Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Darah Istihâdhah: Fahami Persoalannya

Persoalan mengenai darah yang keluar dari faraj perempuan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan, kerana ia berkaitan dengan kebersihan diri dan juga ibadat. Persoalan darah ini bukan hanya setakat perlu diketahui dan difahami oleh kaum wanita sahaja, bahkan juga oleh para suami. Ini kerana, selain ianya berhubungkait dengan kebersihan diri dan ibadat, ia juga berhubungkait dengan pergaulan suami dan isteri. Pergaulan suami isteri itu akan terbatas apabila kedatangan darah haidh dan nifas. Maka bagi pasangan suami isteri apabila telah mengetahui dan memahami perkara ini dengan sebaiknya, dapatlah menjauhkan diri daripada larangan dan tegahan syara‘.

Persoalan yang akan dihuraikan ini ialah mengenai darah istihâdhah. Fahamilah ia dengan sebaik-baiknya supaya jangan terjebak dengan anggapan bahawa darah istihâdhah itu adalah darah haidh hanya kerana melihat tempoh haidh belum berakhir, padahal tidak demikian.

istihâdhah ialah perkataan Arab yang bermaksud darah penyakit yang keluar atau mengalir dari dalam rahim seorang perempuan.

Imam ar-Ramli, seorang ulama daripada mazhab Syafi‘e mendefinisikan istihâdhah ialah darah yang keluar dari faraj seseorang perempuan selain daripada darah haidh dan nifas, sama ada darah tersebut bersambung dengan darah haidh dan nifas ataupun tidak.

Perempuan yang dalam keadaan keluar darah istihâdhah dikatakan sebagai mustahâdhah. Bagi perempuan seperti ini adalah harus berubat atau mencari ubat, kerana darah yang keluar adalah darah penyakit.

Darah istihâdhah itu boleh jadi keluar atau mengalir sebelum hari-hari haidh atau nifas atau bersambung selepas darah haidh atau nifas atau ia keluar pada hari-hari yang bukan kebiasaan hari haidh atau nifas. Sebagai contoh darah yang keluar daripada kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun. Menurut pengarang kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn jika berlaku demikian, ia adalah darah istihâdhah, kerana menurut kebiasaan kanak-kanak perempuan yang didatangi haidh sekurang-kurangnya berumur sembilan tahun qamariyah.

Persoalan dan kekeliruan mengenai istihâdhah seringkali dikaitkan dengan haidh, kerana kebiasaannya darah istihâdhah keluar sebelum atau selepas darah haidh.

Perbezaan Antara Darah Haidh, Nifas Dan Istihâdhah

Secara thabî‘i ada tiga jenis darah yang keluar dari rahim seorang perempuan. Ketiga-tiga darah tersebut ialah darah haidh, istihâdhah dan nifas. Kesemua jenis darah ini mempunyai pengertian, sifat dan hukumnya yang tersendiri.

Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, al-Muhadzdzab, al-Majmû‘ dan Raudhah ath- Thâlibîn pula disebutkan jenis darah yang keempat iaitu darah fasad. Bagi seorang perempuan yang menghadapi darah fasad, maka dia dihukumkan seperti seorang perempuan yang mustahâdhah, di mana keduanya berada di dalam keadaan berhadas kecil sahaja. Dengan perkataan lain tidak wajib mandi hadas ke atasnya. Perbezaan pendapat ini berpunca daripada definisi ulama terhadap tiga jenis darah tadi. Imam an-Nawawi menyebutkan darah istihâdhah itu khusus berkaitan dengan darah yang bersambung sebelum atau selepas darah haidh dan nifas. Adapun darah yang tidak bersambung dengan haidh dan nifas adalah darah fasad. Manakala pengarang kitab Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn pula menyebutkan darah istihâdhah secara lebih umum, iaitu darah yang keluar pada hari-hari haidh dan nifas dan juga pada hari-hari yang lainnya.

Darah Haidh

Darah haidh adalah darah yang mengalir dari rahim seorang perempuan yang bâligh, bukan kerana sakit atau mengandung dan belum melebihi umur putus haidh.

Antara tanda-tanda bâligh bagi kanak-kanak perempuan ialah dengan didatangi haidh sekurang-kurangnya pada umur sembilan tahun qamariyah (mengikut kiraan bulan Hijrah). Adapun umur putus haidh (menopaus) bagi perempuan tidak pula disepakati. Ulama Syafi‘e mengatakan ia tiada had, akan tetapi pada kebiasaannya adalah pada umur 62 tahun.

Walau bagaimanapun, menurut Medical and Health Encyclopedia, menopaus boleh berlaku kepada perempuan yang berumur di antara 45 dan 50 tahun. Berkemungkinan pula ia akan datang lebih awal atau terlewat daripadanya.

Tempoh Haidh

Menurut pendapat ulama, yang dikatakan darah haidh itu ialah darah yang keluar tidak kurang dari satu hari satu malam (tempoh minimum). Manakala tempoh haidh yang paling lama (tempoh maksimum) tidak melebihi 15 hari dan malamnya. Pada kebiasaannya pula perempuan didatangi haidh selama enam ke tujuh hari. Tempoh di antara dua haidh hendaklah tidak kurang daripada 15 hari. Itulah yang dinamakan hari bersih di antara dua haidh. Tidak ada batas bagi tempoh maksimum bersih di antara dua haidh. Ini kerana ada sebilangan perempuan yang haidhnya tidak teratur; tiga atau empat bulan sekali, sekali sahaja dalam setahun, sekali seumur hidup dan ada juga yang langsung tidak pernah didatangi haidh. Adapun pada kebiasaannya, jika dia haidh selama enam hari dalam sebulan, maka baki 24 hari itu adalah hari bersihnya.

Darah Nifas

Darah nifas pula adalah darah yang mengalir dari rahim seorang perempuan akibat atau selepas daripada melahirkan anak.

Tempoh Nifas

Tempoh keluar darah nifas paling sedikit ialah satu lahzhah atau satu detik dan paling banyak selama 60 hari. Manakala pada kebiasaannya, nifas berlaku dalam tempoh 40 hari. Adapun darah yang keluar sewaktu hamil dan belum melahirkan anak, menurut pendapat yang shahîh di dalam kitab al-Muhadzdzab, ianya adalah darah haidh jika cukup syarat-syarat haidh, kerana di dalam qaul jadîd Imam asy- Syafi‘e perempuan hamil juga didatangi haidh.

Darah Yang Keluar Ketika Akan Dan Semasa Melahirkan Anak

Adapun darah yang keluar semasa sakit hendak melahirkan anak ataupun darah yang keluar bersama-sama dengan anak semasa lahirnya, terdapat dua pendapat. Pendapat pertama mengatakan jika perempuan yang hamil tersebut tidak dalam keadaan haidh sebelum melahirkan anak, maka darah tersebut adalah darah fasad. Manakala pendapat yang kedua pula mengatakan darah tersebut adalah darah istihâdhah.

Jika seorang perempuan itu sedang haidh semasa hamil (sebelum melahirkan anak), lalu berterusan haidhnya sehingga dia melahirkan anak, maka kedua-dua pendapat di atas mengatakan darah yang keluar semasa sakit beranak ataupun darah yang keluar bersama-sama dengan anak itu adalah darah haidh.

Perbezaan Di Antara Darah Haidh Dan Istihâdhah Untuk Mengetahui Kedudukan Ibadat

Darah haidh pada kebiasaannya boleh dibezakan daripada darah istihâdhah khusus dari segi warna, sifat dan baunya. Darah haidh berwarna merah kehitam-hitaman atau merah kuat, sangat panas bila keluar, terasa sakit serta berbau busuk. Perempuan yang sedang dalam haidh juga diiringi kesakitan dan keletihan.

Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi penjelasan mengenai warna darah haidh di dalam hadits Baginda:

Maksudnya: Jika ia darah haidh, maka ia dapat diketahui dengan warna hitam. Jika terdapat warna itu hendaklah kamu tinggalkan sembahyang. Jika warna lain hendaklah kamu mengambil wudhu dan bersembahyang, kerana itu adalah ‘irq (pendarahan). (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada penjelasan di atas boleh diketahui bahawa darah istihâdhah itu ialah:

i. Darah yang keluar atau mengalir dari rahim seorang kanak-kanak perempuan yang berumur kurang dari sembilan tahun qamariyah atau melebihi umur kebiasaan wanita putus haidh (menopaus). Walau bagaimanapun kebanyakan ulama Syafi‘e mengatakan bahawa darah yang keluar sebelum cukup umur sembilan tahun qamariyah adalah darah fasad.

ii. Darah yang keluar kurang dari tempoh minimum haidh iaitu satu hari satu malam. Menurut kitab Mughnî al-Muhtâj dan al-Muhadzdzab ia adalah darah fasad.

iii. Darah yang keluar melebihi had maksimum haidh iaitu 15 hari.

iv. Darah yang keluar pada tempoh bersih di antara dua haidh. Tempoh bersih di antara dua haidh ialah 15 hari ataupun lebih bermula dari tarikh haidh berhenti. Jika didapati darah keluar dalam tempoh ini, maka ia tidak dinamakan darah haidh, tetapi darah fasad sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmû‘.

v. Darah yang berterusan keluar setelah berlalu tempoh maksimum darah nifas iaitu 60 hari.

vi. Hilang atau kurang satu sifat atau lebih daripada sifat-sifat darah haidh. Contohnya darah tersebut berwarna merah cair dan tidak mempunyai bau. Maka yang demikian itu dianggap darah istihâdhah.

Perlu diingat, selepas tamat 15 hari haidh dan setelah 60 hari nifas, sama ada darah telah kering ataupun sebaliknya, wajib ke atas perempuan yang haidh atau nifas itu mandi untuk mengangkat hadas besar, kerana darah yang selebihnya itu adalah darah istihâdhah.

Istihâdhah Dan Tuntutan Ibadat

Jika seorang perempuan itu mengetahui dan yakin bahawa darah yang keluar itu adalah darah haidh atau nifas, maka dengan sendirinya dia dikecualikan daripada melaksanakan beberapa kewajipan ibadat ke atasnya, misalnya dia dibolehkan meninggalkan sembahyang tanpa wajib mengqadha dan hendaklah menjauhi beberapa larangan seperti melakukan thawaf, membaca al-Qur’an, memegang, menyentuh atau membawa Mushaf dan masuk ke dalam masjid.

Bagaimana pula kedudukan ibadat perempuan yang mustahâdhah?

Perlu diketahui dan diingat bahawa perempuan yang mustahâdhah bukanlah dalam keadaan hadas besar. Bagi perempuan yang mustahâdhah tidak gugur kewajiban sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat lainnya dan tidak pula ada larangan seperti yang dikenakan kepada perempuan yang sedang dalam haidh atau nifas. Oleh yang demikian janganlah sesetengah orang menjadikan darah istihâdhah itu sebagai alasan untuk tidak mengerjakan dan menunaikan tuntutan agama. Ini jelas daripada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepertimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Telah datang Fathimah binti Abu Hubaisy kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihâdhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haidh. Oleh kerana itu jika datang darah haidh, tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah dari dirimu, lalu sembahyanglah.” (Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana Menentukan Hari Istihâdhah

Mungkin tidak terjangkau oleh fikiran seorang perempuan yang sihat tubuh badan mengenai masalah istihâdhah, di mana seorang perempuan itu dalam keadaan sentiasa mengalir darah. Keadaan sedemikian boleh berlaku sehingga berbulan-bulan dan ada pula yang menjangkau bertahun-tahun lamanya. Dalam sebuah hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Ummu Habibah telah mengalami istihâdhah selama tujuh tahun. Inilah bukti yang kukuh tentang adanya perkara istihâdhah dalam jangka masa yang cukup lama sehingga boleh menyebabkan dia lupa atau keliru tentang bila bermulanya haidh, berapa lama tempoh haidh, sifat darah haidh dan sebagainya.

Di dalam kitab Hâsyiyata Qalyubi wa ‘Umairah disebutkan bahawa keadaan perempuan yang mustahâdhah dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu:

1. Al-Mubtada’ah al-Mumayyizah

Iaitu perempuan yang baru pertama kali datang haidh lalu mengalami masalah istihâdhah dan dia dapat memastikan dan membezakan di antara sifat darah haidh dan istihâdhah.

Tempoh haidhnya: Pada hari dia melihat adanya sifat darah haidh, maka hari-hari tersebut adalah haidh. Manakala pada hari yang tidak ada sifat darah haidh, maka itu adalah darah istihâdhah.

Dengan syarat:

i. Hendaklah dia melihat darah haidh yang berwarna kehitaman itu keluar pada masa tidak kurang daripada sehari semalam.

ii. Hendaklah dia melihat darah haidh yang berwarna kehitaman itu keluar tidak melebihi 15 hari.

iii. Hendaklah sifat darah istihâdhah itu berturut-turut selama 15 belas hari atau lebih.

Jika kurang salah satu daripada tiga syarat di atas maka bukanlah mustahâdhah itu daripada kumpulan ini.

Contoh darah istihâdhah yang berturut-turut 15 hari itu ialah:

• Lima hari darah haidh kehitaman, kemudian dikuti dengan darah merah istihâdhah selama 25 hari.

• 15 hari darah merah istihâdhah, kemudian diikuti dengan 15 hari darah haidh kehitaman.

• Lima hari darah merah istihâdhah, diselangi lima hari darah kehitaman haidh, kemudian 25 hari darah merah istihâdhah. Menurut pendapat ulama Syafi‘e ada yang mengatakan lima hari darah merah kemudian lima hari darah hitam itu kesemuanya adalah haidh.

Adapun darah istihâdhah yang kurang daripada 15 hari, ialah umpamanya dia melihat darah berwarna hitam satu hari, kemudian darah berwarna merahduahari dan berterusan hingga ke penghujung bulan. Jika demikian keadaannya, maka mustahâdhah tersebut sudah tidak memenuhi syarat di atas dan berpindahlah mustahâdhah ini ke dalam kumpulan kedua di bawah ini.

2. Al-Mubtada’ah ghair al-mumayyizah

Iaitu perempuan yang baru pertama kali datang haidh lalu mengalami masalah istihâdhah dan dia tidak dapat memastikan antara sifat darah haidh dan istihâdhah disebabkan warna darah itu satu sahaja atau banyak sehingga dia keliru dan akhirnya dia tidak dapat membezakan antara keduanya.

Tempoh haidhnya adalah satu hari satu malam dan baki 29 hari itu adalah hari bersihnya.

3. Al-Mu‘tadah ghair al-mumayyizah

Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh dan kemudian suci atau bersih daripada haidh tersebut dan dia tidak dapat memastikan antara sifat darah haidh dan istihâdhah disebabkan warna darah itu satu sahaja.

Jelasnya perempuan ini ialah perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan kemudian dia bersih daripada haidh tersebut dan pada haidhnya yang terbaru dia menghadapi masalah istihâdhah. Maka dia tidak dapat membezakan sifat darah haidh dan istihâdhah tersebut.

Tempoh haidhnya: Dikira mengikut kebiasaannya iaitu dari segi waktu dan tempoh haidhnya sebelum ini. Misalnya pada bulan yang sebelumnya dia didatangi haidh pada 2 haribulan, selama enam hari, maka waktu dan tempoh itulah juga yang akan digunakan sebagai ukuran pada bulan berikutnya untuk mengira jumlah hari haidh. Baki daripada hari haidh itu pula adalah darah istihâdhah. Oleh kerana dia tidak dapat mengenalpasti sifat darah, maka hendaklah dia menggunakan kelaziman dan kebiasaannya.

4. Al-Mu‘tadah al-mumayyizah

Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh dan kemudian suci atau bersih daripada haidh tersebut dan dia dapat membezakan di antara sifat darah haidh dan istihâdhah.

Dengan perkataan lain, perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan kemudian dia bersih daripada haidh tersebut dan pada haidhnya kali ini dia menghadapi masalah istihâdhah. Walau bagaimanapun dia dapat membezakan sifat darah haidh dan istihâdhah.

Tempoh haidhnya ialah dia hendaklah mengikut perkiraan dan pengetahuannya dalam membezakan sifat darah yang keluar itu, sama ada ia darah haidh atau bukan, dan tidak mengira berdasarkan kelaziman atau kebiasaannya. Misalnya seorang perempuan pada bulan sebelumnya didatangi haidh pada 2 haribulan selama enam hari. Tiba-tiba pada bulan ini dia melihat dan yakin darah haidh yang kehitam-hitaman cuma dalam tiga hari sahaja, kemudian diikuti dengan darah yang lemah warnanya selama 27 hari. Maka tiga hari yang pertama itulah haidh dan selebihnya adalah istihâdhah. Oleh kerana dia boleh membuat perbezaan, maka dengan sendirinya dia tidak boleh mengikutkan kelazimannya seperti keadaan al-mu‘tadah ghair al-mumayyizah di atas.

5. Al-Mutahayyirah

Al-Mutahayyirah terbahagi kepada tiga iaitu, perempuan yang lupa tarikh dan tempoh haidhnya, perempuan yang lupa tempoh haidhnya sahaja dan perempuan yang lupa tarikh haidhnya sahaja.

i. Al-Mutahayyirah yang lupa tarikh dan tempoh haidhnya (al-mutahayyirah al-muthlaqah).

Iaitu perempuan yang pernah mengalami haidh pada bulan-bulan sebelumnya dan bersih daripada haidh tersebut. Kemudian pada haidhnya yang terbaru dia menghadapi masalah istihâdhah. Akan tetapi dia lupa tarikh, masa haidhnya dan jangka tempohnya serta tidak dapat membezakan sifat darah haidh dan istihâdhah. Keadaan seperti ini berkemungkinan terjadi disebabkan oleh warna darah yang sama sahaja atau sudah lama tidak didatangi haidh atau kerana umur yang lanjut dan lemah ingatan atau hilang ingatan, seperti orang pelupa atau orang gila.

Dalam hal ini, menurut pendapat masyhûr ulama asy-Syafi‘e, adalah wajib bagi perempuan tersebut (al-mutahayyirah al-muthlaqah) berhati-hati setiap masa, kerana setiap detik yang dilaluinya mempunyai kemungkinan dia mengalami haidh dan ada kemungkinan juga dia bersih.

Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn, diharamkan ke atasnya jimâ‘. Walau bagaimanapun wajib ke atas suaminya memberi nafkah kepada isterinya yang berkeadaan demikian sekalipun dia dilarang jimâ‘ dengan isterinya, kerana dia bukan nusyûz. Begitu juga haram ke atas perempuan tersebut memegang atau membawa Mushaf dan membaca al-Qur’an di luar sembahyang, kerana ada kemungkinan dia di dalam keadaan haidh.

Dalam masa yang sama pula, menurut kitab Hâsyiyata Qalyubi wa ‘Umairah, wajib dia mengerjakan kesemua sembahyang fardhu ataupun yang sunat dan puasa, kerana ada kemungkinan dia suci. Dalam keadaan demikian wajib ke atasnya mandi untuk setiap kali sembahyang fardhu selepas masuk waktunya. Ini berdasarkan riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Sesungguhnya Ummu Habibah telah mengalami istihâdhah selama tujuh tahun, lalu dia bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang perkara itu. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruhnya untuk mandi. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Itu adalah ‘irq (pendarahan), maka hendaklah dia mandi setiap kali sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Adapun keadaan-keadaan yang mewajibkan dia mandi hadas untuk setiap kali sembahyang fardhu setelah masuk waktunya ialah:

• Jika dia tidak mengetahui atau tidak ingat bila darah haidhnya kering dan berhenti.

Berlainan hukumnya jika dia mengetahui dan ingat bahawa darah haidhnya kering dan berhenti pada waktu tertentu, seperti darahnya kering pada waktu Maghrib, maka memadailah dia mandi setiap hari setelah masuk waktu Maghrib dan seterusnya bersembahyang. Manakala untuk sembahyang-sembahyang fardhu yang lain memadailah dia berwudhu.

• Jika keadaan perempuan al-mutahayyirah al-muthlaqah itu darahnya sentiasa mengalir tanpa henti-henti (tidak putus-putus).

Berlainan hukumnya jika keadaan darah perempuan tersebut terhenti-henti atau terputus-putus ( التُطا ذا ), maka semasa waktu bersih yang sementara itu (an-naqa’), menurut Imam Khathib asy-Syarbini tidak diwajibkan ke atasnya mandi hadas setiap kali hendak mengerjakan sembahyang fardhu.

Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah ath- Thâlibîn wajib dia berhati-hati dalam semua keadaan, sama ada dia melihat darah atau sebaliknya. Akan tetapi dia tidak diwajibkan mandi pada waktu an-naqa’ (bersih yang sementara) dan memadailah dia mandi pada awal an-naqa’ itu berlaku.

Menurut Imam an-Nawawi lagi, wajib dia berhati-hati ketika melihat darah dan ketika darah kering dan berhenti (ََا ُطا ). Pada waktu an-naqa’ tersebut, perempuan itu dihukumkan dalam keadaan suci (ِ ماَه ). Maka tidak berlaku larangan-larangan seperti mana yang telah ditentukan kepada perempuan-perempuan yang haidh. Bererti dia boleh melakukan jimâ‘, membaca al-Qur’an di luar sembahyang dan sebagainya.

ii. Al-Mutahayyirah yang ingat tarikh haidhnya dan lupa tempohnya.

Misalnya dia mengatakan bahawa setiap 1 haribulan dia didatangi haidh tapi lupa berapa lama tempohnya. Maka hari haidhnya adalah 1 haribulan dengan yakin. Hari bersihnya pula adalah 16 haribulan sehingga 30 haribulan dengan yakin. Manakala 2 haribulan sehingga 15 haribulan adalah hari dia ragu adakah dia haidh atau bersih.

iii. Al-Mutahayyirah yang ingat tempoh haidhnya tapi lupa bila tarikhnya.

Misalnya dia mengatakan tempoh haidhnya ialah lima hari dalam 10 hari yang pertama setiap bulan. Dia lupa bila tarikhnya tetapi dia yakin bahawa dia bersih pada hari yang pertama. Maka pada 1 haribulan dia yakin bersih dan begitu juga mulai 11 haribulan sehingga 30 haribulan. Sementara 2 haribulan sehingga 10 haribulan adalah hari dia ragu di antara haidh dan bersih.

Bagi al-mutahayyirah kumpulan (ii) dan (iii), pada hari dia yakin itu adalah hari bersihnya, maka hendaklah dia menunaikan apa jua tuntutan ibadat ke atasnya. Pada hari dia yakin dia haidh, maka hendaklah dia menahan dirinya seperti mana perempuan yang sedang haidh. Adapun pada hari dia ragu di antara haidh dan bersih, maka keadaannya pada ketika itu adalah sama seperti perempuan yang suci dalam perkara mengerjakan semua ibadat yang dituntut, kecuali dalam perkara jimâ‘. Dia ditegah melakukan jimâ‘ dengan suaminya. Dalam hari dia ragu antara haidh dan bersih itu, jika dia mengetahui atau mengagak bahawa pada hari tersebut dia masih haidh, maka wajib dia berwudhu untuk setiap kali sembahyang fardhu. Manakala pada hari dia mengetahui atau mengagak bahawa pada hari itu dia sudah bersih daripada haidhnya, maka wajib dia mandi setiap hari untuk setiap kali sembahyang fardhu.

Mudah-mudahan dengan penjelasan di atas, dapatlah diketahui mengenai perbezaan di antara tiga jenis darah yang dihadapi oleh wanita, iaitu darah haidh, darah nifas dan lebih-lebih lagi darah istihâdhah. Fahamilah dengan teliti supaya tidak berlaku keraguan tentang ibadat yang wajib dikerjakan, sekaligus dapat dijauhi pula perkara-perkara yang dilarang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7421