Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Adakah Setiap Yang Keluar Dari Qubul Atau Dubur Membatalkan Wudhu?

الجواب

Mempelajari, mengetahui dan mendalami ilmu agama lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan ibadat adalah dituntut dan digalakkan agar ibadat yang dilaksanakan itu sah dan sempurna. Bukan setakat mengetahui rukun dan syarat sah sesuatu ibadat sahaja, akan tetapi juga perkara-perkara yang membatalkannya. Biarpun kadangkala perkara itu nampak kecil dan mudah, namun jika diabaikan boleh menyebabkan sesuatu amalan atau ibadat itu menjadi tidak sah atau kurang sempurna.

Sebagai contoh dalam perkara wudhu, selain mengetahui fardhu dan sunat wudhu, perlu juga diketahui apakah perkara yang boleh membatalkan wudhu agar perkara tersebut dihindari demi untuk menjaga kesahan wudhu. Ini kerana apabila wudhu seseorang itu batal, banyak perkara yang dilarang dia melakukannya seperti mendirikan sembahyang, memegang Mushhaf dan lain-lain. Manakala ibadat atau amalan yang sudah dikerjakannya berkemungkinan tidak sah, umpamanya seseorang yang bersembahyang sedangkan wudhunya sudah batal, maka sembahyang yang dikerjakannya dengan wudhu tersebut menjadi tidak sah, malahan wajib dia mengulang semula atau mengqadha’ sembahyangnya itu.

Perkara Yang Membatalkan Wudhu

Menurut ulama perkara-perkara yang membatalkan wudhu itu ialah:

1. Keluar sesuatu dari dua kemaluan (qubul dan dubur).

2. Hilang akal dengan sebab seperti tidur, pitam, mabuk dan sebagainya kecuali tidur bagi orang yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.

3. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan.

4. Menyentuh kulit lelaki atau perempuan dewasa yang bukan mahram tanpa berlapik.

Dalam ruangan kali ini, fokus perbincangan adalah berkaitan dengan salah satu daripada perkara yang membatalkan wudhu, iaitu keluar sesuatu dari dua kemaluan (qubul dan dubur).

Keluar Sesuatu Dari Qubul Atau Dubur

Apabila seseorang yang dalam keadaan berwudhu mengetahui dan yakin sesuatu keluar dari qubulnya (kemaluan di hadapan) atau duburnya (kemaluan di belakang), maka perkara ini menyebabkan wudhunya menjadi batal. Maksud qubul itu merangkumi lubang tempat keluar air kencing dan haidh bagi perempuan.

Cara sesuatu itu ‘keluar’ dari qubul atau dubur pula merangkumi perkara-perkara berikut:

1. Secara dipaksa ataupun tanpa paksaan seperti sesuatu itu keluar dengan sendirinya atau kerana proses semula jadi.

2. Secara disengajakan ataupun tanpa disengajakan seperti terlupa.

Yang dimaksudkan dengan ‘sesuatu’ yang keluar dari qubul atau dubur itu sama ada:

• Dalam bentuk ‘ain (zat benda) seperti tahi, air kencing ataupun angin seperti kentut.

• Kering ataupun basah seperti cecair dari qubul. Dikecualikan dalam perkara ini, air mani seseorang semata-mata (yakni tidak bercampur dengan mani orang lain) yang keluar daripadanya. Umpamanya seseorang yang tidur dalam keadaan duduk dan tetap punggungnya lalu dia bermimpi sehingga keluar air mani, maka perkara ini tidak membatalkan wudhu.

• Banyak ataupun sedikit.

• Suci seperti batu dan ulat ataupun najis.

• Merupakan sesuatu yang biasa dialami atau adat kebiasaan seperti tahi, air kencing, mazi, wadi, ataupun jarang dialami atau ganjil seperti nanah, anak batu, kayu, ulat, cacing dan termasuk darah, seumpama darah yang mengalir keluar dari bawasir yang berada di bahagian dalam dubur dan selain darah bawasir.

• Suatu benda itu keluar semuanya atau sebahagiannya, umpamanya ulat atau cacing yang terkeluar semuanya atau hanya kepalanya.

Beberapa Persoalan Mengenai Perkara Yang Membatalkan Wudhu Dan Sebaliknya

Berikut adalah beberapa perkara yang dibincangkan oleh para ulama mengenai isu-isu yang membatalkan wudhu ataupun tidak, yang berhubung kait dengan perkara ‘keluar sesuatu dari qubul atau dubur’, contohnya:

1. Berasa syak sama ada terkentut ataupun tidak.

Seseorang yang berwudhu yang menyangka, merasa syak atau ragu-ragu dan tidak yakin adakah dia terkentut ataupun tidak, masih tetap dikira dalam keadaan berwudhu. Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa pada sangkaannya dia keluar angin (terkentut) ketika dia bersembahyang dan dia tidak pasti akan perkara itu. Lalu Baginda pun bersabda:

Maksudnya: Janganlah seseorang itu keluar (daripada sembahyang) sehinggalah dia (benar-benar) mendengar bunyi (kentut) atau mendapati (mencium) baunya. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas bermaksud bahawa seseorang yang tidak pasti ketika mendirikan sembahyang adakah dia terkentut atau tidak, janganlah dia keluar daripada sembahyangnya. Ia juga memberi maksud bahawa hanya kerana perasaan syak atau tidak pasti adakah wudhunya terbatal atau tidak, tidak mewajibkan seorang itu mengambil wudhu semula.

Menurut ulama, seseorang yang merasa yakin dia masih dalam keadaan suci atau berwudhu apabila dia merasa syak adakah wudhunya terbatal atau tidak, maka perasaan syaknya itu tidak menjejaskan wudhunya. Oleh itu, dia boleh mendirikan sembahyang dengan wudhunya itu. Begitu juga sebaliknya, jika seseorang merasa yakin bahawa wudhunya sudah terbatal kemudian dia syak apakah dia masih mempunyai wudhu, maka dihukumkan bahawa wudhunya telahpun terbatal.

Sekiranya timbul syak pada diri seseorang, maka hendaklah diteruskan dengan apa yang diyakininya. Ini bersesuaian dengan salah satu kaedah fiqhiyyah yang menyebut bahawa:

Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.

Ini bermaksud keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Oleh itu, sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.

2. Darah yang keluar dari bawasir.

Tidak batal wudhu jika darah keluar dari bawasir yang terkeluar dari dubur pada ketika atau sebelum seseorang itu berwudhu.

Berbeza hukumnya jika darah itu keluar dari bawasir yang berada di dalam dubur, maka batal wudhunya.

Begitu juga batal wudhu seseorang jika bawasir yang berada di dalam dubur pada ketika dia berwudhu, kemudian setelah dia berwudhu bawasir itu terkeluar dari duburnya atau tambah terkeluar, walaupun hanya separuh manakala separuh lagi masih di dalam dubur.

3. Memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau dubur.

Tidak batal wudhu jika seseorang itu hanya memasukkan sesuatu benda ke dalam kemaluan qubul atau dubur seperti peralatan menduga, benang, jari dan seumpamanya, dan tidak mengeluarkannya semula dari kemaluan sama ada benda itu dimasukkan kesemua sekali atau hanya sebahagiannya sahaja.

Sebagai contoh seseorang yang memasukkan sebahagian daripada benang ke dalam kemaluannya, manakala sebahagian lagi masih tergantung di luar kemaluan.

Dalam keadaan demikian, wudhunya tidak batal, selama dia tidak menarik benang itu keluar. Dia juga boleh membaca al-Qur’an umpamanya, akan tetapi tidak sah sembahyangnya dalam keadaan demikian. Ini kerana dalam sembahyang, dia (orang yang berwudhu itu) dihukumkan sebagai menanggung sesuatu yang bersambung dengan najis. Maka tidak sah sembahyangnya kerana antara syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis sama ada pada diri, pakaian atau tempat.

Berbeza hukumnya jika seseorang memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau duburnya, kemudian mengeluarkannya semula, maka perbuatannya mengeluarkan semula benda itu membatalkan wudhu. Tidak kira sama ada benda yang dikeluarkan itu bercampur najis ataupun tidak, dan sama ada dikeluarkan sebahagian sahaja atau kesemua sekali. Ini kerana perbuatannya mengeluarkan semula benda tersebut daripada kemaluan bertepatan dengan maksud keluar sesuatu daripada kemaluan.

4. Air mani yang terkeluar, memasukkan semula dan yang bercampur-campur.

Pada dasarnya, keluar air mani semata-mata (tidak bercampur dengan air mani orang lain) dari qubul seseorang adalah tidak membatalkan wudhu seperti yang telah dijelaskan terdahulu. Akan tetapi wudhu menjadi batal jika keluar daripada seseorang air mani yang lain selain daripada air maninya sendiri, atau keluar air maninya yang bercampur dengan air mani orang lain, atau keluar air maninya yang terlebih dahulu dimasukkannya ke dalam qubulnya. Dalam tiga keadaan yang disebutkan, wudhu seseorang itu menjadi batal tetapi tidak mewajibkan mandi.

Sebagai kesimpulan, antara perkara yang membatalkan wudhu itu ialah keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan (qubul atau dubur) sama ada sesuatu itu keluar secara dipaksa ataupun dengan sendirinya, dengan senghaja atau terlupa, berbentuk zat (‘ain) atau angin, kering ataupun basah, banyak ataupun sedikit, suci ataupun najis, benda yang sudah biasa keluar daripada dua kemaluan ataupun sesuatu yang jarang ataupun ganjil dan keluar kesemuanya ataupun tidak.

Semata-mata memasukkan sesuatu ke dalam kemaluan, tidak membatalkan wudhu selama dia tidak mengeluarkannya semula. Akan tetapi mengeluarkan semula benda yang dimasukkan ke dalam kemaluan itu membatalkan wudhu kerana bertepatan dengan erti keluar sesuatu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8711

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)