Menyapu Khuff (Muza): Memudahkan Berwudhu Ketika Dalam Pelayaran
الجواب
Sebagaimana yang kita sedia maklum wudhu merupakan sebahagian daripada syarat sah untuk kita mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada dalam keadaan bermukim atau dalam pelayaran. Untuk mengambil wudhu pula walaupun mudah dilakukan dalam keadaan biasa, tetapi adakalanya ia sukar untuk dilakukan disebabkan berbagai faktor yang menghalang atau menyukarkan seseorang untuk mengambilnya. Sebagai contoh, faktor ketiadaan atau kekurangan air, ketiadaan tempat yang sesuai atau keadaan tempat yang menyukarkan untuk mengambil wudhu dan sebagainya.
Satu contoh kesukaran yang nyata biasa dihadapi oleh orang ramai ialah apabila hendak mengambil wudhu ketika berada di dalam kapal terbang semasa dalam pelayaran. Dalam keadaan bilik air di dalam kapal terbang yang sempit adalah amat sukar bagi seseorang untuk mengambil wudhu terutama dalam perkara membasuh kaki.
Perkara inilah yang merupakan salah satu cabaran yang biasa dihadapi oleh orang yang bermusafir ketika hendak menunaikan sembahyang di dalam kapal terbang. Kalau semangat tidak kental untuk menghadapi cabaran ini, boleh jadi orang itu malas untuk menunaikan sembahyang dan timbul pula pemikiran untuk menqadha’nya apabila sampai ke destinasi yang dituju.
Pemikiran untuk mengqadha’ sembahyang sedang dia berdaya untuk menunaikannya pada waktunya adalah pemikiran yang tidak menepati kehendak syara‘. Pemikiran begini perlu dibetulkan. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri semasa hayat Baginda, tidak pernah mengqadha’kan sembahyang disebabkan kesukaran semasa pelayaran. Baginda tetap menunaikan sembahyang dengan kepayahan dan kesulitan.
Bagi mengelakkan daripada perkara ini berlaku, salah satu alternatif yang boleh diambil sebagai memudahkan membasuh kaki ketika mengambil wudhu ialah dengan cara menyapu atau mengusapkan air pada khuff yang dipakai di kedua-dua belah kaki sebagai ganti membasuh kaki.
Apa Itu Khuff?
Yang dimaksudkan dengan khuff dalam pengertian syara‘ ialah pakaian yang diperbuat daripada kulit atau seumpamanya yang menutupi bahagian kaki hingga ke buku lali.
Buku lali ialah dua tulang yang menonjol pada pertemuan kaki dan betis.
Yang dimaksudkan dengan menyapu atau mengusapkan air pada khuff ialah menyapu atau mengusapkan air pada sebahagian daripada khuff sebagai ganti membasuh kedua belah kaki ketika berwudhu.
Contoh imej khuff:
Hukum Menyapu Khuff
Menyapu air pada khuff ketika berwudhu hukumnya adalah harus. Perbuatan ini disyariatkan bagi lelaki dan perempuan sama ada ketika dalam pelayaran atau bukan dalam pelayaran sebagai keringanan atau kelonggaran (rukhshah) dan bagi memudahkan umat Islam mengambil wudhu umpamanya di dalam pelayaran, ketika musim sejuk dan bagi mereka yang sentiasa dalam tugas seperti tentera, polis dan sebagainya.
Sungguhpun perbuatan menyapu air pada khuff ini dibolehkan, akan tetapi membasuh kaki dengan air ketika berwudhu adalah lebih baik. Ini kerana membasuh kaki ketika berwudhu merupakan perbuatan asal dan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri pada kebanyakan waktu Baginda berwudhu lebih kerap (selalu) membasuh kaki berbanding menyapu air pada khuff Baginda.
Adakalanya orang yang memakai khuff disunatkan menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kedua-dua belah kaki ketika berwudhu apabila orang tersebut takut akan terluput sembahyang berjemaah jika dia membasuh kakinya.
Adakalanya pula orang yang memakai khuff diwajibkan menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kedua belah kaki ketika berwudhu apabila orang tersebut takut akan terluput sembahyang fardhu atau sembahyang Jumaat jika dia membasuh kakinya.
Adakalanya juga haram hukumnya menyapu khuff dengan air sebagai ganti membasuh kaki, iaitu bagi orang yang sedang berihram yang dengan sengaja dan dengan kehendaknya sendiri memakai khuff.
Dalil Pengharusan Menyapu Khuff
Perbuatan menyapu air pada khuff ini tsabit melalui hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Baginda pernah melakukannya beberapa kali sehinggakan Ibnu al- Mundzir meriwayatkan daripada Hasan al-Bashri, katanya: “Tujuh puluh orang daripada kalangan sahabat telah menceritakan kepadaku bahawa sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyapu air pada kedua-dua khuff Baginda.”
Diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawasanya Baginda keluar untuk menunaikan hajat Baginda, lalu diikuti oleh al-Mughirah dengan membawa beg kulit yang berisi air. Apabila Baginda selesai menunaikan hajat, al-Mughirah menuangkan air kepada Baginda, lalu Baginda mengambil wudhu dan menyapu kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam riwayat yang lain, Jarir bin ‘Abdullah al-Bajali Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Aku telah melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wassallam selesai menunaikan hajat kecil, kemudian Baginda mengambil wudhu dan menyapu kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat Muslim)
Apakah Syarat-syarat Menyapu Khuff Dengan Air?
Terdapat lima syarat yang dikenakan untuk mengharuskan seseorang itu menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kaki ketika mengambil wudhu seperti berikut: 1. Kedua-dua khuff hendaklah dipakai setelah sempurna suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
Perkara ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Aku pernah bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam satu pelayaran dan aku cuba membongkok untuk menanggalkan kedua-dua khuff Baginda, akan tetapi Baginda bersabda: “Biarkanlah kerana saya telah memakainya ketika dalam keadaan suci”. Lalu Baginda menyapu air pada kedua-dua khuff Baginda itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan syarat ini, apabila orang yang mengambil wudhu memakaikan khuff pada kakinya sebelah kanan sebelum dia membasuh kakinya sebelah kiri, kemudian setelah selesai membasuh kaki sebelah kirinya pula dia memakaikan khuff pada kakinya sebelah kiri, tidak diharuskan baginya berwudhu dengan hanya menyapu air pada khuff tersebut apabila dia hendak berwudhu lagi selepas itu. Ini kerana dia memakai khuffnya sebelum lagi sempurna suci daripada hadas.
2. Hendaklah khuff itu menutupi seluruh anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu daripada semua sudut kecuali dari atas iaitu semua kaki dan kedua buku lali.
Jika khuff itu tidak menutupi seluruh tempat yang wajib dibasuh ketika berwudhu atau terdapat lubang pada khuff di sekitar tempat yang wajib dibasuh, tidak sah berwudhu dengan hanya menyapu air pada khuff seperti itu.
Yang dimaksudkan dengan menutupi itu ialah menghalang air daripada terkena bahagian kaki yang wajib dibasuh, bukannya bererti menutup daripada penglihatan seperti yang disyaratkan dalam perkara menutup aurat.
3. Hendaklah khuff itu dapat menahan air daripada menembusi bahagian kaki kecuali melalui tempat jahitan.
Mengikut pendapat yang ashah, harus juga menyapu khuff yang terbelah dari kaki tetapi diikat dengan tali sehingga ia tidak menampakkan mana-mana bahagian yang wajib dibasuh apabila dibawa berjalan.
4. Hendaklah khuff itu kuat dan tahan.
Sukat-sukat ketahanan khuff itu boleh dipakai berjalan dengannya untuk melaksanakan keperluan atau hajat yang biasa dalam tempoh sehari semalam bagi orang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi musafir. Tidak kira sama ada khuff itu diperbuat daripada kulit atau selainnya.
5. Hendaklah khuff itu suci daripada najis.
Tidak sah menyapu air pada khuff yang diperbuat daripada kulit bangkai yang belum disamak. Ini kerana kulit seperti itu tidak boleh dipakai untuk mengerjakan sembahyang.
Berapa Lama Tempoh Yang Dibenarkan Untuk Menyapu Khuff?
Setelah cukup segala syarat-syarat yang ditentukan, apabila hendak mengambil wudhu semula tidaklah perlu dibuka khuff yang telah dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas besar dan kecil, dan tidaklah perlu juga dibasuh kedua-dua kaki ketika mengambil wudhu, tetapi cukup dengan menyapu atau mengusapkan air pada khuff yang dipakai iaitu sebagai ganti membasuh kaki.
Tempoh yang dibenarkan untuk menyapu atau mengusapkan air pada khuff sebagai ganti membasuh kaki ialah:
1. Sehari semalam bagi orang bermukim (bukan dalam pelayaran).
2. Tiga hari tiga malam bagi orang yang dalam pelayaran.
Penentuan tempoh di atas adalah berdasarkan riwayat bahawa Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menentukan (tempoh menyapukan air pada khuff ketika berwudhu) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam bagi orang yang bermukim. (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu selama tempoh yang dibenarkan belum habis, selama itu juga orang yang memakai khuff itu dibenarkan mengambil wudhu dengan tidak payah membasuh kakinya tetapi cukup dengan hanya menyapu pada khuff yang dipakainya.
Jika orang yang memakai khuff itu merasa ragu (syak) adakah tempoh yang dibenarkan kepadanya masih ada atau sudah habis, maka dalam hal ini tidak boleh baginya menyapu khuff ketika mengambil wudhu sebagai ganti membasuh kaki, akan tetapi hendaklah dia membasuh kakinya sebagaimana biasa dia mengambil wudhunya. Jika syaknya itu hilang dan dia yakin tempoh yang dibenarkan kepadanya masih ada, pada ketika itu diharuskan baginya menyapu khuffnya. (Mughni al-Muhtâj: 1/67)
Bila Tempoh Bermula?
Tempoh masanya dikira bermula daripada berakhir hadasnya selepas memakai khuff, bukannya dari mula berhadas atau dari mula menyapu khuff. (Tuhfah 1/259, Hâsyiah al-Baijuri 1/128)
Sebagai contoh, pada pukul 12.00 tengah hari seseorang itu mengambil wudhu, kemudian dia memakai khuffnya. Selepas itu dia mendirikan sembahyang Zhuhur. Kira-kira pada pukul 2.00 petang wudhunya terbatal. Oleh kerana hendak mendirikan sembahyang ‘Ashar dia mengambil wudhu lagi. Pada pukul 3.00 petang dia selesai mengambil wudhu dan menyapu khuffnya dengan air sebagai ganti membasuh kaki.
Dalam contoh di atas, tempoh sehari semalam (bagi orang bukan dalam pelayaran) atau tiga hari tiga malam (bagi orang yang dalam pelayaran) bermula dikira dari jam 3.00 petang bukannya dari jam 12.00 tengah hari atau 2.00 petang.
Dengan demikian, jika dia seorang yang bukan dalam pelayaran, dia boleh menyapu khuffnya ketika mengambil wudhu sehingga jam 2.59 petang keesokan harinya. Jika dia seorang yang dalam pelayaran pula, dia boleh menyapu khuffnya ketika mengambil wudhu sehingga jam 2.59 petang hari keempat.
Apabila seseorang itu menyapu khuffnya sewaktu bermukim (bukan dalam pelayaran) kemudian dia pergi belayar ataupun sebaliknya iaitu dia menyapu khuffnya ketika dalam pelayaran kemudian dia bermukim, maka kiraan tempohnya adalah seperti tempoh orang yang bermukim. Oleh itu, dia hanya dibolehkan menyapu khuffnya selama sehari semalam sahaja.
Bagaimana Cara Menyapu Air Pada Khuff?
Apabila seseorang itu hendak menyapu khuffnya dengan air ketika berwudhu, yang wajib disapu ialah sedikit daripada bahagian atas sebelah luar khuff. Ini adalah bercontoh daripada perbuatan Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyapu di atas kedua-dua khuff Baginda di sebelah luarnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Namun begitu, sunat juga hukumnya menyapu pada bahagian atas dan bawah khuff dengan cara berikut:
1. Masukkan (rendam) kedua-dua belah tangan ke dalam air.
2. Kemudian letakkan tapak tangan kanan dalam keadaan anak-anak jari dijarangkan pada bahagian atas khuff yang dimulai dari hujung jari-jari kedua-dua kaki sebelah kanan, dan letakkan tapak tangan kiri pada bahagian bawah tumit.
3. Setelah itu dilalukan tangan kanan hingga ke betis dan tangan kiri dilalukan hingga ke hujung jari.
4. Begitulah juga sebaliknya cara yang dilakukan apabila menyapu khuff sebelah kaki kiri.
Cara ini adalah seperti yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Aku telah menyediakan air untuk Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berwudhu pada peperangan Tabuk. Maka Baginda menyapukan air pada bahagian atas dan bawah kedua-dua khuff Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Tidak disunatkan menyapu khuff dengan berulang-ulang, bahkan menyapu secara berulang-ulang hukumnya makruh. Oleh itu adalah memadai dengan sekali sapu sahaja.
Tidak memadai dengan hanya menyapu bahagian bawah khuff sahaja, kerana tidak ada sandaran dalil yang mengatakan begitu. (Al-Majmû‘: 1/545-550)
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Sapuan Khuff
Sapuan air pada khuff terbatal dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1. Jika orang yang memakai khuff itu telah mengambil wudhu dengan cara menyapu khuff sebagai ganti membasuh kaki dan wudhunya itu masih berkekalan (tidak terbatal), lalu kedua-dua khuff atau salah satunya ditanggalkannya atau tertanggal dari kaki, maka sapuan pada khuffnya menjadi batal.
Dalam hal ini, yang wajib dilakukannya ialah membasuh kedua-dua kaki sahaja sambil berniat mengangkat hadas, tanpa perlu mengulangi keseluruhan wudhu. Kemudian barulah memakai kedua-dua khuff itu semula.
2. Apabila tempoh yang ditetapkan telah habis.
Dalam hal ini, jika orang itu masih dalam keadaan berwudhu, maka dia hanya perlu menanggalkan kedua-dua khuff dan membasuh kedua-dua kakinya sambil berniat mengangkat hadas, kemudian memakai balik kedua-dua khuffnya itu.
Manakala bagi orang yang sudah terbatal wudhunya dan hendak berwudhu semula, maka hendaklah dia berwudhu secara sempurna (seperti biasa), kemudian barulah dia memakai khuffnya.
3. Apabila berlaku perkara-perkara yang mewajibkan mandi seperti junub, haidh dan nifas ketika dalam tempoh yang dibenarkan menyapu khuff.
Dalam hal ini, hendaklah orang itu menanggalkan kedua-dua khuffnya dan melakukan mandi wajib. Selepas itu, jika dia mahu, bolehlah memakai khuffnya semula setelah sempurna suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
Perkara ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Shafwan bin ‘Assal al-Muradi Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyuruh kami ketika dalam pelayaran untuk menyapu khuff-khuff kami dan kami tidak menanggalkannya selama tiga hari kerana berak, kencing dan tidur kecuali kerana berjunub. (Hadis riwayat an-Nasa’i)
4. Apabila khuff tersebut carik atau terurai tali pengikatnya atau sebagainya dan menampakkan sebahagian daripada kaki pemakainya.
Dalam hal ini, jika orang itu masih dalam keadaan berwudhu, maka dia hanya perlu menanggalkan kedua-dua khuff dan membasuh kedua-dua kakinya sambil berniat mengangkat hadas, kemudian bolehlah memakai khuff yang sah digunakan untuk menyapu air ke atasnya ketika berwudhu. Manakala bagi orang yang sudah terbatal wudhunya dan hendak berwudhu semula, maka hendaklah dia berwudhu secara sempurna (seperti biasa), kemudian barulah dia memakai khuff.
5. Apabila berlaku sesuatu perkara yang membatalkan wudhu. Jika ini berlaku, maka ia membatalkan sapuan pada khuff. Ini kerana menyapu khuff itu adalah sebahagian daripada wudhu sebagai ganti membasuh kaki.
Oleh itu, wajiblah orang itu mengambil wudhu tanpa menanggalkan khuffnya dan menyapu khuffnya semula jika tempoh yang dibenarkan untuk menyapu khuff masih ada. Jika tempohnya sudah habis pula, hendaklah dia menanggalkan kedua-dua khuffnya dan mengambil wudhu seperti biasa.
Contoh Cara Mempraktikkan
Bagi orang yang hendak melakukan pelayaran bolehlah berbuat seperti berikut:
1. Pertama sekali ketika masih berada di rumah atau semasa berada di lapangan terbang, sebelum memakai khuff hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana biasa, iaitu dimulai dengan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua belah tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua belah kaki.
2. Setelah selesai mengambil wudhu bolehlah dia memakai kedua-dua khuffnya.
3. Ketika dalam pelayaran, umpamanya di dalam penerbangan, apabila dia hendak mengambil wudhu semula setelah terbatal wudhunya, tidaklah perlu dia menanggalkan kedua-dua khuffnya. Akan tetapi bolehlah dia mengambil wudhu sebagaimana biasa dalam keadaan memakai khuff, iaitu dimulai dengan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua-dua belah tangan dan menyapu kepala. Apabila tiba masa untuk membasuh bahagian kaki memadailah dengan hanya menyapu kedua-dua khuffnya iaitu bahagian atas khuff dengan sekali sapu, sebagai ganti membasuh kakinya. Dengan demikian sempurnalah wudhunya.
Jumlah Waktu Sembahyang Yang Dibenarkan
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn bahawa orang yang mengambil wudhu dengan menyapu khuffnya sebagai ganti membasuh kaki, jumlah sembahyang fardhu tunai yang dibenarkan baginya dengan wudhunya itu ialah:
1. Bagi orang yang dalam pelayaran dibenarkan sebanyak 16 kali sembahyang. Jika sembahyang itu dilakukan secara jama‘ pula, dibenarkan sebanyak 17 kali sembahyang.
2. Bagi orang yang bukan dalam pelayaran pula dibenarkan sebanyak enam kali sembahyang sahaja. Jika sembahyang itu dilakukan secara jama‘ pula (jama‘ kerana hujan), dibenarkan sebanyak tujuh kali sembahyang sahaja.
Adapun sembahyang qadha’ tidak ada had padanya, iaitu boleh dikerjakan seberapa banyak dengan wudhu tersebut. (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/131)
Demikian huraian mengenai menyapu khuff sebagai ganti membasuh kaki ketika mengambil wudhu. Apa yang diharapkan agar huraian tersebut akan dapat memudahkan dan meringankan beban khususnya bagi mereka yang menghadapi masalah untuk mengambil wudhu ketika berada dalam pelayaran dan seterusnya akan memudahkan lagi dalam melakukan ibadat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8878
دليل الألوان
