Kawal Kemarahan: Perolehi Kebaikan, Elak Kerugian
الجواب
Marah merupakan suatu perasaan semula jadi yang boleh berlaku kerana sebab-sebab tertentu pada bila-bila masa sahaja, sama seperti perasaan gembira, sedih, takut, terkejut dan selainnya. Memandangkan kesemua perasaan ini adalah tabi‘i manusia, agak sukar bagi mereka untuk menimbang atau mengukur sukat-sukat yang dikatakan keterlaluan atau di luar batasan. Bagaimanapun apabila ia berlaku apa yang wajar dilakukan ialah mengawal kembali perasaan-perasaan ini. Khusus memperkatakan tentang marah, jika ia tidak dikawal, boleh mengakibatkan kerugian, kesan negatif dan padah yang tidak diingini, sama ada pada diri sendiri mahupun pada orang di sekeliling.
Dalam Islam, marah secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu marah yang dipuji dan marah yang dikeji.
Marah yang dipuji itu umpamanya seseorang yang marah untuk mempertahankan suatu kebenaran dan perkara yang hak. Inilah di antara ciri-ciri sifat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berkaitan dengan marah, iaitu Baginda tidak marah melainkan pada hak Allah.
Marah yang dikeji itu seperti marah untuk mempertahankan perkara bâthil umpamanya mempertahankan nama, pangkat, kebesaran diri dalam majlis-majlis, bermegah-megah dengan ilmu pengetahuan dan bermegah-megah dengan harta. Hakikatnya, kebanyakan punca orang marah adalah kerana mempertahankan perkara-perkara yang tersebut di atas ini.
Menurut al-Imam Ibnu Hajar dalam az-Zawâjir marah yang dikeji itu merupakan dosa besar.
Penyebab Kemarahan Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Baginda merupakan seorang yang sangat penyabar, tabah, tidak mudah putus asa dan bersungguh-sungguh dalam menyebarkan syari‘at Allah. Namun, di sebalik kesabaran Baginda, terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga pernah marah dan menunjukkan perasaan marah Baginda itu. Namun kemarahan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu tidak lain hanyalah kerana mempertahankan hak Allah dan kebenaran.
Dalam satu riwayat, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan bahawa ketika Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam suatu pelayaran, ‘Aisyah telah menabirkan biliknya dengan tabir nipis bergambar kuda yang mempunyai beberapa sayap. Sekembalinya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada pelayaran dan tiba di rumah, maka pada ketika Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melihat akan gambar tersebut, tergambar di wajah Baginda perasaan tidak suka akan apa yang dilihatnya. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kemudian merosakkan gambar itu dan Baginda lontarkan. Baginda terus memerintahkan agar ‘Aisyah menanggalkannya, lalu ‘Aisyah pun menanggalkannya daripada pintu itu.(Hadits riwayat Muslim)
Adakah Marah Boleh Membatalkan Puasa Ramadhan?
Secara ringkas beberapa perkara yang membatalkan puasa itu antaranya adalah dengan senghaja makan, minum, bersetubuh di siang hari Ramadhan, muntah, memasukkan sesuatu ke dalam rongga-rongga terbuka dan selainnya. Daripada penjelasan ringkas di atas, nyatalah bahawa marah itu sekalipun marah yang keji kerana mempertahankan sesuatu yang bathil adalah tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa, akan tetapi marah itu boleh meluputkan atau mengurangkan pahala puasa seseorang.
Perlu diingat bahawa agama Islam tetap menganjurkan untuk sentiasa menjaga lidah daripada berkata bohong, mencaci, memaki hamun, mendo‘akan yang buruk, mengeluarkan perkataan yang menyebabkan fitnah, permusuhan, salah-sangka dan perpecahan. Perkara sedemikian lebih dituntut untuk dielak ketika sedang berpuasa. Ini kerana ketika berpuasa itu kita dituntut untuk menjaga lidah agar tidak melenyapkan keberkatan puasa.
Malahan orang yang tidak dapat mengawal kemarahan dan gagal menanganinya adalah tergolong dalam kalangan orang yang melampaui batas dan orang yang lemah. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Walau bagaimanapun jika seseorang yang berpuasa itu terlalu marah sehingga menyebabkan dia pitam, pengsan atau tidak sedarkan diri, maka penjelasannya adalah seperti berikut:
1. Jika dia pengsan berpanjangan sepanjang hari bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, maka tidak sah puasanya.
Berbeza hukumnya jika seseorang tidur sepanjang hari di bulan Ramadhan, maka puasanya adalah sah.
2. Jika dia pengsan hanya sebahagian hari sahaja, maka sah puasanya.
Berbeza hukumnya jika seseorang itu menjadi gila pada siang hari Ramadhan, sama ada lama atau hanya seketika, maka perkara ini membatalkan puasa.
Cara Memadam dan Mengawal Api Kemarahan
Pada dasarnya, jika seseorang yang sedang berpuasa itu berhadapan dengan seseorang yang boleh menimbulkan kemarahannya, maka amatilah hadits berikut:
Maksudnya: Jika salah seorang di antara kamu melaksanakan ibadat puasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan kotor dan jangan menjerit-jerit. Jika dia dicaci oleh orang atau hendak diajak berkelahi, maka hendaklah dia mengatakan: “Aku sedang berpuasa.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain itu, antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengawal atau memadamkan api kemarahan sebelum mahupun setelah ia terjadi ialah sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri dan juga para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Antaranya ialah:
1. Dengan membaca ta‘awwudz, iaitu:
Ertinya: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Inilah ayat yang disuruh oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk dibaca ketika marah.
2. Sunat dibaca do‘a berikut ketika marah:
Ertinya: Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan.
3. Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca yang demikian, perhatikan perkara berikut:
i. Jika seseorang itu marah dalam keadaan dia berdiri, maka hendaklah dia duduk.
ii. Jika dia marah dalam keadaannya sedang duduk, maka hendaklah dia berbaring dan dekatkanlah dirinya dengan bumi, kerana daripada bumi itulah dia dijadikan dan agar dia tahu akan kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.
Perkara ini telah diingatkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam dua sabda Baginda:
Maksudnya: Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak, maka hendaklah dia berbaring. (Hadits riwayat Abu Daud)
Manakala dalam hadits yang lain pula sabda Baginda:
Maksudnya: Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang daripada kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia mendekapkan dirinya ke bumi. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
4. Cara yang berkesan untuk menghilangkan penyakit marah itu juga ialah dengan mendiamkan diri, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam. (Hadits riwayat Ahmad)
5. Disunatkan berwudhu’ ketika marah, sekalipun kemarahan itu kerana hak Allah seperti marah kerana perkara yang mencemarkan syari‘at Allah. Menurut ‘Urwah bin Muhammad bin as-Sa‘di, seorang lelaki telah mengatakan sesuatu kepadanya yang membuatkannya marah. Kemudian ‘Urwah pun berdiri dan mengambil wudhu’. Setelah itu dia kembali dalam keadaan berwudhu’ lalu dia pun meriwayatkan sebuah hadits daripada bapanya daripada datuknya ‘Athiyyah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu dicipta daripada api. Dan sesungguhnya api itu dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kamu marah, maka berwudhu’lah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, dianjurkan kepada orang yang sedang marah mengambil wudhu’ sekalipun pada masa itu dia masih mempunyai wudhu’, kerana dengan berbuat demikian boleh memadamkan api kemarahannya atau paling kurang dapat mengawalnya daripada bertindak mengikut nafsunya. Selain itu disunatkan juga berwudhu’ setelah mengeluarkan perkataan keji, kesat, bohong dan kata-kata maksiat.
Kelebihan Mengawal Kemarahan
Dalam sesetengah keadaan, apabila seseorang itu marah, kadang kala dia tidak dapat mengawal perbuatan atau perkataan yang bakal diucapkan atau kedua-duanya sekali. Apa yang pasti, tentu ada hikmah di sebalik anjuran untuk mengawal kemarahan. Malah bagi mereka yang berjaya menghadapi cabaran ini pasti memperolehi kebaikan dan manfaat daripadanya. Antaranya ialah:
1. Mendapat keuntungan di akhirat.
Sesiapa yang berjaya mengawal kemarahannya akan mendapat keuntungan di akhirat kelak seperti sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa sesiapa yang berupaya menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menghentikan kemurkaan terhadapnya pada Hari Kiamat.
2. Menyebabkan masuk syurga.
Disebutkan di dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, beliau pernah meminta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam agar memberitahunya tentang amalan yang boleh menjauhkan dirinya dari neraka, mendekatkannya kepada redha Allah Ta‘ala dan membawanya masuk syurga. Lalu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyatakan sebagaimana di dalam hadits ini:
Maksudnya: Daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata: “Aku telah berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku tentang perbuatan yang membolehkan aku masuk syurga.” Lalu Baginda bersabda: “Janganlah kamu marah, dan bagimu syurga.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)
3. Ditakuti mendapat kerugian andaikata do‘a dikabulkan tatkala marah.
Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata bahawa pada suatu masa kami bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang menuju ke medan perang. Dalam kumpulan itu ada seorang Anshar yang merasa tidak selesa terhadap binatang tunggangannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu dengan berkata: “Jalanlah, laknat!” Mendengar perkataan lelaki Anshar tadi, maka Baginda pun marah dan bertanyakan siapakah yang menyumpah-nyumpah untanya itu. Lalu lelaki Anshar itupun menjawab: “Saya wahai Rasulullah.”. Baginda lalu bersabda:
Maksudnya: Turun dari binatang itu! Janganlah kamu menemani kami dengan (binatang) yang telah dikutuk. Janganlah juga kamu mendo‘akan (kecelakaan dan seumpamanya) ke atas dirimu, ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, agar kamu tidak bertepatan dengan suatu saat apabila dipohonkan suatu permintaan (permohonan do‘a) daripada Allah, maka akan dikabulkan (do‘a itu) bagi kamu. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam syarah yang lain, disebutkan bahawa dikhuatiri ketika seseorang itu berdo‘a kecelakaan akan bertepatan dengan saat atau ketika di mana Allah akan kabulkan mana-mana do‘a (yang dipohonkannya itu mustajab).
Oleh yang demikian, seseorang yang sedang berpuasa di siang hari Ramadhan dituntut untuk menjaga lidah daripada berkata bohong, apatah lagi marah sehingga mencaci-maki, memukul seseorang atau merosakkan harta benda. Sekalipun marah itu suatu perasaan yang tabi‘i, namun ia hendaklah dikawal. Seperti yang diketahui, marah yang dikeji itu tidak membatalkan puasa, tetapi perbuatan tersebut boleh melenyapkan pahala puasa. Jika ini yang terjadi, bermakna seseorang itu berpuasa dengan hanya menahan lapar dan dahaga tanpa dia memperolehi sebarang ganjaran atau pahala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9091
دليل الألوان
