Persamaan Dan Perbezaan Di Antara Korban Dan Aqiqah
الجواب
Pada dasarnya perkara korban dan aqiqah mempunyai banyak persamaan, cuma dalam beberapa perkara sahaja mempunyai perbezaan. Antara titik persamaan yang jelas di antara korban dan aqiqah itu ialah dari segi hukum melaksanakannya. Hukum melakukan korban dan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut).
Selain itu, korban dan aqiqah mempunyai persamaan dari segi jenis dan umur binatang yang boleh dijadikan korban atau aqiqah, keselamatannya daripada ‘aib (kecacatan), cara pembahagian daging, penerima daging, hukum memindahkan daging ke luar negeri, hukum melakukan kedua-duanya di luar negeri, hukum berkongsi binatang dengan niat berbeza dan larangan menjual daging korban dan aqiqah.
Jenis Binatang
Binatang yang sah disembelih menjadi korban, berserta syarat-syaratnya, juga sah disembelih menjadi aqiqah. Binatang yang dimaksudkan ialah unta dan lembu atau seumpamanya seperti kerbau, kambing atau seumpamanya.
Umur Binatang
Binatang yang hendak disembelih bagi tujuan ibadat korban itu mestilah cukup umur. Daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu menyembelih binatang korban melainkan musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah jadza‘ah daripada biri-biri. (Hadits riwayat Muslim)
Musinnah itu ialah ats-tsaniyyah (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing. Manakala jadza‘ah pula ialah anak kambing biri-biri yang berumur enam bulan hingga satu tahun. Secara ringkas, jenis binatang dan ukuran minimum (had paling rendah) umur bagi binatang yang hendak dibuat korban dan aqiqah itu ialah:
1. Unta - lima tahun. 2. Lembu - dua tahun. 3. Kerbau - dua tahun. 4. Kambing - dua tahun. 5. Kibasy satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan.
Selamat Daripada ‘Aib (Kecacatan)
Binatang korban itu mestilah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau ‘aib yang boleh mengurangkan daging, lemak atau anggotanya yang lain yang boleh dimakan.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai perkara ini:
Maksudnya: Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya, dan yang sangat kurus.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada hadits di atas, dapat difahami bahawa binatang yang tidak boleh dijadikan binatang korban itu ialah:
1. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dijadikan korban.
2. Binatang yang jelas tempang kakinya yang jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak dapat ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit, iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.
3. Binatang yang nyata sakitnya sehingga menyebabkannya menjadi kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya, maka ia sah dibuat korban.
4. Binatang yang kurus, sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya. 5. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga semula jadi kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur dari dagingnya walaupun sedikit. Adapun yang tidak bertanduk atau patah tanduknya adalah sah dijadikan korban.
6. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit. Adapun yang dilahirkan tanpa ekor semula jadi adalah sah dibuat korban. Tidak memadai yang terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong sesuatu yang nyata daripada pahanya.
7. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban.
8. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.
9. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. Bagi binatang yang baru beranak boleh dibuat korban, manakala binatang yang tidak mempunyai zakar atau yang dikebiri adalah sah dijadikan korban.
Binatang yang hendak disembelih bagi tujuan aqiqah pula, juga disyaratkan selamat daripada kecacatan sama seperti binatang korban sebagaimana yang diterangkan di atas.
Pembahagian Daging
Dalam korban sunat terdapat tiga pembahagian, iaitu:
1. Bahagian yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin.
2. Bahagian yang sunat diambil dan disimpan oleh orang yang berkorban sendiri, akan tetapi menyedekahkan kesemuanya adalah afdhal, kecuali sedikit untuk dimakan sebagai mengambil keberkatan daripadanya khususnya hati binatang tersebut.
3. Bahagian yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya seperti kaum keluarga, sahabat handai dan seumpamanya.
Cara pembahagian daging aqiqah sunat pula tidak ada bezanya dengan cara pembahagian daging korban sunat.
Namun jika korban dan aqiqah tersebut adalah yang wajib, seperti korban dan aqiqah yang dinazarkan atau yang dilaksanakan kerana menyempurnakan wasiat seseorang, maka wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin.
Penerima Daging
Penerima daging korban itu, sama ada orang fakir dan miskin atau orang kaya disyaratkan mereka itu adalah orang Islam sebagaimana kata Sayyid al-Bakri Rahimahullâh:
Ertinya: Dan baginya (orang yang berkorban itu) boleh memberi makan orang-orang kaya iaitu memberi sesuatu daripada daging korban kepada mereka sama ada dalam keadaan mentah ataupun sudah dimasak sebagaimana (tersebut) di dalam kitab at-Tuhfah dan an-Nihâyah; dan disyaratkan mereka itu hendaklah terdiri daripada orang-orang Islam.
Begitu juga penerima daging aqiqah, disyaratkan mereka itu adalah orang Islam.
Memindahkan Daging Ke Luar Negeri
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging itu ialah memindahkannya dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging itu dibahagi-bahagikan atau diagih-agihkan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan.
Dalam perkara ini, bahagian daging korban yang wajib diberikan kepada golongan fakir dan miskin tidak harus dipindah ke negeri lain. Dengan erti kata lain hendaklah diagihkan kepada golongan tersebut di negeri tempat berlakunya penyembelihan.
Adapun bahagian yang sunat disimpan untuk diri sendiri dan yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya adalah diharuskan untuk dipindahkan ke negeri lain.
Oleh itu, hukum dalam perkara memindah daging aqiqah, seperti menyembelih aqiqah di Brunei kemudian dibuat jamuan daripada daging tersebut di Malaysia adalah seperti juga halnya hukum memindah daging korban.
Melakukan Korban Atau Aqiqah Di Luar Negeri
Dalam ibadat korban, sebagaimana perbincangan ulama, perkara ini disebut sebagai memindah wang. Apa yang dimaksudkan dengan memindah wang di sini ialah memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.
Gambarannya ialah seorang orang tempatan yang mahu melakukan ibadat korban di negeri Makkah umpamanya, dengan erti kata dia mahu membeli binatang korban dan seterusnya menyembelihnya di sana. Menurut pandangan ulama perkara ini adalah diharuskan.
Cara pembelian binatang korban pula, sama ada:
1. Orang yang hendak berkorban itu sendiri pergi ke luar negeri dan melaksanakan sendiri segala urusan korban dari awal pembelian binatang korban sehinggalah penyembelihannya, ataupun;
2. Melantik wakil dan menyerahkan wang kepada wakil untuk melaksanakan urusan yang dimaksudkan. Ini kerana menurut syara‘, hukum wakâlah (perwakilan) atau melantik wakil dalam ibadat korban adalah harus.
Menurut ulama, aqiqah dalam perkara ini adalah serupa hukumnya dengan korban.
Berkongsi Binatang Dengan Niat Berbeza
Bagi seekor kambing yang hendak disembelih, sama ada tujuan menyembelihnya untuk korban ataupun aqiqah, maka seekor kambing itu tidak boleh dibahagi atau dikongsi melainkan cuma satu bahagian sahaja. Walau bagaimanapun harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu, kerana perkara ini telah tsabit daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri.
Sementara setiap seekor unta, lembu (sapi) atau kerbau pula boleh dibahagikan atau dikongsikan tidak melebihi daripada tujuh bahagian sekalipun dengan niat yang berbeza-beza. Umpamanya sebahagian inidividu menyembelih seekor binatang dengan niat korban, manakala sebahagian lagi dengan niat aqiqah. Begitu juga hukumnya adalah harus jika seekor unta, kerbau atau lembu disembelih sebagai aqiqah daripada seorang individu bagi 7 orang anaknya atau dikongsi oleh 7 orang yang berlainan.
Larangan Menjual Daging Korban Dan Aqiqah
Individu yang melakukan korban sunat dan aqiqah sunat adalah dilarang menjual sesuatu daripada binatang tersebut seperti daging, bulu atau kulit. Malahan hukumnya adalah haram dan jual beli itu dihukumkan tidak sah. Perbezaan Di Antara Korban Dan Aqiqah
Pada asasnya, aqiqah sunat itu kedudukan hukumnya adalah sama seperti korban sunat sepertimana yang telah dijelaskan, kecuali dalam beberapa aspek, iaitu:
1. Sifat daging yang disedekahkan.
Dalam korban sunat, bahagian daging yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin hendaklah dalam keadaan mentah lagi basah.
Berbeza dengan aqiqah sunat, daging aqiqah tidak wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam keadaan mentah akan tetapi sunat dimasak. Menurut apa yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ yang demikian itu adalah sunnah, malahan lebih disukai berbanding menyedekahkannya dalam keadaan mentah. Lebih disukai juga jika daging yang sudah dimasak itu dihantar kepada golongan fakir dan miskin berbanding dengan cara memanggil mereka untuk mengambilnya di rumah orang yang beraqiqah. Hanya bahagian yang hendak diberikan kepada bidan yang menyambut kelahiran diberikan dalam keadaan mentah.
2. Pemilikan daging.
Dalam korban sunat, bahagian daging yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya adalah untuk dimakannya dan bukan untuk dimilikinya. Dengan erti kata lain, orang kaya tersebut tidak boleh menjual atau memberikan daging tersebut kepada orang kaya lain kecuali hanya untuk dimakannya serta tanggungannya.
Berbeza dengan aqiqah sunat, bahagian daging yang dihadiahkan kepada golongan kaya adalah untuk dimilikinya. Oleh yang demikian, harus bagi penerima daging aqiqah sekalipun dia kaya untuk memakan, menjual atau menghadiahkan daging aqiqah sunat yang dihadiahkan kepadanya itu kepada golongan kaya yang lain.
3. Waktu penyembelihan binatang.
Dari segi waktu, masa untuk berkorban hanya terhad pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Berbeza dengan aqiqah, ia tidak terikat dengan hari-hari tertentu. Dilaksanakan demi kelahiran anak dan sunat pada hari ketujuh setelah kelahiran.
Sebagai kesimpulan, korban sunat dan aqiqah sunat mempunyai beberapa persamaan dari aspek jenis dan umur binatang, keselamatannya daripada ‘aib, hukum memakan dan menghadiahkan daging, cara pembahagiannya dan beberapa perkara lagi.
Namun begitu, korban sunat dan aqiqah sunat berbeza dalam tiga perkara iaitu, dalam aqiqah sunat tidak wajib disedekahkan daging aqiqah kepada fakir dan miskin dalam keadaan mentah. Kedua, bagi golongan kaya yang dihadiahkan daging aqiqah, daging tersebut dimiliki olehnya. Dengan erti kata, penerima yang kaya boleh memakan, menjual atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain. Ketiga, waktu bagi melakukan aqiqah tidak terbatas masanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9239
دليل الألوان
