Melakukan Ibadat Korban Bagi Pihak Orang Lain
الجواب
Menyembelih korban selepas naik matahari pada Hari Raya Adha iaitu sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah ringkas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada hari Tasyriq terakhir iaitu hari ke-13 Zulhijjah merupakan salah satu ibadat yang dituntut oleh agama. Tuntutan ini jelas disebutkan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Surah al-Kautsar: 2)
Hukum berkorban ialah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut) bagi orang bâligh, berakal, merdeka serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Maksud berkemampuan di sini ialah orang yang mampu untuk berkorban setelah ada lebihan daripada keperluannya dan keperluan orang-orang yang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq.
Menurut jumhûr ulama, sunat melakukan korban bagi orang yang mampu dan makruh hukumnya jika dia tidak melakukannya sedangkan dia ada kemampuan untuk melakukan korban. Hukum ini akan menjadi sunat mu’akkadah ‘ainiyyah iaitu sunat yang dituntut ke atas orang itu sendiri sekiranya dia tinggal bersendirian di dalam sebuah rumah. Sebaliknya, ia menjadi sunat mu’akkadah kifâyah iaitu sunat yang dituntut secara umum bagi sebuah keluarga dalam sebuah rumah. Jika salah seorang daripada ahli keluarga di dalam rumah tersebut melakukan korban, maka gugurlah tuntutan sunat kifâyah daripada anggota keluarga yang lain.
Tuntutan untuk melaksanakan korban ini sudah mendapat perhatian daripada orang ramai. Timbulnya kesedaran di kalangan orang Islam terhadap keutamaan ibadat korban ini menyebabkan tidak sedikit jumlah binatang korban yang disembelih setiap menjelangnya Hari Raya Adha, bahkan semakin bertambah jumlahnya setiap tahun. Ini kerana selain daripada menjunjung tuntutan syara‘, keghairahan untuk meraih ganjaran juga tidak dibiarkan terlepas begitu sahaja.
Dari sudut yang lain pula, kelebihan dari segi kewangan bagi sesetengah individu menyebabkan mereka bukan sahaja melakukan korban untuk mereka sendiri, bahkan untuk pihak orang lain dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh mereka sendiri. Ada yang melakukan korban untuk ibu bapa, anak-anak, adik-beradik, saudara- mara malahan untuk teman-teman mereka.
Persoalan yang timbul ialah kedudukan hukum seseorang yang melakukan korban bagi pihak orang lain. Adakah sah atau tidak korban yang dilakukan untuk orang lain dengan kos perbelanjaan daripada harta orang yang melakukan korban itu?
Perbincangan mengenai hukum melakukan korban bagi pihak orang lain ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
1. Melakukan korban untuk orang lain yang masih hidup.
2. Melakukan korban untuk orang lain yang telah meninggal dunia.
Korban Bagi Orang Yang Hidup
Tidak harus melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup dan tidak sah korban tersebut jika dilakukan kecuali dengan ada keizinan daripada orang tersebut. Ini kerana korban itu adalah suatu ibadat dan melakukan ibadat untuk orang lain adalah ditegah kecuali jika ada dalil yang mengharuskan untuk berbuat sedemikian. Dalam perkara ibadat korban, adanya keizinan adalah syarat yang mengharuskan seseorang itu melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup.
Berbeza halnya dengan beberapa keadaan berikut:
1. Wali (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan korban dengan kos perbelanjaan dikeluarkan daripada hartanya untuk orang-orang yang di bawah jagaannya seperti anak atau cucunya yang masih kecil. Dalam keadaan ini, contohnya jika bapa melakukan korban untuk anaknya, maka sah korban untuk anak tersebut, sementara si bapa pula memperolehi pahala hibah (pemberian).
Walau bagaimanapun tidak sah korban yang dilakukan untuk anak yang masih dalam kandungan. Ini kerana belum ada apa-apa tuntutan syara‘ yang dikenakan ke atasnya.
2. Jika salah seorang daripada ahli keluarga dalam sebuah rumah melakukan korban untuk dirinya sudah dianggap melepaskan tanggungan sunat kifâyah keluarga tersebut walaupun tanpa keizinan daripada ahli keluarga yang lain atau tanpa niat mereka untuk melakukan korban.
3. Harus bagi pemimpin atau ketua melakukan korban bagi orang-orang Islam di bawahnya daripada harta Baitul Mal (jika ada kelebihan pada harta tersebut) dengan menyembelih badanah (unta atau lembu yang gemuk). Jika tidak mampu menyembelih badanah maka dengan seekor kambing biri-biri.
Walau bagaimanapun dengan sembelihan ini tidak menggugurkan tuntutan korban ke atas orang-orang Islam yang berkemampuan kerana apa yang diperolehi daripada sembelihan pemimpin atau ketua itu adalah perolehan pahala semata-mata bagi orang-orang Islam.
Daging daripada sembelihan ini juga boleh dimakan oleh orang-orang Islam termasuk orang-orang kaya kerana sembelihan itu dianggap sedekah semata-mata.
Korban Bagi Orang Yang Sudah Meninggal Dunia
Tidak harus bagi ahli waris mahupun orang lain melakukan korban bagi orang yang sudah meninggal dunia dan tidak sah korban yang dilakukan melainkan jika orang yang telah meninggal dunia itu pernah mewasiatkan sedemikian.
Apabila orang yang diwasiatkan melakukan korban bagi pihak si mati, maka dia tidak boleh memakan daging tersebut dan juga tidak boleh menghadiahkannya kepada orang kaya kecuali jika ada keizinan awal daripada si mati. Oleh yang demikian daging tersebut wajib diagihkan kesemuanya kepada fakir miskin.
Begitulah penjelasan mengenai hukum melakukan korban bagi orang lain, sama ada orang tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Apa yang jelas, seseorang yang ingin melakukan korban bagi orang lain perlu meminta keizinan terlebih dahulu daripada yang empunya diri atau dengan adanya wasiat yang ditinggalkan untuknya. Jika dilakukannya juga tanpa keizinan atau wasiat, maka korban tersebut tidak sah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8827
دليل الألوان
