Peliharalah Adab Ketika Menziarahi Pesakit!
الجواب
Islam sangat mengambil berat tentang kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturahim sesama Muslim. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam untuk mengeratkannya ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim (yang lain) ada lima perkara: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan mendo‘akan orang bersin.”
Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga.!” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita. Hukum menziarahi kafir dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia daripada kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.
Adab Ketika Ziarah
Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adab-adab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan.
Antara adab-adab menziarahi orang sakit yang perlu dijaga ialah:
1. Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.
2. Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap melakukan ziarah kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit yang dilawati ataupun orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit.
Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa.
Dianjurkan untuk melakukan ziarah secara berselang agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada orang sakit. Namun sebaliknya, digalakkan untuk kerap melakukan ziarah bagi yang mempunyai hubungan rapat dengan orang sakit itu serta yang disenangi kehadirannya seperti keluarga atau sahabat karib selama mana tidak ada tegahan atau tidak menimbulkan gangguan. Begitu juga digalakkan untuk kerap melakukan ziarah jika dengan tidak melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan kepada orang sakit itu apabila dia tidak dilawati.
Ulama ada mengatakan bahawa melakukan ziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari lain.
3. Ketika berada di sisi orang sakit, sebaiknya di bahagian kepalanya, bagi membolehkan orang sakit itu berinteraksi dengan mudah dan selesa.
4. Bertanya akan keadaan orang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangannya sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang sakit itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Disunatkan juga bertanyakan kepada ahli keluarga pesakit akan keadaan orang sakit itu terutama sekali apabila pesakit dalam keadaan tenat tidak boleh bercakap-cakap. Namun perlu diingat, janganlah terlalu banyak bertanya dan janganlah bertanya sehingga menjengkelkan.
5. Ucapkanlah kata-kata elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika dia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang.
Disunatkan untuk memberinya nasihat agar banyak bersabar dan tabah menghadapi penderitaan yang dialaminya, sentiasa bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Orang yang berziarah hendaklah memberi harapan sembuh dengan mengatakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya ini merupakan ujian daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan insyâ’ Allah akan membersihkan dirinya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Antara ucapan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang memberi keyakinan dan harapan sekali gus menjadi do‘a ialah:
Maksudnya: (Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insyâ’ Allah.
6. Disunatkan untuk mendo‘akan orang sakit supaya cepat sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.
Terdapat banyak hadits shahîh yang menyebutkan mengenai do‘a-do‘a yang boleh dibaca bagi memohon kesembuhan dan ke‘afiatan orang sakit, antara do‘a yang afdhal ialah membaca do‘a yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebanyak tujuh kali kepada pesakit, nescaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyembuhkannya:
Maksudnya: Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.
Di samping pengambilan ubat dan penggunaan peralatan perubatan, pengubatan secara ruqyah (jampi) yang merupakan sunnah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga boleh dilakukan apabila berziarah. Antara ruqyah atau dipanggil juga menawari di kalangan masyarakat kita itu adalah dengan meletakkan tangan kanan ke atas badan orang sakit atau di tempat yang sakit dan membaca “Bismillâh”, kemudian meniup kepadanya seraya membaca mu‘awwidzât (surah al-Ikhlâsh, surah al-Falaq dan surah an-Nâs) atau do‘a perlindungan. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ ada meriwayatkan:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah meniup badan Baginda sambil membaca al-mu‘awwidzât di kala Baginda mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya.
Selain itu juga pesakit dianjurkan membaca do‘a pelindung ini dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit sebanyak tujuh kali yang bersumber daripada hadits Muslim:
Ertinya: Aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.
7. Dianjurkan untuk meminta orang sakit itu mendo‘akan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana do‘a orang sakit adalah mustajab berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendo‘akanmu, kerana do‘anya (makbul) seperti do‘a para malaikat.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
8. Berpesan kepada keluarga orang sakit atau orang yang menjaganya untuk berbuat baik, berlaku lembut dan sabar dengan karenah orang sakit dan beban yang ditanggung kerananya.
9. Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkara-perkara keji, syak, fitnah dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan). Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ ada meriwayatkan bahawa beliau pernah menziarahi Abu Bakar dan Bilal bin Rabah Radhiallâhu ‘anhumâ yang mengalami demam panas, lalu ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Wahai ayah, bagaimana yang ayah rasakan dalam diri ayah? Dan wahai Bilal, bagaimana yang engkau rasakan dalam dirimu?
10. Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keaiban yang dilihat.
11. Bagi orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli terdekat untuk membacakan talqin atau mengajarkannya ucapan إله إال هللا ال agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia. Tidak perlu mengulang-ulang talqin jika orang sakit itu mengucapkan kalimat tauhid tersebut melainkan jika selepas mengucapkannya dia masih lagi bercakap atau menyebut perkara lain selain kalimat tauhid.
Menghadapkannya ke arah qiblat iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Jika sukar, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya dengan menghadapkan ke arah qiblat. Jika sukar juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah qiblat. Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah qiblat.
Sunat dibacakan di sisi orang sakit itu surah Yâsîn dengan jahr dan surah ar- Ra‘d dengan isrâr. Jahr ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain dan isrâr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh diri pembacanya sendiri. Sekurang-kurang jahr itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya dan sekurang-kurang isrâr ialah suara yang hanya dapat didengar oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa halangan untuk mendengar seperti tuli.
Sebagai kesimpulan, tuntutan menziarahi orang sakit memang mempunyai peranan dalam menanai (memupuk) sifat berkasih sayang, ambil peduli dan tidak camah mata di kalangan masyarakat. Di samping menghibur dan meringankan penderitaan orang sakit, dengan saling ziarah-menziarahi, ikatan persaudaraan dan sillaturahim akan menjadi erat. Selain itu, peranan ruqyah mengikut cara Islam juga mempunyai hikmah tersendiri. Insyâ’ Allah dengan mengikut dan menjaga adab-adab yang ditetapkan, amalan menziarahi orang sakit ini akan menjadi lebih berkat. Amalan ini sangat dituntut kerana ia boleh mengingatkan kita kepada kematian dan mengajak kepada keinsafan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9206
دليل الألوان
