Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Menghajikan Orang Yang Telah Meninggal Dunia

الجواب

Ibadat haji merupakan fardhu ‘ain ke atas setiap orang Islam yang belum menunaikannya dan memenuhi syarat-syarat wajib haji. Kewajipan haji itu ditunaikan sekali dalam seumur hidup.

Orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji iaitu Islam, mukallaf, merdeka dan berkemampuan, sunat ke atasnya untuk tidak menangguhkan ibadat haji. Apabila dia menangguhkan ibadat haji sedang dia berkemampuan untuk menunaikannya dan dia menunaikannya sebelum meninggal dunia, maka dia tidak berdosa. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menangguhkan ibadat haji ke tahun sepuluh hijrah.

Dalam keharusan menangguhkan ibadat haji bagi orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji, disyaratkan dia berazam untuk menunaikannya di tahun akan datang. Disyaratkan juga bagi orang yang menangguhkan ibadat haji itu dengan sangkaannya yang kuat bahawa dia berada dalam keadaan selamat sehingga waktu dia menunaikannya daripada perkara yang menghalangnya untuk menunaikan haji seperti selamat daripada lumpuh dan luput harta. Jika dia takut akan terjadi lumpuh ke atas dirinya ataupun dia takut hartanya akan luput maka haram dia menangguhkan ibadat hajinya itu.

Adapun orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji, jika dia tidak menunaikan haji lalu meninggal dunia maka dia berdosa kerana dikira satu kecuaian. Jika seseorang itu memenuhi syarat-syarat wajib haji dalam beberapa tahun tetapi dia tidak juga menunaikan haji sehingga meninggal dunia maka dia berdosa pada tahun terakhir itu sahaja. Adapun tahun-tahun sebelum tahun terakhir itu dia tidak berdosa kerana keharusan dia menangguhkan ibadat haji sebagaimana penjelasan sebelum ini.

Salah satu persoalan yang timbul mengenai orang yang telah meninggal dunia sedang dia belum sempat menunaikan haji, adakah boleh ditunaikan haji untuknya ataupun tidak? Untuk menjawab persoalan tersebut berikut adalah penjelasannya.

Haji Fardhu

Hukum menunaikan haji fardhu untuk orang yang telah meninggal dunia adalah seperti berikut:

1. Cukup syarat wajib haji tetapi tidak menunaikannya.

Sesiapa yang meninggal dunia sedang kewajipan haji masih tertanggung ke atasnya (iaitu semasa hidupnya dia mampu untuk menunaikan haji tetapi tidak ditunaikannya), ini termasuklah juga qadha’, nazar atau dia diupah untuk menunaikan haji, maka wajib ditunaikan haji untuk diri si mati daripada harta peninggalannya. Perkara ini sama seperti kewajipan membayar hutang.

Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji lalu dia mati sebelum menunaikan haji, adakah aku tunaikan haji untuknya? Baginda bersabda: “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?” Dia menjawab: “Ya.”

Baginda Bersabda: “Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Orang yang diwajibkan menunaikan haji untuk si mati itu sama ada dia melakukannya dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain adalah seperti berikut:

i. Orang yang diwasiatkan.

ii. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka kewajipan menunaikan haji untuk si mati berpindah kepada ahli warisnya.

iii. Jika tidak ada ahli waris, maka kewajipan menunaikan haji untuk si mati berpindah pula kepada hakim.

. Jika si mati tidak ada harta peninggalan, maka sunat bagi ahli warisnya dan orang asing (walaupun tanpa izin ahli waris) menunaikan haji untuk si mati.

2. Cukup syarat wajib haji tetapi tidak sempat menunaikannya

Jika seseorang itu tidak dapat menunaikan haji selepas dia mampu untuk menunaikannya seperti meninggal dunia, gila atau hilang hartanya sebelum para jemaah menunaikan haji, maka tidak ditunaikan hajinya itu daripada harta peninggalannya. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris dan orang asing menunaikan haji untuk diri si mati.

3. Tidak mampu menunaikan haji.

Sesiapa yang meninggal dunia sedang dia belum sempat menunaikan haji kerana tidak mampu, menurut pendapat yang mu‘tamad adalah harus bagi ahli waris dan orang asing menunaikan haji untuk diri si mati.

Haji Sunat

Menunaikan haji sunat untuk orang yang telah meninggal dunia adalah tidak harus melainkan ada wasiat daripada si mati.

Orang Yang Menghajikan Telah Menunaikan Haji

Orang yang hendak melakukan ibadat haji untuk si mati sama ada orang yang diwasiatkan, ahli waris, hakim yang melakukan sendiri atau orang yang diupah untuk melakukannya, hendaklah tidak tertanggung ke atasnya haji fardhu, qadha’ atau nazar. Jika dia berniat ihram untuk si mati sedangkan dirinya sendiri belum menunaikan haji fardhu maka jatuhlah niat ihramnya itu untuk dirinya sendiri bukan untuk si mati.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendengar seorang lelaki berkata:

Maksudnya: Aku bagi pihak Syubrumah datang menyahut panggilanMu. Baginda bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudaraku atau kerabatku”. Baginda bertanya: “Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Tunaikan haji untuk dirimu dahulu kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Demikianlah penjelasan mengenai hukum menghajikan orang yang telah meninggal dunia. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita, terutama sekali bagi mereka yang berkewajipan untuk menunaikan haji orang yang telah meninggal dunia melalui harta peninggalannya. Begitu juga, orang yang hendak menghajikan si mati itu hendaklah dia sudah menunaikan haji fardhu, qadha’ atau nazar.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9155

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص