Pilihan Untuk Berbuka Puasa: Keringanan Syara‘ Ketika Dalam Pelayaran
الجواب
Salah satu syarat wajib berpuasa Ramadhan ialah seseorang itu berdaya atau sihat untuk menunaikan puasa. Orang tua atau orang sakit dibolehkan berbuka puasa jika dengan berpuasa akan mendatangkan mudharat atau kesusahan yang berlebihan kepada mereka.
Begitu juga halnya dengan orang yang dalam pelayaran. Mereka juga dibolehkan oleh syara‘ untuk berbuka puasa selama dalam pelayaran mereka tertakhluk kepada syarat-syarat yang ditentukan. Walau bagaimanapun puasa yang ditinggalkannya itu wajib diqadha’nya kemudian dengan mengikut jumlah hari-hari yang ditinggalkannya berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka, jika dia berbuka), maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Syarat-Syarat Yang Membolehkan Musafir Berbuka Puasa
Tidak semua pelayaran itu dibolehkan berbuka puasa. Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘ yang membolehkan orang yang dalam pelayaran berbuka puasa. Syarat-syarat tersebut ialah:
1. Hendaklah jarak perjalanan atau pelayarannya itu tidak kurang dari dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 89.04 kilometer (kiraan jarak pergi sahaja, tidak termasuk kiraan jarak balik).
Jika perjalanan atau pelayaran itu kurang daripada 56 batu atau 89.04 kilometer, tidak ada keringanan baginya untuk tidak berpuasa.
2. Hendaklah perjalanan atau pelayaran itu bagi tujuan yang diharuskan oleh syara‘ seperti untuk menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.
Manakala pelayaran kerana tujuan yang diharamkan seperti bertujuan untuk melakukan jenayah, mengurus perniagaan haram, ingin melakukan zina dan yang seumpamanya, maka tidak ada ruang untuknya mendapat keringanan yang membolehkan berbuka puasa.
3. Hendaklah perjalanan atau pelayarannya bermula dan melewati perbatasan bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya sebelum terbit fajar shâdiq (sebelum masuk waktu subuh).
Jika bandar, pekan atau kampung tempat tinggal itu mempunyai perbatasan yang khusus, maka safarnya bermula setelah melewati perbatasan yang khusus itu.
Jika dia melewati perbatasan perkampungan, kota atau bandar tempat tinggalnya sesudah fajar shâdiq, maka tiada keringanan untuknya berbuka puasa iaitu hendaklah dia mengerjakan puasa pada hari tersebut.
Namun jika berlaku sesuatu kemudharatan apabila dia meneruskan puasa pada hari tersebut, maka dibolehkan baginya berbuka puasa. Perlu diingat bahawa dibolehkan baginya berbuka puasa itu adalah disebabkan kemudharatan yang dihadapinya dan bukan disebabkan keringanan berbuka puasa disebabkan dia di dalam pelayaran.
4. Hendaklah dia berniat bahawa dia berbuka kerana keringanan yang diberikan oleh syara‘ untuknya iaitu membolehkannya berbuka kerana pelayaran.
Tempoh Yang Dibenarkan Berbuka Puasa Bagi Musafir
Orang yang dalam pelayaran dibenarkan berbuka puasa selama dia memenuhi syarat-syarat yang membolehkannya berbuka puasa sebagaimana yang dijelaskan di atas. Tempoh yang dibenarkan baginya untuk berbuka puasa pula ialah:
1. Selama dia berada dalam perjalanan iaitu belum sampai ke tempat atau destinasi yang ditujunya.
2. Selama dia tidak berniat singgah atau tinggal di suatu tempat melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik).
Jika dia berniat untuk tinggal di tempat itu melebihi tiga hari iaitu empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik), maka pelayarannya dikira tamat sebaik saja dia sampai ke tempat itu. Dalam hal ini, tidak dibolehkan lagi baginya untuk berbuka puasa kerana dia tidak lagi dianggap dalam pelayaran.
Jika dia sampai pada tempat yang dituju kerana sesuatu urusan atau tugas dan dia tidak mengetahui berapa lama urusannya itu akan selesai di samping berniat akan meninggalkan tempat tersebut sebaik-baik selesai hajat atau urusan yang ditunggu-tunggunya setiap hari, maka dibolehkan baginya untuk berbuka puasa dalam tempoh empat hari (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik). Walau bagaimanapun jika urusan atau tugas tersebut tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhhar, dibolehkan baginya untuk berbuka puasa sehingga lapan belas hari sahaja (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik).
Yang jelas, keharusan berbuka puasa bagi orang yang dalam pelayaran itu akan berakhir jika dia bermukim pada suatu tempat atau berniat tinggal di tempat tersebut lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat untuk balik) sepertimana juga disyaratkan dalam sembahyang qashar.
Berpuasa Atau Berbuka: Mana Yang Lebih Afdhal Bagi Musafir?
Musafir yang memenuhi syarat untuk berbuka puasa disebabkan keadaannya yang dalam pelayaran adalah diberi pilihan sama ada untuk meneruskan berpuasa atau berbuka.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, bahawa Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang puasa ketika dalam pelayaran. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab:
Maksudnya: Jika engkau mahu, maka berpuasalah dan jika engkau mahu, maka berbukalah. (Hadits riwayat Muslim) Hadits ini jelas menggambarkan bahawa orang yang dalam pelayaran dalam bulan Ramadhan diberi kelonggaran sama ada memilih untuk berpuasa atau berbuka.
Namun persoalan yang ditimbulkan ialah mana satukah yang lebih afdhal dilakukan oleh mereka, iaitu adakah afdhal baginya untuk berpuasa atau adakah afdhal baginya untuk berbuka sepanjang tempoh yang membolehkannya untuk berbuka itu.
Kesimpulan bagi jawapan ini adalah berbalik kepada penilaian individu itu sendiri, iaitu:
1. Jika dengan berpuasa itu tidak mendatangkan kemudharatan pada dirinya semasa dalam perjalanan atau pelayarannya, maka melakukan puasa adalah lebih afdhal baginya daripada berbuka.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (walau demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 184)
Terdapat beberapa sebab mengapa orang yang musafir itu lebih afdhal baginya berpuasa, antaranya:
i. Melepaskan tanggungan puasa kerana dengan berbuka itu dia akan menanggung qadha’ puasa yang wajib dibayarnya mengikut jumlah hari-hari yang ditinggalkannya. ii. Mengisi waktu (pelayaran) dengan melakukan ibadat (ibadat puasa).
iii. Berpuasa ketika dalam pelayaran merupakan antara perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
2. Jika dengan berpuasa itu memudharatkan dirinya dalam perjalanan atau pelayarannya, maka adalah afdhal baginya untuk berbuka puasa.
Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan, Baginda melihat orang ramai berkerumum dan seseorang telah dinaungi (daripada kepanasan matahari). Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Seorang sedang berpuasa.” Maka Baginda bersabda: “Bukanlah daripada perkara kebajikan berpuasa dalam pelayaran.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam ar-Rafi‘i Rahimahullâh, jika dengan berpuasa tidak memudharatkannya secara langsung namun dia takut dia akan lemah jika berpuasa, umpamanya dia belayar kerana menunaikan haji, maka afdhal baginya untuk berbuka puasa.
Adakah Dibolehkan Orang Yang Berpuasa Qadha’ Dalam Pelayaran Untuk Berbuka?
Keharusan berbuka puasa bagi orang yang dalam pelayaran itu sebagaimana yang dijelaskan di atas adalah bagi mereka yang berpuasa Ramadhan. Sementara bagi seorang musafir yang berpuasa qadha’ (membayar puasa Ramadhan yang ditinggalkannya) yang diwajibkan ke atasnya untuk mengqadha’ puasa tersebut dengan segera, maka tidak dibolehkan baginya untuk berbuka puasa.
Menurut ulama mazhab Syafi‘e, wajib diqadha’ dengan segera bagi orang-orang berikut:
1. Orang yang berpuasa pada 1 Ramadhan disebabkan dia menyangka bahawa hari itu adalah 30 Sya‘ban. Akan tetapi selepas itu nyata kepadanya bahawa hari tersebut adalah 1 Ramadhan. Dalam hal ini, wajib dia mengqadha’ hari tersebut dengan segera selepas 1 Syawal.
2. Orang yang kesuntukan masa untuk mengqadha’ puasanya disebabkan hari-hari yang berbaki daripada bulan Sya‘ban hanya cukup untuk mengqadha’ puasanya sahaja. Dalam keadaan ini, wajib dia mengqadha’ puasanya dengan segera sebelum masuk bulan Ramadhan yang baru.
3. Orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan senghaja iaitu berbuka puasa tanpa perkara-perkara yang dibolehkan oleh syara‘ untuk dia berbuka.
4. Orang murtad yang kembali semula kepada Islam iaitu batal puasa Ramadhan disebabkan dia murtad.
5. Orang yang meninggalkan niat puasa pada waktu malam dengan senghaja.
Seseorang yang berpuasa qadha’ di dalam pelayaran disebabkan perkara di atas, tidak dibolehkan baginya untuk berbuka disebabkan puasa qadha’nya itu dituntut untuk dilaksanakan dengan segera.
Begitu juga tidak dibolehkan berbuka bagi mereka yang tidak berharap untuk mengqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya kerana sentiasa dalam pelayaran. Berlainan halnya jika dia berbuka dengan niat mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya selepas balik pelayaran. Maka dalam hal ini, dibolehkan baginya berbuka puasa.
Contoh: Seorang anak kapal yang sentiasa membuat pelayaran dari Brunei ke negeri-negeri lain, iaitu berada di Brunei hanya dua atau tiga hari dalam sebulan. Apabila dia membuat pelayaran di bulan Ramadhan, dia hanya dibolehkan berbuka puasa jika dia berniat akan mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu apabila selesai pelayarannya. Jika dia tidak berharap untuk mengqadha’ puasa jika ditinggalkannya disebabkan oleh keadaannya yang sentiasa belayar, maka tidak dibolehkan baginya berbuka.
Perbezaan Waktu Berbuka Puasa Antara Sebuah Negeri Dengan Negeri Yang Lain
Apabila menyentuh mengenai dengan pelayaran ini, perbezaan waktu berpuasa bagi sesetengah negeri dengan negeri yang lain menimbulkan banyak persoalan di kalangan orang yang melakukan perjalanan atau pelayaran tentang kedudukan mereka apabila sampai di tempat yang dituju. Ini adalah disebabkan waktu berpuasa tidak sama di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain disebabkan perbezaan mathla‘ (tempat terbit anak bulan). Sebagai contoh, penduduk di Negara Brunei Darussalam belum lagi berpuasa kerana anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat pada 29 Sya‘ban, manakala penduduk di Makkah al-Mukarramah sudah mulai berpuasa pada hari tersebut.
Oleh yang demikian, orang yang melakukan perjalanan atau pelayaran ke negeri yang mempunyai mathla‘ (tempat terbit anak bulan) dengan negeri yang ia berada sebelumnya, maka kedudukannya adalah seperti berikut:
1. Jika penduduk negeri itu berpuasa, hendaklah dia mengikut berpuasa ataupun menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa jika dia tidak berpuasa.
Contoh:
i. Jika seseorang itu belayar dari Brunei dalam keadaan tidak berpuasa (disebabkan anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat) menuju ke Filipina pada hari yang sama, dan pada ketika itu penduduk di Filipina sudah mulai berpuasa (disebabkan Ramadhan sudah bermula), maka wajib ke atasnya menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa.
Dalam hal ini, jika dia balik ke Brunei sebelum Hari Raya dan dia berpuasa cukup bilangan, sepertimana bilangan puasa penduduk di Brunei, maka tidaklah dikenakan qadha’.
Namun jika dia masih berada di Filipina sehingga masuk Hari Raya, maka hendaklah diqadha’nya hari tersebut.
ii. Jika seseorang itu belayar dari Brunei menuju ke Filipina pada 30 Ramadhan dan sampai pada malamnya, dan ketika itu penduduk di Filipina baru selesai berpuasa dua puluh sembilan hari dan akan berpuasa lagi keesokan harinya untuk menggenapkan tiga puluh hari Ramadhan (disebabkan anak bulan Syawal tidak sabit dilihat). Dalam hal ini, menurut pendapat yang lebih shahîh, wajib dia ikut berpuasa bersama penduduk di Filipina.
iii. Jika seseorang itu belayar dari Brunei menuju ke Filipina pada 1 Syawal (Hari Raya pertama), dan ketika itu penduduk di sana masih berpuasa, maka dalam hal ini, wajib dia menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, sungguhpun dia sudah berpuasa sebanyak tiga puluh hari. Ini kerana kedatangannya ke negeri tersebut menjadikannya sebahagian daripada penduduk di sana.
2. Jika penduduk negeri itu belum berpuasa (kerana anak bulan Ramadhan tidak sabit dilihat di tempat mereka), hendaklah dia mengikut tidak berpuasa.
Contoh:
Seseorang belayar dari Brunei menuju ke Filipina pada 1 Ramadhan (disebabkan anak bulan Ramadhan sabit dilihat di Brunei pada 29 Sya‘ban) dan sampai pada hari yang sama di Filipina. Pada ketika itu penduduk di sana belum lagi berpuasa disebabkan anak bulan Ramadhan tidak kelihatan pada 29 Sya‘ban, maka dalam keadaan ini, ada dua pendapat yang boleh dipilih, iaitu:
Pendapat pertama:
Imam ar-Ramli Rahimahullâh mengatakan: “Hendaklah dia berbuka sepertimana penduduk di tempat dia berada dan tidak dikenakan qadha’ hari dia berbuka jika dia berpuasa bersama mereka sebanyak 29 hari. Oleh yang demikian, dia hendaklah berpuasa mengikut penduduk di Filipina.”
Pendapat kedua:
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh pula mengatakan: “Dia tidak boleh berbuka puasa, kerana puasanya pada hari itu adalah berdasarkan penglihatan anak bulan dengan yakin, maka tidak harus dia menyalahi semata-mata dia sampai ke suatu tempat lain yang tidak kelihatan anak bulan. Oleh yang demikian, dia hendaklah meneruskan puasanya itu.”
3. Jika penduduk negeri itu berhari raya (kerana anak bulan Syawal sabit dilihat di tempat mereka), hendaklah dia mengikut sama berhari raya (tidak berpuasa).
Contoh:
Jika seseorang itu belayar dari Brunei pada 29 atau 30 Ramadhan, menuju ke Filipina dan ketika itu penduduk di sana mula berhari raya (disebabkan sudah tiba 1 Syawal), maka dalam hal ini hendaklah dia berbuka dan turut berhari raya bersama mereka.
Sekiranya dia sudah berpuasa sebanyak 29 hari, maka tidaklah perlu diqadha’ satu hari yang dia berbuka itu.
Walau bagaimana sekiranya bilangan puasanya hanya 28 hari sahaja, maka wajiblah diqadha’ satu hari yang dia berbuka itu bagi mencukupkan bilangan 29 hari.
Contoh-contoh di atas adalah bagi musafir yang membuat perjalanan ke negeri yang ditujunya dan menetap di sana selama beberapa hari atau dalam jangka masa waktu yang lama.
Satu persoalan lain yang juga sering ditimbulkan ialah mengenai kedudukan puasa seseorang yang membuat perjalanan ke sebuah negeri lain yang mempunyai mathla‘ berbeza daripada negerinya dan balik semula ke negerinya pada hari yang sama.
Jika seseorang itu membuat perjalanan dari sebuah negeri ke negeri yang lain pada 29 atau 30 Ramadhan, dan dia mendapati penduduk di tempat yang dia baru sampai sudah berhari raya (disebabkan 1 Syawal jatuh pada hari itu), maka hendaklah dia berbuka bersama mereka. Namun jika dia balik ke negerinya pada hari yang sama sebelum sempat dia berbuka dan berhari raya bersama penduduk di sana, maka dalam hal ini, menurut pendapat muttajah (pendapat yang dicenderungi) puasanya masih saja kekal.
Contoh:
Seseorang membuat perjalanan dari Brunei ke Miri pada 29 Ramadhan kerana urusan yang tidak mengambil masa yang lama. Ketika sampai di Miri, dia mendapati penduduknya sudah berhari raya (1 Syawal), maka dia hendaklah berbuka bersama mereka. Walau bagaimanapun jika dia balik semula ke Brunei pada hari yang sama sebelum sempat berbuka dan berhari raya bersama penduduk di Miri, maka dia masih lagi dianggap berpuasa.
Sebagai kesimpulan, pelayaran tidak menghalang seseorang itu untuk melakukan puasa lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan pelayaran yang canggih di era ini. Namun dengan dalil jelas, Islam tetap memberikan pilihan kepada orang yang dalam pelayaran sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka, dan penilaian untuk memilih salah satu di antara kedua-duanya terpulang kepada individu itu sendiri. Jika tiada kesusahan atau mudharat dalam keadaannya yang berpuasa ketika dalam pelayaran, maka afdhal dia meneruskan puasanya. Manakala jika sebaliknya iaitu adanya kesusahan atau mudharat ke atas dirinya jika dia meneruskan puasanya, maka afdhal dia berbuka dengan adanya rukhshah (keringanan) yang diberikan oleh syara‘ kepada orang yang dalam pelayaran.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9243
دليل الألوان
