi saudaranya itu, malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan bagimu seumpama apa yang engkau doakan itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Adapun antara orang-orang yang wajar didoakan adalah seperti berikut:

1. Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Mengucapkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bererti juga mendoakan Baginda. Di samping menunjukkan rasa cinta dan kasih terhadap junjungan besar itu, berselawat itu juga merupakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang perlu dilaksanakan sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)

2. Ahli Keluarga Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Para Sahabat dan Pengikut Baginda

Ulama juga sepakat mengatakan bahawa adalah harus atau dibolehkan menyebut ahli keluarga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, isteri-isteri, zuriat dan para pengikut Baginda selepas sempurna mengucapkan doa dan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Contoh ucapan tersebut ialah:

Sunat juga mendoakan para sahabat dan tâbi‘în dan mereka yang selepas tâbi‘în daripada para ulama, ahli ibadat dan orang-orang yang melakukan amal kebaikan. Caranya ialah dengan menyebut atau mendoakan mereka dengan “ ُ رَضِ ى َ هللا ُ عَمْ ه” dan “ ُ ر َِحَِ ه ُ هللا” selepas nama mereka, contohnya Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha atau Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah.

3. Ibu Bapa

Berbuat baik dan mendoakan kedua ibu bapa merupakan kewajipan bagi setiap anak. Ini kerana ibu bapa adalah orang yang terutama sekali untuk didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa keduanya memelihara dan mendidik di waktu kecil. Malah penjagaan mereka terhadap anak-anak sampai dewasa, tiada penghujungnya. Terdapat kisah di dalam al-Qur’an yang membuktikan bahawa para Nabi juga memohon keampunan bagi kedua ibu bapa mereka.

Diceritakan dalam al-Qur’an tentang Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam mendoakan kedua ibu bapanya:

Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. (Surah Ibrâhim: 41)

Begitu juga Nabi Nuh ‘Alaihissalam telah mendoakan kedua ibu bapanya sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan. (Surah Nuh: 28)

Adapun doa yang sering dibacakan untuk mendoakan dan memohon keampunan bagi kedua ibu bapa, antaranya daripada surah Nuh ayat 28 di atas:

Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku.

Manakala dalam surah al-Isrâ’, ayat 24:

Tafsirnya: Dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapaku) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isrâ’: 24)

Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapa adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalnya daripadanya, melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya diangkat darjat seseorang hamba di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari mana (saya memperoleh darjat) ini?” Maka dikatakan padanya: “(Ianya) daripada doa permohonan keampunan yang dilakukan oleh anakmu.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

4. Anak-anak

Sebagaimana anak-anak dianjurkan berdoa untuk kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa adalah dianjurkan supaya mendoakan anak-anak mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berdoa untuk anaknya yang tersebut di dalam surah ash-Shâffât:

Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang salih. (Surah ash-Shâffât: 100)

5. Ulama dan Guru

Mendoakan para ulama dan guru yang mengajarkan ilmu yang bermanfaat adalah termasuk dalam perkara yang dianjurkan untuk dilakukan. Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Adzkâr, antara cara mendoakan ulama ialah dengan menyebut atau menulis Radhiallahu ‘anhu, Rahimahullah atau yang seumpamanya setelah menyebut atau menulis nama ulama tersebut.

Menurut as-Sayyid ‘Alawi as-Saqqaf dalam kitab Majmû‘ah Sab‘ah Kutub Mufîdah, antara adab-adab terhadap guru janganlah seseorang itu meninggalkan doa untuk gurunya, baik ketika dia hadir (ada) mahupun semasa ketiadaannya, sebagaimana seseorang itu tidak meninggalkan doa untuk kedua ibu bapanya dan hendaklah dia berbuat baik kepada gurunya sebagaimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

6. Orang Yang Berbuat Baik Pada Saudaranya

Apabila seseorang telah melakukan kebaikan dan memberi pertolongan, maka sewajarnya kita membalasnya dengan perbuatan setimpal. Jika itu tidak mampu dilakukan dan dilaksanakan, maka hendaklah kita mendoakannya dengan doa yang baik. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah mendoakan seseorang yang berbuat baik kepada Baginda:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki bilik air kecil, lalu aku meletakkan air wudhu untuk Baginda. Baginda bersabda: “Siapakah yang meletakkan ini (air wudhu)?” Maka Baginda pun diberitahu. Lalu Baginda berdoa: “Ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada Usamah bin Zaid bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang dibuat kebaikan kepadanya, maka katakanlah kepada orang yang membuat kebaikan itu: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan”. Sesungguhnya ucapan demikian itu adalah sebaik-baik pujian (ucapan). (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Adapun budaya mengucapkan terima kasih atau yang seumpamanya kepada sesiapa saja yang telah memberi pertolongan atau bantuan merupakan suatu budaya atau amalan yang baik. Malah ianya mempamerkan kemuliaan dan ketinggian akhlak serta budi pekerti si pelakunya. Tetapi alangkah lebih baik sekiranya di samping ucapan terima kasih itu, ianya diiringi pula dengan doa-doa yang baik sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Misalnya ucapan yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri seperti dalam hadits di atas, iaitu ً جَزاك َ هللا ُ خ َْيْا (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan).

Adab Memulakan Doa

Memulakan doa dengan menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu adab berdoa. Bahkan doa akan tergantung-gantung tanpa selawat.

Ulama telah sepakat mengatakan bahawa sunat memulakan doa dengan menyebut dan memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kemudian diikuti dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga apabila menutup atau menamatkan doa tersebut.

Adapun menyebut dan memuji-muji Allah terutama dengan nama-nama al-Asmâ’ al-Husnâ dan memberi selawat serta salam kepada Nabi, dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu. (Surah al-A‘râf: 180)

Telah diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Fadhalah bin ‘Abid Radhiallahu ‘anhu bahawa dia mendengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendengar seorang lelaki berdoa di dalam sembahyangnya, dia tidak mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan tidak membaca selawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ke atas ahli keluarga Baginda, maka Rasulullah bersabda: “Tergesa-gesa orang ini!” Kemudian Baginda memanggilnya, lalu bersabda kepadanya atau kepada yang lain: “Apabila seseorang berdoa, maka mulailah dengan mengagungkan Tuhannya dan memujiNya, setelah itu mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia (boleh) berdoa sesudah itu mengikut kehendaknya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Malah Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa setiap doa yang tidak dimulai dengan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah doa yang terhalang. Sayyidina ‘Umar berkata:

Ertinya: Sesungguhnya doa itu akan berhenti (tergantung) di antara langit dan bumi tidak boleh naik ke atas, sehingga engkau mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabimu Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)

Ganjaran Berselawat ke Atas Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Terdapat banyak hadits yang meriwayatkan tentang besarnya ganjaran pada mendoakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa mengucapkan selawat untukku satu kali, Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan memberinya rahmat sepuluh kali ganda. (Hadits riwayat Muslim)

Manakala hadits daripada Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu yang menyifatkan orang yang enggan atau berdiam diri daripada mengucapkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai bakhil.

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang yang kikir (bakhil) adalah orang yang apabila namaku disebut di sisinya, dia tidak mengucapkan selawat ke atasku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Selawat Ke Atas Nabi-nabi Terdahulu

Ulama bersepakat adalah sunat berselawat ke atas nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, begitu juga ke atas kesemua nabi-nabi yang terdahulu. Menurut ulama asy-Syafi‘e, selawat itu telah dikhususkan oleh ulama salaf bagi para anbiyâ, sebagaimana khususnya kalimat “ َّ عَز َّ وَجَل” bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Adapun selain daripada para nabi, seperti para sahabat contohnya Sayyidina Abu Bakar, maka tiada selawat ke atas mereka itu.

Mendoakan Orang Bersin

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah suka pada orang-orang yang suka bersin dan membenci orang yang menguap. Maka ketika seseorang itu bersin dan memuji Allah, maka adalah menjadi hak kepada bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mendoakan berkat ke atasnya. Adapun menguap, maka sesungguhnya hal itu daripada syaitan, maka tolaklah ia sekuat tenaga, maka ketika seseorang berkata: “Haa”, syaitan mentertawakannya. (Hadits riwayat al-Bukhari) Cara Mendoakan Orang Bersin

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ketika salah seorang di antara kamu bersin maka hendaklah dia berkata: “ َِِّ ا ْلَْمْد ُ ل” (segala puji bagi Allah) dan hendaklah saudaranya atau temannya mendoakannya: “ ُ َر ِْحَُك َ هللا ي” (semoga Allah merahmatimu) dan ketika temannya berkata kepadanya “ ُ َر ِْحَُ ك َ هللا ي”, hendaklah orang yang bersin tadi berkata: “ ْ ُ ِبلَهُم َهْدِيهُم ُ هللا ُوَيُصْلِح ي” (semoga Allah memberi petunjuk dan memperbaikkan sifatmu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Para ulama telah sepakat bahawa lafaz yang dianjurkan untuk diucapkan oleh orang yang bersin ialah ِ ا ْلَْمْ د ُ هلل (segala puji bagi Allah) dan lebih baik َ ا ْلَْمْ د ُ ِهلل ِ رَب ِ الْعَ الَمِي (segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam) dan lebih afdhal ٍ ا ْلَْمْ د ُ ِهلل ِ عَلَ ى كُ ل ِ حَ ال (segala puji bagi Allah ke atas tiap-tiap perkara).

Kelebihan Mengucapkan “Alhamdulillah” Ketika Bersin

Diceritakan di dalam sebuah hadits tentang kelebihan seorang yang mengucapkan “Alhamdulillah” apabila dia bersin:

Maksudnya: Dua orang lelaki bersin di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendoakan berkat untuk salah seorang daripada mereka dan tidak mendoakan yang seorang lagi, maka bertanyalah orang itu: “Wahai Rasulullah! Tuan mendoakan dia dan Tuan tidak mendoakan saya?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya yang ini memuji Allah, dan engkau tidak memuji Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits di atas, sesiapa yang tidak mengucapkan “Alhamdulillah” kerana lupa atau seumpamanya, maka dianjurkan bagi sesiapa yang berada di sisinya atau berdekatan dengannya agar mengingatkannya untuk mengucapkan “Alhamdulillah” kerana mengucapkan tahmîd, iaitu ِ ا ْلَْمْ د ُ هلل ketika bersin itu adalah orang-orang yang ingat dan bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Maka bagi orang-orang yang bersyukur kepada Allah itu pasti mendapat ganjaran yang tidak terhingga.

Ta‘ziah Atau Mendoakan Orang Yang Ditimpa Musibah

Adalah sunat mengucapkan ta‘ziah kepada saudara Islam yang ditimpa musibah sama ada disebabkan kematian, bencana dan sebagainya. Adapun hikmah mengucapkan ta‘ziah itu sebagai tanda bersimpati dan sama-sama merasakan kesedihan yang menimpa dan ditanggung oleh saudaranya. Sementara itu ganjaran bagi ucapan ta‘ziah itu sangat besar seperti mana yang disebut di dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Tidaklah seorang mu’min yang mengucapkan ta‘ziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala memakaikannya pakaian daripada pakaian kehormatan pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Antara lafaz ta‘ziah yang ditujukan kepada ahli keluarga si mati adalah berdasarkan daripada al-Qur’an, iaitu dengan mengucapkan َ إِان َّهلل ِ وَإِان َّ إِلَيْ ه ِ راَجِعُ ون. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: 156)

Adapun orang yang junub dan perempuan yang haidh, maka hukumnya harus membaca sepotong ayat al-Qur’an di atas.

Antara lafaz ta‘ziah yang pernah diucapkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid bahawa mereka sedang berada berhampiran dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila datang orang suruhan salah seorang puteri Baginda, membawa khabar untuk Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa anak daripada puteri Baginda itu sedang menghadapi maut.

Maksudnya: Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada orang suruhan tersebut: “Kembalilah kepadanya dan katakan: “Sesungguhnya hanya Allah yang berhak mengambil dan hanya Allah yang berhak memberi. Segala sesuatu itu di sisiNya adalah dengan batas waktu tertentu. Maka suruhlah dia agar bersabar dan mengharap pahala (daripadaNya).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Disebutkan di dalam kitab al-Adzkâr, lafaz ta‘ziah itu ialah:

Ertinya: Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.

Memohonkan Doa Daripada Orang Yang Bermusafir dan Orang-Orang Salih

Dibolehkan meminta seseorang untuk mendoakan, walaupun orang yang memohon itu lebih tinggi darjatnya dan lebih afdhal doanya daripada orang yang bakal mendoakan. Diriwayatkan oleh ‘Umar Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: ‘Umar berkata: “Aku pernah memohon izin kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk berumrah, maka Baginda mengizinkan aku, lalu Baginda bersabda: “Jangan engkau lupa mendoakan kami, hai saudaraku”. Maka Baginda telah mengucapkan suatu kalimat yang lebih menggembirakan aku daripada dunia ini.” Dalam riwayat yang lain dengan lafaz: “Sertakan (sebutkan) kami, wahai saudaraku, dalam doamu.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Tidak syak lagi bahawa amalan saling doa mendoakan itu adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sewajarnya menjadi ikutan dan contoh teladan kepada umatnya. Ia patut dijadikan budaya dan amalan hidup, lebih-lebih lagi di saat saudara kita itu amat memerlukan pertolongan dan bantuan dalam menghadapi kesusahan hidup, di mana peranan doa itu boleh menjadi senjata untuk menolak kesusahan dan penderitaannya. Dalam waktu yang sama kita mendoakannya untuk memperolehi segala kebaikan dan kebahagiaan.

Di samping peranan doa yang boleh mengeratkan pertalian dan perhubungan yang mesra sesama umat, ia juga mengukuhkan kekuatan iman dan tauhid kerana tiada tempat berdoa dan mengadu hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata. Lebih-lebih lagi mendoakan orang tanpa pengetahuannya itu adalah di antara doa yang tidak akan terhalang. Inilah suatu hakikat yang tidak patut dilupakan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7416