Kedudukan Puasa Qadha’Orang Yang Meninggal Dunia
الجواب
Persoalan mengenai qadha’ puasa Ramadhan sewajarnya sentiasa menjadi perhatian yang penting, sama ada ia berkaitan dengan orang yang telah meninggal dunia apatah lagi bagi mereka yang masih hidup. Jika diketahui terdapat puasa yang masih tertanggung ke atas seseorang yang telah meninggal dunia, maka para wali, termasuk ahli keluarga dan kerabat si mati seharusnya mencari jalan untuk melepaskan tanggungan puasa tersebut, lebih-lebih lagi jika si mati ada meninggalkan wasiat mengenai perkara tersebut atau ada meninggalkan harta pusaka.
Salah satu isu yang berkaitan dalam hal ini ialah jika puasa Ramadhan seseorang yang luput pada tahun tertentu kemudian dia meninggal dunia pada tahun yang sama sebelum masuk Ramadhan yang baru. Apakah langkah yang perlu diambil dan dilakukan oleh wali atau kerabat bagi menyelesaikan tanggungan puasa tersebut?
Perlu dijelaskan bahawa perbincangan ini bukan memfokuskan tentang qadha’ puasa Ramadhan seseorang yang luput pada tahun tertentu, kemudian dia tidak mengqadha’nya sedangkan dia ada kesempatan dan berupaya berbuat demikian sehinggalah datang Ramadhan yang baru, dan setelah itu dia meninggal dunia. Ini kerana dalam perkara ini, individu sedemikian diwajibkan ke atasnya dua perkara, iaitu mengqadha’ puasa dan juga mengeluarkan fidyah kerana melambatkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga datang bulan Ramadhan yang baru.
Wajibkah Diqadha’ Puasa Orang Meninggal Dunia Yang Luput?
Pada dasarnya, mana-mana hari puasa Ramadan yang luput itu wajib diqadha’, sama ada ditinggalkan kerana keuzuran syar‘i ataupun ditinggalkan dengan sengaja. Akan tetapi dalam masalah orang yang luput puasa Ramadhan pada tahun tertentu kemudian meninggal dunia dalam tahun yang sama sebelum masuk Ramadhan yang baru, para ulama telah membahagikannya kepada dua keadaan seperti berikut: Keadaan Pertama: Meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’ puasa Ramadhan.
Maksud ‘sebelum ada kesempatan’ untuk mengqadha’ itu ialah kerana terdapat sesuatu keuzuran atau berterusan keuzuran tersebut sehinggalah seseorang itu meninggal dunia tanpa peluang atau kesempatan untuk mengqadha’ puasanya.
Umpamanya seorang yang meninggal dunia dalam bulan Ramadhan tahun yang sama atau sebelum terbenam matahari pada hari kedua Syawal ataupun seorang yang memulakan pelayarannya pada hari pertama Syawal lalu berterusan dia dalam musafir sehinggalah dia meninggal dunia.
Bagi orang yang termasuk dalam kelompok keadaan yang pertama ini perlu juga dilihat dari aspek sebab-sebab kenapa dia tidak berpuasa Ramadhan, adakah disebabkan keuzuran syar‘i atau sebaliknya.
Antara keuzuran syar‘i meninggalkan puasa Ramadhan ialah sakit, musafir yang diharuskan, perempuan yang didatangi haidh dan nifas, perempuan yang hamil dan menyusukan anak, pengsan dan lupa berniat.
Oleh itu, orang yang termasuk dalam kelompok yang pertama ini terbahagi kepada dua seperti berikut:
1. Luput puasa kerana keuzuran syar‘i lalu meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’.
Jika puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu disebabkan keuzuran syar‘i, maka tidak ada tuntutan ke atasnya untuk mengqadha’ puasa yang luput itu, malahan dia tidak dihukumkan berdosa kerana ini bukan kecuaiannya.
Para ulama telah membawa beberapa contoh bagaimana seseorang itu dianggap luput sehari atau beberapa hari puasa Ramadhan disebabkan keuzuran syar‘i kemudian meninggal dunia sebelum ada kesempatan untuk mengqadha’ puasa tersebut. Umpamanya seorang yang tidak berpuasa Ramadhan disebabkan sakit, kemudian:
i. Dia meninggal dunia dalam bulan Ramadhan yang sama.
ii. Dia sembuh, akan tetapi dia meninggal dunia dalam bulan Ramadhan yang sama, sama ada dia berupaya berpuasa semula ataupun tidak.
iii. Dia sembuh, setelah itu berlaku ke atasnya keuzuran yang lain lagi sebelum terbit fajar hari kedua Syawal sehinggalah dia meninggal dunia. Begitu juga halnya jika seorang perempuan itu didatangi haidh sebelum terbenam matahari pada hari kedua Syawal.
iv. Sakitnya itu berterusan sehinggalah dia meninggal dunia.
2. Luput puasa bukan kerana keuzuran syar‘i lalu meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha’.
Jika puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu bukan disebabkan keuzuran syar‘i, seperti meninggalkan atau berbuka puasa Ramadhan dengan senghaja, maka dia dihukumkan berdosa kerana meninggalkan puasa Ramadhan dengan senghaja dan kewajipan puasa tersebut masih tertanggung ke atasnya.
Keadaan Kedua: Meninggal dunia setelah ada kesempatan dan berupaya mengqadha’ puasa tetapi tidak mengqadha’nya.
Seseorang yang luput puasa Ramadhan, sama ada disebabkan keuzuran syar‘i ataupun bukan, kemudian dia mempunyai kesempatan dan berupaya untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu, tetapi tidak melaksanakannya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dalam hal ini dia dihukumkan berdosa dan kewajipan puasa itu masih tertanggung ke atasnya.
Cara Melepaskan Tanggungan Puasa Orang Yang Meninggal Dunia
Menurut salah satu pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, terdapat dua cara untuk melepaskan tanggungan puasa orang yang meninggal dunia.
Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, wali kepada si mati wajib memilih dan melakukan salah satu daripada dua cara yang ditetapkan oleh syara‘.
Sebaliknya jika si mati tidak meninggalkan apa-apa harta, maka tidak diwajibkan bagi wali melakukan apa-apa, hanya disunatkan sahaja untuk memilih salah satu daripada dua cara yang ditetapkan.
Cara melepaskan tanggungan puasa orang yang meninggal dunia ialah dengan salah satu cara berikut:
1. Berpuasa bagi pihak si mati sebanyak hari-hari puasanya yang luput.
Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dan ke atasnya (tertanggung) puasa (yang wajib diqadha’), walinya boleh berpuasa bagi pihak si mati itu. (Hadits riwayat Muslim)
2. Membayar fidyah, iaitu satu mudd atau satu cupak makanan asasi, seperti beras, bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kadar satu mudd itu bersamaan 15 tahil atau 566.991 gram. Maka satu mudd itu menggantikan satu hari puasa yang luput itu.
Dalil yang mengharuskan untuk mengeluarkan atau membayar fidyah adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dan (tertanggung) ke atasnya puasa satu bulan (yang wajib diqadha’), maka hendaklah seseorang bagi pihaknya (si mati) memberi makan seorang miskin sebagai ganti setiap satu hari (puasa yang luput). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut syarah hadits di atas, yang dimaksudkan untuk memberi makan itu ialah wali si mati. Oleh yang demikian, setiap satu hari puasa yang luput itu hendaklah dikeluarkan fidyah, iaitu memberi makan orang miskin sebanyak satu cupak beras.
Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka fidyah itu hendaklah diambil daripada hartanya sebelum pembayaran hutang manusia dan pembahagian harta kepada ahli waris. Sebaliknya jika si mati tidak mempunyai harta pusaka, maka fidyah itu tidak diwajibkan ke atas si mati.
Permasalahan berkaitan:
i. Ulama telah sepakat hanya orang yang sudah meninggal dunia sahaja yang boleh dilakukan puasa bagi pihaknya sebanyak puasanya yang luput. Orang yang masih hidup, walaupun berputus asa (tidak berupaya) untuk mengerjakan puasa, tetap tidak dibolehkan bagi pihak lain berpuasa bagi pihaknya.
ii. Terdapat pengecualian dalam perkara di atas, sekiranya si mati menjadi murtad (keluar daripada agama Islam) sebelum dia meninggal dunia, maka tidak diharuskan untuk berpuasa bagi pihak si mati yang murtad.
iii. Dalam keadaan si mati tidak meninggalkan harta pusaka, masih diharuskan bagi wali atau ajnabiy (bukan wali atau kerabat si mati) untuk membayar fidyah daripada harta mereka sendiri. Namun bagi ajnabiy, keharusan mengeluarkan fidyah daripada hartanya sendiri disyaratkan hendaklah dengan keizinan wali si mati.
iv. Orang yang tertanggung ke atasnya kewajipan puasa tidak termasuk orang yang sangat tua yang tidak lagi berdaya untuk berpuasa, atau orang yang sangat sakit dan tidak ada harapan sembuh. Ini kerana mereka memang pada asalnya diwajibkan mengeluarkan fidyah sahaja dan sekali-kali tidak dituntut untuk berpuasa.
Siapa Yang Dibolehkan Berpuasa Bagi Pihak Orang Yang Meninggal Dunia?
Menurut ulama, ‘wali’ kepada si mati diharuskan untuk berpuasa bagi pihak si mati. Yang dimaksudkan dengan wali si mati itu termasuk kerabat (ahli keluarga) kepada si mati yang tidak hanya terhad kepada waris atau yang menerima ‘ashabah. Maka dapat difahami bahawa individu yang akan mengerjakan puasa untuk si mati itu terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa seorang perempuan telah datang bertemu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu berkata:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan (tertanggung) ke atasnya puasa nazar. Apakah (boleh) aku berpuasa bagi pihaknya (ibuku)?Bersabda (Rasulullah): “(Lakukanlah) puasa bagi pihak ibumu.” (Hadits riwayat Muslim)
Kemudian disyaratkan dia seorang yang bâligh dan berakal. Ini kerana jika seseorang hendak melakukan puasa bagi pihak orang lain, maka hendaklah dia terlebih dahulu menepati syarat wajib berpuasa.
Permasalahan Berkaitan
1. Seorang ajnabiy (bukan wali atau kerabat si mati) juga dibolehkan berpuasa bagi pihak si mati dengan syarat, hendaklah dia mendapat keizinan terlebih dahulu; sama ada daripada si mati; seumpama dengan berwasiat, ataupun wali si mati.
2. Sekiranya wali si mati menyuruh seorang ajnabiy untuk berpuasa bagi pihak si mati, sama ada dengan diberi upah ataupun tanpa upah, maka dengan keizinan wali tersebut hukum puasa yang dikerjakannya adalah sah. Sebaliknya jika seseorang berpuasa bagi pihak si mati tanpa mendapat keizinan, maka menurut pendapat yang sah, hukum puasa yang dikerjakannya itu adalah tidak sah.
3. Berdasarkan pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullâh, yang juga sealiran dan bertepatan dengan qawâ‘id mazhab asy-Syafi‘e, jika ada tiga puluh (30) orang wali atau kerabat si mati, ataupun mereka yang mendapat keizinan daripada si mati (umpamanya dengan berwasiat) atau dengan keizinan wali si mati dan setiap mereka ini melakukan puasa serentak dalam satu hari, maka memadai dan tertunai qadha’ puasa bagi pihak si mati untuk satu bulan Ramadhan (30 hari) yang ditinggalkannya.
4. Jika timbul perselisihan atau permasalahan mengenai wali, umpamanya si mati:
i. Mempunyai wali, akan tetapi terhalang daripada memberikan keizinan, umpamanya wali itu seorang kanak-kanak atau gila;
ii. Mempunyai wali, akan tetapi dilarang daripada memberi keizinan atau berpuasa;
iii. Tidak mempunyai kerabat langsung;
Maka dalam keadaan seperti ini, ditetapkan bahawa sekali-kali tidak diqadha’kan puasa si mati. Oleh yang demikian, jika si mati mempunyai harta pusaka, maka hendaklah dikeluarkan daripada harta pusaka tersebut fidyah. Sebaliknya jika si mati tidak mempunyai harta pusaka, maka wali si mati tidak dituntut melakukan apa-apa. Dengan erti kata lain, tidak dituntut mengeluarkan fidyah.
iv. Cara melunaskan puasa nazar atau kaffârah juga dihukumkan serupa sepertimana puasa Ramadhan. Bermakna seseorang yang masih tertanggung ke atasnya puasa nazar atau kaffârah dan belum melaksanakannya sehingga meninggal dunia, maka cara walinya untuk menyelesaikan puasa nazar dan kaffârah yang masih tertanggung ke atasnya sama seperti yang telah dijelaskan dalam permasalahan melepaskan tanggungan puasa Ramadhan.
Sebagai kesimpulan, seseorang yang luput puasa Ramadhan disebabkan keuzuran syara‘ dan tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadha’nya, kemudian dia meninggal dunia dalam tahun yang sama, dia tidak dituntut untuk menyelesaikan qadha’ puasa tersebut dan tidak dihukumkan berdosa. Ini kerana jelas ketiadaan peluang untuknya mengqadha’ puasa itu dan kelambatan mengqadha’ itu bukan disebabkan kecuaiannya.
Berbeza hukumnya jika puasa si mati yang luput itu ditinggalkan bukan disebabkan keuzuran syara‘, sekalipun dia tidak mempunyai kesempatan untuk mengqadha’nya, maka dia dihukumkan berdosa dan kewajipan puasa masih tertanggung ke atasnya.
Begitu juga hukumnya jika si mati semasa hidupnya mempunyai kesempatan dan keupayaan untuk mengqadha’ puasa yang luput itu, maka kewajipan puasa masih tertanggung ke atasnya, sama ada puasa yang luput itu disebabkan keuzuran syara‘ ataupun dengan senghaja.
Dalam permasalahan puasa si mati yang masih tertanggung ke atasnya itu, yang menangani masalah ini ialah wali, kerabat atau ahli keluarga kepada si mati. Adapun ajnabiy (selain wali dan kerabat si mati), disyaratkan hendaklah ada keizinan daripada si mati, umpama dengan wasiat atau keizinan daripada wali si mati. Cara menyelesaikan qadha’ puasa pula ialah dengan dua pilihan, sama ada wali berpuasa bagi pihak si mati sebanyak hari puasanya yang luput atau mengeluarkan fidyah iaitu satu cupak beras (bersamaan 566.991 gram) bagi menggantikan setiap hari yang luput dan diberikan kepada golongan miskin. Jika si mati ada meninggalkan harta pusaka, maka wali wajib melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya. Sebaliknya, jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka, hanya disunatkan sahaja ke atas wali melakukan sedemikian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9099
دليل الألوان
