Bila Thawaf Wada‘ Perlu Diulang Semula?
الجواب
Amalan atau perbuatan yang dituntut untuk dilakukan dalam ibadat haji terbahagi kepada tiga; rukun haji, wajib haji dan sunat haji. Untuk membezakan di antara rukun dan wajib haji, rukun haji adalah pekerjaan asas yang mesti dibuat dan dilaksanakan oleh setiap orang yang mengerjakan haji.
Rukun-rukun haji itu ada enam perkara iaitu ihram, wuquf di Arafah, thawaf ifadhah, sa‘i, bercukur atau bergunting dan tertib pada kebanyakan rukun-rukunnya. Sekiranya salah satu daripada rukun haji itu tidak dibuat sama ada sengaja atau terlupa, maka ibadat haji itu tidak sah. Misalnya seseorang itu telah melakukan semua rukun haji tetapi dia telah meninggalkan satu pusingan daripada tujuh pusing thawaf haji, maka hajinya tidak sah.
Manakala wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dibuat ketika mengerjakan ibadat tersebut. Wajib haji itu ialah niat ihram di miqât, bermalam di Muzdalifah, melontar Jamrah, bermalam di Mina, thawaf wada‘ dan meninggalkan perkara-perkara yang haram ketika dalam ihram. Sekiranya tidak dikerjakan salah satu daripada wajib haji, maka haji itu tetap sah, tetapi wajib ke atasnya membayar dam dan perbuatan meninggalkan wajib haji dengan sengaja adalah berdosa.
Dalam ruangan kali ini, fokus perbincangan ialah mengenai thawaf wada‘, khususnya membincangkan perkara yang dituntut untuk dilakukan selesai daripada melaksanakan thawaf wada‘ dan perkara yang menyebabkan thawaf wada‘ perlu diulang semula.
Perkara Yang Mesti Dilakukan Setelah Selesai Melakukan Thawaf Wada‘
Thawaf wada‘ juga dikenali sebagai thawaf as-sadar, bermaksud thawaf selamat tinggal. Hukum mengerjakan thawaf wada‘ adalah wajib kerana menurut jumhûr ulama, thawaf wada‘ merupakan perkara wajib haji.
Cara melakukan thawaf wada‘ adalah sama seperti melakukan thawaf yang lain dari segi syarat, sunat dan perkara-perkara yang membatalkan. Thawaf wada‘ wajib dikerjakan apabila seseorang itu hendak keluar dari kota Mekkah kerana musafir dan setelah selesai sempurna semua ibadat hajinya. Menurut ulama, tidak dinamakan dan tidak dikira sebagai thawaf wada‘ melainkan setelah seseorang itu selesai mengerjakan kesemua amalan-amalan ibadat haji.
Selain telah menyelesaikan segala ibadat haji, seseorang yang hendak melakukan thawaf wada‘ juga perlu memastikan segala urusan peribadinya telah selesai diuruskannya. Ini kerana setelah selesai melakukan thawaf wada‘, dia dikehendaki terus keluar dari Masjid al- Haram dan seterusnya meninggalkan Mekkah tanpa berlengah. Maksud ‘berlengah’ itu termasuklah seperti diam di suatu tempat, menunggu atau menanti.
Dalil kewajipan thawaf wada‘ telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri seperti yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Baginda apabila selesai daripada amalan-amalan ibadat haji, maka Baginda akan melakukan thawaf sebagai ucapan selamat tinggal. Selain itu diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Jangan sekali-kali seseorang itu meninggalkan (Mekkah) sehingga dia (melakukan thawaf wada‘) sebagai amalan yang terakhir baginya di sisi Baitullah. (Hadits riwayat Muslim)
Perkara-Perkara Yang Tidak Menyebabkan Thawaf Wada‘ Perlu Diulang
Dalam keadaan tertentu, seseorang yang selesai mengerjakan thawaf wada‘ kadang-kadang mendapati dirinya tidak dapat terus atau segera keluar dari Mekkah, umpamanya dia perlu menunggu seketika atau terpaksa menguruskan beberapa perkara tertentu. Terdapat beberapa keadaan yang diharuskan bagi seseorang untuk menangguhkan seketika perjalananya atau pemergiannya keluar dari Mekkah, antaranya:
1. Jika dia sibuk mengerjakan sembahyang sunat Thawaf dua rakaat dan perkara-perkara yang disunatkan untuk dilakukan setelah sembahyang sunat Thawaf seperti membaca do‘a di Multazam, pergi ke telaga Zamzam dan minum air Zamzam.
2. Jika dia sibuk menguruskan keperluan untuk perjalanan (musafir) seperti membeli bekalan, bekas atau perkakas, dan mengemas barang-barang sekalipun urusan ini mengambil masa yang agak panjang.
3. Jika dia naik semula ke rumahnya (tempat penginapan) hanya sebentar untuk mengambil barang-barang yang perlu dijaga keselamatannya (tidak diangkat ke dalam kenderaan terlebih dahulu bersama barang-barang yang lain) dan selepas itu dia dengan segera menaiki kenderaan untuk bertolak.
4. Jika dia berkebetulan pada ketika atau setelah dia melakukan thawaf wada‘ sembahyang berjemaah didirikan, dalam hal ini jika dia ikut sembahyang berjemaah, maka tidaklah perlu diulang semula thawafnya. Sekiranya selepas melakukan thawaf wada‘, seseorang itu pengsan, gila yang bukan disebabkan oleh perbuatannya sendiri, tertegah daripada keluar seperti dipaksa, ditahan atau diancam untuk terus menetap atau mendiami Mekkah, jika dia ada kesempatan atau keupayaan selepas itu, maka hendaklah diulang semula thawaf wada‘. Jika sebaliknya, maka tidaklah mengapa (tidak perlu diulang).
Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Thawaf Wada‘ Perlu Diulang
Berbeza hukumnya jika seseorang yang telah mengerjakan thawaf wada‘ dan tidak segera keluar dari Mekkah, sebaliknya:
1. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Mekkah dengan tiada keuzuran dan tidak ada keperluan atau hajat ataupun
2. Dia masih tetap menunggu atau tetap diam di Mekkah kerana ada hajat atau sebab, akan tetapi hajat atau sebabnya itu tiada kaitan dengan pelayaran yang bakal ditempuhinya, umpamanya kerana pergi membeli-belah, menziarahi kawan, melawat orang sakit, membayar atau menyelesaikan hutang.
Maka kesemua sebab di atas tidak dianggap sebagai hajat atau keuzuran yang berkaitan dengan pelayaran. Oleh yang demikian, hendaklah dia mengulang semula thawaf wada‘.
Dam Kerana Meninggalkan Perkara Wajib Haji
Seperti yang telah dijelaskan, perbuatan meninggalkan wajib haji dengan sengaja adalah berdosa. Menurut pendapat yang ashah bagi orang yang meninggalkan thawaf wada‘ dikenakan dam tertib, iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa selama 10 hari; berpuasa 3 hari di Mekkah dan 7 hari lagi setelah kembali ke kampung atau negerinya.
Sebagai kesimpulan, demi untuk menjaga kesempurnaan ibadat haji, hendaklah diketahui segala tuntutan dan larangan di samping menjaga syarat-syarat serta tata-cara dan tertib apabila melakukan sesuatu amalan atau perbuatan dalam haji. Setelah melakukan thawaf wada‘, terdapat beberapa perkara yang harus dilakukan oleh seseorang yang tidak dianggap sebagai berlengah daripada terus atau segera keluar dari Masjid al-Haram dan meninggalkan kota Mekkah. Sebaliknya jika perkara tersebut dianggap sebagai berlengah, maka boleh menyebabkan seseorang itu perlu mengulang semula thawaf wada‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9042
دليل الألوان
