Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Berhati-Hati! Judi Ada Dalam Pertandingan Atau Peraduan

الجواب

Judi hukumnya adalah haram. Pengharamannya jelas disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). (Surah al-Mâ’idah: 90)

Syariat Islam telah menetapkan bahawa judi adalah salah satu dosa besar yang merupakan daripada perbuatan syaitan yang wajib dijauhi. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar.” (Surah al-Baqarah: 219)

Pengertian Judi

Judi disebut dalam bahasa Arab sebagai al-maisir dan al-qimâr. Ulama banyak menta‘rîfkan perkataan al-maisir dan al-qimâr ini. Menurut al-Jurjani Rahimahullâh:

Ertinya: Judi ialah seseorang mengambil sesuatu daripada sahabatnya (yang diajak bermain) di dalam suatu permainan. Di zaman kita (740H-816H) permainan (judi) itu ialah: Setiap permainan yang disyaratkan di dalamnya (bahawa) yang menang daripada dua pihak yang bertanding, (untuk mendapat) sesuatu (habuan) daripada yang kalah.

Berkata Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, al-maisir ialah:

Ertinya: Setiap sesuatu (permainan) yang di dalamnya ada pertaruhan maka ia adalah (sebahagian) daripada judi.

Berkata ash-Shabuni Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula ialah:

Ertinya: Setiap permainan yang di dalamnya (memberi) keuntungan kepada satu pihak dan kerugian kepada satu pihak yang lain, ia adalah judi yang diharamkan.

Al-Mahalli Rahimahullâhu Ta‘âlâ pula berkata bahawa di antara bentuk judi yang diharamkan itu ialah:

Ertinya: Bahawa setiap kedua-dua belah pihak (di dalam suatu permainan) ragu-ragu (tidak pasti) di antara (sama ada) dia akan mendapat habuan dan (atau) dia akan menanggung kerugian.

Daripada pengertian para ulama itu dapatlah difahami bahawa unsur utama yang menyebabkan sesuatu permainan itu menjadi judi ialah pertaruhan, seperti disyaratkan kepada dua belah pihak yang bertanding mempertaruhkan harta sama ada dalam bentuk wang ringgit atau selainnya dan pihak yang menang akan mendapat taruhan tersebut.

Perkara ini jelas disebutkan oleh al-Mahalli Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Maka jika disyaratkan di dalamnya (suatu permainan) ada harta (atau wang untuk dipertaruhkan) daripada kedua-dua belah pihak iaitu bahawa barang siapa yang menang daripada kedua-dua belah pihak, (harta atau wang pihak lain yang dipertaruhkan) menjadi miliknya (orang yang menang), maka itulah judi yang diharamkan.

Pertaruhan daripada pihak yang bertanding inilah yang menjadikan sesuatu pertandingan atau peraduan itu gugur menjadi judi. Maka dengan sebab itulah setiap pertandingan atau peraduan yang ada unsur taruhan adalah judi. Judi Dalam Pertandingan Atau Peraduan

Perjudian boleh berlaku dalam pertandingan dan peraduan. Antara peraduan masa kini yang jelas dikategorikan sebagai judi kerana berlandaskan pertaruhan ialah seperti permainan al-yânasib iaitu loteri. Dalam peraduan ini penganjur akan menyediakan kupon yang mengandungi nombor dengan meletakkan harga tertentu pada kupon tersebut. Setelah cabutan nombor dilakukan, pelanggan bertuah yang memiliki nombor tertentu sahaja akan memperolehi hadiah yang disediakan dan yang lain mendapat kerugian. Ini menunjukkan ada unsur-unsur mengambil harta orang dengan cara yang bâthil sehingga menyebabkan sebahagian pihak lain mendapat kerugian.

Maka mempertaruhkan wang dalam sesuatu pertandingan atau peraduan adalah mengandungi unsur judi. Dalam pertandingan atau peraduan masa kini kebanyakannya mensyaratkan bayaran penyertaan. Bayaran penyertaan ini boleh meletakkan pertandingan atau peraduan masa kini itu menjadi judi.

Cuba kita perhatikan contoh pertandingan atau peraduan berikut:

Pertandingan Atau Peraduan Menggunakan Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS):

Peraduan kuiz secara umumnya dibolehkan jika tiada sebarang bayaran disyaratkan apabila menyertainya. Pada masa kini, peraduan kuiz dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau Short Messaging Service (SMS) semakin menjadi popular dan laris kerana ia mudah disertai.

Apa yang jelas mengenai peraduan ini, para peserta yang menyertai peraduan atau teka-teki dengan menggunakan perkhidmatan ini akan dikenakan kadar bayaran yang lebih tinggi daripada kadar bayaran SMS biasa.

Umpamanya pelanggan diminta meneka pemain terbaik dalam sesuatu perlawanan bola sepak. Kemudian tekaan itu dihantar melalui SMS dengan kadar bayaran yang lebih tinggi daripada kadar penghantaran biasa. Umpamanya kadar bayaran biasa 10 sen tetapi apabila mengikuti kuiz, kadar bayaran menjadi 50 sen. Hanya sesiapa yang menjawab dengan tepat sahaja akan mendapat hadiah.

Kadar bayaran yang tinggi inilah yang menjadikan peraduan itu mempunyai persamaan dengan judi, kerana peraduan itu sudah menjadi seperti peraduan berbayar yang merupakan antara kriteria utama judi.

Bahkan jika peraduan SMS itu tidak mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada kadar bayaran SMS biasa sekalipun, peraduan seumpama itu juga ditakuti syubhah. Syubhah yang dimaksudkan ialah kedudukan peraduan mendekati seperti peraduan berbayar juga. Cuma pembayaran di dalam peraduan ini tidak dibuat secara langsung kerana bayaran itu diperuntukkan bagi membayar kadar perkhidmatan SMS biasa.

Begitu juga dengan peraduan lelong melalui SMS yang pernah dibuat suatu masa dahulu melalui akhbar-akhbar tempatan. Peraduan ini jelas tidak menepati lelong yang diharuskan oleh syara‘ kerana dalam jualan lelong melalui SMS ini, penganjur menawarkan beberapa barang untuk dilelong, kemudian para pelanggan yang ingin menyertainya akan membuat tawaran melalui SMS dengan kadar bayaran tiga ringgit atau lebih. Pelanggan yang paling banyak menghantarkan taruhan harga, dialah yang akan menerima barang tersebut.

Perbezaan jualan lelong melalui SMS ini dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘ ialah jualan lelong melalui SMS mengenakan bayaran kepada semua pelanggan setiap kali mereka menyebut harga dengan menghantarnya melalui SMS. Sedangkan tidak kesemua pelanggan itu akan memperoleh barang lelong tersebut, bahkan mereka hanya mendapat kerugian kerana turut membayar kepada penganjur setiap kali mereka menaruh harga. Manakala jualan lelong yang diharuskan oleh syara’, ia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka yang berminat untuk membeli, kecuali kepada sesiapa yang membuat tawaran harga paling akhir yang disanggupi oleh si pembeli.

Berdasarkan kriteria ini, maka kedua-dua bentuk peraduan melalui SMS itu, adalah jelas mengandungi unsur-unsur perjudian, kerana setiap mereka yang menyertai peraduan dikenakan bayaran dan terdedah kepada risiko sama ada memperolehi keuntungan atau menanggung kerugian daripada peraduan itu.

Cabutan Bertuah Dalam Promosi Jualan

Banyak promosi cabutan bertuah yang dijalankan oleh syarikat-syarikat, bank-bank atau institusi kewangan dengan menawarkan hadiah-hadiah seperti pakej umrah, kereta, rumah dan bermacam-macam lagi. Promosi cabutan bertuah ini juga ada persamaan dengan judi jika dikenakan sebarang bayaran apabila menyertainya.

Jika peserta yang mengikuti cabutan bertuah tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran, maka promosi sedemikian adalah harus dan tidak bertentangan dengan konsep muamalat menurut hukum syara‘ kerana hadiah itu adalah semata-mata sumber daripada penganjur sendiri atau pihak lain daripada pelanggan.

Namun jika jenis cabutan bertuah itu mengandungi unsur penganiayaan iaitu salah satu pihak daripada dua belah pihak akan mengalami risiko sama ada untung atau rugi, sama ada secara langsung atau pun tidak, umpamanya dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan daripada harganya yang biasa disebabkan adanya hadiah yang ditawarkan itu ataupun untuk menyertai cabutan undian bertuah itu, peserta disyaratkan mesti membuat sebarang pembayaran dengan membeli tiket bagi cabutan nombor bertuah maka peraduan seperti ini diharamkan.

Begitu juga jika sesebuah syarikat mensyaratkan pembelian barangan sekurang-kurangnya dengan harga $10 (sepuluh ringgit) umpamanya, iaitu sebagai syarat untuk memperolehi sebarang hadiah yang ditawarkan oleh sesebuah syarikat itu, sekalipun pembeli akan mendapat barang tersebut tanpa sebarang kerugian, namun menetapkan syarat pembelian dengan $10 itu, ditakuti membawa kepada judi juga.

Sementara jika seseorang yang bukan tujuan asasinya membeli barang, bahkan tujuannya yang sebenar ialah semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, maka perbuatan seperti ini adalah menuju kepada cara atau bentuk perjudian atau menghampiri perjudian. Perbuatan sebegini juga ditakuti termasuk syubhah. Syubhah yang dimaksudkan ialah pembeli berniat atau bertujuan untuk memperolehi hadiah yang ditawarkan dan dengan niat itu pembeli akan merasa rugi sekiranya hadiah itu tidak diperolehinya.

Jelas di sini bahawa bayaran yang dikenakan untuk menyertai apapun bentuk pertandingan atau peraduan, ada persamaannya dengan wang taruhan dalam permainan judi, apabila hadiah pertandingan atau peraduan bersumber daripada bayaran penyertaan peserta.

Oleh yang demikian, semua pihak lebih-lebih lagi para penganjur terutama sekali mereka yang terdiri daripada orang Islam hendaklah sentiasa peka terhadap ketetapan hukum syara‘. Ini kerana penganjur yang berniaga untuk mengaut keuntungan dengan mendorong orang ramai merebut hadiah yang dijanjikan yang di dalamnya terdapat unsur pertaruhan atau perjudian jelas melakukan dosa kerana memakan harta orang lain secara bathil. Memakan harta secara bathil itu adalah amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bâthil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah)

kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang lain dengan cara berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya. (Surah al-Baqarah: 188)

Larangan ini juga jelas disebut oleh hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membelanjakan harta Allah tidak dengan (pembahagian) benar, maka bagi mereka adalah api neraka pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari )

Kesimpulannya, apapun jua jenis pertandingan atau peraduan yang ada pertaruhan wang atau harta daripada pihak-pihak yang menyertainya dan mereka semuanya sama-sama mempunyai peluang untuk mendapat habuan atau keuntungan dan sama-sama juga mempunyai risiko menanggung kerugian, sementara pihak yang menang akan mengambil habuan daripada pihak yang kalah, maka pertandingan atau peraduan seperti itu adalah dikategorikan sebagai judi. Maka sayugialah kita supaya berhati-hati dan peka dengan pertandingan atau peraduan yang ada mensyaratkan bayaran kerana ia boleh jatuh kepada perjudian tanpa kita sedari jika kita tidak mengambil berat mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8759

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)