Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Perlukah Berhutang Untuk Mengerjakan Ibadat Haji?

الجواب

Antara tuntutan agama Islam yang wajib ditunaikan ialah ibadat haji. Ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia wajib ditunaikan oleh orang Islam yang mukallaf yang memenuhi syarat-syarat tertentu, sekali seumur hidupnya.

Syarat Wajib Haji

Menurut para ulama, syarat-syarat wajib haji dan juga umrah ialah: Islam, bâligh, berakal, merdeka dan istithâ‘ah. Apakah yang dimaksudkan istithâ‘ah di sini? Istithâ‘ah membawa maksud berkuasa atau berkemampuan untuk menunaikan haji.

Ini dijelaskan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. (Surah Âli ‘Imran: 97)

Ayat di atas menjelaskan bahawa haji diwajibkan ke atas orang yang berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakannya.

Istithâ‘ah sebagai syarat wajib menunaikan haji itu terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Istithâ‘ah mubâsyarah binafsih iaitu mampu mengerjakan sendiri ibadat haji dengan adanya kemampuan dari segi harta dan fizikal.

Kedua: Istithâ‘ah bighairih iaitu mampu mengerjakan ibadat haji dengan perantaraan orang lain kerana kemampuannya untuk mengerjakan ibadat haji dari segi harta sahaja, seperti orang yang wajib ke atasnya haji sebelum dia meninggal dunia, maka wajib ditunaikan haji bagi pihak dirinya dengan harta peninggalannya, orang terlalu tua atau orang sakit yang tidak berupaya mengerjakan hajinya kecuali dengan mengupah orang lain untuk mengerjakan haji bagi pihak dirinya.

Syarat Istithâ‘ah Mubâsyarah Binafsih

Orang yang mampu mengerjakan sendiri ibadat haji kerana kemampuannya dari segi harta dan fizikal terikat dengan beberapa syarat, iaitu:

1. Mempunyai perbelanjaan atau bekalan yang mencukupi untuk dirinya ketika dalam perjalanan pergi dan balik dan sewaktu dia melaksanakan ibadat haji, serta perbelanjaan sara hidup bagi orang yang diwajibkan ke atasnya menanggung nafkahnya semasa dalam pelayarannya.

2. Terdapat kenderaan untuk perjalanannya umpamanya kapal terbang, kapal laut, bas dan sebagainya, sama ada miliknya sendiri ataupun disewa dengan kadar sewaan biasa atau sewaan semasa menurut keadaan, tempat dan waktu.

Syarat ini adalah bagi orang-orang yang tinggal sejauh dua marhalah atau lebih dari Makkah al-Mukarramah iaitu jarak perjalanan yang membolehkan diqasharkan sembahyang.

Kedua-dua syarat di atas ada disebutkan dalam hadits Baginda Shallallâhu ‘alahi wasallam daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah syarat yang mewajibkan haji itu?” Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

3. Hendaklah aman dan selamat dalam perjalanannya daripada bahaya, seperti binatang buas ataupun musuh. Perkara ini bukan sahaja ke atas dirinya tetapi juga ke atas hartanya, kehormatannya dan juga keselamatan orang-orang yang bersamanya.

4. Sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan atau kesukaran yang tidak dapat ditanggung menurut kebiasaannya dalam perjalanan umpamanya kerana tua atau sakit.

5. Mempunyai kesempatan dan masa bagi mengerjakan fardhu haji. Maksudnya ialah seseorang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji pada ketika itu mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat urusan dan melakukan perjalanan bagi mengerjakan fardhu haji.

6. Bagi perempuan, hendaklah ditemani oleh suaminya atau mahramnya atau perempuan-perempuan yang boleh dipercayai berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam:

Maksudnya: Janganlah seorang perempuan belayar kecuali bersamanya suaminya atau mahramnya. (Hadits riwayat Muslim)

Maka jika salah satu daripada syarat-syarat istithâ‘ah tersebut tidak dipenuhi, maka tidaklah diwajibkan ke atas seseorang itu untuk mengerjakan ibadat haji.

Mengerjakan Haji Dengan Berhutang

Islam telah menetapkan bahawa ibadat haji tidak wajib ke atas orang yang tidak berharta. Islam juga telah menetapkan bahawa orang yang tidak berharta adalah tidak diwajibkan berhutang untuk mengerjakan ibadat haji. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Abu Awfa Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku pernah bertanya kepadanya (Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam) tentang seorang lelaki yang belum lagi menunaikan haji: “Adakah dia perlu berhutang untuk menunaikan haji itu?” Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam menjawab: “Tidak.” (Musnad asy-Syafi‘e)

Begitu juga dalam sebuah atsar yang diriwayatkan daripada Thariq Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku pernah mendengar anak Abu Awfa (salah seorang sahabat Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam) ditanya berkenaan seorang lelaki yang mahu berhutang dan mengerjakan haji (dengan hutangnya itu), beliau berkata: “Mohonlah rezeki kepada Allah dan jangan berhutang.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dalam hal ini juga, Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyebutkan dalam kitab beliau al-Majmû‘:

Ertinya: Apabila sudah tidak wajib (haji itu) ke atas orang yang memang sedia ada hutangnya kerana hutangnya itu, maka tidak wajib berhutang (untuk pergi haji) itu adalah lebih awlâ (utama) lagi.

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata lagi:

Ertinya: Telah berkata ulama-ulama asy-Syafi‘iyyah: “Sekiranya orang yang memberi hutang itu setuju hutang itu dibayar kemudian sehingga (orang yang berhutang itu) pulang daripada mengerjakan haji, ibadat haji itu masih tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu tanpa percanggahan pendapat.” Oleh itu, tidak dituntut dalam Islam menunaikan ibadat haji dengan berhutang, kerana pada dasarnya orang yang berhutang dan orang yang mempunyai hutang dianggap sebagai orang yang belum mempunyai kemampuan (istithâ‘ah) untuk mengerjakan haji.

Islam Tidak Menggalakkan Berhutang Untuk Mengerjakan Ibadat Haji

Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Ini dijelaskan dalam al- Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. (Surah al-Baqarah:185)

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:

Tafsirnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: 286)

Dalam konteks ini, jika syarat-syarat wajib haji tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka tidaklah wajib baginya pergi mengerjakan haji, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Berhutang kerana tujuan tersebut adalah suatu perkara yang tidak dituntut oleh agama, kerana berhutang sangat membebankan dan boleh membawa akibat yang buruk seperti berlakumya kesusahan dan mengandungi risiko yang tinggi bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan tentang orang yang berhutang dengan sabda Baginda:

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya. (Hadits riwayat Malik)

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lagi:

Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung kerana hutangnya (yang belum dibayar) sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Kedudukan Haji Orang Yang Berhutang

Walau bagaimanapun, sekiranya orang yang berhutang itu mengerjakan haji juga dengan duit yang dipinjamnya, maka ibadat haji yang dikerjakannya itu sah sebagai haji fardhu dalam Islam. Apabila suatu hari nanti, jika dia sudah berkemampuan untuk mengerjakan haji, maka dia tidak lagi diwajibkan atau dituntut untuk mengerjakannya. Ini jelas disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Adapun untuk dikira haji yang dikerjakan itu menjadi haji Islam (haji fardhu), maka syaratnya ada empat perkara: Islam, berakal, merdeka dan bâligh. Jika seorang fakir berusaha dengan bersusah payah (untuk mendapatkan perbelanjaan bagi tujuan) mengerjakan haji, maka haji itu menjadi haji Islam.

Beliau berkata lagi dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Maka memadailah (sah) haji seorang yang fakir (yang berusaha dengan bersusah payah untuk mendapatkan perbelanjaan mengerjakan haji).

Begitu juga asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâhu Ta‘âlâ ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di atas dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj, beliau berkata:

Ertinya: (Dan begitu juga memadai (sah) haji yang dilakukan oleh) setiap orang yang tidak berkemampuan apabila terkumpul merdeka dan taklîf (berakal dan bâligh).

Sebagai kesimpulan, orang yang tiada kemampuan dari segi kewangan, tidaklah perlu dia menyusahkan dirinya dengan berhutang untuk mengerjakan ibadat haji yang merupakan salah satu rukun Islam, apatah lagi bagi orang yang sudah mengerjakan haji atau umrah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8913

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص