20 Rakaat Sembahyang Terawih:Kesepakatan Para Ulama
الجواب
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengetahui akan keagungan fadhilat dan keberkatan bulan tersebut. Di bulan ini semua pahala bagi amal ibadat yang dilakukan sama ada wajib mahupun sunat dilipatgandakan. Bagi sesiapa yang ingin menambah pahala ibadat, maka bulan Ramadhanlah merupakan peluang yang terbaik untuk digunakan sepenuhnya memandangkan ia hanya datang setahun sekali. Justeru, tidak rugi berkorban lebih banyak masa dan tenaga dalam menunaikan segala apa juga bentuk ibadat dengan tekun di bulan ini, kerana keuntungan ganjaran yang berlipat kali ganda jualah yang akan diperolehi daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Selain daripada berpuasa di bulan Ramadhan, melakukan perkara sunat seperti memperbanyakkan membaca al-Qur’an, bersedekah serta melipatgandakan usaha dalam melakukan sembahyang-sembahyang sunat merupakan pengisian Ramadhan yang tidak boleh dipandang sambil lewa sahaja.
Salah satu sembahyang sunat yang lazim dilakukan oleh umat Islam pada bulan yang mulia ini ialah sembahyang sunat Terawih yang dilakukan bermula malam awal Ramadhan sehingga malam terakhir bulan Ramadhan.
Mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam Dengan Melakukan Sembahyang Sunat Terawih
Sembahyang Terawih merupakan sembahyang sunat mu’akkadah iaitu sembahyang sunat yang dikuatkan untuk umat Islam melakukannya di bulan Ramadhan bertujuan untuk menghidupkan malam-malam pada bulan tersebut. Oleh kerana itulah dinamakan juga sembahyang Terawih dengan nama qiyâmul-lail fi ar-Ramadhân.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam gemar melakukan sembahyang sunat Terawih. Baginda juga menganjurkan umatnya untuk melakukan sembahyang tersebut sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menggalakkan sembahyang (Terawih) pada bulan Ramadhan tanpa memerintahkan untuk bersembahyang Terawih dengan perintah yang berupa kewajipan. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Jumlah Rakaat Terawih Menurut Para Ulama
Para ulama mazhab Syafi‘e bersepakat bahawa jumlah rakaat sembahyang sunat Terawih adalah 20 rakaat. Jumlah ini juga turut disepakati oleh para ulama mazhab Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang lain iaitu mazhab Hanafi dan ia merupakan pendapat yang masyhûr dalam mazhab Maliki serta Hanbali.
Di sini dijelaskan beberapa nash daripada ulama-ulama mu‘tabâr dalam mazhab Syafi‘e mengenai kesepakatan tersebut.
1. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan di dalam kitab al-Majmu‘:
Ertinya: Dalam mazhab kita, bahawa Terawih itu 20 rakaat dengan 10 salam, tidak termasuk Witir.
2. Imam al-Malibari Rahimahullâh menyatakan di dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Sembahyang Terawih ada dua puluh rakaat dengan sepuluh salam pada setiap malam bulan Ramadhan berdasarkan hadits: “Baran gsiapa yang mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaanNya, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”
3. Imam Ramli Rahimahullâh menyebutkan di dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan sembahyang Terawih itu 20 rakaat dengan 10 salam, kerana riwayat mengatakan bahawasanya sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendirikan sembahyang Terawih dalam bulan Ramadhan pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab sebanyak 20 rakaat.
Kesepakatan ini diambil berdasarkan riwayat-riwayat yang menjelaskan bahawa jumlah rakaat Terawih yang dilakukan oleh Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu dan para sahabat yang lain sebanyak 20 rakaat sebagaimana berikut:
1. Diriwayatkan daripada Sa’ib bin Yazid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Mereka (sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam) mendirikan sembahyang Terawih dalam bulan Ramadhan pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab sebanyak 20 rakaat.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
2. Diriwayatkan daripada Yazid bin Ruman, dia berkata:
Maksudnya: Orang ramai pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab mendirikan sembahyang Terawih sebanyak 23 rakaat. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Malik)
Dua riwayat di atas digabungkan oleh al-Baihaqi sebagai penjelasan bahawa jumlah rakaat Terawih yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Saiyyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu adalah sebanyak 20 rakaat, sementara tambahan 3 rakaat dalam riwayat yang kedua pula ialah sembahyang Witir.
Jelaslah pada zaman pemerintahan Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, beliau memerintahkan untuk mengerjakan sembahyang Terawih sebanyak 20 rakaat dan seterusnya melakukan sembahyang witir sebanyak 3 rakaat di samping memerintahkan untuk melaksanakan kedua-dua ecara berjemaah.
Sebagai seorang yang rapat dan dipercayai oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, perintah mengerjakan sembahyang Terawih sebanyak 20 rakaat bukanlah dilafazkan oleh Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu sewenang-wenangnya melainkan bersumber daripada perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri sama ada Baginda melakukannya di masjid atau di rumah dengan jumlah sebanyak 20 rakaat. Jika tidak, sudah tentu Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu tidak berani memerintahkan sedemikian!
Apa yang pasti, keterangan riwayat-riwayat di atas menunjukkan para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah sepakat (ijmâ‘) bahawa jumlah Terawih yang dilakukan pada zaman Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu adalah sebanyak 20 rakaat. Ijmâ‘ sahabat menurut ushul fiqh adalah hujjah iaitu dalil syariat.
Melaksanakan Sembahyang Terawih Secara Berjemaah
Harus melakukan sembahyang Terawih secara bersendirian sama ada di rumah atau di masjid. Walau bagaimanapun afdhal melakukannya secara berjemaah.
Di dalam kitab al-Majmû‘, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa pendapat yang shahîh ialah afdhal sembahyang Terawih secara berjemaah.
Sementara Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâh menyebutkan bahawa disunatkan bersembahyang Terawih secara berjemaah adalah sebagai mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ijmâ‘ sahabat. Ini berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:
1. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha bahawa pada hari-hari awal permulaan sembahyang tersebut dilakukan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendirikan sembahyang Terawih bersama dengan orang ramai di Masjid Madinah sebelum Baginda berhenti melakukan sedemikian. Ini kerana ditakuti bahawa sembahyang Terawih itu akan diwajibkan kepada umat Islam dan kewajipan itu akan memberatkan mereka.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mensyarahkan hadits-hadits Imam Muslim Rahimahullâh menjelaskan bahawa harus berjemaah ketika melakukan sembahyang-sembahyang sunat, akan tetapi yang sebaiknya adalah sembahyang secara bersendirian kecuali pada sembahyang-sembahyang sunat yang dikhususkan iaitu sembahyang ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adhha, sembahyang Kusûf (gerhana) dan Istisqâ’ (meminta hujan) termasuklah sembahyang Terawih menurut jumhûr ulama.
2. Diceritakan oleh ‘Abdul Rahman bin Abdul Qari’i:
Maksudnya: Aku keluar bersama ‘Umar pada suatu malam dalam bulan Ramadhan untuk pergi ke masjid Madinah. Didapati orang ramai bersembahyang Terawih berkelompok-kelompok, ada yang bersembahyang secara bersendirian dan ada pula melakukannya secara berjemaah. Berkata ‘Umar: “Saya berpendapat kalau dikumpulkan mereka ini dengan satu imam, sesungguhnya lebih serupa (dengan apa yang dipersetujui Rasulullah)”, maka beliau bertekad dan orang ramai dikumpulkan bersembahyang di belakang Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar lagi bersama beliau pada malam yang lain (lantas kami melihat) orang ramai bersembahyang di belakang seorang imam. ‘Umar berkata: “Ini merupakan bid‘ah yang baik.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘lebih serupa’ dalam hadits di atas adalah perintah Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu untuk melaksanakan sembahyang Terawih secara berjemaah itu diambil berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mempersetujui orang ramai bersembahyang Terawih bersama Baginda dalam beberapa hari permulaan Baginda melaksanakan sembahyang tersebut. Walaupun Baginda tidak meneruskan berjemaah bersama mereka pada hari-hari selepas itu dan bersembahyang seorang diri, ini bukanlah disebabkan ia tidak boleh dilakukan secara berjemaah. Adapun sebab Baginda tidak meneruskannya adalah atas dasar Baginda takut sembahyang tersebut akan diwajibkan kepada umat Islam jika Baginda terus melakukan sedemikian.
Perkara ini berlanjutan sehingga kewafatan Baginda dan di zaman pemerintahan Saiyyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu. Hanya selepas Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu melihat keadaan umat Islam yang berkelompok-kelompok ketika melakukan sembahyang Terawih dan ditakuti akan menimbulkan masalah, maka beliau mengambil keputusan untuk mengumpulkan orang ramai bersembahyang Terawih dengan satu imam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang pernah menjadi imam bagi orang ramai ketika bersembahyang Terawih.
Jelas daripada keterangan di atas bahawa jumlah sembahyang Terawih itu adalah sebanyak 20 rakaat dan afdhalnya dilakukan secara berjemaah. Sudahpun beroleh pahala melakukan sembahyang sunat untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan, ditambah lagi dengan gandaan pahala bagi yang melakukan secara berjemaah. Dan jangan lupa pula, bahawa dengan gandaan amal ibadat sama ada yang wajib atau sunat dan amal kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadhan menambah lagi timbangan pahala kita dengan mudah. Maka, janganlah lepaskan peluang menghidupkan bulan Ramadhan dengan berpuasa di siang hari dan memperbanyakkan amal ibadat di malam hari termasuklah sembahyang Terawih. Lakukanlah dengan jumlah dan cara yang seperti dilakukan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum, kerana tentulah mereka melakukannya dengan berpandukan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9014
دليل الألوان
