Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Sembahyang Jemaah: Makmum Lambat Mengikut Perbuatan Imam

الجواب

Salah satu syarat mengerjakan sembahyang jemaah itu ialah makmum wajib mengikut imam dalam perbuatan sembahyang. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh itu, jika dia bertakbîr maka kamu pun ikut bertakbîr dan jika dia ruku‘ maka kamu pun ikut ruku‘ dan jika dia bangkit (dari ruku‘) maka kamu pun bangkit dan jika dia membaca: “ َّنَا لَك َ ا ْلَْمْد رَب” dan jika dia sujud maka kamu pun sujud. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Cara yang lebih sempurna dalam perkara mengikut perbuatan imam dalam sembahyang ini ialah makmum mula melakukan perbuatan sembahyang setelah imam sampai melakukan perbuatan sembahyang tersebut.

Jika makmum senghaja mendahului imam dengan satu rukun fi‘li (rukun perbuatan dalam sembahyang) tidaklah membatalkan sembahyangnya. Tetapi jika mendahuluinya dengan dua rukun fi‘li maka batallah sembahyangnya.

Pada dasarnya makmum tidak boleh mendahului imam. Perbuatan mendahului imam jika dilakukan dengan senghaja adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apakah tidak takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah Subhânahu wa Ta‘ala akan menukarkan kepalanya dengan kepala keldai? (Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana pula jika makmum terlambat mengikut imam sehingga imam mendahuluinya satu atau lebih daripada perbuatan-perbuatan sembahyang? Sebagai contoh imam sudah mula tunduk untuk melakukan sujud sedangkan makmum masih ruku‘. Adakah perkara ini boleh merosakkan sembahyang makmum itu?

Penjelasan mengenai persoalan makmum terlambat mengikut imam ini adalah mengikut keadaan-keadaannya seperti berikut:

1. Makmum yang lambat mengikut imam pada satu rukun fi‘li sama ada rukun fi‘li itu panjang ataupun pendek dengan senghaja ataupun disebabkan keuzuran, tidaklah ia membatalkan sembahyang kerana ketinggalan yang sedikit.

Maksud rukun fi‘li yang panjang ialah berdiri (qiyâm), ruku‘, sujud dan duduk tasyahhud akhir. Sementara maksud rukun fi‘li yang pendek ialah i‘tidâl dan duduk di antara dua sujud.

Adapun yang dimaksudkan dengan ‘keuzuran’ itu ialah seperti makmum lambat mengikut imam disebabkan imam terlalu cepat atau makmum lambat membaca surah al-Fâtihah atau bacaannya kurang lancar dan bukan kerana was-was membaca surah al-Fâtihah ataupun lambat kerana sibuk membaca doa al-Iftitâh dan at-ta‘awwudz ( ِ َّي َْان ِ الرَّجِيم ُ ِبِهلل ِ مِن َ الش أَعُوذ) sebelum surah al-Fâtihah. Sementara maksud‘ bukan kerana keuzuran’ ialah seperti makmum lambat mengikut imam disebabkan membaca surah selepas al-Fâtihah atau tasbîh ruku‘ dan sujud.

Contoh lambat pada satu rukun fi‘li yang panjang:

Imam sudah mula bangkit melakukan i‘tidâl sedang makmum masih berdiri membaca surah. Ini bererti makmum terlambat mengikut imam pada ruku‘.

Contoh lambat pada satu rukun fi‘li yang pendek:

Imam sudah mula melakukan sujud kedua sedang makmum masih melakukan sujud pertama. Ini bererti makmum terlambat mengikut imam pada duduk di antara dua sujud.

2. Makmum yang lambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang ataupun pendek dengan senghaja, adalah ia membatalkan sembahyang kerana terlalu banyak ketinggalan.

Contoh lambat pada dua rukun fi‘li yang panjang:

Imam sudah mula melakukan i‘tidâl pada rakaat kedua sedang makmum masih melakukan sujud kedua pada rakaat pertama. Ini bererti makmum terlambat mengikut imam pada berdiri dan ruku‘ rakaat kedua.

Contoh lambat pada satu rukun fi‘li yang panjang dan satu lagi yang pendek:

Imam sudah mula melakukan sujud sedang makmum masih berdiri membaca surah. Ini bererti makmum terlambat mengikut imam pada ruku‘ dan i‘tidâl.

3. Makmum yang lambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang ataupun pendek dengan sebab keuzuran, tidaklah ia membatalkan sembahyang.

Contoh-contohnya sama dengan perkara (2) di atas, akan tetapi dalam perkara (3) ini, makmum lambat mengikut imam kerana ada keuzuran seperti tidak lancar membaca surah al-Fâtihah.

Persoalan yang timbul juga daripada masalah ini, apabila makmum terlambat mengikut imam kerana membaca surah al-Fâtihah, adakah makmum perlu menghabiskan bacaan surah al-Fâtihah ataupun memutuskan bacaannya dan terus mengikut perbuatan imam?

Untuk menjawab persoalan ini, perlu diketahui terlebih dahulu bahawa makmum itu terbahagi kepada dua:

1. Muâfiq, iaitu makmum yang sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat.

2. Masbûq, iaitu makmum yang tidak sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat.

Makmum Yang Muâfiq

Makmum yang muâfiq jika dia masih berdiri membaca surah al-Fâtihah kerana imam terlalu cepat atau makmum lambat membaca surah al-Fâtihah atau bacaannya kurang lancar, lalu imam mula melakukan ruku‘ atau sujud yang kedua, maka wajib makmum itu menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah. Kemudian setelah itu barulah dia melakukan ruku‘ dan seterusnya mengikut urutan perbuatan sembahyang. Namun dalam hal ini, janganlah makmum terlambat mengikut imam sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang. Jika makmum terlambat juga sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang, maka hendaklah dia terus mengikut perbuatan sembahyang imam dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu.

Contoh:

Imam sudah mula berdiri pada rakaat kedua sedang makmum masih berdiri pada rakaat pertama membaca surah al-Fâtihah kerana bacaannya kurang lancar. Ini bererti makmum terlambat mengikut imam pada tiga rukun fi‘li yang panjang iaitu ruku‘, sujud pertama dan sujud kedua.

Maka dalam hal ini, tidaklah perlu lagi makmum melakukan rukun fi‘li yang dia sudah ketinggalan itu bahkan hendaklah dia terus mengikut imam yang sedang berdiri pada rakaat kedua dan bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu. Ini bererti makmum tidak menyempati rakaat pertama imam.

Makmum Yang Masbûq

1. Makmum yang masbûq, jika dia sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam maka makmum tersebut dikira menyempati rakaat imam.

Contoh:

Imam mula melakukan ruku‘ sedang makmum baru hendak mula sembahyang. Dalam keadaan ini hendaklah makmum mengangkat takbîratul-ihrâm tanpa perlu membaca surah al-Fâtihah dan terus sahaja dia mengangkat takbîr lagi untuk melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam.

Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir: “ س بحان هللا” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.

2. Makmum yang masbûq, jika dia tidak sempat ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam maka tidaklah dia dikira menyempati rakaat imam. Oleh itu, hendaklah makmum tersebut bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu.

Contoh (i):

Imam mula melakukan sujud pertama sedang makmum baru hendak mula sembahyang. Dalam keadaan ini hendaklah makmum mengangkat takbîratul-ihrâm dan terus sahaja mengangkat takbîr lagi untuk melakukan sujud bersama imam. Kemudian dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu.

Contoh (ii):

Makmum baru hendak melakukan ruku‘ sedang imam mula bangkit melakukan i‘tidâl. Dalam keadaan ini hendaklah makmum terus mengikut imam melakukan i‘tidâl tanpa melakukan ruku‘. Kemudian bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu.

3. Sunat bagi makmum yang masbûq tidak membaca perkara-perkara yang sunat selepas takbîratul-ihrâm iaitu do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz, tetapi dia terus sahaja membaca surah al-Fâtihah selepas takbîratul-ihrâm melainkan jika dia menyangka dapat menyempati imam apabila dia membaca perkara sunat itu.

Jika makmum yang masbûq sedang membaca surah al-Fâtihah lalu imam melakukan ruku‘ maka dalam hal ini dilihat pada dua keadaan:

i. Makmum masbûq yang tidak membaca doa al-iftitâh atau at-ta‘awwudz selepas takbîratul-ihrâm:

Jika imam melakukan ruku‘ ketika makmum sedang membaca surah al- Fâtihah, hendaklah dia memutuskan bacaan surah al-Fâtihah dan terus sahaja mengikut imam melakukan ruku‘. Ini bererti makmum tersebut dikira menyempati rakaat imam walaupun tidak membaca keseluruhan surah al-Fâtihah.

Adapun jika makmum tersebut meneruskan juga bacaan surah al-Fâtihah sehingga imam mula bangkit melakukan i‘tidâl maka tidaklah dia dikira menyempati rakaat imam. Malah jika dia meneruskan bacaan surah al- Fâtihah sedang imam mula melakukan sujud maka batallah sembahyang makmum itu kerana terlambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li dengan tiada keuzuran.

ii. Makmum masbûq yang membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz sebelum membaca surah al-Fâtihah:

Jika imam melakukan ruku‘, hendaklah makmum tersebut membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya sebelum surah al-Fâtihah. Kemudian setelah dia membaca kadar surah al-Fâtihah yang wajib itu barulah dia melakukan ruku‘ bersama imam.

Ini bererti makmum tersebut dikira menyempati rakaat imam asalkan dia sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam. Namun jika dia tidak sempat melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah bersama imam maka tidaklah dikira dia menyempati rakaat imam dan hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu.

Contoh:

Imam mula melakukan ruku‘ sedang makmum yang masbûq membaca at-ta‘awwudz. Dalam keadaan ini, hendaklah makmum tersebut membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf at-ta‘awwudz. Kemudian setelah itu baharulah dia melakukan ruku‘ bersama imam. Jika makmum tersebut tidak membaca kadar surah al-Fâtihah yang wajib itu dan dia terus mengikut imam melakukan ruku‘ maka batallah sembahyangnya.

Sebagai kesimpulan, ternyata dalam bab sembahyang ini banyak ilmu yang perlu kita ketahui, contohnya dalam masalah yang baru kita bincangkan ini iaitu makmum yang terlambat mengikut perbuatan sembahyang imam. Oleh sebab itu, mempelajari perkara-perkara yang terdapat dalam ibadat sembahyang amat penting untuk diambil perhatian. Ini kerana, jika tidak diambil perhatian adakalanya boleh menyebabkan rakaat makmum itu tidak dikira dan lebih jauh daripada itu boleh menyebabkan sembahyang menjadi batal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8966

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص