Makan Yang Halal, Ikut Cara Islam
الجواب
Dewasa ini kepentingan kesihatan semakin diambil berat oleh berbagai pihak memandangkan timbulnya pelbagai penyakit kronik yang antaranya boleh membawa kepada kematian. Banyak inisiatif yang dibuat bagi menjamin kesihatan fizikal seperti pengambilan makanan secara teratur dan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, memakan makanan yang halal serta cara pengambilan makanan yang betul menurut Islam juga merupakan antara faktor yang membawa kepada kesihatan tubuh badan.
Kewajipan Mengambil Makanan Halal Dan Baik
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan umat Islam supaya memakan makanan yang halal dan baik sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Wahai manusia, makanlah (makanan) daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. (Surah al-Baqarah: 168)
Perkataan (lagi baik) bererti enak atau lazat.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap Muslim. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Hikmah Mengambil Makanan Yang Halal Lagi Baik
Kewajipan untuk memakan makanan halal bukanlah disebabkan ia berupa perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata, akan tetapi terkandung di dalam perintah tersebut banyak hikmahnya. Antaranya:
1. Selamat daripada api neraka.
Memakan makanan yang halal merupakan antara perkara yang menyelamatkan umat Islam dari api neraka kerana dengan memakan makanan yang haram ditakuti boleh mengakibatkan balasan api neraka berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiap-tiap daging dan darah yang tumbuh daripada harta atau makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
2. Do‘a dimakbulkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Memakan makanan yang halal menjadi antara penyebab do‘a dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Wahai Sa‘ad! Baguskanlah makanan engkau, nescaya engkau adalah (orang yang) diperkenankan do‘anya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
3. Menambah cahaya dalam hati dan melembutkannya.
‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi‘e Rahimahullâh ada menyebutkan bahawa memakan yang halal itu akan menambah cahaya kepada hati serta melembutkannya.
Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan membuat taat, zuhud terhadap dunia dan suka kepada Hari Akhirat.
4. Menjadi penawar atau ubat.
Hikmah memakan makanan yang halal juga antaranya menjadi penawar atau ubat kerana Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh pernah berkata kepada Imam Ahmad Rahimahullâh:
“Wahai Ahmad! Adapun aku makan banyak, kerana aku tahu makananmu adalah daripada yang halal. Dan sesungguhnya engkau juga seorang pemurah, makanan orang pemurah adalah ubat, sedang makanan orang bakhil pula racun atau penyakit. Aku tidak makan (hanya) untuk kenyang, tetapi aku makan (juga) untuk berubat dengan makananmu itu, wahai Ahmad! Supaya aku sembuh (sihat), kerana makananmu daripada yang halal.”
Melalui ungkapan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh menunjukkan bahawa makanan yang halal itu adalah ubat, sementara makanan yang haram itu pula adalah penyakit.
Etika Makan Dan Minum Menurut Islam
Selain memakan makanan yang halal lagi baik, Islam mengajar dan memberikan panduan kepada umatnya dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan perbuatan dan amalan sehari-hari. Umpamanya etika ketika makan dan minum, Islam tidak terlepas pandang mengenainya, bahkan kebanyakannya dapat diambil daripada perbuatan dan teguran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Antara etika yang digariskan oleh syara‘ dalam perkara makan dan minum ialah:
1. Tidak berlebihan dalam pengambilan makanan dan minuman sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan makan serta minumlah dan janganlah berebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-A‘râf: 31)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang hamba-hambaNya daripada berlebih-lebihan atau melampaui batas ketika makan dan minum. Apa yang dituntut adalah makan dan minum dengan sekadarnya.
2. Membasuh kedua-dua tangan sebelum dan selepas makan untuk memastikannya bersih daripada kotoran.
3. Apabila makanan sudah dihidang dan tersedia untuk dimakan, sunat membaca do‘a yang dibaca oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah bagi kami pada apa yang Engkau kurniakan kepada kami, dan jauhkan kami dari azab (api) neraka. (Hadits riwayat Ibnu as-Sunniy)
4. Memulakan makan dan minum dengan membaca:
Ertinya: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Apabila seseorang makan atau minum tanpa menyebut ucapan Basmalah, maka syaitan akan turut sama makan atau minum bersamanya. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang masuk ke rumahnya lalu dia mengingati Allah ‘Azza wa Jalla ketika dia masuk rumah dan ketika makan, syaitan berkata (kepada suku-sakatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan makan malam bagi kamu”. Dan jika dia masuk tanpa mengingati Allah ketika dia masuk, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat untuk bermalam”. Jika dia tidak mengingati Allah ketika dia makan, syaitan berkata: “Bagi kamu ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Walau bagaimanapun jika terlupa membacanya pada permulaan waktu makan atau minum, maka memadailah membacanya pada pertengahan makan atau minum dengan lafaz:
Ertinya: Dengan nama Allah pada awalnya dan pada penghujungnya.
Perkara ini diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu makan maka sebutlah nama Allah Ta‘ala pada awalnya. Apabila dia terlupa menyebut nama Allah Ta‘ala
(Hadits riwayat Abu Daud)
5. Makan dan minum dengan menggunakan tangan kanan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin Abu Salamah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Wahai budak, sebutlah nama Allah Ta‘ala (ucapan Basmalah) dan makanlah dengan tangan kananmu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
6. Sunat makan dengan menggunakan tiga jari mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
7. Tidak menghembuskan nafas di dalam cawan atau gelas minuman ketika minum.
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu minum maka janganlah dia bernafas di dalam bejana. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
8. Mendahulukan memakan buah-buahan sebelum memakan makanan yang lain.
Di dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mendahulukan menyebut buah-buahan sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan (juga dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih. (Surah al-Wâqi‘ah: 20)
Kemudian barulah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyebut makanan daging sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini. (Surah al-Wâqi‘ah: 20)
Para ulama menyebutkan bahawa hendaklah didahulukan dengan memakan buah-buahan kemudian daging dan seterusnya halâwah (حالوة) iaitu manisan atau pencuci mulut.
9. Tidak mencela makanan halal yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa sebagaimana yang patut dicontohi daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda tinggalkannya. (Hadits riwayat Muslim)
10. Makruh makan bersandar atau makan berbaring.
11. Tidak berludah ketika sedang makan. Selain daripada larangan syara‘, berludah ketika sedang makan jelas tidak sopan apalagi jika makan bersama orang lain. 12. Tidak meniup makanan atau minuman.
13. Sunat minum secara tiga kali nafas. Pada tegukan yang pertama membaca bismillâh sementara membaca Alhamdulillâh pada tegukan yang terakhir.
14. Menghabiskan sisa makanan sama ada di jari mahupun di pinggan. Ini kerana orang tidak mengetahui di mana keberkatan makanan yang dimakan, ia mungkin saja ada pada sisa terakhir makanan itu.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia menjilat jari-jarinya. Maka sesungguhnya dia tidak mengetahui di mana (pada makanan tersebut) letaknya keberkatan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
15. Mengucap syukur ke hadhrat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atas kurniaan rezeki yang dilimpahkanNya kepada hambaNya.
Terdapat banyak do‘a yang boleh diamalkan ketika selesai makan, antaranya:
Ertinya: Segala pujian bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami orang-orang Islam. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Kepentingan makanan halal lagi baik bukan hanya untuk kesihatan tubuh badan serta akal fikiran, bahkan yang lebih penting mempunyai hubungan yang rapat dengan penerimaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap ibadat seseorang Muslim. Amat-amatilah semula bahawa daging dan darah yang tumbuh daripada makanan dan harta yang haram, api neraka lebih utama baginya.
Oleh kerana itu, wajarlah setiap orang Islam prihatin terhadap makanan yang disuapnya adalah halal, berkhasiat serta tidak membahayakan serta seimbang menurut keperluan tubuh badan. Demikian itulah tuntutan dalam Islam termasuk etika ketika memakannya dalam keadaan beradab dan sopan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9129
دليل الألوان
