Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Perihal Penyusuan Anak

الجواب

Susu ibu merupakan salah satu ciptaan dan ni‘mat Allah Ta‘ala yang sangat istimewa. Bukan sahaja susu ibu itu boleh menampung dan memberikan kesemua nutrisi dan khasiat yang diperlukan sesuai mengikut keperluan tubuh anak damit (kecil), malahan dalam susu ibu itu terkandung antibodi yang berperanan memperkuatkan imun (kekebalan) tubuh anak damit untuk melawan penyakit dan jangkitan. Malahan telah diperakui bahawa susu ibu itu tiada ganti baginya, apalagi tandingannya. Ia sangat penting bagi perkembangan anak damit terutama pada peringkat awal pertumbuhan badannya.

Terdapat banyak manfaat dan kelebihan yang diperolehi daripada penyusuan anak dengan susu ibu (breast-feeding) dari segi kesihatan, psikologi, ekonomi dan persekitaran. Malahan bidang perubatan telah mengupas dengan panjang lebar akan manfaat penyusuan susu ibu yang memang telah diakui dan diterima ramai. Walaupun tumpuan utama dalam penyusuan susu ibu adalah anak tersebut, namun manfaatnya bukan hanya terhad kepada anak sahaja akan tetapi turut sama dirasakan dan dini‘mati oleh ibu yang menyusukan.

Penyusuan Susu Ibu Menurut Islam

Menurut ajaran agama Islam, penyusuan anak damit ini memang telah disyariatkan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

(Surah al-Baqarah: 233)

Hukum Memberikan Susu Pertama (Al-Libâ’) Kepada Anak

Al-libâ’ atau kolostrum ialah susu pertama yang mula-mula keluar selepas melahirkan anak. Warna kolostrum itu kuning seakan-akan warna oren dan ia menyerupai mentega yang cair. Kolostrum itu pekat dan melekit seperti sirap mapel. Menurut kajian saintifik, ia mengandungi protein yang tinggi, zat besi dan mineral yang lain. Ia juga mengandungi kurang lemak, karbohidrat dan kalori berbanding dengan air susu dada yang keluar selepas kolostrum.

Hukum memberikan kolostrum kepada anak yang baru dilahirkan adalah wajib selama anak tersebut berhajat kepadanya. Ini kerana pada kebiasaannya seorang anak itu tidak akan boleh hidup ataupun badannya tidak akan sihat atau menjadi kuat tanpa penyusuan dengan kolostrum.

Adapun tempoh anak tersebut memerlukan kolostrum adalah tertakluk kepada pendapat pakar mengenainya. Dikatakan bahawa kolostrum itu keluar dalam tempoh yang singkat sahaja, ada yang mengatakan antara tiga hari sehingga tujuh hari.

Siapakah Yang Wajib Menyusukan Anak Dengan Kolostrum?

Menyusukan anak dengan kolostrum itu dipertanggungjawabkan ke atas si ibu. Ibu wajib menyusukan anaknya yang baru lahir dengan kolostrum, sekalipun terdapat perempuan lain yang boleh menggantikan si ibu untuk menyusukannya dengan kolostrum. Apabila tempoh penyusuan anak dengan kolostrum telah berakhir, maka:

1. Jika tidak didapati orang lain yang boleh menyusukannya selain ibunya, maka wajib ke atas si ibu menyusukan anaknya itu.

2. Jika hanya perempuan lain selain ibunya yang boleh menyusukan, umpamanya si ibu tidak berupaya atau meninggal dunia, maka wajib ke atas perempuan tersebut untuk menyusukan anak tersebut.

Kewajipan ini adalah untuk menjaga keselamatan dan kelangsungan hidup anak tersebut.

3. Jika kedua-duanya, iaitu ibu dan perempuan lain, boleh menyusukannya, maka bolehlah di antara kedua-dua mereka menyusukannya dan jika si ibu enggan, tidak boleh dipaksa untuk menyusukannya.

Ganjaran Kepada Ibu Yang Menyusukan Anak

Seorang ibu yang bersusah-payah mengandung dan menanggung keperitan melahirkan kemudian menyusukan anaknya akan diberi ganjaran yang sangat hebat. Ganjaran menyusukan anak ini disebut dalam beberapa riwayat antaranya:

1. Sebuah hadits yang panjang daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Salamah, pengasuh Ibrahim putera Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada Baginda.

Maksudnya: Wahai Rasulullah, Tuan telah menggembirakan kaum lelaki dengan (memberitahu mereka) setiap kebaikan (yang boleh dikerjakan serta ganjarannya). Dan Tuan tidak menggembirakan kaum perempuan (dengan memberitahu setiap kebaikan yang boleh dikerjakan). Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah teman-temanmu meyakinkanmu (untuk bertanya) mengenai perkara ini?” Salamah menjawab: “Ya, mereka telah menyuruhku.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah salah seorang daripada kamu tidak redha jika sekiranya dia mengandungkan anak suaminya, dan dia (suaminya) dalam keadaan redha akan isterinya, sesungguhnya bagi isterinya (pahala) seumpama seorang yang berjihâd; berpuasa dan bersembahyang di jalan Allah. (Begitu juga) ketika dia dalam kesakitan ketika melahirkan, tiada sesiapapun daripada ahli langit mahupun ahli bumi yang mengetahui akan ganjaran yang tersembunyi yang bakal diperolehinya, berupa cahaya mata (kesenangan-ُيقرة أع ). (Begitu juga) setelah dia melahirkantidak (akan disia-siakan) tegukan yang memenuhi mulut anaknya dan hisapan hasil daripada air susunya (ibu), melainkan baginya ganjaran; setiap tegukan dan hisapan itu (diberikan) satu kebaikan. (Begitu juga) sekiranya dia dibangunkan (tidak tidur) pada waktu malam (oleh anaknya), maka diberikan dia ganjaran serupa dengan ganjaran memerdekakan tujuh puluh orang hamba di jalan Allah.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa:

i. Seorang isteri yang mengandungkan anak suaminya dan suaminya itu dalam keadaan redha kerana isterinya seorang yang taat kepada suami dan agama, maka diberikan isteri tersebut sepanjang kehamilannya itu, ganjaran seumpama seorang yang berjihâd di jalan Allah, iaitu umpama orang yang berpuasa pada siang hari dan bangun bersembahyang pada malam hari.

ii. Tatkala dia merasakan kesakitan ketika melahirkan, tiada suatu makhluk pun di bumi dan di langit daripada kalangan manusia, jin, para malaikat dan selain mereka ini mengetahui akan ganjaran yang tersembunyi yang Allah telah janjikan baginya berupa kesenangan dan ni‘mat. Ini adalah sebagai balasan baginya atas kepayahan yang ditanggungnya sepanjang dia mengandung dan kesabarannya atas kesakitan ketika melahirkan anak dan penjagaannya terhadap kandungan tersebut, dan kesemua itu berserta keredhaan suaminya.

iii. Setelah melahirkan, setiap tegukan dan titisan air susu yang diminum oleh anak daripada ibunya itu tidak disia-siakan, malahan dituliskan baginya dalam lipatan buku-buku catatannya pada Hari Kiamat bahawa setiap satu tegukan dan titisan itu diberikan ganjaran satu kebaikan.

iv. Ketika dia tidak tidur lena pada waktu malam kerana disedarkan oleh karenah dan tangisan anaknya, diberikan baginya ganjaran seperti seorang yang memerdekakan 70 (tujuh puluh) orang hamba di jalan Allah.

2. Riwayat daripada Sa‘id bin Jubair daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:

Maksudnya: Seorang perempuan di sepanjang tempoh kehamilannya sehinggalah dia melahirkan sehinggalah dia melepaskannya (tidak lagi menyusukan anak tersebut) umpama seorang yang berjihâd di jalan Allah. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Beberapa Hukum Berkaitan Perempuan Yang Menyusukan

Berikut dibawakan penjelasan kepada beberapa masalah hukum yang berkaitan dengan perempuan yang menyusukan anaknya:

1. Berpuasa dan menyusukan anak.

Seorang ibu yang menyusukan anak tidak menghalangnya daripada menunaikan ibadat puasa, dengan syarat tidak memudharatkan ibu atau anak yang disusukan. Keupayaannya berpuasa juga tertakluk kepada kesihatan dan persediaan yang dibuatnya ketika berpuasa.

Namun kadang-kala ibu yang menyusukan menghadapi beberapa masalah semasa berpuasa, sama ada masalah itu ditakuti menjejaskan ibu atau anaknya, ataupun kedua-duanya sekali. Dalam kedua-dua keadaan ini, perempuan yang

menyusukan tadi diberikan rukshah atau keringanan oleh syara‘ untuk berbuka puasa. Malahan diwajibkan untuk berbuka andaikata jika dia meneruskan juga berpuasa akan mendatangkan mudharat.

Memandangkan dia telah berbuka puasa, maka dia juga diwajibkan untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dan juga membayar fidyah dalam keadaan tertentu seperti berikut:

i. Jika dia berbuka kerana takut mudharat ke atas dirinya sahaja, maka dia diwajibkan mengqadha’ puasanya yang ditinggalkannya sahaja dan tidak dikenakan fidyah.

ii. Jika dia berbuka kerana takut mudharat ke atas dirinya dan juga anaknya, maka dia diwajibkan mengqadha’ puasanya sahaja dan tidak dikenakan fidyah.

iii. Jika dia berbuka kerana takut mudharat ke atas anaknya sahaja, umpamanya jika dia berpuasa, anaknya pasti kehausan kerana air susu akan kering, maka dia diwajibkan kedua-duanya sekali, iaitu qadha’ dan fidyah. Dalam keadaan ini dia diwajibkan membayar fidyah kerana dia berbuka untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berupaya menunaikan puasa.

Hukum perempuan hamil adalah serupa dengan hukum perempuan yang menyusukan anaknya dari segi rukhshah (keharusan) berbuka. Begitu juga dengan kewajipan mengqadha’ puasa yang ditinggalkan dan membayar fidyah.

2. Hamil dan menyusukan anak.

Islam telah mensyariatkan supaya anak disusukan dengan susu ibu. Bagi perempuan yang hamil pula, adakah terdapat sebarang tegahan syara‘ daripada menyusukan anaknya? Penjelasan mengenai perkara ini telah diambil daripada riwayat ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Judamah binti Wahab al-Asadiyyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya aku sangat bimbang sehingga aku benar-benar berhasrat untuk menegah al-ghîlah. Kemudian aku memerhatikan orang-orang Rom dan Parsi. Sungguhpun mereka itu melakukannya (al-ghîlah) pada anak-anak mereka, namun tidak ada kesan mudharat pada anak-anak mereka. (Hadits riwayat Muslim)

Apa yang dapat difahami daripada hadits di atas bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengharuskan perbuatan ghîlah kerana alasan atau sebab seperti yang telah disebutkan dalam hadits di atas.

Menurut ulama, al-ghîlah dalam hadits di atas mempunyai dua maksud, iaitu:

i. Perbuatan suami menyetubuhi isterinya ketika dia sedang menyusukan anak.

ii. Perbuatan wanita menyusui anak ketika dia sedang hamil (mengandung).

Sebab utama mengapa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam hampir-hampir menegah perbuatan al-ghîlah ialah kerana ditakuti akan memudharatkan anak yang sedang menyusu itu.

Selain itu orang-orang Arab pada ketika itu tidak menyukai dan melarang menyetubuhi perempuan yang menyusukan anak dan juga melarang perempuan yang sedang hamil menyusukan anak. Mereka sangat bimbang dan takut akan perbuatan al-ghîlah kerana mempercayai bahawa perbuatan sedemikian akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada susu ibu, iaitu merosakkannya dan boleh membawa penyakit. Ini akan memudharatkan anak yang sedang menyusu itu dan menyebabkan badannya tidak sihat dan kuat.

Oleh kerana bimbang akan kesan tersebut, maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berhasrat melarang al-ghîlah. Namun hasil daripada penelitian Baginda bahawa al-ghîlah merupakan suatu kebiasaan bagi orang-orang Rom dan Parsi dan tiada kesan buruk terjadi kepada anak-anak mereka, maka Baginda pun tidak melarangnya. Di samping itu, jika perbuatan itu mendatangkan mudharat, pasti thabib-thabib yang banyak di kalangan mereka akan melarang dan menghalang perbuatan al-ghîlah.

Walau bagaimanapun perkara ini tertakluk kepada mereka yang mempunyai kepakaran untuk menentukan sama ada perbuatan al-ghîlah boleh memudharatkan anak yang sedang menyusu ataupun tidak. Jika ia boleh memudharatkan, maka ia perlu dijauhi.

3. Muntah anak damit (kecil).

Muntah termasuk dalam benda yang dihukumkan najis menurut syara‘. Anak yang masih kecil sering kali mengalami muntah atau dalam bahasa Brunei disebut ‘muak’. Pada kebiasaannya agak sukar untuk mengetahui adanya muntah dan membersihkannya, kerana muntah itu adakalanya masih berada di dalam mulut anak tersebut. Khusus kepada ibu yang menyusukan anaknya secara penyusuan susu ibu, pasti muntah yang masih tersisa dalam mulut anak tadi terkena atau melekat pada bahagian dada ibu tanpa disedari ketika menyusukan anak. Persoalannya adakah muntah anak berkenaan yang terkena dada atau anggota ibu tadi wajib dibersihkan? Perkara ini ditimbulkan kerana kaitannya dengan pelaksanaan ibadat si ibu, seperti sembahyang.

Menurut ulama, najis yang terdapat pada mulut anak damit adalah termasuk antara najis yang dimaafkan. Jika seorang ibu menyusukan anaknya dan terdapat najis, umpamanya muntah, pada zahir atau dalam mulut anak itu, lalu najis tersebut melekat pada dada ibu, maka najis tersebut juga termasuk dalam najis yang dimaafkan.

Oleh yang demikian, si ibu boleh bersembahyang tanpa diwajibkan untuk membasuh atau membersihkan najis itu terlebih dahulu. Sama juga hukumnya apabila seseorang mencium anak damit pada mulutnya, lalu lembapan atau air liur yang mungkin bercampur najis itu melekat atau berpindah pada seseorang itu, maka tidak dimestikan untuknya membersihkan najis tersebut.

Sebagai kesimpulan, memandangkan kepentingan pemberian kolostrum (al-libâ’) kepada pertumbuhan dan pembesaran anak, maka adalah tidak wajar perkara itu diabaikan oleh ibu-ibu, apalagi menurut ulama Syafi‘iyyah, ibu berkewajipan menyusukan anak yang baru lahir dengan kolostrum semasa tempoh keluarnya kolostrum.

Dalam sesetengah keadaan, sebagai meringankan beban para ibu yang sedang menyusukan anak, dikurniakan kepada mereka beberapa kelonggaran atau rukhshah dalam mengerjakan ibadat, umpamanya diberikan keringanan untuk berbuka puasa, jika ditakuti akan menjejaskan diri mereka atau anak yang mereka susui.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8903

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص