Etika Makan Bersama Tetamu
الجواب
Islam telah memberi garis panduan mengenai adab makan, sama ada makan bersendirian mahupun bersama dengan orang lain atau dalam suatu jamaah, umpamanya dalam sesuatu majlis jamuan. Oleh itu hendaklah dijaga adab atau etika semasa makan bersama mereka sebagai tanda menghormati dan memberi keselesaan kepada mereka semua.
Anjuran Makan Beramai-ramai
Menurut ulama, jika ada individu lain yang boleh dipelawa untuk makan bersama, maka adalah lebih utama seseorang itu makan dengan ditemani oleh individu lain dan tidak makan bersendirian.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menganjurkan kepada umatnya apabila meni‘mati makanan biarlah secara beramai-ramai atau dalam satu kumpulan, bukan makan bersendirian atau mengasingkan diri. Perkara ini sangat disukai oleh Baginda kerana terdapat rahsia di sebalik amalan tersebut seperti yang pernah disebutkan dalam beberapa hadits, antaranya:
1. Menurut Wahsyi bin Harb daripada bapanya daripada datuknya, para sahabat Radhiallâhu ‘anhum pernah mengadu:
Maksudnya: Wahai Rasulullah sesungguhnya kami makan, namun kami tidak merasa kenyang. Baginda bersabda: “Mungkinkah kamu (makan) secara berasingan?” Mereka menjawab: “Ya benar.” Baginda bersabda: “Oleh kerana itu, berkumpullah kamu ketika menghadapi juadah (makan bersama-sama) dan sebutlah nama Allah ketika permulaan makan, (mudah-mudahan) Allah akan memberkati kamu pada makanan kamu itu.” (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Makanlah kamu beramai-ramai (secara berkumpulan) dan janganlah kamu berkelompok-kelompok. Sesungguhnya keberkatan itu ada ketika bersama jemaah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Etika Makan Bersama Tetamu
Tetamu yang menghadiri sesuatu majlis jamuan bukan hanya dituntut menghormati dan menjaga adabnya terhadap tuan rumah yang menjemputnya, malahan dia juga dituntut menghormati dan menjaga adab sesama tetamu lain yang dijemput hadir dalam majlis tersebut.
Para ulama telah menerangkan beberapa adab yang perlu dijaga di antara sesama tetamu ketika menghadiri sesuatu jamuan; berupa perkara yang wajar dilakukan dan dihindari. Antaranya ialah seperti berikut:
1. Dianjurkan agar mempelawa makan orang yang berhak didahulukan, umpamanya orang yang berumur atau mempunyai keutamaan kerana kelebihannya atau kedudukannya. Perkara ini juga merupakan amalan yang biasa, malah dijaga dan dititik-beratkan di kalangan kita.
2. Dianjurkan untuk mendahulukan golongan yang lebih kecil (muda) jika meni‘mati sesuatu hasil tanaman atau buah daripada petikan yang pertama.
Diceritakan bahawa orang ramai di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila melihat buah yang pertama terhasil dari pohon buah mereka, mereka akan memetiknya dan terus memberikannya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Amalan ini dilakukan untuk mendapatkan do‘a keberkatan daripada Baginda.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa apabila suatu ketika Baginda diberikan buah hasil daripada petikan pertama lalu Baginda pun bersabda:
Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah kami dalam negeri kami, pada buah-buahan kami, pada mudd (alat timbangan) kami, pada sha‘ (alat sukatan) kami, (limpahkanlah kepada kami) berkat demi berkat (berkat yang berlipat ganda). Kemudian Baginda memberikan buah tadi kepada yang paling kecil (muda) di kalangan kanak-kanak yang hadir. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas merupakan antara bukti kemuliaan akhlak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kesempurnaan kasih sayang dan budi pekerti Baginda kepada yang tua mahupun yang muda. Adapun dikhaskan makanan itu kepada anak-anak yang kecil kerana mereka lebih menyukainya, benar-benar mengharap dan menjaganya. Begitulah perangai kanak-kanak, kegembiraannya mendapatkan sesuatu makanan itu lebih ketara berbanding mereka yang lebih tua umurnya.
3. Menghindari daripada perbualan atau percakapan mengenai perkara yang boleh mendatangkan dosa, sebaliknya sunat bercerita umpamanya mengenai kisah orang-orang salih. Namun adalah lebih utama kurang bercakap jika tiada keperluan.
4. Menghindari daripada perbualan mengenai perkara yang menjijikkan.
5. Menghindari daripada melakukan perkara atau perbuatan yang menjijikkan umpamanya mengeluarkan bunyi yang kuat atau nyaring jika hendak mengeluarkan sesuatu dari hidung atau mulut semasa hadirin sedang meni‘mati makanan, seperti mengeluarkan hingus, berludah dan seumpamanya. Jika mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan wajahnya daripada makanan.
6. Menghindari daripada bersendawa dengan menyaringkan bunyinya sehingga boleh didengar oleh para hadirin, malahan perbuatan ini termasuk antara perbuatan buruk yang dikeji. Oleh itu sunat merendahkan suara ketika bersendawa sekadar yang termampu dan makruh menyaringkannya dengan senghaja. Lebih-lebih lagi dilarang bersendawa dengan nyaring jika sampai menyakiti atau mengganggu orang lain dan kadang-kadang perbuatan ini boleh sampai membawa ke tahap haram. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendengar seorang bersendawa lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: Tahanlah daripada kami akan bunyi sendawamu. Sesungguhnya mereka yang terlalu kenyang di dunia adalah mereka yang paling lama lapar di Hari Kiamat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Apa yang dimaksudkan dalam hadits di atas ialah menghindari makan sehingga terlalu kenyang. Sendawa merupakan tanda atau alamat bahawa seseorang itu sudah terlalu kenyang. Oleh sebab itulah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memberi peringatan mengenai perkara ini.
Maksud kenyang menurut pendapat ulama adalah tahap atau kadar bilamana seseorang itu tidak lagi dikatakan lapar. Adapun sukat-sukat kenyang itu adalah berbeza terpulang pada kebiasaaan setiap orang.
Menyentuh mengenai tabiat makan sehingga melebihi had kenyang, sebilangan ulama menghukumkannya makruh, manakala sebilangannya lagi mengatakan haram, lebih-lebih lagi jika mendatangkan mudharat. Bayangkan jika seseorang memaksa dirinya untuk makan sehingga melebihi daripada kadar keupayaannya, seperti pertandingan siapa yang paling banyak makan, pasti akan mendatangkan mudharat dan bahaya. Jika ini yang berlaku, maka sepertimana pendapat sebilangan ulama hukumnya adalah haram.
7. Menghindari mengibas-ngibas tangan berhampiran dengan hidangan tempat makan.
8. Tidak memperbesarkan suapan dan tidak makan dengan cepat dengan tujuan supaya individu itu boleh meni‘mati makanan yang banyak dan menghalang hadirin yang lainnya daripada meni‘mati makanan tersebut, lebih-lebih lagi jika makanan itu sedikit. Malah ada ulama menghukumkan perbuatan tersebut sebagai haram.
9. Tidak makan melebihi daripada apa yang lazimnya atau kadar kebiasaan yang dimakan oleh individu selainnya, melainkan jika hadirin yang lain redha dan bukan berpura-pura redha, kerana malu atau untuk menjaga hati individu tadi.
10. Tidak bersikap lahap atau rakus, sebaliknya wajib bersikap adil terhadap tetamu yang lain, umpamanya jangan makan dua biji tamar, dua biji anggur, dua potong kuih dan seumpamanya sekaligus. Menurut ulama, jika makanan yang dihidangkan itu tujuannya untuk menjamu satu kumpulan tetamu dan untuk dini‘mati bersama-sama, maka tidak harus makan secara qirân (dua biji kurma sekali suap ke mulut), melainkan tetamu yang bersamanya itu mengizinkan. Sama ada keizinan itu secara terang-terangan ataupun apa yang seumpamanya, seperti terdapat qarînah atau petanda yang kuat, umpamanya dengan sangkaan yang kuat, bahawa tetamu yang lain itu redha (mengizinkan).
Perkara ini telah disebutkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu makan secara qirân (dua biji kurma sekali suap ke mulut), kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang makan secara qirân. Kemudian dia (‘Abdullah) berkata: “Kecuali seseorang itu telah mendapat izin daripada saudaranya (yang makan bersamanya).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Daripada tiga penerangan yang terakhir, dapat diambil pengajaran dan peringatan bahawa perbuatan ‘menapau’ atau membungkus makanan untuk dibawa pulang ke rumah, lebih-lebih lagi ketika hadirin baru saja meni‘mati hidangan atau mungkin masih lagi berhajat kepada makanan tersebut, adalah termasuk dalam makna menghalang tetamu yang lain daripada meni‘mati makanan. Sikap sedemikian perlu dihindari. Janganlah perkara ini diabaikan dan dipermudahkan kerana tanpa keredhaan tuan rumah dan juga tetamu yang lain, perbuatan membungkus makanan boleh membawa kepada haram.
Sebagai kesimpulan, menghormati sesama tetamu itu adalah sama penting sebagaimana tuntutan menghormati tuan rumah yang menjemputnya. Maksud menghormati sesama tetamu itu tidak hanya terhad kepada cara percakapan dan pergaulan sahaja, akan tetapi lebih daripada itu, iaitu menjaga adab makan sesama mereka. Antaranya menghindari melakukan atau bercakap perkara yang menjijikkan dan wajib bersikap adil terhadap tetamu lain; umpamanya meni‘mati makanan bersama-sama dan tidak menghalang tetamu lain daripada meni‘matinya, mendahulukan yang berumur dan yang mempunyai keutamaan dan mendahulukan kanak-kanak kerana mereka akan merasa amat gembira mendapatkan makanan tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8775
دليل الألوان
