Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Al-Qur’An: Anjuran Semasa Khatam

الجواب

Al-Qur’an merupakan antara mukjizat terbesar Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang memberi petunjuk dan panduan kepada sekalian umat. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mendekatkan diri dengan al-Qur’an dan seterusnya mengambil pengajaran dan i‘tibâr yang terdapat dalam al-Qur’an demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Adapun antara cara kita mendekatkan diri dengan al-Qur’an ialah melalui pembacaan. Membaca al-Qur’an merupakan suatu ibadat yang sangat mulia lagi dituntut dalam Islam serta merupakan sebaik-baik zikir.

Sesungguhnya membaca al-Qur’an itu memberi banyak keuntungan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: “Barang siapa sibuk membaca al- Qur’an untuk selalu mengingatiKu, maka Aku beri dia lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta-minta. Dan keutamaan kalâm Allah ke atas kalâm-kalâm yang lainnya adalah seperti keutamaan Allah pada makhlukNya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Alhamdulillâh di negara kita terdapat banyak kemudahan untuk belajar membaca al- Qur’an seperti pembelajaran di masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah mahupun di tempat yang khusus belajar al-Qur’an.

Ada di kalangan ibu bapa yang mengamanahkan guru agama untuk mengajar anak-anak mereka al-Qur’an, sama ada di rumah guru tersebut atau di rumah mereka sendiri. Ada juga di kalangan ibu bapa yang mengajar anak-anak mereka sendiri membaca al-Qur’an. Apa yang diharapkan oleh ibu bapa ialah supaya anak-anak mereka bukan hanya setakat pandai membaca al-Qur’an tetapi juga berterusan membacanya sehingga khatam.

Khatam Al-Qur’an

Istilah khatam al-Qur’an diambil daripada perkataan bahasa Arab yang membawa erti tamat membaca atau mempelajari bacaan 30 juz al-Qur’an.

Pada kebiasaannya, sebaik sahaja menghabiskan pembelajaran al-Qur’an, satu acara kesyukuran akan diadakan atau lebih dikenali sebagai majlis khatam al-Qur’an.

Mengadakan majlis khatam al-Qur’an itu tidak bererti pembacaan al-Qur’an berhenti setakat itu sahaja, akan tetapi ia hendaklah berterusan menjadi satu amalan walaupun sehingga berkali-kali khatam.

Mari kita lihat bagaimana para sahabat dan salaf ash-shâlih Radhiallâhu ‘anhum mengkhatam (menghabiskan 30 juz) al-Qur’an mengikut kadar kemampuan mereka. Ada di antara mereka yang khatam dua bulan atau sebulan sekali. Ada juga pada setiap sepuluh, lapan, enam, lima atau empat hari sekali khatam. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ kebanyakan daripada salaf ash-shâlih Radhiallâhu ‘anhum mengkhatamkan al-Qur’an setiap tujuh, tiga atau sehari semalam sekali khatam. Inilah yang sepatutnya kita contohi walaupun tidak sepenuhnya dapat kita ikuti, namun paling kurang kita ada membaca al-Qur’an pada setiap hari.

Waktu Afdhal Memulakan Dan Mengkhatam Al-Qur’an

Waktu memulakan bacaan al-Qur’an dan mengkhatamnya itu tertakluk kepada pembaca memilihnya. Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu, apabila beliau khatam seminggu sekali beliau memulakan pembacaan al-Qur’an pada malam Jumaat dan khatam pada malam Khamis.

Menurut al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ, afdhal memulakan waktu mengkhatam al-Qur’an itu sekali pada waktu malam dan sekali lagi pada waktu siang dengan menjadikan khatam pada waktu siang itu pada hari Isnin di dalam sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh) atau selepasnya. Manakala khatam pada waktu malam pula, dilakukan pada malam Jumaat di dalam sembahyang sunat dua rakaat Maghrib atau selepasnya.

Seseorang yang hendak mengkhatam al-Qur’an secara berseorang diri, disunatkan baginya mengkhatam al-Qur’an dalam sembahyang iaitu pada sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh) atau sembahyang sunat dua rakaat Maghrib. Namun mengkhatam al-Qur’an dalam sembahyang sunat dua rakaat Subuh adalah lebih afdhal.

Adapun orang yang hendak mengkhatam al-Qur’an di luar sembahyang, atau mengkhatamnya secara berkumpulan adalah dianjurkan untuk mengkhatamnya pada awal siang ataupun pada awal malam, akan tetapi menurut sebahagian ulama bahawa mengkhatam al-Qur’an pada siang hari adalah lebih afdhal.

Perkara-Perkara Yang Dianjurkan Semasa Khatam Al-Qur’an

Terdapat beberapa perkara yang dianjurkan semasa khatam al-Qur’an, antaranya:

1. Berpuasa pada hari khatam al-Qur’an.

Orang yang hendak mengkhatam al-Qur’an sunat dia berpuasa di hari khatam tersebut kecuali jika bertepatan dengan hari yang ditegah berpuasa seperti hari-hari Tasyriq, Hari Raya Fitrah, Hari Raya Adha dan hari-hari syak. Menurut riwayat daripada Ibnu Abu Daud dengan isnâd shahîh, bahawasanya para tâbi‘în Rahimahumullâh seperti Thalhah bin Musharrif, Habib bin Abu Thabit dan Musayyib bin Rafi‘ berpuasa pada hari mereka mengkhatam al-Qur’an.

2. Menjemput dan menghimpunkan ahli terdekat.

Apabila hendak mengkhatam al-Qur’an, dianjurkan supaya menjemput dan menghimpunkan sanak saudara dan rakan-rakan pada majlis tersebut sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah riwayat daripada Tsabit bin Aslam Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Apabila Anas bin Malik mengkhatam al-Qur’an, dia menghimpunkan anaknya dan ahli keluarganya lalu dia pun berdo‘a untuk mereka. (Hadits riwayat ad-Darimi)

Anjuran untuk menghimpunkan sanak saudara dan rakan-rakan dalam majlis khatam al-Qur’an adalah bertujuan untuk sama-sama mendapatkan keberkatan dan rahmat hasil daripada do‘a yang dipanjatkan dalam majlis tersebut kerana do‘a semasa khatam al-Qur’an adalah mustajâb. Ini berdasarkan riwayat daripada Mujahid Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Telah datang kepadaku (utusan), dia berkata: “Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatam al-Qur’an. Sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa do‘a diperkenankan ketika khatam al-Qur’an.” Dia (Mujahid) berkata: “Maka mereka pun berdo‘a (pada majlis khatam) dengan berbagai do‘a.” (Hadits riwayat ad-Darimiy)

3. Menghadiri majlis khatam al-Qur’an.

Menghadiri majlis khatam al-Qur’an adalah sangat digalakkan. Menurut riwayat daripada Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh perempuan yang sedang haidh untuk keluar rumah pada Hari Raya dengan tujuan menghadiri majlis yang berkebajikan seperti majlis ilmu dan majlis-majlis yang terkandung di dalamnya do‘a seperti majlis khatam al-Qur’an.

Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ sendiri pernah menyuruh orang untuk mengawasi dan membimbing orang lain yang membaca al-Qur’an. Apabila sahaja hendak mengkhatam bacaannya, Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ segera dimaklumkan lalu beliau pun menghadiri majlis tersebut.

4. Bertakbîr di antara surah-surah akhir.

Dianjurkan untuk membaca takbîr ( َُ اَهلل ُ أَكْب) selepas setiap penghujung surah, bermula daripada surah adh-Dhuhâ hinggalah surah an-Nâs. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada ‘Ikrimah bin Sulaiman, beliau berkata:

Maksudnya: Aku telah membaca (al-Qur’an) di hadapan Isma‘il bin ‘Abdullah bin Qusthanthin. Apabila sampai surah adh-Dhuhâ, beliau berkata kepadaku: “Bacalah takbîr selepas setiap penghujung surah sehingga engkau selesai (daripada membaca al-Qur’an). Sesungguhnya aku (Isma‘il) telah membacanya di hadapan ‘Abdullah bin Katsir, dan apabila sampai surah adh-Dhuhâ, beliau (‘Abdullah) berkata kepadaku: “Bacalah takbîr selepas setiap penghujung surah sehingga engkau selesai (daripada membaca al- Qur’an). Dan mengkhabarkan ‘Abdullah bin Katsir kepadaku (Isma‘il) bahawasanya beliau (‘Abdullah) pernah membaca (al-Qur’an) di hadapan Mujahid lalu beliau (Mujahid) juga menyuruhnya (‘Abdullah) berbuat sedemikian. Dan mengkhabarkan Mujahid kepadanya (‘Abdullah) bahawa Ibnu ‘Abbas juga menyuruhnya (Mujahid) berbuat demikian. Dan mengkhabarkan Ibnu ‘Abbas kepadanya (Mujahid) bahawa Ubai bin Ka‘ab juga menyuruhnya (Ibnu ‘Abbas) berbuat demikian. Dan mengkhabarkan Ubai bin Ka‘ab kepadanya (Ibnu ‘Abbas) bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruhnya (Ubai) berbuat demikian. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

5. Berdo‘a sejurus selesai khatam.

Berdo‘a sejurus sahaja selesai mengkhatam bacaan 30 juz daripada ayat-ayat al-Qur’an adalah sangat dianjurkan.

Menurut riwayat ad-Darimi, daripada Humaid al-A‘raj Rahimahullâhu Ta‘âlâ beliau berkata:

Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Qur’an, kemudian dia berdo‘a sesudahnya, nescaya do‘anya akan diaminkan oleh empat ribu malaikat. (Hadits riwayat ad-Darimi)

Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh membaca do‘a setelah khatam al- Qur’an dengan menzahirkan rasa meminta dan mengharapkannya daripada Allah.

Sebaik-baiknya do‘a itu mengandungi perkara-perkara penting dengan menggunakan kalimat-kalimat yang luas maknanya, mengandungi hal-hal yang berkaitan dengan akhirat dan kepentingan umat Islam. Begitu juga memohon do‘a untuk kemashlahatan pemerintah dan ketua-ketua agar diberi taufîq untuk berbuat taat, terpelihara daripada menyalahi perintah Allah, membantu mereka di dalam perkara-perkara berkebajikan dan taqwa, menegakkan kebenaran dan memelihara mereka daripada musuh-musuh agama dan penentang-penentang lain.

Al-Hakim Abu ‘Abdullah an-Naisaburi telah meriwayatkan dengan sanadnya bahawa hampir semua do‘a yang dibaca Abdullah bin al-Mubarak Radhiallâhu ‘anhu semasa khatam al-Qur’an mengandungi urusan umat Islam dan para mu’minin.

6. Memulakan semula bacaan al-Qur’an setelah mengkhatamnya.

Dianjurkan untuk terus memulakan bacaan yang baharu apabila sahaja selesai mengkhatam al-Qur’an. Cara begini adalah disukai oleh para salaf dan khalaf.

Oleh yang demikian, jelas kepada kita bahawa khatam al-Qur’an juga memiliki aturan dan keistimewaan yang boleh menambahkan lagi perolehan pahala, selain merupakan waktu yang sangat mudah do‘a diperkenankan. Oleh itu, umat Islam perlu mengetahui dan memahami maksud sebenar khatam al-Qur’an dengan melakukan perkara-perkara yang dianjurkan ketika khatam al-Qur’an, bersungguh-sungguh dalam berdo‘a, tidak mempermudah-mudahkannya dan janganlah dijadikan majlis khatam al-Qur’an itu sebagai ceremonial semata-mata, bahkan ia merupakan ibadat dan dituntut dalam Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8721

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)