Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Berselawat Ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam: Satu Tuntutan

الجواب

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah Rasul dan pemimpin Islam yang menjadi kesayangan umat Islam. Di zaman Baginda, umat Islam, terutama para sahabat, sanggup bergadai nyawa untuk melindungi serta berjuang bersama Baginda membela Islam, taat menurut perintah serta amat bersedih dengan kewafatan Baginda. Rasa kecintaan yang mendalam terhadap Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada ketika itu berterusan sehingga ke hari ini dan sampai bila-bila. Ia tersemat kuat di dada umat Islam yang beriman, malahan kasih sayang itu dinyatakan dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan meninggalkan apa yang dilarangnya.

Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga merupakan satu pernyataan rasa cinta kita kepada Baginda. Selawat ke atas Baginda ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa pengagungan untuk Baginda kerana kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja, bahkan ia juga suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. zâb: 56)hA-(Surah al

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuliakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sama ada ketika hayat mahupun sesudah Baginda wafat. Begitu juga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan orang-orang yang beriman untuk turut sama memuliakan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Adapun maksud Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berselawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam ialah Allah melimpahkan dan mengurniakan rahmat dan keredhaanNya kepada Baginda. Selawat para malaikat ke atas Baginda pula bermaksud permohonan do‘a dan keampunan. Manakala selawat daripada umat Islam ke atas Baginda pula bermaksud permohonan do‘a dan mengagungkan kedudukan Baginda.

Kelebihan Bagi Yang Berselawat Ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Banyak disebutkan di dalam hadits mengenai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan kepada orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Antaranya:

1. Mendapat kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada Hari Kiamat kelak.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seutama-utama manusia di sisiku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Apa yang dimaksudkan dengan “seutama-utama manusia di sisiku” di dalam hadits ini ialah manusia yang paling dekat dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam atau manusia yang berhak mendapat syafaat daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah orang yang membanyakkan selawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

2. Mendapat syafaat Baginda pada Hari Kiamat kelak.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang berselawat ke atasku di waktu pagi sebanyak sepuluh kali dan di waktu petang sebanyak sepuluh kali, ia mendapat syafaatku pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

3. Digandakan pahala berselawat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas bermaksud bahawa sesiapa yang berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebanyak satu kali, maka Allah mengurniakan kepadanya rahmat dan melipatgandakan pahalanya.

Amaran Kepada Orang Yang Malas Berselawat Ke Atas Baginda

Turut disebutkan di dalam beberapa hadits mengenai orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada beberapa keadaan yang disunatkan untuk berselawat.

1. Bakhil tidak berselawat apabila disebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam

Diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Karramullâhu wajhah, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Orang yang bakhil adalah orang yang apabila (nama)ku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

2. Dicela tidak berselawat apabila disebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Celaka seseorang (apabila) namaku disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

3. Tidak diangkat do‘a yang dipohonkan jika tidak dimulai dan disudahi dengan selawat.

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya do‘a itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak terangkat sesuatupun (yang dipohonkan dalam do‘a itu) sehingga engkau berselawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut asy-Syeikh Abu Sulaiman ad-Darani Rahimahullâh: “Apabila aku memohon hajat kepada Allah, aku mulakan dengan berselawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kemudian aku meminta apa yang aku mahukan, kemudian aku menyudahi permohonan itu dengan berselawat ke atas Baginda. Ini kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan kemuliaan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menerima kedua-dua selawat (pada permulaan dan penyudah do‘a).”

Cara Berselawat Ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan umat Islam beberapa cara berselawat ke atas Baginda dalam hadits-hadits yang diriwayatkan daripada para sahabat Radhiallâhu ‘anhum:

1. Diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata: “Kami telah menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan pada ketika itu kami dalam majlis Sa‘ad bin Ubadah. Lantas Basyir bin Sa‘ad berkata kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Allah telah memerintahkan kami untuk berselawat kepadamu wahai Rasululllah!” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Katakanlah:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia pada sekalian alam. (Hadits riwayat Muslim) 2. Diriwayatkan daripada ‘Abdul Rahman bin Abu Laila, dia berkata: “Ka‘ab bin ‘Ujrah pernah bertemu dengan saya, lalu berkata: “Mahukah kamu jika aku hadiahkan kepadamu sebuah hadiah yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam?” Kemudian aku menjawab: “Ya, saya suka hadiah itu.” Lalu Ka‘ab bin ‘Ujrah berkata: “Pada suatu hari aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, bagaimana Ahlul-Bait (keluarga Baginda) berselawat kepadamu? Dan Allah telah mengajar kami bagaimana untuk bersalam.” Apabila mendengar pertanyaan itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Katakanlah begini:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Maka sesunggguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah, kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. Maka sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selawat ini juga merupakan selawat yang terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kerana di dalamnya terkumpul selawat kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam, keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm dan keluarganya.

3. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau bertanyakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, ini adalah lafaz salam untuk Tuan, maka bagaimana pula lafaz selawat untuk Tuan?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad, hambaMu dan RasulMu, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim, dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berselawat Di Dalam Dan Di Luar Sembahyang

1. Di dalam sembahyang.

Dalam mazhab Syafi‘e, selawat wajib dibaca pada tempat-tempat tertentu, iaitu:

i. Selepas membaca tasyahhud pada tasyahhud akhir di dalam sembahyang

Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu rukun dalam sembahyang. Ia dilafazkan sesudah membaca tasyahhud pada rakaat akhir dalam sembahyang dan sebelum salam.

Sekurang-kurang lafaz selawat ialah:

Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad.

Manakala lafaz yang sempurna ialah selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kemudian kepada ahli keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm serta keluarga baginda. Lafaz tersebut ialah:

Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

ii. Selepas takbîr kedua di dalam sembahyang jenazah.

Membaca selawat selepas takbîr kedua dalam sembahyang jenazah. Sekurang-kurang bacaan selawat itu ialah:

Ertinya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Nabi Muhammad.

Manakala mengucapkan selawat ke atas kaum kerabat Baginda seperti bacaan dalam tahiyyyat akhir adalah tidak wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.

iii. Pada khutbah di dalam sembahyang Jumaat, sembahyang Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adhha.

Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pula merupakan salah satu daripada rukun pada khutbah pertama dan kedua. Ia disebut selepas kalimat hamdalah iaitu lafaz pujian bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Di luar sembahyang.

Berselawat di luar sembahyang pula bukanlah satu perkara yang diwajibkan, namun ia adalah digalakkan dan dilakukan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa waktu dan tempat bagi umat Islam yang diutamakan untuk berselawat. Antaranya:

i. Ketika seseorang menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ii. Pada malam dan hari Jumaat. iii. Pada waktu subuh. iv. Pada waktu petang. v. Ketika hendak memasuki masjid. vi. Ketika hendak keluar dari masjid. vii. Ketika berada di maqam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. viii. Ketika hendak berdo‘a.

ix. Ketika selesai berdo‘a. x. Di akhir khatam al-Qur’an. xi. Ketika dalam kesedihan dan kesusahan. xii. Ketika memohon keampunan. xiii. Ketika menyampaikan ilmu kepada orang ramai. xiv. Ketika memberi nasihat atau tunjuk ajar. xv. Ketika menyampaikan pelajaran. xvi. Dalam perkumpulan orang ramai. xvii. Ketika bersurai daripada perkumpulan. xviii. Pada setiap tempat dan waktu orang ramai berkumpul untuk mengingati Allah seperti majlis-majlis keagamaan dan yang seumpamanya.

Adab Menyebut Nama Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam

Menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga ada adabnya. Sudah menjadi kebiasaan para ulama salaf jika menyebut atau mendengar nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, mereka selalu berselawat dan disertai dengan ucapan salam kepada Baginda. Dua lafaz yang sering mereka ucapkan dalam berselawat dan salam itu ialah:

Ertinya: Semoga Allah memberikan selawat dan salam kepada Baginda.

Atau:

Ertinya: Ke atas Baginda selawat dan salam.

Para ulama telah berwasiat kepada umat Islam agar selalu berusaha untuk menjaga lafaz (selawat dan salam) tersebut secara sempurna. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitab al-Adzkâr:

Ertinya: Jika seseorang berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, maka hendaklah dia mengumpulkan selawat dan salam (kedua-duanya) sekali, dan janganlah dipisahkan di antara kedua-duanya. Maka tidak boleh dia berkata: ) atau

Begitu juga di dalam penulisan, umat Islam dituntut untuk menulis selawat dan salam tersebut dengan sesempurna mungkin setiap kali menulis nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Sungguh indah kehidupan seorang Muslim yang menghiasi lidahnya dengan selawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ia jelas menunjukkan tanda ingatan dan kasih sayang terhadap Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Ingatan dan tanda kasih sayang ini pula dibalas oleh Baginda sendiri melalui ganjaran yang tidak terhingga, antaranya mendapat kedudukan yang istimewa dan Syafaat Baginda di Hari Kiamat. Manakala di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pula, curahan rahmat dan kebajikan diperolehi daripada Allah. Rugilah kita apabila peluang ini diabaikan begitu sahaja.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9037

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص