Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز٠ مشاهدة

Mengubur Mayat: Bagaimanakah Caranya?

الجواب

Mengubur mayat adalah antara empat perkara dalam pengurusan jenazah dan hukumnya adalah fardhu kifâyah. Walaupun ia merupakan fardhu kifâyah kita juga dituntut mempelajarinya. Mempelajari cara-cara mengubur mayat ini adalah penting terutamanya kepada ahli waris lelaki si mati kerana mereka inilah yang akan banyak melaksanakan perkara yang berkaitan dengan urusan pengebumian jenazah ini.

Tempat Mengubur

Mengubur mayat di kawasan tanah perkuburan adalah afdhal berbanding dengan tempat yang lain. Ini kerana tanah perkuburan itu tidak kosong daripada do‘a orang-orang yang berziarah dan orang-orang yang lalu di sana. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri mengubur mayat kaum kerabat dan para sahabat Baginda di tanah perkuburan Baqi‘. Begitu juga, afdhal mengubur mayat di tanah perkuburan yang masyhur dengan kubur orang-orang yang salih.

Haram mengubur mayat orang kafir di tanah perkuburan orang Islam dan begitu juga sebaliknya mayat orang Islam haram di kubur di tanah perkuburan orang kafir.

Manakala mengubur mayat pada tanah yang di dalamnya ada bekas mayat yang terdahulu adalah haram, kecuali apabila tubuh mayat dan tulang sudah menjadi tanah maka bolehlah dikubur di tempat itu. Jika seorang Islam mati ketika berada di tengah laut dan berada dekat pantai yang membolehkan mereka berlabuh ke daratan, maka adalah wajib bagi temannya atau mereka yang ada bersamanya pergi ke pantai untuk menguruskan jenazahnya seperti lazimnya iaitu memandi, mengkafan, menyembahyangkan dan menguburkannya di pantai atau daratan itu. Akan tetapi jika dirasakan tidak boleh pergi mendarat ke pantai kerana jarak yang jauh atau takut kepada musuh atau binatang buas maka tidak wajib ke pantai untuk menguburkannya. Namun wajib memandikan, mengkafan dan menyembahyangkan kemudian menghanyutkannya dengan mengikat pada dua papan kayu. Tujuannya ialah berkemungkinan mayat itu akan terdampar di pantai dan berharap ada orang yang akan menjumpainya untuk menguburkannya nanti.

Kedalaman Dan Keluasan Kubur

Sekurang-kurang lubang kubur itu ialah lubang yang dapat menahan daripada menimbulkan bau yang busuk dan mencegah binatang buas daripada membongkar kuburan itu untuk memakan mayat yang berada di dalamnya.

Hikmah kewajipan mengubur mayat itu bertujuan supaya tidak membinasakan kehormatan mayat dengan bau yang terbit sehingga boleh menarik perhatian binatang buas untuk memakannya. Justeru itu, perkara ini hendaklah dielakkan.

Untuk menepati maksud mencegah daripada menimbulkan bau dan perhatian binatang buas itu maka sunat meluaskan dengan menambah panjang dan lebar lubang kubur itu serta mendalamkannya dengan kadar berdiri tegak seorang lelaki dengan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas. Kadar sukatan berdiri tegak seorang lelaki dengan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas itu adalah kira-kira empat hasta setengah.

Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda mengenai orang yang syahîd dalam peperangan Uhud:

Maksudnya: Kamu galilah (lubang kubur mereka) dan luaskan serta dalamkanlah. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Jika tanah itu keras maka lebih utama membuat liang lahad di dalam kubur itu, iaitu lubang yang dibuat di dasar sebelah tepi kubur yang ukurannya sekadar muat untuk membaringkan mayat dan menghadapkannya ke arah qiblat.

Liang lahad itu ialah lubang kecil sebesar tubuh mayat yang digali dengan tujuan menghadapkan mayat ke arah qiblat.

Mengangkat Dan Memasukkan Mayat Ke Dalam Kubur

Adalah sunat menutup kubur dengan kain ketika sedang mengubur mayat walaupun mayat itu lelaki, apatah lagi mayat perempuan lebih dituntut lagi kerana ditakuti anggota mayat itu terdedah ketika melaksanakan kerja menguburkannya.

Sunat mengangkat mayat dan mengusungnya sehingga pada bahagian akhir kaki kubur iaitu liang lahad kubur dan meletakkan bahagian kepalanya dahulu dengan perlahan sepertimana sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Sunat membaca sepertimana yang dibaca oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda meletakkan mayat ke dalam kubur atau liang lahad:

Maksudnya: Dengan nama Allah dan dengan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Meletakkan mayat ke dalam liang lahad adalah sunat pada lambung rusuknya sebelah kanan dan wajib menghadapkannya ke arah qiblat. Jika mayat itu dikuburkn dalam keadaan menelentang maka wajib digali jika keadaan mayat itu masih belum berubah. Namun jika sudah berubah, maka tidaklah perlu digali. Akan tetapi jika dikuburkan pada lambung rusuknya sebelah kiri hukumnya adalah makruh dan tidak perlu digali. Keadaan ini adalah seperti berbaring menyiring ketika hendak atau sedang tidur.

Sunat menyandarkan muka dan kaki mayat itu pada dinding kubur dan menyandarkan pada punggungnya dengan batu bata atau seumpamanya seperti tanah untuk mengelak mayat itu daripada (istilqâ’) menelentang. Setelah itu liang lahad itu hendaklah ditutup dengan batu bata kerana lebih terpelihara daripada dibongkar oleh binatang buas.

Setelah selesai meletakkan mayat ke dalam liang lahad dan sudah ditutup dengan batu bata atau seumpamanya, maka disunatkan setiap orang yang hadir atau menyaksikan pengebumian itu meraupkan tanah dengan kedua-dua tangannya dengan tiga kali raup dan dijatuhkan setiap tanah yang diraup itu pada bahagian arah kepala dengan bacaan-bacaan tertentu.

Bacaan menjatuhkan tanah yang pertama:

Ertinya: Daripadanya (tanah) Kami ciptakan kamu.

Bacaan menjatuhkan tanah yang kedua:

Ertinya: Kepadanya (tanah) Kami kembalikan kamu.

Bacaan menjatuhkan tanah yang ketiga:

Ertinya: Dan darinya (tanah) Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

Siapa Yang Lebih Utama Mengangkat Mayat?

Orang yang mengangkat dan memasukkan mayat ke dalam kubur hendaklah daripada kalangan lelaki walaupun mayat itu perempuan kerana sememangnya dari segi tenaga kaum lelaki adalah kaum yang kuat, dan kaum perempuan adalah kaum yang lemah.

Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan Abu Thalhah Radhiallâhu ‘anhu untuk memasukkan anak Baginda Ummu Kaltsum walaupun Fatimah sebagai mahramnya ada. Ini jelas menunjukkan bahawa lelaki adalah lebih utama memasukkan mayat ke dalam kubur.

Orang yang lebih utama daripada kalangan lelaki itu adalah orang yang ada kelayakan untuk mengerjakan sembahyang iaitu orang yang lebih tinggi ilmu pengetahuannya. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga lebih utama daripada orang tua. Begitu juga keluarga yang berilmu lebih utama daripada keluarga yang tidak berilmu.

Jika yang mati itu si isteri, maka yang utama menyambut di dalam kubur dan mamasukkannya ke liang lahad itu adalah suami, walaupun dia bukanlah daripada orang yang lebih layak dalam mengerjakan sembahyang. Jika tidak ada suaminya maka bolehlah mengikut urutan yang lebih berhak daripada keluarganya iaitu daripada bapanya, neneknya, anaknya, cucu lelaki daripada anak lelakinya, adik beradik lelaki, anak daripada adik beradiknya lelaki, dan seterusnya mengikut urutan yang lebih berhak.

Berapakah Bilangan Orang Yang Masuk Ke Dalam Kubur?

Bilangan orang yang masuk ke dalam kubur untuk menyambut, mengangkat dan mamasukkan mayat ke dalam kubur itu adalah sunat dalam bilangan yang ganjil seperti tiga orang mengikut keperluan hajat sebagaimana Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam diangkat dan dimasukkan ke dalam kubur oleh seramai tiga orang iaitu ‘Ali, Ibnu ‘Abbas dan Fadhl. Dalam riwayat yang lain pula Baginda dimasukkan ke dalam kubur oleh lima orang ditambah lagi dengan Usamah bin Zaid dan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf.

Meninggikan Kubur Dan Meratakannya

Sunat meninggikan tanah perkuburan dengan kadar lebih kurang sejengkal kerana kubur Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditinggikan sejengkal. Lebih digalakkan (mustahabb) lagi tanah timbusan itu tidak ditambah lagi dengan tanah lain selain tanah yang dikeluarkan sebelumnya. Namun jika ditambah tidaklah mengapa.

Menurut pendapat yang shahîh adalah lebih utama meratakan kubur daripada meninggikannya. Ini juga sepertimana kubur Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda.

Mengebumikan Mayat-Mayat Dalam Satu Kubur

Tidak boleh mengubur dua mayat dalam satu kubur sama ada mayat lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan ataupun lelaki dengan perempuan melainkan dalam keadaan sangat dharurat.

Keadaan dharurat itu ialah seperti jumlah mayat terlalu ramai dan sukar untuk dikuburkan seorang demi seorang dalam satu kubur dan banyaknya orang mati dalam suatu wabak, mangsa runtuhan atau kapal karam.

Maka dalam keadaan dharurat ini boleh menguburkan dua, tiga atau lebih mayat dalam satu kubur dan hendaklah dibatasi antara lelaki dan perempuan itu dengan tanah.

Apabila dalam satu kubur itu diletakkan lebih daripada satu mayat, maka mayat yang lebih utama untuk diletakkan pada dinding kubur menghala arah qiblat ialah mayat yang mempunyai lebih keutamaan sepertimana keutamaan menjadi imam. Oleh itu, didahulukan orang dewasa daripada kanak-kanak seperti bapa daripada anak lelaki, ibu daripada anak perempuan, tetapi anak lelaki didahulukan daripada ibunya, didahulukan orang muda daripada kanak-kanak, kanak-kanak daripada pondan dan pondan daripada perempuan.

Bilakah Waktu Mengubur?

Boleh mengubur pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam dan waktu-waktu yang makruh mengerjakan sembahyang. Namun yang lebih utama ialah pada waktu siang.

Meletakkan Batu Atau Kayu Atas Kubur

Mengenai perkara ini, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah meletakkan batu atau kayu pada sisi kepala kubur ‘Utsman bin Mazh‘un Radhiallâhu ‘anhu lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Akan diketahuilah dengannya (batu atau kayu sebagai tanda) bahawa ia adalah kubur saudaraku dan akan dikebumikan padanya sesiapa yang meninggal daripada keluargaku. (Hadits riwayat Abu Daud)

Namun memberi tanda dengan mengkapur, mewarnakan putih dengan kapur atau membuat binaan dan tulisan hukumnya adalah makruh.

Hukum Menziarahi Kubur

Sunat bagi kaum lelaki menziarahi kubur kerana ziarah kubur itu akan mengingatkan kita pada kematian. Sementara bagi kaum perempuan hukumnya makruh kerana mereka kurang sabar dan mudah merasa sedih. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: (Dulu) aku melarang kamu daripada menziarahi kubur namun sekarang berziarahlah. (Hadits riwayat Muslim)

Sunat bagi orang yang menziarahi kubur atau lalu di tanah perkuburan apabila sampai di tanah perkuburan mengucapkan salam dan berdo‘a. Namun adalah afdhal berdo‘a sepertimana do‘a Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Selamat sejahtera ke atas kaum yang beriman, dan kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Beberapa Perkara Yang Berkaitan Semasa Atau Selepas Mengubur Mayat

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui oleh orang-orang yang mengiringi jenazah ke kubur semasa atau selepas mengubur mayat:

1. Duduk dan tidur.

Duduk dan tidur di atas kubur hukumnya makruh melainkan dalam keadaan dharurat. Namun jika berlalu urusan pengebumian itu dalam tempoh masa yang lama sehingga diyakini bahawa tidak ada bekas mayat itu kerana diyakini sudah hancur tidaklah mengapa.

2. Menangisi mayat.

Harus menangisi orang yang akan meninggal, akan tetapi afdhal tidak menangisinya kerana dia sedang dalam keadaan nazak. Namun menangisinya selepas dikubur juga harus.

Ini jelas sepertimana tersebut dalam sebuah hadits bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah dilihat menangis di kubur ibu Baginda sehingga menangislah juga orang di sekeliling Baginda, kemudian para sahabatpun bertanya, lalu Baginda bersabda yang maksudnya: “Aku telah meminta izin kepada Allah ‘Azza wa Jalla untuk meminta keampunan bagi ibuku, namun Allah tidak mengizinkan. Tapi aku dizinkanNya untuk menziarahinya maka kamu ziarahlah kubur kerana akan mengingatkan kamu kepada kematian.”

Namun haram menangis sambil meraung sehingga memukul-mukul dada atau seumpamanya seperti menarik rambut dan pakaian atau memukul pipi.

3. Mengucapkan takziah.

Mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati adalah sunat. Waktu mengucapkan takziah itu ialah dari setelah orang itu meninggal sehingga dikuburkan dan berlalu masanya selama tiga hari. Makruh mengucapkan takziah itu selepas tiga hari kerana mengingatkan kembali kesedihan bagi ahli keluarga yang pada kebiasaannya hilang dalam tempoh tiga hari.

4. Memohon ketetapan bagi si mati.

Sunat berdiri secara beramai-ramai atau berjemaah berhampiran kubur mayat selepas urusan mengubur mayat itu selesai untuk memohon ketetapan dan keampunan bagi si mati, sepertimana yang tersebut dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila telah selesai daripada menguburkan mayat, Baginda berdiri di sisinya lalu bersabda: “Mohonlah keampunan bagi saudara kamu supaya ditetapkan (dalam menjawab persoalan dalam kubur) kerana sekarang dia disoal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

5. Menambak kubur.

Jika tanah perkuburan itu tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan waqaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atas dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah, rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentengi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekeliling kubur berkenaan).

Manakala jika tanah perkuburan itu tanah milik persendirian, maka adalah makruh sahaja didirikan sebarang binaan di atas kubur berkenaan.

Hukum haram mendirikan sebarang binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadits Jabir Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegah daripada dikapuri kubur (menandakan kubur dengan kapur putih), duduk di atasnya dan dibina binaan di atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Tetapi jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpama ini dibolehkan bagi menjaga mashlahat tanah-tanah kubur itu.

Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan tanah perkuburan tanpa sebarang mashlahat dan tujuan yang syar‘i, sedangkan orang-orang Islam yang lain juga adalah berhak menggunakan kubur berkenaan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar ibnu al-Khattab Radhiallâhu ‘anhu iaitu selepas beliau itu melihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya, maka beliau merobohkannya lalu berkata: “Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri”.

Demikianlah dihuraikan bagaimana cara menanam atau mengubur mayat. Mudah-mudahan dengan penjelasan tersebut sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada semua. Semua perkara yang kita lakukan khususnya yang berbentuk ibadat, sudah tentu ada cara yang telah diajarkan oleh Islam. Hanya kita saja kadang-kadang kurang memberikan masa untuk mempelajarinya. Jangan sampai kita melakukan ibadat yang salah dan bertentangan dengan syariat Islam. Maka sudah setentunya dengan mendalami ilmu pengetahuan dalam apapun jua bidang agama kita akan terselamat daripada melakukan perkara yang salah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9178

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص