Mandi Sunat Sembahyang Jumaat: Hukum, Waktu Dan Permasalahannya
الجواب
Kebersihan merupakan suatu perkara yang sangat diutamakan dalam Islam. Selain menjadi syarat sah ibadat, kebersihan juga sangat dituntut sebagai cara hidup, etika bermasyarakat dan lain-lainnya, bahkan lebih besar daripada itu, kebersihan juga merupakan suatu ibadat. Antara contoh kebersihan yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam ialah pensyariatan mandi ketika hendak menghadiri sembahyang Jumaat. Sesungguhnya mandi sunat sembahyang Jumaat ini adalah mandi sunat yang paling utama di antara kesemua mandi-mandi sunat.
Antara sebab keutamaan mandi sunat sembahyang Jumaat itu ialah kerana kebesaran hari Jumaat itu sendiri. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memilih hari Jumaat sebagai suatu hari yang sangat istimewa bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, dengan menjadikannya sebagai hari besar mingguan bagi seluruh kaum Muslimin, dengan perintah mengadakan satu sembahyang khas bagi menandakan kebesaran hari Jumaat untuk menggantikan sembahyang Zhuhur. Pada hari inilah seluruh umat Islam, terutamanya kaum lelaki, hadir ke masjid-masjid untuk berkumpul dalam satu perkumpulan tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan rupa, bagi mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan sembahyang fardhu Jumaat. Hukum Dan Hikmah Pensyariatan Mandi Sunat Sembahyang Jumaat
Menurut ulama, sunat bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat untuk mandi, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, dewasa ataupun kanak-kanak, merdeka ataupun hamba, bermuqim ataupun sedang musafir. Secara ringkasnya, sunat hukumnya bagi sesiapa sahaja yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat untuk mandi, sungguhpun orang tersebut tidak wajib ke atasnya sembahyang Jumaat seperti perempuan atau hamba.
Ini berdasarkan sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhialâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa daripada kamu yang datang untuk mendirikan sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi. (Hadits riwayat Imam al-Buhkari dan Imam Muslim)
Dalam sebuah lagi hadits yang diriwayatkan dengan sanad yang shahîh daripada Ibnu ‘Umar Radhialâhu ‘anhumâ, beliau berkata bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang hendak pergi (sembahyang) Jumaat daripada lelaki mahupun perempuan maka hendaklah dia mandi, dan siapa yang tidak pergi (sembahyang Jumaat) maka tidaklah (disyariatkan) baginya untuk mandi. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi) Daripada dua buah hadits ini, dapatlah difahami bahawa mandi sunat sembahyang Jumaat ini hanya disyariatkan bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat sahaja, adapun orang yang tidak menghadirinya, mereka tidak dituntut untuk mengerjakannya.
Walau bagaimanapun, jika ditinggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat ini tidaklah ia sampai menjejaskan atau merosakkan sembahyang Jumaat, dan tidak pula ianya menyebabkan berdosa. Akan tetapi makruh hukumnya jika ia ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran.
Adapun antara hikmah mandi sunat sembahyang Jumaat ini disyariatkan, adalah untuk tujuan kebersihan, iaitu menghilangkan bau-bau kurang menyenangkan yang ada di tubuh badan kerana bau-bau ini dikhuatiri boleh mengganggu jemaah Jumaat yang lain. Di samping itu, ia mampu memberikan keselesaan kepada saudara-saudara seagama yang turut sama hadir ke masjid ketika itu.
Sunat berwudhu’ sebelum memulakan mandi sunat sembahyang Jumaat, sebagaimana ianya juga disunatkan dalam kesemua mandi sunat dan mandi wajib. Disunatkan juga mendirikan sembahyang sunat dua rakaat setelah selesai menyempurnakan mandi-mandi sunat dan mandi-mandi wajib tersebut.
Waktu Mandi Sunat Sembahyang Jumaat
Waktu mandi sunat sembahyang Jumaat itu bermula setelah terbit fajar shâdiq, dan menurut ulama adalah tidak memadai jika ia dilakukan sebelum terbit fajar sadiq. Adapun mengakhirkannya sehingga hendak keluar rumah untuk pergi menghadiri sembahyang Jumaat adalah lebih afdhal, kerana ini lebih dekat dengan maksud pensyariatannya, iaitu untuk menghilangkan bau-bau tubuh badan yang kurang menyenangkan kerana menjaga keselesaan dan kemashlahatan jemaah-jemaah yang lain.
Mandi sunat sembahyang Jumaat ini habis waktunya setelah selesai sembahyang Jumaat, iaitu setelah imam memberi salam.
Jika bertembung dua keutamaan di antara mandi dan awal ke masjid, maka mandi ataupun gantiannya seperti tayammum adalah lebih diutamakan jika tidak dikhuatiri luput sembahyang Jumaat itu.
Permasalahan-Permasalahan Mandi Sunat Sembahyang Jumaat
1. Kaifiyyât yang paling afdhal dalam mengerjakan mandi sunat sembahyang Jumaat mahupun mandi-mandi sunat yang lain ialah dengan mengerjakannya sepertimana kaifiyyât mengerjakan mandi wajib.
2. Para ulama sepakat mengatakan bahawa mandi sunat sembahyang Jumaat ini tidak akan batal dengan sebab berlaku hadas sama ada hadas kecil ataupun besar. Maka jika berlaku hadas kecil, memadailah dia berwudhu’ sahaja bagi mengangkat hadas kecil itu, dan jika berlaku hadas besar, memadailah dia mandi junub sahaja bagi mengangkat hadas besar tersebut.
3. Jika terdapat keuzuran syar‘i untuk menggunakan air, umpamanya kerana sakit ataupun kerana ketiadaan air, maka disunatkan untuk bertayammum, dengan meniatkan bahawa tayammum itu adalah sebagai ganti mandi sunat sembahyang Jumaat. Lafaz niatnya:
Ertinya: Sahaja aku bertayammum sebagai ganti mandi sunat sembahyang Jumaat.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, tayammum ini juga boleh menjadi ganti kepada mandi-mandi sunat yang lainnya jika terdapat keuzuran untuk menggunakan air.
Menurut pendapat Imam al-Qalyubi, Imam asy-Syaubari, Imam asy-Syarwani Rahimahumullâh dan lain-lainnya, makruh bagi orang yang hendak menghadiri sembahyang Jumaat meninggalkan tayammum ini jika terdapat keuzuran syar‘i untuk menggunakan air. Hukum ini diqiyâskan daripada hukum makruh meninggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang telah disebutkan sebelum ini.
4. Imam an-Nawawi dan Imam asy-Syarbini Rahimahumullâh berpendapat bahawa barang siapa yang menyatukan dua mandi wajib dan mandi sunat, umpamanya dia berniat mandi junub bersama-sama dengan mandi sunat sembahyang Jumaat, maka sah dan diterima kedua-dua mandi tersebut.
Imam al-Bujairimi Rahimahullâh menambah: “Bahkan jika dituntut mandi-mandi sunat itu (dalam satu masa), umpamanya mandi Hari Raya, mandi sunat sembahyang Gerhana, mandi sunat sembahyang Ististqa’ dan mandi sunat sembahyang Jumaat, lalu dia berniat dengan salah satu daripada mandi-mandi sunat tersebut, maka dia akan memperolehi (pahala) kesemua mandi-mandi sunat yang dituntut daripadanya itu tadi kerana kedudukannya yang sama (semuanya adalah sunat), dan begitulah juga halnya bagi mandi-mandi wajib”.
5. Jika seseorang telahpun mandi sunat kerana sesuatu sebab, misalnya kerana Hari Raya, lalu berlaku lagi selepas itu satu perkara yang dituntut ke atasnya untuk mandi sunat, umpamanya kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat, maka tuntutan mandi sunat kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat itu tidak gugur, bahkan sunat baginya mandi sekali lagi kerana perkara-perkara yang baru berlaku itu.
6. Sunat dan lebih utama seorang yang sedang berpuasa meninggalkan mandi sunat sembahyang Jumaat ini dan mandi-mandi sunat yang lain jika dikhuatiri ianya boleh membatalkan puasa. 7. Jika luput mandi sunat sembahyang Jumaat atau mandi-mandi sunat yang lainnya maka tidak perlu ia diqadha’ kerana waktu dan sebabnya telah luput, sepertimana yang telah difatwakan oleh Imam as-Subki Rahimahullâh. 8.
Kesimpulan
Harus diingat bahawa tatkala kita melakukan ibadat menghadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, pastikan kita berada dalam keadaan yang bersih dan kemas. Salah satu cara terbaik untuk membersihkan diri itu ialah mandi. Antara hikmah pensyariatan mandi yang paling utama, sama ada mandi sunat ataupun wajib, adalah supaya kita sentiasa dalam keadaan bersih dan suci. Ingatlah bahawa Allah Ta‘ala amat suka kepada orang yang sentiasa membersihkan diri sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)
Mandi sunat sembahyang Jumaat, sungguhpun ianya hanyalah sunat, yang jika ditinggalkan tidaklah berdosa serta tidak pula menjejas atau merosakkan sembahyang Jumaat, akan tetapi mengerjakannya secara kurang sempurna sepertimana yang dituntut oleh syara’, atau mengabaikannya dengan memandang ringan terhadap tuntutannya merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana kedudukannya yang sangat tinggi di sisi Islam. Dalam satu riwayat muttafaq ‘alaih, Ibnu ‘Umar Radhialâhu ‘anhumâ telah menceritakan bahawa pada suatu hari Jumaat, sedang bapanya Sayyidina ‘Umar al- Khaththab Radhialâhu ‘anhu menyampaikan khutbah Jumaat, beliau terlihat Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu baru masuk ke dalam masjid, beliau pun menegur:
Maksudnya: Waktu apakah sekarang ini?
Lalu Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu pun menjawab:
Maksudnya: Sesungguhnya tadi aku sangat sibuk, sehinggakan aku tidak sempat pulang dulu kepada keluargaku, lalu aku pun terdengar azan, maka aku tidak menambah (apa-apa selain daripada) berwudhu’.
Lalu Sayyidina ‘Umar Radhialâhu ‘anhu pun berkata lagi:
Maksudnya: Dan juga (hanya) berwudhu’? Sedangkan engkau telah mengetahui bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan supaya mandi. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat ini, jelas sekali bahawa Sayyidina ‘Umar Radhialâhu ‘anhu kurang menyenangi perbuatan Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu yang tidak mengerjakan mandi sunat sembahyang Jumaat padahal beliau sendiri mengetahui keadaan Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu yang ketika itu sangat sibuk dan telahpun lewat untuk pergi ke masjid. Ini menunjukkan betapa pentingnya mandi sunat sembahyang Jumaat itu sehinggakan Sayyidina ‘Umar Radhialâhu ‘anhu tidak menerima alasan yang telah diberikan oleh Sayyidina ‘Utsman Radhialâhu ‘anhu itu tadi.
Riwayat ini sewajarnya menjadi teladan dan penyuntik semangat untuk lebih berusaha mengerjakan amalan-amalan yang disyariatkan, semata-mata kerana mencari rahmat dan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ walaupun ada kalanya suatu amalan itu pada penilaian kasar hanyalah sesuatu yang sangat mudah dan ringan sahaja, dan ada kalanya hikmah serta fadhilatnya hanya diketahui oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja. Ingatlah bahawa setiap yang disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9135
دليل الألوان
