Beberapa Kesilapan Yang Dilakukan Semasa Berpuasa Ramadhan
الجواب
Ramadhan merupakan bulan yang padanya terdapat limpahan keberkatan dan kerahmatan, bulan yang dianggap bonus untuk mengaut ganjaran pahala lebih daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Alangkah ruginya jika tidak direbut peluang ini untuk menebus segala dosa yang boleh membelenggu diri daripada redhaNya. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang menunaikan puasa kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ibadat utama yang diwajibkan di bulan ini ialah puasa pada setiap siang harinya. Meninggalkan tanpa uzur kewajipan ini bukan sahaja berdosa, bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara sekalipun sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam menunaikan ibadat ini, kita umat Islam kadang-kadang ada melakukan kesilapan. Adakalanya, kesilapan-kesilapan tersebut menyebabkan puasa menjadi batal dan ada juga kesilapan yang tidak menyebabkan puasa menjadi batal, akan tetapi mengurangkan pahala atau lebih dikhuatiri akan mendatangkan dosa.
Kesilapan-kesilapan ini pada kebiasaannya berlaku disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan dalam perkara yang berkaitan dengan puasa, atau disebabkan oleh kurang prihatin terhadap perkara yang boleh mejejaskan pahala puasa dan hanya fokus kepada perkara yang membatalkan puasa sahaja.
Untuk memelihara pahala puasa, umat Islam perlu mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam kesilapan-kesilapan. Kita tidak mahu puasa yang ditunaikan hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga sahaja. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Hadits ini memberi peringatan kepada kita untuk lebih berhati-hati supaya tidak menjadi rugi jika berlaku sebarang kesilapan.
Selain perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berpuasa, antara kesilapan lain yang sering dilakukan sama ada disedari mahupun tidak ialah:
1. Berpuasa tetapi tidak mendirikan sembahyang fardhu.
Kesilapan ini sungguh besar. Walaupun sembahyang fardhu lima waktu tidak termasuk dalam syarat sah puasa dan meninggalkannya membatalkan puasa, namun ia adalah salah satu rukun Islam yang sangat dituntut. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kepala (inti) segala perkara di dalam Islam dan tiangnya adalah sembahyang. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sembahyang fardhu lima waktu adalah ibarat tiang sebuah rumah. Bagaimana dinding rumah boleh didirikan selagi tiangnya belum ditegakkan? Jika satu tiang runtuh, yang lain-lain akan pincang dan rumah boleh roboh. Beginilah gambaran apabila seseorang hanya berpuasa tetapi tidak sembahyang.
Orang Islam yang berpuasa menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan syahwat. Sungguhpun pada zahirnya puasa tidak batal dengan meninggalkan sembahyang, namun adakah puasanya itu akan diberi ganjaran pahala dan diterima di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ?
Dikhuatiri puasanya itu tidak diterima dan tidak mendapat ganjaran pahala.
Ulama sepakat mengatakan bahawa meninggalkan sembahyang dengan sengaja disebabkan malas dan mempermudah-mudahkannya dihukumkan fâsiq, menderhaka dan berdosa besar serta boleh mengheret ke gaung neraka. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan kedudukan orang yang meninggalkan sembahyang, antaranya:
Maksudnya: Garis yang memisahkan di antara seseorang dengan syirik atau kekafiran adalah meninggalkan sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
Di dalam sebuah hadits, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang tidak mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar maka amalannya menjadi kurang dan sia-sia. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits ini, ada ulama mengatakan bahawa apabila seseorang itu tidak mendirikan sembahyang, segala kebaikan di sepanjang hari, termasuk ibadat puasa yang dilakukan pada hari tersebut tidak memberi sebarang manfaat, iaitu sia-sia belaka.
Oleh itu, jelas kepada kita bahawa ibadat sembahyang bukanlah remeh bahkan asasi.
Kita sebagai umat Islam juga dapat mengambil pertimbangan daripada apa yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melalui Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan sebaliknya melakukannya, maka Allah tidak menghendaki (memerlukan lagi) untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini membawa maksud bahawa tiada faedah atau tidak ada gunanya puasa orang yang berdusta atau berkata nista sedang dia berpuasa. Jika disebabkan berdusta pun puasa ditolak, apatah lagi meninggalkan sembahyang. 2. Tidak mengetahui hukum-hakam puasa dan tidak bertanya.
Terdapat sebilangan orang Islam yang tidak mengetahui hukum-hakam puasa dan menunaikannya hanya kerana mengikut kebiasaan tanpa menghiraukan dan mengetahui perkara-perkara penting berkaitan dengan puasa seperti syarat-syarat wajib puasa, syarat-syarat sah puasa, rukun puasa, waktu-waktu berpuasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkara-perkara sunat dalam berpuasa, adab ketika berpuasa dan sebagainya.
Ini adalah tidak wajar kerana ia boleh saja membawa kepada ketidaksempurnaan puasanya, bahkan mungkin membatalkannya.
Setiap orang amat dituntut untuk mempunyai ilmu dalam melaksanakan satu-satu ibadat.
Terdapat sebuah hadits menyebutkan akan perlunya mempelajari dan memahami perkara-perkara berkaitan dengan puasa agar puasa itu tidak sia-sia dan dapat menebus segala dosa yang ada sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengetahui batas-batas (berpuasa Ramadhan) dan menjaga apa yang semestinya dijaga (berusaha bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasa), maka hal itu akan menjadi penebus dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelumnya. (Hadits riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)
3. Tidak menjaga kehormatan bulan Ramadhan.
Bulan Ramadhan amat tinggi darjatnya di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia merupakan sebaik-baik dan penghulu segala bulan.
Oleh itu, janganlah ada orang melakukan perbuatan yang boleh mencemar kehormatan bulan mulia ini seperti berikut:
i. Tidak menjaga diri daripada perkara-perkara syahwat yang tidak membatalkan puasa. Perkara-perkara syahwat adalah perkara-perkara yang selalunya menjadi keinginan seseorang sama ada perkara-perkara yang seronok dilihat, sedap didengar, disentuh mahupun dihidu. Umpamanya mendengar muzik atau lagu-lagu yang mengasyikkan dan melalaikan, menghidu (meni‘mati) benda-benda harum seperti minyak wangi dan memakainya. Perkara-perkara ini termasuk di dalam perbuatan bersenang-senang, sedang perbuatan bersenang-senang dan bermewah-mewah merupakan perbuatan makruh dilakukan ketika berpuasa dan ia tidak menepati hikmah di sebalik puasa. Kesilapan seperti ini sering tidak disedari memandangkan ia tidak membatalkan puasa.
Selain itu, bercakap bohong, mengumpat, berbantah-bantahan, mengkeji atau mencela, memfitnah atau mengadu domba, berkata sia-sia dan berangan-angan kosong ketika menjalani ibadat puasa juga dituntut untuk ditinggalkan sebagaimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenar-benarnya ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata keji. (Hadits riwayat al-Hakim)
Termasuk perbuatan sia-sia itu juga ialah menghabiskan masa dengan menonton televisyen, video dan filem yang tidak mendatangkan faedah.
ii. Tidak menjaga batas-batas agama seperti berpakaian tidak senonoh, tidak menjaga aurat dan berbuat maksiat atau melakukan perkara-perkara yang dituntut oleh syara‘ untuk ditinggalkan seperti berkelahi atau bertengkar, bersuka ria atau berhibur dengan berlebih-lebihan, berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang boleh menimbulkan fitnah atau syak wasangka.
Walaupun maksiat itu dilarang pada setiap masa tanpa mengira bulan, namun pada bulan Ramadhan dosanya lebih besar kerana dianggap pencabulan terhadap kehormatan dan kemuliaannya. Menurut riwayat yang diceritakan daripada Sufyan daripada ‘Atha bin Abu Marwan daripada bapanya:
Maksudnya: ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu telah didatangi oleh Najasyi si penyair, yang telah meminum arak pada (siang hari) bulan Ramadhan, lalu dia berbuka. Maka ‘Ali menghukumnya dengan lapan puluh sebatan yang dilaksanakan pada keesokan harinya dan menghukumnya lagi dengan dua puluh sebatan dengan berkata: “Sesungguhnya aku menghukum kamu dengan dua puluh sebatan ini adalah kerana keberanianmu (kederhakaanmu) terhadap Allah dan kerana kamu tidak berpuasa di (siang hari) bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dilarang, orang yang berpuasa akan mendapat dua ganjaran pahala iaitu mendapat pahala wajib kerana menahan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang dan mendapat pahala sunat kerana menahan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang ketika sedang berpuasa.
Sebaliknya orang yang tidak meninggalkan perbuatan sedemikian akan mendapat dosa kerana melakukan perbuatan yang dilarang. Di samping itu juga akan menghilangkan pahala puasanya kerana dia melanggar suruhan yang disunatkan iaitu suruhan menjaga kesucian puasa dan bulan Ramadhan.
4. Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya
Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya adalah antara kesilapan yang sering berlaku bagi orang yang hendak menunaikan ibadat puasa. Mereka sering memberikan alasan tidak ada selera untuk makan di waktu awal pagi. Selain itu segelintirnya pula memberi alasan sukar untuk bangun daripada tidur. Hal sedemikian adalah sangat merugikan walaupun pada hakikatnya meninggalkan sahur itu tidak menjejaskan kesahan ibadat puasa. Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang kelebihan bersahur.
Antaranya menurut riwayat ‘Abdullah bin al-Harits, seorang sahabat telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda sedang bersahur lalu bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Apakah berkat yang ada pada sahur itu? Amalan bersahur hukumnya sunat dan merupakan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, selain mengikut sunnah dan menambah pahala, sahur juga membezakan di antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab, menghalang perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari, menggalakkan perbuatan bersedekah dan bersahur bersama-sama, mengingatkan dan memberi peluang bagi orang yang lupa berniat puasa sebelum tidur dan yang paling utama ialah untuk memberi kekuatan dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa dalam melakukan ibadat ketika menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari. Ini adalah bersesuaian dengan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperolehi kekuatan berpuasa di siang hari. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Di dalam kitab Fath al-Bâri, terdapat pendapat yang mengatakan, berkat di waktu sahur itu mengandungi bangun daripada tidur dan berdo‘a di waktu sahur, kerana pada waktu itu rahmat turun dan do‘a terangkat sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Abu Umamah, beliau telah berkata: “Wahai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, bilakah waktu do‘a itu lebih didengar?” Baginda bersabda: “Pada waktu tengah malam dan selepas (menunaikan) sembahyang-sembahyang fardhu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Waktu sahur bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam atau dinihari sehingga terbit fajar. Dikatakan juga waktu sahur itu adalah 1/6 terakhir malam.
Sahur itu sendiri daripada sudut bahasa ialah makan dan minum di waktu sahar dan sahar itu pula ialah waktu akhir malam hampir terbit fajar.
Oleh yang demikian, janganlah makan sahur sebelum waktunya kerana orang yang bersahur sebelum masuk waktunya tidak akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur. Yang afdhalnya sunat mengakhirkan atau melambatkan sahur kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar.
Zaid bin Tsabit Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Kami bersahur bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak di antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira lima puluh ayat.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
5. Melambat-lambatkan berbuka.
Bersegera untuk berbuka merupakan salah satu perkara yang disunatkan ketika berpuasa. Sebaliknya, perbuatan sengaja menangguh atau melambat-lambatkan berbuka puasa apabila sudah yakin akan masuknya waktu Maghrib (terbenamnya matahari) hukumnya adalah makruh. Namun jika ia berlaku tanpa disengajakan atau tanpa ada tujuan untuk melengah-lengahkan maka tidaklah mengapa. Hadits ada menyebutkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam Sunan Ibnu Majah pula menyebutkan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka, maka segeralah berbuka, sesungguhnya Yahudi melewatkan (berbuka). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Sunat berbuka puasa dengan ruthab (kurma masak yang masih basah). Jika tidak ada, berbukalah dengan tamar (kurma masak yang sudah kering) dan mengambilnya dalam jumlah yang ganjil, umpamanya tiga biji. Jika tidak ada, berbukalah dengan air.
Diutamakan untuk mendahulukan berbuka dan kemudian barulah menunaikan sembahyang. Ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berbuka dengan kurma basah sebelum Baginda sembahyang. Jika tidak ada, Baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada, Baginda meneguk beberapa teguk air.” (Hadits riwayat Abu Daud)
6. Berlebih-lebihan ketika berbuka puasa.
Dalam kegembiraan menanti waktu berbuka, umat Islam kadangkala tidak menyedari bahawa mereka telah melanggar etika yang dianjurkan Islam.
Salah satu kesilapan yang sering berlaku di kalangan umat Islam ialah berlebih-lebihan ketika berbuka puasa, baik dalam penyediaan juadah berbuka mahupun ketika meni‘matinya. Adakalanya waktu berbuka itu menjadi seolah-olah pesta makan.
Sebenarnya sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam digalakkan untuk memakan makanan yang berkhasiat semasa berbuka dan bersahur bagi tujuan mendapatkan kekuatan dan kesihatan yang membolehkan mereka menjalani ibadat puasa dengan baik.
Namun begitu, sudah menjadi tradisi, para suri rumah akan menyediakan aneka juadah bagi hidangan berbuka tanpa menitikberatkan nilai dan kuantiti pemakanan. Adakalanya, disebabkan terlalu banyak hidangan yang tidak habis dimakan, akhirnya terbuang begitu sahaja. Perkara seumpama ini tidak sehaluan dengan kehendak Islam.
Selain itu, amalan berbuka puasa di hotel-hotel dan restoran-restoran juga seakan menjadi ‘trend’ terkini. Terdapat banyak hotel dan restoran yang menawarkan hidangan buffet untuk berbuka puasa.
Memandangkan tawaran ini dikenakan kadar bayaran, sesetengah orang beranggapan mereka perlu makan dan minum seberapa banyak yang mungkin agar berbaloi dengan wang yang dikeluarkan dan akhirnya mengakibatkan makan dan minum secara berlebihan.
Berlebih-lebihan ketika berbuka boleh membawa kepada pembaziran dan mengundang penyakit. Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 26-27)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga berfirman:
Tafsirnya: Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-A‘râf: 31)
Kadang-kadang apa yang berlaku kepada sesetengah orang, oleh kerana terlalu asyik meni‘mati juadah sungkai dan menjadi terlalu kenyang menyebabkannya merasa sukar dan malas untuk menunaikan sembahyang dan pergi ke masjid.
Oleh itu, umat Islam seharusnya bijak dan pandai mengawal diri agar situasi sedemikian ini tidak menyalahi konsep Ramadhan.
7. Bersikap malas dengan alasan berpuasa.
Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah kekuatan, jihâd, kemenangan dan kerajinan di dalam perbuatan mahupun pekerjaan, bukannya kelemahan, kekalahan, keletihan, kemalasan dan ‘batu loncatan’ untuk lari daripada tanggungjawab.
Memang tidak dinafikan bahawa dengan berpuasa sedikit sebanyak akan mengurangkan tenaga tubuh badan kita disebabkan badan tidak mendapat zat yang mencukupi kerana tidak makan dan minum di siang hari.
Namun begitu, hal ini bukanlah sebagai alasan untuk bersikap tidak produktif, bermalas-malasan dan menghabiskan masa dengan banyak tidur, melakukan aktiviti-aktiviti yang melalaikan dan sia-sia seperti bermain ‘game’, bermain dam, menonton program hiburan sepanjang hari agar tidak terasa letih menjalani puasa.
Kajian saintifik banyak menemukan keputusan positif mengenai puasa dan hikmah di sebalik puasa itu sendiri.
Antaranya, kajian biologi mendapati otak tidak dapat berfungsi dengan baik ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.
Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Penyelidikan psikologi pula membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian pernah dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi markah yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa. 8. Melebihkan mengaut keuntungan dunia berbanding keuntungan akhirat.
Tidak dinafikan apabila Ramadhan tiba para peniaga tidak kira dalam apa jua jenis perniagaan akan sibuk mengambil peluang untuk memperolehi pendapatan yang lebih.
Namun bagi umat Islam yang sedang berpuasa janganlah terlalu ghairah merebut peluang untuk mengaut keuntungan pendapatan dan mensia-siakan peluang yang ada untuk mengaut ganjaran pahala yang berganda-ganda.
Islam tidak melarang umatnya berusaha mencari rezeki, bahkan menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai pekerjaan yang paling baik, Baginda bersabda:
Maksudnya: Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang baik. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Namun, di dalam perniagaan ada adab dan batas-batasnya. Jangan kerana berniaga dan ingin mendapatkan keuntungan lebih, seseorang yang sedang berpuasa melakukan kesilapan seperti meninggalkan sembahyang disebabkan terlalu sibuk, bercakap bohong atau menipu dan bersumpah palsu demi melariskan barang jualan.
Oleh sebab terlalu sibuk juga, seseorang itu tidak meluangkan masa untuk menghayati dan menghidupkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang sepatutnya dilakukan di bulan ini seperti menambah-giatkan amal ibadat, membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, berzikir dan memperbanyakkan do‘a tatkala berpuasa.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al-Jumu‘ah:10)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak menghalang seseorang mencari sebanyak mana pun daripada ni‘matNya, tetapi jangan sekali-kali mengabaikan suruhanNya.
9. Tidak mengawal kemarahan.
Marah merupakan sifat semula jadi manusia yang terjadi apabila merasa tidak puas hati atau tidak senang akan sesuatu.
Sifat ini adalah normal bagi setiap orang. Akan tetapi jika tidak dikawal, ia boleh membawa padah, kemudharatan atau kesan negatif terhadap diri individu itu sendiri mahupun masyarakat di sekelilingnya.
Marah ada jenis dan peringkatnya. Di dalam keadaan berpuasa, menahan marah adalah sesuatu yang amat dituntut, kerana puasa itu membawa maksud menahan segala hawa nafsu termasuklah juga nafsu amarah.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Puasa itu penjaga (perisai), maka janganlah dia berkata-kata buruk dan janganlah berbuat bodoh. Jika dia dimusuhi atau dicaci maki oleh seseorang maka katakanlah: “Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa” dua kali. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Orang yang tidak dapat mengemudi kemarahan dan gagal menanganinya itu tergolong dalam golongan orang-orang yang melampaui batas dan lemah.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Umat Islam yang berpuasa dengan betul sudah pasti akan dapat mendisiplinkan hawa nafsu mereka dan dapat meletakkan diri mereka jauh daripada segala godaan termasuk godaan syaitan yang ternyata boleh memarakkan nafsu amarah.
Kelebihan orang yang boleh menahan amarahnya, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjanjikan kepadanya syurga sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Surah Âli ‘Imran: 133-134)
Sebagai kesimpulan, memandangkan ibadat puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan, umat Islam hendaklah menjaga dan memelihara kesempurnaannya agar ia diterima Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, umat Islam yang berpuasa hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan ini dengan menghindar dan mengelak daripada berlakunya sebarang kesalahan atau kesilapan yang boleh mencacatkan ibadat puasa tersebut iaitu dengan memberi lebih perhatian dan tidak mempermudah-mudahkannya, di samping meninggalkan segala perkara yang dilarang dan melakukan segala perkara yang diwajibkan dan disunatkan ketika berpuasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8732
دليل الألوان
