Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز٠ مشاهدة

Pohonkan Rahmat Untuk Si Mati Melalui Sembahyang Jenazah

الجواب

Apabila berlakunya kematian terdapat empat perkara yang berkaitan dengan pengurusan jenazah yang wajib dilakukan oleh orang yang hidup. Empat perkara itu ialah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan mayat si mati. Harapan orang hidup pula ialah semoga si mati akan berada dalam rahmat Allah Ta‘ala, terhindar daripada seksa kubur dan bersemadi dengan tenang di alam barzakh. Salah satu cara untuk membantu si mati meringankan bebannya di alam barzakh ialah melalui do‘a yang dibaca ketika menyembahyangkan jenazahnya.

Inilah yang dilakukan oleh Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika bersembahyang ke atas jenazah, Baginda mendo‘akan orang yang meninggal itu supaya mendapat rahmat dan keampunan. Berdo‘a untuk mayat adalah tujuan utama dalam sembahyang jenazah.

Secara umum kaifiat sembahyang jenazah berbeza dengan sembahyang-sembahyang yang lain kerana dalam sembahyang jenazah tidak terdapat ruku’ dan sujud. Ia dilakukan dengan berdiri sahaja dan dengan empat kali takbîr.

Sembahyang ke atas jenazah orang Islam hukumnya adalah fardhu kifâyah berdasarkan hadits riwayat daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyanglah kamu ke atas (jenazah) sahabat kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang jenazah boleh dikerjakan pada bila-bila masa dan tidak makruh mengerjakannya pada waktu-waktu yang ditegah melakukan sembahyang. Ini kerana sembahyang jenazah merupakan antara sembahyang yang mempunyai sebab. Namun, makruh melambat-lambatkan sembahyang tersebut sehingga sampai pada waktu-waktu yang ditegah itu. Syarat-syarat Sembahyang Jenazah Syarat-syarat dalam sembahyang jenazah adalah seperti syarat-syarat dalam sembahyang yang lain iaitu menutup aurat, suci daripada hadas kecil dan besar, bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang serta menghadap qiblat.

Sembahyang jenazah memadai jika dilakukan oleh seorang sahaja walaupun dikerjakan oleh seorang kanak-kanak yang mumayyiz. Ini kerana sembahyang jenazah itu tidak disyaratkan berjemaah akan tetapi sunat hukumnya jika dilakukan secara berjemaah. Tidak memadai jika sembahyang jenazah itu dilakukan oleh perempuan apabila terdapat daripada kalangan yang hadir itu kaum lelaki sama ada yang dewasa atau kanak-kanak yang mumayyiz. Namun jika tidak ada kaum lelaki pada ketika sembahyang jenazah hendak dilakukan, maka wajib ke atas kaum perempuan melakukan sembahyang jenazah itu. Dalam hal ini, tuntutan fardhu kifâyah itu sudah dianggap terlaksana. Begitu juga, sunat ke atas kaum perempuan itu melaksanakan sembahyang jenazah itu secara berjemaah.

Kedudukan Imam dan Mayat Ketika Sembahyang Jenazah

Dalam perkara meletakkan jenazah ketika menyembahyangkannya adalah disyaratkan jenazah itu diletakkan di hadapan imam. Begitu juga jika sembahyang jenazah itu dilakukan di atas tanah perkuburan, maka hendaklah kedudukan kubur si mati berada di hadapan imam dengan imam itu menghadap ke arah qiblat.

Sunat bagi Imam berdiri menghadap pada bahagian kepala jenazah jika jenazah itu lelaki. Jika jenazah itu perempuan maka sunat imam menghadap pada bahagian pinggul atau tulang rusuk.

Jika jenazah itu lelaki maka afdhal meletakkan kedudukan kepalanya di bahagian sebelah kiri imam dan kedudukan bahagian kakinya di bahagian sebelah kanan imam. Jika jenazah itu perempuan maka afdhal meletakkan kedudukan kepalanya di bahagian sebelah kanan imam dan kedudukan kakinya di bahagian sebelah kiri imam seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.

Jika jenazah itu ramai dan bercampur mayat lelaki, perempuan dan kanak-kanak, maka boleh disembahyangkan secara serentak dengan meletakkan mayat-mayat itu di hadapan imam mengikut keutamaan mereka. Kedudukan mayat lelaki lebih dekat dengan imam, diikuti mayat kanak-kanak, kemudian mayat khuntsâ dan akhirnya diikuti mayat perempuan.

Namun adalah afdhal jika jenazah yang ramai itu disembahyangkan seorang demi seorang. Demikian pendapat al-Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab al-Majmû‘. Beliau menyatakan bahawa lebih afdhal menyembahyangkan jenazah yang ramai itu seorang demi seorang kerana akan memperbanyakkan amalan dan amalan yang banyak lebih diharapkan akan diterima.

Dari sudut yang lain, menyembahyangkan mayat seorang demi seorang akan lebih memudahkan kepada makmum yang tidak tahu berbahasa arab, kerana jika mayat yang disembahyangkan itu lebih daripada seorang umpamanya, maka akan berubahlah ganti nama yang merujuk kepada mayat yang disembahyangkan yang terkandung di dalam do‘a sembahyang jenazah itu dan hendaklah ditukar kepada ganti nama dua orang sama ada lelaki atau perempuan, iaitu seperti “ اَللَّهُم َّ اغْفِر ْ َلَُمَا... ”. Begitu juga jika jenazah itu ramai dan terdiri daripada kalangan orang-orang lelaki, maka do‘a dalam sembahyang mayat itu hendaklah ditukar kepada ganti nama jama‘ (ramai) bagi lelaki iaitu seperti “ ِ اَللَّهُم َّ اغْف....ْر ْ َلَُم ”. Manakala jika jenazah itu ramai dan terdiri daripada kalangan orang-orang perempuan, maka do‘a dalam sembahyang mayat itu hendaklah ditukar kepada ganti nama jama‘ (ramai) bagi perempuan iaitu

Rukun Sembahyang Jenazah

Rukun sembahyang jenazah ada tujuh perkara, iaitu:

1. Niat

Waktu berniat bagi sembahyang jenazah ini adalah sama seperti mana sembahyang-sembahyang lain iaitu wajib niat itu beriringan dengan takbîratul-ihrâm. Memadai niat itu dengan menyebut perkataan fardhu sahaja tanpa menyebut perkataan kifâyah, contohnya:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas mayat lelaki ini empat takbîr fardhu kerana Allah Ta‘ala.

Niat sembahyang bagi jenazah perempuan ialah:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas mayat perempuan ini empat takbîr fardhu kerana Allah Ta‘ala. Tidak wajib dalam niat itu menentukan atau menyebut nama mayat yang disembahyangkan, umpamanya Zaid atau ‘Umar melainkan dalam niat sembahyang jenazah ghaib. Jika ditentukan nama mayat dalam sembahyang jenazah yang hadir, kemudian nama yang ditentukan itu ternyata salah, maka batal atau tidak sah sembahyang jenazah itu.

Adalah memadai bagi makmum jika berniat dalam sembahyang jenazah dengan niat sembahyang ke atas jenazah yang disembahyangkan oleh imam, contohnya:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang ke atas jenazah yang disembahyangkan oleh imam empat takbîr fardhu menjadi makmum/mengikut imam kerana Allah Ta‘ala.

2. Berdiri.

Hendaklah berdiri ketika melakukan sembahyang jenazah bagi yang mampu berdiri.

3. Mengangkat empat kali takbîr.

Hendaklah dilakukan sembahyang jenazah itu dengan empat kali takbîr termasuk takbîratul-ihrâm.

4. Membaca surah al-Fâtihah.

Selepas takbîr pertama iaitu takbîratul-ihrâm hendaklah dibaca surah al- Fâtihah sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Tidak (sah) sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fâtihah al-Kitâb (surah al-Fâtihah). (Hadits riwayat al-Bukhari)

5. Membaca selawat ke atas Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Selepas takbîr kedua hendaklah dibaca selawat ke atas Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sekurang-kurang bacaan selawat itu ialah:

Ertinya: Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Nabi Muhammad.

Adapun mengucapkan selawat ke atas kaum kerabat Baginda seperti bacaan dalam tahiyyyat akhir adalah tidak wajib akan tetapi disunatkan sahaja.

6. Do‘a bagi jenazah.

i. Do‘a selepas takbîr ketiga.

Selepas takbîr ketiga hendaklah dibaca do‘a khusus untuk jenazah itu. Tidak memadai dengan hanya mendo‘akan mayat orang-orang yang beriman. Berdo‘a inilah sebenarnya tujuan utama dalam sembahyang jenazah, sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Apabila kamu sembahyang ke atas jenazah maka berdo‘alah untuknya dengan ikhlas. (Hadits riwayat Abu Daud)

Sekurang-kurang do‘a bagi jenazah lelaki selepas takbîr ketiga ialah:

Jika jenazah itu perempuan:

Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah dan rahmatilah dia.

Sunat memperbanyakkan do‘a untuk mayat selepas mengangkat takbîr ketiga ini. Antara do‘a-do‘a yang ma’tsûr yang pernah dibaca oleh Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ialah seperti:

Do‘a bagi jenazah lelaki:

Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah dia dan rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah tempat masuknya, mandikanlah dia dengan air salji dan air embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosa sebagaimana engkau bersihkan pakaian putih daripada kotoran. Gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, isteri/ suami yang lebih baik daripada isterinya/suaminya, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia daripada seksa kubur dan seksa (api) neraka.

Boleh juga ditambah dengan do‘a berikut:

Maksudnya: Ya Allah, inilah hambaMu, anak kedua orang hambaMu, yang telah keluar dari kesenangan dunia, keluasannya, semua yang disukainya di dunia, dan orang-orang yang dikasihinya di dunia, menuju kegelapan alam kubur dan semua apa yang akan dia jumpai di dalamnya. Dia telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulMu. Engkau lebih mengetahui tentangnya. Ya Allah, sesungguhnya dia beristirahat di sisiMu, dan Engkaulah sebaik-baik tempat untuk beristirehat baginya. Kini dia sangat memerlukan rahmatMu, dan Engkau Maha Kaya daripada mengazabnya. Sesungguhnya kami datang kepadaMu dengan penuh harapan kepadaMu, (memohon) syafaat baginya. Ya Allah, jika dia adalah orang yang baik, maka tambahkanlah kebaikannya, jika dia bukan orang yang baik-baik, maka maafkanlah dia, berikan dia dengan rahmatMu keredhaanMu, peliharalah dia daripada fitnah kubur dan seksanya, lapangkanlah dia di dalam kuburnya, renggangkanlah tanah dari kedua-dua sisi tubuhnya, serta limpahkanlah dengan berkatMu rasa aman kepadanya daripada seksaMu, sehingga Engkau mengirimkannya ke syurgaMu, wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi.

Boleh juga ditambah lagi dengan do‘a berikut:

Ertinya: Ya Allah, ampunkanlah bagi orang-orang yang hidup dan bagi orang-orang yang mati daripada kalangan kami, kanak-anak, orang-orang dewasa, kaum lelaki, kaum wanita, orang-orang yang hadir, orang-orang yang ghaib (tidak hadir bersama-sama kami), Ya Allah, siapa yang Engkau hidupkan daripada kalangan kami, maka hidupkanlah dia di jalan Islam, dan siapa yang Engkau matikan daripada kalangan kami, maka matikanlah dia dalam iman.

Do‘a bagi jenazah perempuan: Boleh juga ditambah lagi dengan do‘a berikut:

Boleh juga ditambah lagi dengan do‘a berikut: Do‘a bagi jenazah kanak-kanak lelaki:

Selain do‘a di atas untuk jenazah orang dewasa sama ada lelaki atau perempuan ia juga boleh dibacakan untuk jenazah kanak-kanak lelaki atau perempuan dan boleh ditambah lagi dengan do‘a berikut:

Ertinya: Ya Allah, jadikan dia (mayat kanak-kanak ini) sebagai suatu pendahuluan bagi kedua ibu bapanya, pertaruhan dan simpanan (pahala), beratkanlah dengannya timbangan (amal baik) kedua (ibu bapanya), curahkanlah kesabaran pada hati kedua (ibu bapanya), janganlah Engkau menguji kedua (ibu bapanya) selepasnya, dan janganlah Engkau menghalangi kedua (ibu bapanya) daripada mendapat pahalanya.”

Do‘a bagi jenazah kanak-kanak perempuan:

ii. Do‘a selepas takbîr keempat.

Selepas takbîr keempat sunat pula dibaca do‘a, sekurang-kurang do‘a bagi jenazah lelaki ialah:

Jika jenazah itu perempuan:

Ertinya: Ya Allah, janganlah Engkau menghalangi kami daripada mendapat pahalanya dan janganlah Engkau menguji kami selepasnya.

7. Mengucapkan salam.

Setelah selesai daripada semua takbîr dan zikir-zikir dalam sembahyang jenazah hendaklah mengucapkan salam.

Keutamaan Untuk Menjadi Imam Sembahyang Jenazah

Orang yang paling utama menjadi imam dalam sembahyang jenazah ialah ayah jenazah dan kemudian datuknya. Kemudian baharulah anaknya, kemudian cucu lelakinya, kemudian adik-beradik lelakinya seibu-sebapa, kemudian adik-beradik lelakinya sebapa, kemudian anak adik-beradik lelakinya seibu sebapa, kemudian anak adik- beradik lelakinya sebapa, kemudian ‘ashabah iaitu keluarga sebelah bapa mengikut urutan ahli waris seperti adik-beradik bapanya, anak adik-beradik bapanya dan seterusnya ahli keluarga yang terdekat seperti adik-beradik neneknya sebelah emak, kemudian adik-beradik neneknya sebelah bapa dan seterusnya.

Walaupun sembahyang jenazah ini hukumnya fardhu kifâyah dan tuntutan melakukannya memadai dengan dilakukan oleh sebahagian orang Islam sahaja, akan tetapi mereka yang datang menziarahi saudaranya yang meninggal dunia tidak seharusnya hanya memerhatikan dan membiarkan hanya sebahagian daripada mereka sahaja yang melakukan sembahyang jenazah. Mereka yang hadir wajar ikut serta melakukannya sebagai salah satu amalan untuk memohonkan rahmat buat saudara kita yang telah meninggalkan kita. Janganlah sampai perkara kurang pandai melakukan sembahyang jenazah itu menjadi alasan untuk tidak menyertai menunaikan sembahyang jenazah kerana sembahyang jenazah itu bukanlah suatu perkara yang susah, tetapi mudah dipelajari dalam masa yang singkat. Bukankah elok dan lebih baik jika sembahyang jenazah itu dilakukan dengan lebih ramai jemaahnya.

Kelebihan sembahyang jenazah dengan beramai-ramai itu, di samping mendapat pahala bagi orang yang melakukannya ia juga boleh meringankan azab jenazah di alam kubur dengan permohonan rahmat dan keampunan daripada do‘a yang kita baca dalam sembahyang itu. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Tidak dari seorang lelaki Islam mati, lalu didirikan sembahyang jenazah ke atas mayatnya itu oleh empat puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu (yang lain) melainkan Allah memberikan ke atas mereka itu syafaat baginya (si mati). (Hadits riwayat Abu Daud)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8961

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص