Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Menghadiri ‘Rumah Terbuka’ Bukan Penghalang Untuk Berpuasa Enam DI Bulan Syawal

الجواب

Dengan kedatangan bulan Syawal, umat Islam bukan saja berpeluang meraikan kemenangan ibadat puasa di bulan Ramadhan, tetapi juga berpeluang untuk menambah satu lagi bentuk ibadat sunat yang dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu puasa enam di bulan Syawal.

Puasa enam di bulan Syawal ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah selesai menjalani kewajipan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Puasa sunat enam harus dikerjakan secara berasingan atau berselang hari sepanjang bulan Syawal. Walau bagaimanapun yang afdhalnya ia dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua kerana menyegerakan melaksanakan ibadat.

Ibadat puasa enam ini sunat dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan dan bagi orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti haidh, nifas, musafir atau sakit. Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja pula, wajib ke atasnya menyegerakan qadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu dan haram ke atasnya melakukan puasa-puasa sunat termasuklah puasa enam kecuali setelah dia selesai mengqadha’ puasanya.

Tidak dinafikan, memandangkan ganjaran puasa enam yang amat besar sebagaimana tersebut dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka jangan dilepaskan peluang berpuasa di bulan Syawal yang hanya datang setahun sekali. Akan tetapi dengan adanya jemputan jamuan rumah terbuka atau ‘open house’ sempena Hari Raya membuatkan sesetengah individu merasa ragu-ragu sama ada menolak saja pelawaan jamuan makan atau terlepas melakukan puasa sunat enam, namun ini jangan sampai terjadi.

Fadhilat Berpuasa Sunat Enam Di Bulan Syawal

Fadhilat melakukan puasa sunat enam selepas berpuasa penuh di bulan Ramadhan adalah amat besar sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mengibaratkan gandingan kedua-dua puasa iaitu puasa sebulan penuh di bulan Ramadhan dan puasa enam hari di bulan Syawal umpama berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan puasa Ramadhan yang diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak sepuluh pahala. Oleh yang demikian, puasa sebulan penuh di bulan Ramadhan menyamai dengan sepuluh bulan iaitu kira-kira 300 hari, sementara puasa enam hari di bulan Syawal adalah

menyamai dua bulan iaitu 60 hari dan ini menjadikan jumlah ganjaran pahala seperti pahala berpuasa dua belas bulan keseluruhannya iaitu setahun.

Persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Hasilnya orang yang mengerjakan puasa enam setelah mengerjakan puasa Ramadhan adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Fadhilat ini hanya diperolehi orang yang melakukan puasa Ramadhan sebulan penuh. Walau bagaimanapun orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ akan mendapat pahala sunat jika melakukan puasa enam ini.

Jemputan Jamuan Makan Bukan Penghalang Untuk Berpuasa Enam

Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Islam di Brunei, khususnya pada musim Hari Raya ‘Idulfitri untuk berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai bagi mengeratkan silaturahim. Hidangan juadah yang pelbagai memang tidak pernah ketinggalan dihidangkan kepada tetamu yang datang berkunjung, apalagi jika kunjungan itu bagi menghadiri jemputan jamuan rumah terbuka atau ‘open house’. Apabila dijemput menghadiri ‘open house’ pula, kadang-kadang sebagai tetamu sukar bagi kita untuk menolak, lebih-lebih lagi jika kita rapat atau dekat dengan orang yang menjemput itu. Malahan lebih sukar lagi jika kunjungan itu hanya terhad dan mampu diadakannya di siang hari sahaja. Ini menyebabkan seseorang yang ingin berpuasa sunat merasa serba salah dalam membuat pilihan.

Dalam hal orang yang memenuhi jemputan dalam keadaan dia berpuasa, para ulama telah memberi garis pandu seperti berikut:

1. Jika puasa yang dilakukan oleh tetamu tersebut merupakan puasa sunat, maka dia diberikan pilihan sama ada meneruskan puasanya atau berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Ini bergantung pada keadaan jemputan yang dihadirinya. Untuk memudahkannya menentukan pilihannya, maka dilihat keadaannya seperti berikut:

Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah atau orang yang menjemput boleh jadi tersinggung atau berkecil hati sekiranya tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibolehkan, bahkan afdhal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah atau menggembirakannya dengan memakan makanan yang dihidangkannya.

Diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan. Baginda bersabda:

Maksudnya: Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu dilihat tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut.

Disunatkan ke atas orang yang berpuasa untuk memberitahu bahawa dia sedang berpuasa, sebagai contoh: “Saya sedang berpuasa”, iaitu mengatakannya bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Zhuhair Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, dan ketika itu dia sedang berpuasa, maka katakanlah (kepadanya): “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadits riwayat Muslim)

2. Jika puasa yang dilakukan itu merupakan puasa wajib seperti puasa qadha’ Ramadhan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendo‘akan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para tetamu yang hadir sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka do‘akanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah. (Hadits riwayat Muslim)

Bagi tuan rumah atau orang yang menjemput pula, adalah lebih utama baginya untuk berbuka jika dia sedang berpuasa sunat ketika itu agar dia dapat meni‘mati hidangan bersama tetamu. Alasan yang diberikan para ulama ialah sebagai menghormati tetamu.

Cara Berpuasa Enam Bagi Orang Yang Tidak Berpuasa Ramadhan Sebulan Penuh Kerana Uzur Syar‘i

Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ namun tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan puasa sunat enam, iaitu salah satu daripada berikut:

1. Melaksanakan dahulu qadha’ puasa Ramadhan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan puasa enam, atau

2. Mendahulukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qadha’ puasa sama ada di bulan Syawal atau pada bulan-bulan lain sebelum tiba Ramadhan akan datang. Perkara ini dihukumkan makruh kerana melambatkan qadha’ Ramadhan. Walau bagaimanapun diberi pahala sunat kerana puasa sunat enam yang dilakukannya, atau

3. Meniatkan puasa qadha’ dan puasa sunat enam sekaligus. Harus berniat bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah puasa qadha’ dan mendapat ganjaran sunat kerana berpuasa enam.

Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: “Sahaja aku puasa esok hari mengqadha’ puasa Ramadhan dan puasa sunat enam bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.”

Sesungguhnya amatlah besar ganjaran yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi sesiapa yang melaksanakan sesuatu ibadat dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan. Puasa sunat enam di bulan Syawal merupakan kesinambungan ibadat puasa yang dilakukan di bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, mari kita rebut peluang yang hanya datang setahun sekali ini. Jangan kita biarkan bulan Syawal berlalu tanpa melakukan puasa sunat enam. Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya, seperti adanya majlis ‘open house’ atau yang seumpamanya, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8863

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص