Beristinjâ’ Boleh Membatalkan Puasa
الجواب
Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan senghaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia boleh membatalkan puasa. Begitulah juga apabila membersihkan kencing dan tahi ketika beristinjâ’ atau bersuci selepas daripada buang air kecil dan buang air besar ketika sedang berpuasa boleh membatalkan puasa. Keadaan ini boleh berlaku apabila masuk sesuatu benda ke dalam rongga melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia iaitu rongga dubur, faraj dan lubang tempat keluar air kencing. Perkara ini kadang-kadang kita lakukan tanpa kita sedari bahawa dengan berbuat demikian boleh membatalkan puasa. Jadi bagaimanakah keadaan beristinjâ’ atau bersuci yang boleh membatalkan puasa itu?
Keadaan-keadaan yang boleh membatalkan puasa apabila membersihkan kencing dan tahi ketika beristinjâ’ atau bersuci selepas daripada buang air kecil dan buang air besar adalah seperti berikut:
Lubang Tempat Keluar Air Kencing Lelaki
Apabila masuk sesuatu benda ke lubang tempat keluar air kencing, walaupun tidak sampai ke pundi-pundi kencing atau tidak melebihi hasyafah adalah membatalkan puasa sepertimana disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Dan menitikkan atau menitiskan air pada batin lubang telinga dan (batin) pundi saluran iaitu saluran air kencing dan air susu, walau tidak melewati kadar hasyafah (kemaluan lelaki iaitu melebihi tempat yang dikhitan) atau puting susu.
Maka memasukkan air ke dalam batin saluran air kencing membatalkan puasa. Begitu juga jika memasukkan ubat atau alat ke pundi-pundi kencing bagi tujuan perubatan seperti ditebuk di bahagian ari-ari juga membatalkan puasa.
Adapun jika air masuk pada sebahagian zahir lubang yang nampak ketika beristinjâ’ atau bersuci tidaklah membatalkan puasa, kerana lubang yang zahir itu biasanya akan terbuka dan amat sukar mengelak daripada tidak terkena air.
Rongga Faraj
Adapun rongga faraj yang membatalkan puasa ialah jika masuk sesuatu yang melebihi had zahir faraj iaitu apa yang nyata ketika seorang perempuan itu duduk mencangkung di atas kedua betisnya.
Keadaan membatalkan puasa itu ialah jika memasukkan jari atau apa-apa benda seperti kapas atau alat pencegah hamil melebihi had zahir faraj. Maka begitulah juga ketika beristinjâ’ atau bersuci apabila masuk jari atau air ke dalam faraj melebihi had zahir maka terbatallah puasa. Perkara ini juga ada diterangkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Dan jari orang yang beristinjâ’ itu sampai ke dalam anggota yang tidak nampak dari faraj wanita ketika duduk di atas kedua telapak kakinya adalah membatalkan puasa.
Maka jika seorang wanita itu memasukkan air atau jari ketika beristinjâ’ atau bersuci ke dalam rongga faraj melebihi had zahir maka boleh membatalkan puasanya.
Rongga dubur
Beristinjâ’ atau bersuci pada tempat rongga dubur boleh membatalkan puasa iaitu jika sampai sesuatu seperti jari ke tempat yang tidak wajib dicuci ketika beristinjâ’ sepertimana disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Begitu juga sebahagian jari sampai ke dalam lubang atau tempat keluarnya kotoran adalah (membatalkan puasa).
Maka jika seseorang itu memasukkan jari ataupun sesuatu benda seperti air ke dalam rongga dubur ketika beristinjâ’ melebihi had yang diwajibkan beristinjâ’ atau bersuci itu boleh membatalkan puasa.
Namun tepi dubur yang menutupi lubang dubur ketika kita dalam keadaan berdiri tidaklah termasuk dalam kategori rongga dubur. Maka mencuci pada kawasan tepi dubur tersebut tidaklah membatalkan puasa.
Demikian juga halnya dengan tahi yang telah keluar ketika buang air besar tetapi tidak terpisah daripada dubur, apabila dikecitkan (dikemutkan) dubur tanpa keperluan dan najis itu masuk semula ke dalam, maka batal puasa seseorang itu, kerana dimasukkan dengan senghaja iaitu perbuatan menarik balik yang tidak diperlukan. Tetapi jika terpaksa seperti orang yang sakit buasir, maka tidaklah batal puasanya.
Dalam perkara buang air besar, Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada memberikan panduan sebagai langkah berhati-hati supaya tidak membatalkan puasa iaitu dengan menahannya sehingga ke waktu malam jika tidak memudharatkan sepertimana perkataannya dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâhu Ta‘âlâ telah berkata sebagai langkah berhati-hati, hendaklah membuang air besar pada waktu malam kerana (ketika berpuasa) membuang air besar pada waktu malam lebih baik daripada waktu siang agar tidak masuk sesuatu (zat atau benda) ke dalam lubang duburnya.
Daripada penjelasan ini dapatlah diambil kesimpulan bahawa beristinjâ’ atau bersuci semasa berpuasa daripada kencing dan tahi itu boleh membatalkan ibadat puasa sepertimana keadaan-keadaan yang disebutkan sebelum ini. Maka dengan penjelasan itu juga kita bolehlah berhati-hati ketika beristinjâ’ atau bersuci semasa sedang berpuasa supaya ibadat puasa kita tidak akan batal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9025
دليل الألوان
