Melakukan Ibadat Korban Di Luar Negeri Dan Memindah Daging Korban
الجواب
Ibadat korban sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakan bagi orang yang mempunyai kemampuan. Ia merupakan bukti keikhlasan dan ketaqwaan seseorang kerana dalam ibadat korban itu antara hikmah pensyariatannya ialah mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, melahirkan kesyukuran dengan ni‘mat yang diberikan, menggembirakan orang miskin dengan pemberian daging korban, di samping menambah amal kebajikan.
Dalam melaksanakan ibadat korban, di mana sahaja ia dilakukan, pasti akan melibatkan perbelanjaaan wang dan harta benda. Ibadat korban yang dilakukan oleh seseorang di negeri lain bukan di negeri tempat dia berada, dalam hukum fiqh melibatkan hukum tertentu, iaitu memindah wang ke negeri lain. Melakukan korban di luar negara terjadi kerana beberapa faktor, antaranya faktor harga binatang korban yang lebih murah di sesuatu tempat, faktor terdapat ramai bilangan fakir miskin di tempat berkenaan dan sebagainya.
Kadang-kala setelah berkorban di sesebuah negeri, sesetengah individu kemudian berhasrat untuk membawa atau memindah daging korban itu kembali semula ke negeri tempatnya berada. Dalam perbincangan fiqh, perkara ini melibatkan hukum memindah daging korban ke negeri lain.
Dalam kedua-dua perkara ini, terdapat penjelasan hukum syara‘ mengenainya.
Memindah Wang Ke Negeri Lain
Menurut ulama hukum memindah wang adalah harus. Apa yang dimaksudkan dengan memindah wang di sini ialah memindahkannya dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.
Gambarannya ialah seseorang penduduk tempatan yang mahu melakukan ibadat korban di Makkah umpamanya, dengan erti kata dia mahu membeli binatang korban, seterusnya menyembelihnya di sana. Menurut pandangan ulama perkara ini adalah diharuskan.
Cara pembelian binatang korban pula, sama ada:
1. Orang yang hendak berkorban itu sendiri pergi ke luar negeri dan melaksanakan sendiri segala urusan korban dari awal pembelian binatang korban sehinggalah penyembelihannya, atau;
2. Dia melantik wakil dan menyerahkan wang kepada wakil tadi untuk melaksanakan urusan yang dimaksudkan. Ini kerana menurut syara‘, hukum wakâlah (perwakilan) atau melantik wakil dalam ibadat korban adalah harus.
Dapat difahami daripada penjelasan ringkas di atas, adalah harus bagi seseorang yang hendak berkorban untuk melantik wakil pada membeli binatang korban dan juga harus melantik wakil pada menyembelih binatang korban, sekalipun bukan di negeri orang yang berwakil, iaitu orang yang hendak berkorban tadi. Bagaimanapun, dalam perkara berwakil hendaklah diberi perhatian dalam menjaga syarat-syarat ‘wakâlah’ (perwakilan) agar ibadat yang dikerjakan sah dan sempurna menurut syara‘.
Memindah Daging Korban Ke Negeri Lain
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan atau diagih-agihkan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan.
Dalam perkara memindah daging korban, hukum mengenai keharusan perkara ini tergantung kepada jenis korban yang dilakukan. Perlu diketahui bahawa korban terbahagi kepada dua; korban wajib dan korban sunat. Korban menjadi wajib umpamanya dengan sebab dinazarkan atau korban yang dilaksanakan kerana menyempurnakan wasiat seseorang.
Secara ringkas, hukum memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain adalah seperti berikut:
1. Korban wajib.
Dalam korban wajib, kesemua daging binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhûr ulama asy-Syafi‘eyah.
Dapat difahami daripada penjelasan di atas bahawa daging korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) binatang korban itu disembelih.
2. Korban sunat.
Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan oleh orang yang berkorban atau dihadiahkan, dan terdapat bahagian yang wajib disedekahkan.
Hanya bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. Gambaran bagi masalah ini, seorang yang menyembelih korban sunat untuk dirinya di suatu negeri, maka adalah disunatkan baginya membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian seperti berikut:
i. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir miskin.
Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan ini.
Bahagian ini wajib disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin di negeri (tempat) binatang korban disembelih dan haram dipindahkan ke negeri lain.
ii. Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri.
Disunatkan bagi orang yang berkorban memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil berkat. Malahan afdhal baginya memakan hati binatang tersebut kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
iii. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Disunatkan bagi orang yang berkorban menghadiahkan sebahagian daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan seumpamanya daripada kalangan orang Islam. Maka bahagian (ii) dan (iii) ini adalah harus hukumnya jika daging korban itu dipindahkan ke negeri (tempat) lain.
Niat Korban
Seperti yang diketahui, niat merupakan syarat sah korban. Niat korban sah dilakukan setelah masuk waktunya, iaitu dari terbit matahari dan kadar berlalu sembahyang sunat Hari Raya Adha dan dua khutbahnya yang ringkas.
Sekiranya seseorang itu menyembelih sendiri binatang korbannya, maka niat korban itu dilakukan ketika atau seiringan dengan penyembelihan binatang korban. Bagaimanapun harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.
Bagaimana pula jika sekiranya korban itu disembelih oleh wakil orang yang berkorban?
Sekiranya seseorang itu mewakilkan kepada individu lain untuk menyembelih binatang korbannya, maka memadai orang yang berkorban itu sahaja yang berniat, sekalipun wakilnya itu tidak berniat ketika menyembelih binatang korban.
Namun jika orang yang berwakil (orang yang hendak berkorban) sudah menyerahkan perkara niat korban kepada wakilnya, maka memadailah niat wakil tadi ketika menyembelih binatang korban, sekalipun penyembelihan korban dilaksanakan di luar negeri.
Menyentuh mengenai perkara berwakil korban di luar negeri, terdapat pendapat ulama yang mengatakan, hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil dan memadai juga jika niat itu dilakukan lebih awal; tidak seiringan dengan penyembelihan, iaitu ketika orang yang berwakil menyerahkan wakâlah kepada wakil.
Sebagai kesimpulan, menurut syara‘ seseorang yang ingin melakukan ibadat korban di sesebuah negeri bukan di negeri tempat dia berada hukumnya adalah harus. Caranya ialah dengan membeli binatang korban di suatu negeri dan seterusnya menyembelihnya di tempat tersebut. Cara pembelian itu pula sama ada dilakukan sendiri oleh orang yang hendak berkorban itu atau dengan menggunakan perantaraan seperti melantik seorang wakil dan menyerahkan wang kepadanya untuk menguruskan pembelian dan seterusnya pelaksanaan penyembelihan binatang korban di luar negeri Selain itu, jika seseorang itu berhasrat untuk memindahkan daging binatang korban dari tempat binatang itu disembelih ke negeri lain, maka ada bahagian yang haram dipindahkan ke negeri lain, iaitu bahagian yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin. Menurut syara‘, bahagian ini wajib diagihkan kepada golongan yang berhak di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.
Manakala bahagian yang selebihnya, umpamanya bahagian yang sunat dimakan oleh orang yang berkorban itu sendiri dan bahagian yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya, seperti ahli keluarga dan sahabat handai daripada kalangan orang Islam, hanya bahagian ini sahaja yang diharuskan untuk dipindahkan ke negeri (tempat) lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8843
دليل الألوان
