Perihal Luqathah
الجواب
Bukanlah suatu perkara yang asing jika kita terjumpa dengan barang-barang yang tercicir. Keciciran barang-barang berlaku di mana-mana, seperti di tempat-tempat awam, di kaki lima jalan, tempat letak kereta, masjid, pusat membeli belah, tandas, kawasan sekolah dan lain-lain.
Pada kebiasaannya, apabila berhadapan dengan situasi begini, orang akan bertindak memungut barang tersebut sama ada untuk menyerahkannya kepada polis, pihak-pihak yang tertentu ataupun membiarkannya sahaja di tempatnya. Ada juga yang memungutnya dengan hajat untuk memiliki, menjual atau menyedekahkan barang tersebut. Apakah pandangan Islam tentang persoalan luqathah ini?
Definisi Luqathah Menurut Syara‘
Lazimnya suatu barang atau benda ada pemiliknya. Barang atau benda yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu fiqh diistilahkan sebagai luqathah.
Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tanda-tanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang daripada pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.
Menurut ulama mazhab Syafi‘e, haiwan hilang (sesat) yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu mencari kehidupannya sendiri juga dipanggil luqathah.
Maka tidak termasuk dalam definisi luqathah: Harta atau barang yang ditemui di dalam kawasan yang dimiliki, yang diketahui pemiliknya, mempunyai tanda-tanda di dalam jagaan atau berada di tempat yang lazimnya ia berada. Begitu juga harta perang, bahan galian yang tertanam di dalam tanah seperti emas dan perak, dan haiwan yang mampu mempertahankan diri dan mencari kehidupannya sendiri.
Selain itu, barang atau benda yang tidak dikira sebagai harta di dalam syara‘ seperti arak dan babi, mahupun yang tidak dihormati di dalam syara‘ seperti benda-benda yang melalaikan dan sia-sia adalah tidak termasuk di dalam istilah luqathah.
Daripada penjelasan di atas jelaslah bahawa barang atau benda yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah.
Hukum Memungut Barang Tercicir
Memungut barang tercicir (luqathah) mempunyai hukum yang berbeza-beza menurut keadaan orang yang memungutnya seperti berikut:
1. Sunat.
Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang menjumpai barang yang dipercayai tercicir (luqathah) sunat memungutnya jika dia percaya dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat.
Akan tetapi jika dia tidak yakin akan berlaku amanah, maka tidaklah disunatkan untuk memungut barang luqathah itu kerana ia mendorong untuk menyembunyikannya. Sekiranya dia ingin memungutnya, hukumnya harus menurut pendapat al-ashah, tetapi tidak digalakkan kerana berkemungkinan dia berlaku khianat dan dikhuatiri barang itu akan hilang.
2. Wajib.
Wajib dipungut barang luqathah yang dijumpai di tempat yang dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang jika dibiarkan atau di tempat laluan orang fâsiq dan khianat, atau di tempat yang dikhuatiri tidak ada orang yang amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan sedemikian ini, maka tidaklah dihukumkan wajib.
3. Harus.
Harus pula hukumnya memungut barang luqathah yang dijumpai jika tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja dipungut atau boleh juga ditinggalkan.
4. Haram.
Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu memungut barang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka hukumnya adalah haram.
5. Makruh.
Makruh memungut barang luqathah ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan dirinya untuk menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang itu.
Sebilangan besar ulama juga mengatakan makruh bagi orang fâsiq memungut barang luqathah tersebut.
Orang fâsiq itu ialah seperti orang yang meninggalkan atau mencuaikan sembahyang, puasa, zakat, zakat fitrah, haji dan umrah, orang yang melanggar larangan Allah, menipu daya, berzina, minum arak, berjudi, rasuah, pecah amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tidak ikhlas semata-mata kerana Allah, bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tidak memberi sara hidup kepada isteri dan anak-anak, tidak mengajarkan mereka akan fardhu ‘ain, derhaka kepada ibu bapa, sakit hati dan hasad serta dengki kepada orang Islam.
Apa Yang Perlu Dibuat Dengan Barang Yang Dipungut?
Jika seseorang menjumpai barang luqathah dan tidak ada sebarang tegahan syara‘ atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut bolehlah diperlakukan mengikut hukum syara‘ dan syarat-syarat luqathah.
Terdapat hadits-hadits yang menyatakan tentang pensyari‘atan memungut luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallâhu ‘anhu, apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:
Maksudnya: Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh menggunakannya dan ia menjadi barang wadî‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya. (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, orang yang terjumpa luqathah, lalu dia memungutnya, hendaklah dia melaksanakan langkah-langkah berikut:
1. Mengetahui bekas dan pengikat bekas barang yang dijumpai itu.
2. Mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun.
3. Menyimpannya jika masih tidak menemui pemiliknya atau tiada pemilik yang menuntutnya.
4. Mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun pengumuman.
Hadits di atas menegaskan kepada orang yang menjumpai barang luqathah itu untuk mengetahui, mengamati dan mengambil spesifikasi barang itu terlebih dahulu bagi memudahkan usaha mengenal pasti pemilik sebenar apabila hendak menyerahkan kepada pemiliknya nanti.
Di samping itu, dianjurkan meletakkan tanda seperti menulis tarikh dan tempat barang tersebut dijumpai agar mudah diketahui oleh waris pemilik, jika pemiliknya meninggal dunia dan agar tidak bercampur dengan harta lain.
Tidak perlu menyebutkankan semua sifat-sifat barang tersebut dengan terperinci ketika penghebahan dibuat, bahkan sunat dengan hanya disebutkan setengah sifat-sifatnya sahaja agar tidak berlaku sebarang penipuan atau pengakuan palsu.
Sebelum menghebahkan, faktor utama yang mempengaruhi ketentuan syara‘ berhubung dengan memungut luqathah yang perlu diketahui adalah nilai dan jenis barang (luqathah) itu. ‘Ulama membahagikannya kepada:
1. Barang yang tidak tahan dan mudah binasa.
Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa atau tidak tahan lama umpamanya makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan seperti timun dan tomato, maka orang yang menjumpainya boleh memungut dan memilih antara:
i. Memakan atau meminum barang itu sebagai miliknya dan bersedia mengganti dengan nilai barang itu balik sekiranya ada pemilik yang menuntutnya; atau
ii. Menjual barang tersebut dan menghebahkannya kepada orang ramai setelah menjualnya supaya dia boleh memiliki (mengambil) harga bayaran barang itu.
2. Barang yang tahan melalui kaedah pemprosesan.
Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa tetapi boleh menjadi tahan dengan pemprosesan seperti kurma atau anggur yang dikeringkan, atau kepingan susu beku, maka orang yang memungutnya perlu melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menguntungkan seperti:
i. Jika difikirkan dengan menjualnya akan menguntungkan pemiliknya, maka eloklah dijual dan disimpan harga bayaran barang itu serta bersedia menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ada; atau
ii. Memprosesnya jika difikirkan dengan memproses barang tersebut akan mendatangkan kebaikan. Jika pemprosesan itu memerlukan perbelanjaan tetapi tidak ada yang dapat menanggung perbelanjaannya, maka bolehlah dijual sebahagian barang tersebut dan hasilnya boleh dibelanjakan untuk memproses selebihnya lagi.
3. Barang yang tidak mudah rosak atau tahan dengan sendirinya.
Jika barang itu sesuatu yang tahan lama atau tidak mudah rosak seperti emas, perak, buku atau anak kunci, maka wajib ke atas orang yang memungutnya menjaganya selama tempoh penghebahan berlaku. Ini termasuklah jam tangan, telefon bimbit atau dompet berisi wang yang merupakan antara barang yang sering tercicir pada masa ini.
Tempoh Dan Waktu Penghebahan
Tempoh menghebahkan (mengiklankan) barang luqathah juga tertakluk kepada nilai dan jenis barang tersebut.
Pada dasarnya, tempoh penghebahan barang luqathah adalah selama satu tahun sebagaimana pendapat jumhûr termasuk ulama-ulama mazhab Syafi‘e kerana tempoh satu tahun itu adalah asal mu‘tabar setiap sesuatu di dalam syara‘.
Tempoh satu tahun penghebahan itu bermula dari saat mula menghebahkan. Tidak perlu menghebahkan dengan meratai (meliputi) sepanjang waktu di dalam satu tahun. Tidak perlu menghebahkan pada waktu malam atau pada sepanjang (seluruh) hari, bahkan pada peringkat awal, memadai dengan menghebahkan pada waktu pagi dan petang. Kemudian setelah berlalu satu minggu, cukup melakukan penghebahan sekali sahaja dalam sehari, kemudian dengan dua kali setiap satu minggu atau sekali sahaja setiap satu minggu, kemudian satu kali dalam setiap satu bulan.
Walau bagaimanapun, ulama sepakat membolehkan untuk tidak menghebahkan dan langsung sahaja memiliki dan mengambil manfaat daripada barang luqathah yang remeh, yang dirasakan tidak dihiraukan oleh pemiliknya seperti sebiji kurma, habuk-habuk roti, habuk kayu atau besi, kain-kain perca atau yang seumpamanya.
Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘e, barang luqathah yang sedikit kadarnya, ataupun apabila ditukar menjadi wang juga akan mendapat nilai wang yang sedikit, umpamanya satu dirham, (kira-kira 50 sen), maka tidak usah dihebahkan selama setahun, cukuplah menyiarkannya setakat kadar sekira-kira ada persangkaan bahawa orang yang kehilangan itu sudah tidak lagi mempedulikan barangnya itu menurut kebiasaan.
Batasan sedikit itu pula adalah barang yang sekira-kira orang yang menemukannya mempunyai dugaan kuat bahawa pemilik yang kehilangan itu tidak terlalu susah disebabkan kehilangan barang itu dan biasanya tidak akan mencarinya terlalu lama.
Tempat Menghebahkan
Pada masa dahulu, penghebahan hendaklah dilakukan di pasar-pasar dan pintu-pintu masjid kerana kedua-duanya merupakan tempat yang sering dikunjungi orang ramai dan tempat berkumpul. Besar kemungkinan di situ ada pemilik barang berkenaan.
Begitu juga penghebahan hendaklah dilakukan di tempat barang tersebut dijumpai sebab pemiliknya tentu akan mencari barangnya yang tercicir di sekitar tempat itu.
Dilarang melakukan penghebahan di dalam masjid kerana tujuan penghebahan ialah pemberitahuan kepada orang ramai untuk mencari pemilik barang sedangkan masjid dibina bukan untuk tujuan demikian.
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang mendengar ada orang membuat pengumuman mencari barangnya yang tercicir (hilang) di dalam masjid, maka hendaklah (orang yang mendengar itu) berdoa supaya barang itu tidak dijumpai kerana masjid dibina bukan untuk perkara sedemikian. (Hadits riwayat Muslim)
Pada masa ini, selain daripada tempat-tempat yang dinyatakan, penghebahan juga boleh dibuat dengan mengiklankan di dalam akhbar, radio, televisyen atau yang terkini melalui internet. Cara ini mungkin lebih berkesan.
Alternatif lain ialah dengan menyerahkan barang luqathah itu kepada pihak polis. Ini kerana lazimnya pemilik barang tersebut akan atau telah membuat laporan mengenai barangnya yang tercicir atau hilang itu ke balai polis dan laporan tersebut direkodkan. Apabila kita menyerahkannya kepada pihak polis, usaha mencari barang tersebut menjadi mudah dan pemiliknya akan mendapat balik barangnya yang tercicir itu.
Antara contoh situasi menjumpai luqathah yang sering berlaku pada masa ini:
• Jika menjumpai barang luqathah di kompleks membeli-belah atau yang seumpamanya dan khuatir barang itu akan hilang, maka menyerahkannya kepada pihak pengurusan kompleks berkenaan juga adalah tindakan wajar kerana lazimnya pemilik
barang akan merujuk kepada mereka mengenai barangnya yang tercicir. Tambahan lagi kebanyakan kompleks awam masa ini ada menyediakan ruangan Lost and Found yang juga bertujuan untuk lebih memudahkan.
• Di zaman serba canggih ini orang selalu tercicir atau tertinggal alat-alat elektronik kecil milik mereka seperti telefon bimbit dan komputer riba di tempat-tempat awam. Untungnya, alat-alat seperti ini biasanya ada menyimpan data pemilik juga nombor untuk dihubungi dan ini memudahkan urusan menjejaki pemiliknya. Orang yang menemuinya boleh terus menghubungi pemilik barang untuk menyerahkan kembali barang tersebut.
Tindakan-tindakan seperti ini juga ternyata bermaksud untuk menjejaki pemilik dan mengembalikan barang tercicir itu kepada pemiliknya yang sebenar.
Adakah Boleh Dimiliki Barang Luqathah Yang Dijumpai?
Memungut barang luqathah merupakan suatu amalan yang dituntut, namun orang yang memungutnya tidak boleh mengambil dan memiliki barang yang dipungutnya itu dengan sesuka hati kerana ia adalah barang amanah atau wadî‘ah. Orang yang memungut barang luqathah adalah pemegang amanah.
Wajib ke atas orang yang memungut barang luqathah itu mengeluarkan belanja untuk membuat penghebahan atau pengiklanan barang luqathah tersebut jika dia memungutnya dengan niat untuk memilikinya, walaupun niat untuk memilikinya berlaku setelah niat asalnya untuk menjaga, atau jika tidak sampai dimilikinya sekalipun. Ini disebabkan dia diwajibkan membuat penghebahan. Jika dia tidak bertujuan hendak memiliki barang luqathah tersebut, seperti dipungut untuk dipelihara dan tiada tujuan untuk memiliki atau ikhtishâsh (khas baginya), maka perbelanjaan untuk membuat penghebahan diambil dari Baitulmal atau tuan punya luqathah.
Apabila orang yang memungut barang itu sudah menghebahkannya dan dia gagal menemukan pemilik barang tersebut, kemudian dia bermaksud untuk memilikinya, maka bolehlah dia memilikinya dengan syarat jika pemilik barang menuntutnya, dia akan mengembalikannya ataupun menggantinya.
Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘e, hendak memiliki luqathah perlu disertakan lafaz seperti: “Aku miliki barang ini” atau dengan lafaz simbolik yang membawa maksud untuk memiliki.
Apabila seseorang menjadikan barang luqathah sebagai miliknya, kemudian pemilik yang sebenarnya datang, jika barang itu berupa barang yang ada bandingannya, maka haruslah dia mengganti dengan yang serupa dengannya. Jika tidak ada bandingannya, maka harus dia mengganti mengikut harganya pada waktu dia memiliki. Hal ini telah ditetapkan oleh Imam Rafi‘i dan lain-lain ulama.
Jika pemiliknya tidak redha dengan barang gantian, maka wajiblah dikembalikan barang luqathah itu berserta tambahan atau lebihan yang berhubung dengannya, dan tambahan yang bercerai dengan barang luqathah tersebut jika tambahan itu muncul sebelum ia (luqathah) dimiliki oleh orang yang memungutnya.
Demikian juga sekiranya barang tersebut rosak ataupun lenyap setelah dimilikinya, wajib ia diganti dengan seumpamanya jika ada, atau harganya jika tidak ada seumpamanya semasa pemilikan.
Wajib juga membayar imbuhan di atas kekurangan disebabkan aib atau kecacatan yang berlaku setelah dimiliki.
Sekiranya barang itu rosak dan lenyap sebelum pemilikan berlaku tanpa kelalaian, maka tidaklah tertanggung ke atas orang yang menjumpai itu untuk menggantinya balik.
Tidak boleh dimiliki sama sekali barang yang dijumpai di tanah haram. Begitu juga tidak boleh sama sekali bagi orang yang berlaku khianat terhadap barang yang dipungutnya itu memiliki barang tersebut. Selain itu, memperniagakan barang luqathah juga tidak boleh dilakukan dengan sesuka hati. Dilarang menjualnya selama tempoh penghebahan dilakukan kerana barang luqathah adalah barang amanah dan perbuatan menjual atau seumpamanya boleh menyebabkan barang itu terdedah kepada kerosakan, hilang atau menjadi kurang kerana setiap perniagaan pasti mendatangkan risiko kerugian jika tidak mendapat keuntungan.
Sekiranya barang itu dijual di dalam tempoh penghebahan maka orang yang menjumpai itu bertanggungjawab terhadapnya atau terhadap sebarang kekurangan atau kerugian yang berlaku dan wajib pula ke atasnya mengembalikannya berserta tambahan yang ada jika mendapat keuntungan.
Demikian juga setiap barang luqathah boleh disedekahkan sebagaimana pendapat jumhûr ulama fiqh, dengan syarat tempoh penghebahan hendaklah berlalu dan ia disedekahkan kepada orang-orang fakir dan miskin.
Daripada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa barang luqathah yang bukan remeh dan tidak mudah rosak adalah tidak boleh dimiliki atau dijual dengan sesuka hati. Jika berhajat untuk memiliki atau menjualnya hendaklah ia mengikut lunas-lunas yang telah digariskan syara‘ dan bersedia untuk menggantinya jika ada pemilik yang menuntutnya.
Barang siapa yang terjumpa barang luqathah, lalu dia mengambilnya dengan tujuan untuk menjaganya dan menyerahkannya balik kepada pemiliknya, maka dia telah menolong dan berbuat kebajikan kepada pemiliknya itu, di samping mendapat ganjaran pahala.
Ketahuilah, selain membantu dan menolong harta seseorang, amalan ini juga boleh menjaga dan memelihara harta daripada binasa dan hilang begitu sahaja. Menjaga harta sesiapa pun merupakan amalan yang terpuji.
Pensyaria‘atan memungut barang luqathah dan bertanggungjawab terhadapnya ternyata memberi keuntungan terhadap si pemilik kerana dia mendapat balik barangnya yang hilang, jika tidak pun, orang yang menjumpai barang itu dapat memanfaatkannya ataupun dia boleh menyerahkannya kepada hakim atau Baitulmal agar dapat diuruskan untuk kepentingan dan kebaikan umat bersama. Dengan cara beginilah harta benda individu di dalam Islam terpelihara dan dapat dimanfaatkan bersama.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9231
دليل الألوان
