Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Pahala Bacaan Al-Qur’an Dan Tahlîl Sampai Kepada Si Mati

الجواب

Menziarahi kubur merupakan suatu amalan yang biasa dibuat oleh masyarakat kita terutama pada bulan Ramadhan dan Syawal. Antara tujuan orang menziarahi tanah perkuburan ialah untuk mendo‘akan dan menyedekahkan pahala bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an, dan pahala bacaan zikir-zikir seperti tahlîl, tasbîh, selawat kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Ini kerana apabila manusia meninggal dunia akan terputuslah pahala amalannya sebab setiap manusia tidak akan berhak apapun selepas kematiannya melainkan balasan amalan yang dilakukannya semasa dia hidup di dunia. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang mati terputuslah daripadanya amalnya melainkan dari tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak yang salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)

Rahmat Allah Ta‘ala itu sangat luas, orang yang sudah meninggal itu masih saja dapat menerima rahmat Allah selepas kematiannya kerana Allah Ta‘ala boleh mengampunkan dan melimpahkan rahmatNya kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dia (Allah) menentukan pemberian rahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah Âli ‘Imran: 74)

Kita orang yang masih hidup boleh menyumbang kebajikan kepada mereka yang sudah meninggal, antaranya, dengan menghadiahkan atau menyedekahkan pahala ibadat yang kita lakukan seperti bacaan al-Qur‘an, zikir-zikir dan do‘a-do‘a semasa menziarahi kubur si mati.

Membacakan al-Qur’an dan mendo‘akan orang yang sudah meninggal dunia itu hukumnya sunat. Ini jelas sebagaimana perkataan Imam asy-Syafi‘e yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitsami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Tuhfah al- Muhtâj bi Syarh al-Minhâj:

Ertinya: Dan Imam asy-Syafi‘e dan para sahabatnya telah menyatakan bahawa sunat membacakan apa yang mudah di sisi mayat dan berdo‘a sesudahnya, kerana (dengan demikian) akan lebih diharap untuk diperkenankan dan juga kerana mayat itu akan mendapat berkat (daripada) bacaan itu seperti orang hidup yang hadir.

Namun pada masa ini, ada di kalangan masyarakat kita mempertikai atau mempersoalkan bahawa hadiah pahala bacaan al-Qur‘an dan zikir seperti tahlîl kepada si mati itu tidak sampai kepadanya kerana terpengaruh dengan golongan yang berpendapat dan berfahaman bahawa amalan-amalan sedemikian tidak sampai kepada si mati. Bahkan mereka mendakwa pendapat tersebut tidak mempunyai dalil dan sandaran.

Mengenai dengan pahala bacaan al-Qur‘an, di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn ada dihuraikan bahawa pendapat yang mengatakan “tidak sampai pahala bacaan kepada mayat” adalah pendapat yang dha‘îf dan pendapat sebahagian sahabat dengan mengatakan “sampainya pahala bacaan kepada mayat” adalah pendapat yang mu‘tamad.

Pendapat sebahagian sahabat dengan mengatakan “sampai pahala bacaan kepada mayat” inilah yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e. Begitu juga fatwa yang mu‘tamad daripada Imam Subki Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Antara dalil yang disebutkan oleh ulama yang menunjukkan bahawa orang yang sudah meninggal boleh mendapat pahala daripada amal orang lain yang masih hidup sama ada dalam bentuk bacaan al-Qur’an, zikir, do‘a, sedekah dan sebagainya ialah:

Dalil Pertama:

Hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah lalu di sebuah kebun di Madinah atau di Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur mereka. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Kedua-duanya sedang diazab dan tidaklah kedua-duanya itu diazab kerana dosa besar”. Kemudian Baginda bersabda: “Bahkan! Salah seorang daripada kedua-duanya tidak bersuci daripada kencing, sedang yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu domba”. Kemudian Baginda meminta sebatang pelepah tamar maka dipatahkannya menjadi dua, kemudian Baginda meletakkan patahan pelepah tamar itu ke atas kubur kedua-duanya. Lalu orang pun bertanya: “Wahai Rasullullah mengapakah tuan berbuat demikian?” Baginda bersabda: “Semoga diringankan kedua-duanya (penghuni kubur yang sedang disiksa ini) selama (pelepah) ini belum kering.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ menerangkan maksud hadits ini dalam kitab Fath al-Bâri dengan berkata: “Telah dikatakan: “Sesungguhnya pelepah itu sentiasa bertasbîh selama masih basah. Maka dengan berkat tasbîh itu, hasillah keringanan bagi si mati. Kalau tasbîh daripada tumbuh-tumbuhan ini memberi manfaat kepada kedua-dua ahli kubur yang diazab, maka lebih utama lagi bacaan zikir dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan kepada mayat.”

Daripada huraian hadits ini jelas menunjukkan bahawa berkat tasbîh daripada tumbuh-tumbuhan boleh memberi manfaat keringanan kepada mayat selagi masih basah maka jika tasbîh tumbuh-tumbuhan boleh memberi manfaat adalah lebih utama lagi zikir seperti tahlîl dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan kepada mayat.

Dalil Kedua:

Hadits yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar Radhiallhu ‘anhu:

Maksudnya: Bacakanlah surah Yâsîn kepada orang yang akan mati. (Hadits riwayat Abu Daud)

Ibnu Rif‘ah Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata dalam Kitab Tuhfah al-Muhtâj fi Syarh al-Minhâj: “Walaupun hadits ini menyuruh kita untuk membacakan surah Yâsîn kepada orang yang akan mati, namun boleh juga dibacakan ke atas mayat orang yang sudah mati kerana mayat itu masih boleh mendapat berkat daripada bacaan al- Qur’an seperti juga orang yang hidup, (ini kerana) kalaulah mengucapkan salam ke atas ahli kubur diterima maka adalah lebih utama lagi bacaan ayat-ayat al-Qur’an kepada mereka (ahli kubur).”

Hadits ini juga jelas menerangkan bahawa amal orang yang masih hidup boleh memberi manfaat kepada orang yang sudah meninggal.

Dalil Ketiga:

Membayar hutang puasa bagi orang yang telah meninggal adalah sunat bagi ahli waris atau selainnya. Perkara ini disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Barang siapa meninggal dunia sedang dia berhutang puasa, maka walinya boleh menggantikan puasanya itu. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menerangkan bahawa seseorang yang telah meninggal dunia tetapi mempunyai hutang puasa maka walinya sunat membayarkan puasanya. Maksud wali sepertimana diterangkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ialah kaum kerabat yang dekat atau ahli waris. Inilah pendapat yang telah disepakati oleh para Imam fiqh dan hadits antaranya ialah al-Hasan al-Bashri, Zuhri, Qatadah dan Ibnu ats-Tsauri Rahimahumullâhu Ta‘âlâ.

Dalil Keempat:

Demikian juga dengan sembahyang ke atas jenazah boleh memberi manfaat kepada mayat itu sepertimana disebutkan dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Barang siapa yang disembahyangkan oleh tiga shaff (jemaah) maka wajib (baginya mendapat keampunan). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Jelaslah menurut hadits ini bahawa jika mayat disembahyangkan dengan bilangan keramaian jemaah tiga shaff maka si mayat itu berhak mendapatkan keampunan daripada Allah Ta‘ala.

Jika orang yang bersembahyang jenazah itu sampai bilangannya tiga shaff maka mayat itu berhak mendapat keampunan. Sembahyang jenazah yang dilakukan oleh orang yang masih hidup boleh memberi manfaat keampunan kepada orang yang sudah meninggal. Ini juga merupakan dalil bahawa amal orang yang masih hidup boleh memberi manfaat pahalanya itu kepada orang yang sudah meninggal dunia.

Dalil Kelima:

Berdo‘a juga boleh memberi manfaat kepada mayat sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Adalah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika telah selesai menguburkan mayat, Baginda berdiri lalu bersabda: “Mohonlah keampunan bagi saudaramu ini dan mohonlah agar diberi ketetapan (dalam menjawab soalan-soalan kubur), kerana dia sekarang sedang disoal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam kitab Asnâ al-Mathâlib disebutkan bahawa sunat bagi sesiapa yang menghadiri pengkebumian mayat di tanah perkuburan ataupun selepasnya supaya berdiri di sisi kubur lalu memohon keampunan kepada Allah dan mendo‘akan mayat itu sepertimana disebutkan dalam hadits ini, begitu juga membacakan mayat itu ayat-ayat al-Qur’an bahkan jika khatam adalah lebih baik. Maka jelaslah bahawa do‘a daripada orang yang hidup itu berfaedah untuk orang yang sudah meninggal dunia.

Dalil Keenam:

Bersedekah juga boleh memberi manfaat kepada si mati. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim dengan berkata:

Ertinya: Barang siapa yang hendak berbuat kebajikan kepada ibu bapanya,d ia boleh bersedekah untuk kedua-duanya, dan pahala sedekah itu sampai kepada mayat, dan mayat mendapat manfaat daripadanya tanpa khilâf (pertikaian) antara kaum Muslimin dan inilah pendapat yang benar.

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ seterusnya berkata lagi:

Ertinya: Adapun yang dikhabarkan oleh Qadhi Abu Hasan al-Mawardi al-Bashri al-Faqih asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Hâwi, bahawa sebahagian para sahabat berpendapat bahawa mayat tidak akan menerima pahala sesudah matinya, adalah mazhab bâthil (salah) tanpa syak, kesalahannya jelas nyata berlawanan dengan nash-nash Kitabullâh, sunnah dan ijmâ‘ ummat, maka janganlah perhatikan dan cenderong padanya (pendapat itu).”

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata mengenai luasnya kelebihan atau kemurahan Allah Ta‘ala itu dalam perkara sedekah adalah kerana orang yang diniatkan pahala sedekah itu juga akan mendapat pahala.

Para sahabat Imam asy-Syafi‘e Rahimahumullâhâ Ta‘âlâ berkata dalam kitab Fath al-Mu‘în bahawa sunat meniatkan sedekah itu untuk kedua ibu bapa kerana Allah Ta‘ala akan memberi pahala ke atas kedua-duanya tanpa mengurangkan sedikitpun daripada ganjaran pahala sedekah itu.

Maka jelaslah bahawa dengan dalil-dalil yang disebutkan sebelum ini, pahala bacaan al-Qur’an dan zikir seperti tahlîl yang kita bacakan itu akan sampai kepada si mati dengan membacakan al-Qur’an dan tahlîl itu di sisinya, di atas kuburnya, atau pembacanya meniatkan pahala bacaannya itu kepada si mati dan berdo‘a setelah membaca al-Qur’an dengan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati.

Contoh do‘a yang selalu dibaca ialah:

Ertinya: Ya Allah, jadikanlah dan sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacakan daripada al-Qur’an al-‘Azhim ini, apa yang kami tahlîlkan ini, apa yang kami tasbîhkan ini, apa yang kami selawatkan ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kepada roh polan…

Maka menurut pendapat ulama-ulama sepertimana diterangkan sebelum ini bahawa amalan kaum Muslimin ketika menziarahi tanah perkuburan dengan membacakan beberapa ayat al-Qur’an, bertahlîl, bertasbîh, berselawat kemudian salah seorang daripada mereka berdo‘a dengan berharap semoga pahala bacaan itu akan sampai kepada roh si mati adalah tidak bertentangan dengan syara‘ bahkan dituntut berdasarkan dalil-dalil yang kukuh.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9197

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص