Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Menghilangkan Najis: Perhatikan Cara Yang Betul

الجواب

Islam sangat menitik-beratkan kebersihan secara keseluruhannya, pada tubuh badan, pakaian, makanan, minuman, tempat tinggal, persekitaran dan selainnya. Kepentingan menjaga kebersihan itu sangat jelas dalam Islam, lebih-lebih lagi jika perkara mengenai kebersihan itu bersangkut-paut dengan ibadat seperti sembahyang dan thawaf. Ini kerana ibadat seperti sembahyang dan thawaf itu boleh terjejas apabila dikerjakan dalam keadaan tidak suci.

Walau bagaimanapun dari segi syara‘ tidak semua yang bersih itu suci dan tidak semua yang kotor itu najis. Menurut syara‘, kotoran dan najis mempunyai perbezaan di antara kedua-duanya, sebagai misal lumpur adalah kotor tetapi belum tentu ia najis.

Najis ‘Aini Dan Najis Hukmi

Najis terbahagi kepada dua kategori/bahagian, iaitu najis ‘aini dan najis hukmi.

Pertama: Najis ‘aini, iaitu zat (‘ain) najis tersebut atau sifatnya; iaitu rasa, warna dan bau yang boleh dikesan dengan pancaindera.

Kedua: Najis hukmi, iaitu zat (‘ain) najis dan sifatnya yang tidak boleh dikesan dengan pancaindera oleh sebab tersembunyi, tidak kelihatan atau hilang kesan najis tersebut; seperti air kencing yang telah kering.

Selain itu, najis juga dibahagikan kepada tiga peringkat seperti berikut:

1. Najis mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umur dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan melainkan air susu ibu sahaja.

2. Najis mutawassithah (pertengahan), iaitu najis selain mukhaffafah dan mughallazhah seperti tahi, kencing, darah, nanah dan selainnya.

3. Najis mughallazhah (berat), iaitu anjing dan babi, termasuk campuran atau kacukan daripada kedua-dua binatang anjing dan babi, sama ada zatnya mahupun (cecair lembapan) peluh, air liur, kencing, tahi dan sebagainya.

Cara Membersihkan Najis ‘Aini Dan Hukmi

Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang mampat (bukan jenis cecair) yang terkena najis adalah seperti berikut:

1. Najis ‘aini.

Sesuatu bahagian atau tempat yang terkena selain najis mughallazhah (anjing dan babi), cara membersihkannya ialah menghilangkan zat najis tersebut terlebih dahulu. Kemudian diikuti dengan cucian atau basuhan (jirusan) menggunakan air muthlaq yang menghilangkan atau menghapuskan sifat najis iaitu rasa, warna dan bau. Jika perlu menggunakan seumpama sabun dan dia mampu mengadakannya, maka hendaklah digunakan.

Manakala sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah (anjing dan babi), maka cara membersihkannya atau menyucikannya ialah dengan cara menyertu. Caranya ialah bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali dengan air muthlaq, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut. Perlu juga diingat, jika masih terdapat zat najis, maka hendaklah terlebih dahulu dihilangkan zat najis itu kemudian barulah dilakukan sertu.

Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila anjing menjilat pada bejana salah seorang di antara kamu, maka cucilah ia dengan tujuh kali cucian, salah satunya (air) yang bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Keadaan yang dituntut untuk menyertu sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah ialah apabila salah satu atau kedua-dua pihak itu dalam keadaan basah, sama ada kerana menyentuh atau tersentuh najis tersebut atau suatu bahagian atau tempat itu menjadi najis disebabkan olehnya.

2. Najis hukmi.

Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang terkena najis hukmi, iaitu yang tidak lagi didapati zat dan sifat (bau, rasa dan warna) najis, seperti kencing yang telah kering, ialah memadai dengan menjirus (mengalirkan) air ke atasnya sebanyak satu kali jirusan. Memadai, yakni terhasil, kebersihan dan kesucian bahagian atau tempat yang terkena najis itu walaupun tanpa dilakukan oleh sesiapa (pelaku), umpama bahagian atau tempat itu dijirus atau disirami oleh air hujan.

Manakala cara menyucikan najis hukmi daripada jenis najis mughallazhah yang sudah hilang zat dan sifatnya ialah dengan cara menyertu sepertimana yang telah dijelaskan terdahulu.

Kesan Najis ‘Aini Sukar Dihilangkan Atau Dihapuskan

Dalam keadaan tertentu, walaupun zat najis itu dapat dihilangkan, namun kadang-kala terdapat kesukaran untuk menghilangkan keseluruhan kesan atau sifat najis, seumpama kesan warna darah dan bau arak.

Jika ini yang berlaku, memadailah dengan menghilangkan dua daripada tiga sifat najis, umpamanya rasa dan warna atau rasa dan bau. Akan tetapi hendaklah digosok dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu bahagian atau tempat yang masih ada kesan bau atau warna dengan air sebanyak 3 kali. Setelah dilakukan sedemikian dan masih juga terdapat bau atau warna najis, sekalipun daripada najis mughallazhah, maka bahagian atau tempat itu dianggap sudah bersih atau suci. Sekiranya dia berupaya untuk menghilangkan kesan najis tersebut selepas itu, maka tidak wajib ke atasnya lagi untuk menghilangkannya.

Adapun sifat ‘rasa’ daripada najis tersebut, mestilah dihilangkan, kecuali jika terdapat keuzuran, maka ia adalah dimaafkan. Maksud keuzuran di sini rasa najis itu tidak hilang melainkan dengan dipotong bahagian yang terkena najis itu. Sekiranya kemudian daripada itu dia berupaya untuk menghilangkan ‘rasa’ najis tersebut, maka wajib menghilangkannya.

Manakala dalam menentukan rasa dan bau najis tersebut sudah hilang atau belum, adalah memadai dengan adanya sangkaan yang kuat bahawa rasa dan bau najis itu sudah hilang dan ia tidak wajib diuji dengan merasanya ataupun menghidunya.

Permasalahan Berkaitan

Berikut dibawakan beberapa isu berkaitan najis ‘aini, hukmi dan mutanajjis menurut pandangan syara‘:

1. Tersentuh najis mughallazhah dalam keadaan kering.

Seorang tersentuh anjing dengan tangannya, padahal tangannya itu kering dan anjing itu kering, maka tidaklah dihukumkan tangannya itu bernajis. Berbeza hukumnya jika salah satu pihak itu yang bersentuhan itu dalam keadaan basah, lalu dia memegang anjing itu, maka tangannya itu terkena najis mughallazhah. Oleh yang demikian, wajiblah dia melakukan sertu pada tangannya itu.

2. Tidak yakin sama ada terkena najis atau tidak.

Untuk menentukan sesuatu itu najis atau terkena najis, hendaklah dipastikan ada ‘ain (benda) najis itu atau sifatnya yang terdiri daripada bau, warna atau rasa. Jika telah pasti, maka hendaklah dihilangkan ‘ain najis dan sifat-sifatnya. Jika tidak wujud salah satu daripada perkara-perkara tersebut, maka tempat atau benda itu tetaplah suci yakni kembali kepada hukum asal (suci), kecuali ada sesuatu yang menyebabkan kita yakin tempat atau benda itu bernajis seperti najis hukmi.

Jika kereta seseorang terlanggar anjing atau khinzîr, maka adalah wajib disertu bahagian-bahagian kereta yang diyakini telah dicemari oleh najis mughallazhah, jika kereta itu hendak dipakai atau digunakan lagi, kerana menjauhi najis adalah wajib sekalipun di luar sembahyang.

3. Sertu dengan selain tanah.

Melakukan sertu dengan menggunakan selain tanah adalah tidak memadai, umpamana dengan menggunakan sabun atau seumpamanya seperti cecair dan bahan pencuci moden. Ini kerana perintah sertu, iaitu mencuci dengan air muthlaq sebanyak 7 kali dan salah satu daripadanya dengan air yang dicampur dengan tanah merupakan perkara ta‘abbudi (semata-mata menurut perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ).

Selain menggunakan tanah bercampur air, ia boleh digantikan dengan air yang keruh seperti air mengalir (contohnya air sungai) yang telah bercampur dengan tanah.

4. Perkara mutanajjis.

Dalam keadaan tertentu, sesuatu bahagian atau tempat yang suci yang terkena najis dan salah satu pihak itu dalam keadaan basah, boleh menjadikan bahagian atau tempat yang suci itu mutanajjis (menjadi najis kerana tersentuh dengan najis). Berikut dibawakan beberapa keadaan tersebut sebagai contoh serta penjelasan ringkas mengenainya.

a. Menyentuh benda lain setelah tersentuh anjing.

Seseorang yang tersentuh anjing dengan tangannya dalam keadaan basah, maka tangannya itu telah terkena najis mughallazhah. Apabila dia memegang sesuatu benda lain dalam keadaan tangannya masih basah (setelah memegang anjing tadi) dan sebelum dia menyucikan tangannya itu, maka benda yang dipegangnya itu juga telah kena najis mughallazhah.

b. Menyentuh tangan orang bukan Islam.

Persoalan menyentuh, memegang, menjabat dan seumpamanya tangan orang bukan Islam atau orang kafir yang menyentuh daging babi, maka tetaplah tangan orang bukan Islam itu najis secara hukmi sehinggalah tangan tersebut dicuci atau disertu sepertimana yang dituntut syara‘.

Namun jika tangan orang kafir itu bersih daripada zat najis mughallazhah seperti darah atau apa-apa jua daripada babi atau tidak nampak kesan najis babi itu sekalipun tidak dicuci seperti di atas, maka apa-apa yang disentuh oleh orang kafir itu tidaklah menjadikannya najis.

c. Membersih dengan cara mencelup atau merendam.

Cara membersihkan sesuatu seperti pakaian yang terkena najis, selain najis mughallazhah, adalah dengan mengalirkan atau menjirus dengan air yang menghilangkan zat dan sifat najis; bau, warna dan rasa. Perbuatan merendam atau mencelup pakaian yang masih mempunyai zat atau jirim najis ke dalam air yang tenang (tidak mengalir umpama dalam besen, gayung atau baldi) yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah, adalah tidak memadai. Hasilnya, bahagian yang terkena najis itu belum dianggap suci, manakala air yang digunakan untuk merendam dan mencelup itu pula berubah menjadi najis (mutanajjis).

Selain itu, cara menyertu umpamanya pakaian yang terkena najis mughallazhah, setelah menghilangkan zat najis, ialah dengan merendam atau mencelupkannya ke dalam:

i. Air keruh (yang telah bercampur tanah) yang tenang (tidak mengalir) dan banyak, iaitu lebih daripada dua qullah, maka memadailah dengan merendam dan menggerak-gerakkannya sebanyak tujuh kali.

ii. Air keruh (yang telah bercampur tanah) yang mengalir, maka memadailah dengan cara mengalirkan air padanya sebanyak tujuh kali.

Kadar dua qullah ialah:

• Sukatan – lebih kurang 216 liter. • Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter.

Sebagai kesimpulan, terdapat perbezaan pada cara membersihkan atau menyucikan tempat atau bahagian yang terkena najis ‘aini dan hukmi, sama ada najis mukhaffafah, mutawassithah atau mughallazhah. Jika diyakini sesuatu terkena najis mughallazah anjing dan babi, cara untuk menyucikannya ialah dengan sertu, iaitu dibasuh dengan 7 kali air muthlaq salah satunya dengan air yang bercampur tanah. Manakala selain najis mughallazhah seperti kencing, tahi, darah, nanah dan selainnya, maka cara membersihkannya ialah dengan menjirus atau mengalirkan air ke atasnya. Namun hendaklah dihilangkan terlebih dahulu zat najis dan sifatnya, iaitu warna, bau dan rasa. Perlu diingat, bahawa dalam menggunakan air dan tanah ketika sertu, untuk membersihkan najis, hendaklah menggunakan air muthlaq dan tanah yang bersih.

Cara membersihkan atau menyucikan yang berbeza-beza ini adalah mengikut perbezaan jenis-jenis najis itu sendiri. Perbezaan ini hendaklah diperhatikan supaya tempat atau bahagian yang terkena najis benar-benar dapat dibersihkan atau disucikan dengan cara yang betul. Jika perkara ini tidak diambil perhatian, maka ia boleh menjejaskan ibadat yang disyaratkan suci daripada najis sebelum dan ketika dilaksanakan. Ini kerana cara menghilangkan najis yang tidak betul, umpamanya dengan menganggap ia sudah bersih kerana telah dibuang ‘ain (zat) najis walhal sifat-sifat najis masih lagi ada adalah tidak memadai. Walaupun pada zahirnya ia sudah bersih tetapi belum lagi suci pada pandangan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9169

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص