Beberapa Permasalahan Puasa Ramadhan
الجواب
Puasa bulan Ramadhan adalah di antara ibadat-ibadat yang disyariatkan kepada umat Islam yang mempunyai berbagai hikmat dan kemashlahatan, baik dari segi rohani dan jasmani mahupun dari segi kemasyarakatan.
Bulan Ramadhan juga merupakan tetamu agung umat Islam, bulan yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Kita patut merebut peluang yang ada dan mendapatkan kelebihan setiap ibadat yang dilakukan di dalamnya. Di samping itu juga kita hendaklah mempersiapkan diri dengan hukum-hakam puasa Ramadhan yang dituntut di dalam syara‘, seperti memperdalami pengetahuan terhadap rukun-rukun dan perkara-perkara yang boleh merosak atau membatalkan puasa. Antara beberapa permasalahan penting yang kita perlu ketahui dengan lebih mantap ialah:
i. Bagaimana Melaksanakan Niat Puasa
Bila membincangkan soal ibadat, perkara yang penting diambil perhatian ialah niat. Tanpa niat ia tidak akan menjadi ibadat yang sah. Inilah yang dimakskudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:
Maksudnya: Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Niat adalah salah satu daripada tiga rukun puasa. Ia diwajibkan sama ada puasa itu puasa wajib atau puasa sunat. Jika orang yang berpuasa itu meninggalkan niat puasa walaupun dia tidak mengetahui (jahil), maka puasa itu tidak sah.
Menurut Al-Imam As-Suyuthi di dalam kitabnya, niat itu tempatnya di hati (Al- Asybâh wa An-Nazhâ’ir: 23). Manakala menurut pengarang Hâsyiyah I‘ânah Ath- Thâlibîn, sunat dilafazkan niat itu dengan lidah bagi membantu hati seperti mana niat ibadat-ibadat yang lain.
Berdasarkan hadis di atas, kita dapat memahami bahawa puasa itu mesti ada niat yang khusus. Tidak memadai niat puasa itu dengan hanya makan sahur kerana mengelakkan lapar atau lemah ketika berpuasa. Niat puasa itu juga tidak memadai dengan hanya menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa kerana takut kedatangan fajar di mana orang berpuasa tidak dibenarkan melakukannya. Dari itu perbuatan seperti di atas hendaklah disertai dengan niat untuk mengerjakan puasa atau paling tidak ada lintasan di hati untuk berpuasa. (I‘ânah Ath-Thâlibîn: 2/248- 249)
Menurut Ibnu Katsir keadaan puasa orang-orang yang terdahulu (ahli kitab), jika belum sampai waktu berbuka mereka boleh makan dan minum sehingga terbit fajar selama mana seseorang itu belum tidur. Ini berbeza dengan keadaan puasa orang Islam di mana mereka boleh makan dan minum termasuklah menggauli isteri sebelum terbit fajar sekalipun sesudah tidur. Puasa tidak batal dengan melakukan perkara-perkara tersebut. Begitu juga dengan niat puasa. Niat itu tidak akan terbatal dengan melakukan perkara-perkara di atas dan kita tidak perlu memperbaharui niat berkenaan.
Manakala perempuan haidh atau nifas yang berniat selepas terbenam matahari ketika belum kering darahnya untuk berpuasa keesokan harinya, lalu darahnya kering sebelum terbit fajar maka sah puasanya dengan niatnya itu dan tidak perlu memperbaharui niatnya, walaupun perempuan itu belum mandi hadas selepas terbit fajar.
Begitulah juga bagi seseorang yang melakukan persetubuhan di malam hari puasa, apabila dia berniat di malam itu dan belum mandi junub (hadas besar) di siang hari, adalah sah puasa dengan niatnya itu.
Waktu berniat puasa Ramadhan itu ialah setelah terbenam matahari dan sebelum terbit fajar shâdiq. Jika niat itu dilakukan setelah terbit fajar atau sebaya dengan terbit fajar puasa adalah tidak sah. Inilah yang dikatakan oleh para ulama bahawa niat itu mesti di waktu malam (tabyît), sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq maka tidak ada puasa baginya. (Hadis riwayat Baihaqi dan Ad-Daraquthni)
Manakala bagi puasa-puasa sunat pula, masa berniat itu ialah ketika mulai terbenam matahari hingga sebelum tergelincir matahari pada hari berikutnya selagi dia belum melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar shâdiq pada hari tersebut, sebagaimana di dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Bersabda Rasullullah kepadaku pada satu hari: “Wahai ‘Aisyah, adakah di sisi kamu sesuatu (untuk dimakan)?” Maka aku (‘Aisyah) berkata: “Wahai Rasullullah tidak ada di sisi kita sesuatupun (untuk dimakan).” Berkata (Rasullullah): “Maka (kalau begitu) sesungguhnya aku seorang yang berpuasa.” (Hadis riwayat Muslim)
Adapun sekurang-kurang lafaz niat puasa Ramadhan itu ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa Ramadhan.
Manakala niat yang lengkap pula ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
Niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap malam di dalam hati dan sunat dilafazkan, kerana ibadat puasa itu adalah ibadat berasingan yang masuk waktunya dengan terbit fajar shâdiq dan keluar waktunya dengan terbenam matahari. Ia dikira sehari sehari. Apabila rosak satu hari puasa itu, ia tidak merosakkan puasa yang terdahulu dan yang terkemudian.
Berniat pada tiap-tiap malam ini khusus bagi puasa wajib sahaja, iaitu puasa bulan Ramadhan, nazar, kaffârah, qadha dan fidyah haji. Masa berniat itu mulai terbenam matahari hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq.
Di samping kita wajib berniat pada tiap-tiap hari, kita juga digalakkan untuk berniat dengan niat satu bulan penuh, itupun hanya di awal bulan Ramadhan sahaja. Tujuannya ialah untuk berjaga-jaga kalau-kalau kita terlupa berniat pada malam-malam berikutnya dengan bertaqlîd kepada mazhab Imam Malik. Maka dengan adanya niat sebulan itu akan menampung niat pada hari yang kita lupa itu. Akan tetapi niat tersebut tidak akan dikira niat sebulan jika ia diniatkan setelah berlalu satu Ramadhan. Contohnya orang yang berpuasa itu berniat dengan niat puasa sebulan pada hari kedua puasa, maka niat tersebut tidak sah.
Maka dalam hal ini, perkara penting yang mesti kita ambil perhatian ialah kita wajib berniat puasa pada tiap-tiap malam, dan sebaiknya kita juga berniat puasa sebulan pada permulaan Ramadhan sebagai langkah berjaga-jaga kalau-kalau ada hari kita terlupa berniat.
Ini bererti niat pada tiap-tiap malam itu tidak boleh kita tinggalkan dengan senghaja kerana beralasan bahawa kita sudah berniat puasa sebulan. Adalah tidak memadai dan tidak sah puasa selain puasa hari pertama Ramadhan jika ia dikerjakan dengan hanya berniat satu bulan sahaja tanpa disertai dengan niat puasa setiap hari.
Lafaz niat sebulan puasa itu ialah:
Ertinya: Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.
ii. Wajib Menahan Diri (Imsâk)
Apabila masuknya bulan Ramadhan masih terdengar di media- media elektronik seperti radio dan televisyen yang menyiarkan berita tentang orang Islam yang didenda oleh mahkamah kadhi kerana tidak berpuasa dan makan atau minum di khalayak ramai. Fenomena ini menggambarkan bahawa masih ada sebilangan kecil daripada masyarakat kita yang tidak menghiraukan kewajipan berpuasa, sedangkan ketika itu dia mukallaf dan tiada sesuatu yang menghalangnya daripada berpuasa. Ada pula di antara mereka yang senghaja berbuat demikian malahan berbangga-bangga dengan tidak berpuasa, seolah-olah kewajipan itu tidak ada bagi mereka. Perbuatan ini wajib kita perbetulkan daripada terus berleluasa.
Menurut ketentuan hukum syara‘, orang-orang yang meninggalkan puasa dengan senghaja itu sangat berat seksaannya. Perbuatan tersebut termasuk dalam kategori dosa besar malahan menjadi kerugian yang tidak boleh ditukar ganti sebagaimana digambarkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang disebut Rayyan, yang mana pada Hari Qiamat orang-orang yang berpuasa masuk ke syurga daripadanya. Dikatakan: “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka berdiri, tidak ada seorang pun selain mereka yang masuk daripadanya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup, sehingga tidak ada seorang pun yang masuk daripadanya. (Hadis Muttafaq ‘Alaih)
Hadis di atas menerangkan bahawa orang-orang yang berpuasa itu akan diberi keistimewaan khas di mana mereka berhak untuk masuk syurga melalui pintu Al- Rayyan. Amat rugilah orang-orang yang tidak mengerjakan ibadah puasa itu kerana tiada hak untuk masuk syurga melalui pintu tersebut.
Apa yang lebih dikhuatiri ialah orang-orang yang tidak berpuasa itu beranggapan bahawa puasa itu tidak perlu dikerjakan kerana ia hanya suatu budaya yang menyeksa manusia. Menurut ijmâ‘ ulama, sesiapa yang mengingkari fardhu puasa Ramadhan atau merasa ragu-ragu akan fardhunya maka dia adalah terkeluar daripada agama Islam iaitu murtad, wal‘iyadzubillah.
Daripada hadis-hadis dan ijmâ‘ ulama yang disebutkan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat ancaman dan peringatan kepada mereka yang mengabaikan puasa bulan Ramadhan. Oleh itu janganlah kita mengambil ringan akan perkara ini dengan mengabaikan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala amat pedih.
Membincangkan tentang orang yang berbuka puasa tanpa keuzuran ini selain daripada menerima ancaman dan balasan seperti yang disebutkan di atas, mereka ini juga dipertanggungjawabkan untuk memenuhi kehendak hukum-hukum syara‘ yang diwajibkan ke atas mereka. Antaranya ialah menahan diri (imsâk) daripada perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa.
Menurut para fuqahâ’, orang-orang yang berbuka puasa dengan senghaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh hukum syara‘ itu wajib imsâk iaitu menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Imsâk juga diwajibkan ke atas orang yang berbuka puasa Ramadhan bukan disebabkan keuzuran seperti orang yang lupa berniat atau makan di waktu yang disangkakannya masih belum terbit fajar sedangkan ketika itu fajar sudah terbit. Diwajibkan ke atas mereka imsâk kerana menghormati waktu puasa.
Manakala bagi orang yang berbuka puasa disebabkan keuzurannya seperti orang yang sakit apabila dia sembuh dan orang yang musafir apabila dia sampai ke tempat kediamannya pada waktu siang Ramadhan, hukum imsâk atau menahan diri itu adalah sunat.
Sunat imsâk bagi orang yang gila bila dia sedar, orang kafir apabila masuk Islam, kanak-kanak apabila dia baligh dan perempuan yang haidh atau nifas apabila dia bersih di siang hari Ramadhan.
Menurut pengarang Hâsyiyah I‘ânah Ath-Thâlibin terdapat dua kaedah mengenai perkara imsâk ini. Kaedah yang pertama ialah bahawa setiap orang yang diharuskan baginya berbuka puasa dan dia mengetahui akan hakikat hari itu maka tidak diwajibkan baginya imsâk bahkan disunatkan sahaja. Kaedah yang kedua iaitu bagi orang yang tidak diharuskan berbuka puasa dan dia mengetahui akan hakikat hari itu maka diwajibkan baginya imsâk.
Demikianlah ketentuan hukum yang perlu kita fahami tentang kewajipan mengerjakan ibadah puasa dan hukum yang berkaitan dengannya. Semoga dengan mengetahui hukum-hukum tersebut akan menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
iii. Perempuan Hamil Dan Yang Menyusukan Anak
Fungsi ibadah yang disyariatkan kepada manusia itu ialah untuk mengukur dan membuktikan ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Selain itu ia juga berperanan sebagai jalan yang menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tidak kira ibadah itu wajib ataupun sunat. Perkara ini dijelaskan dalam firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga ‘adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang- orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. (Surah Al-Baiyinah: 7-8)
Adalah salah pendapat yang mendakwa bahawa ibadah-ibadah seperti sembahyang, puasa, haji, zakat dan sebagainya itu sebagai suatu bebanan yang menyeksa manusia. Tuduhan ini dengan tegas ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah Al-Hajj: 78)
Kita telahpun diajar tentang tahap (darajah) hukum-hukum ibadah yang disyariatkan itu dan apa yang perlu diambil penuh perhatian ialah ibadah-ibadah yang wajib. Ibadah seumpama ini jika kita tinggalkan tanpa keuzuran akan menyebabkan kita berdosa.
Walaupun demikian, Islam sebagai agama yang mulia dan diperakukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala telahpun menggariskan tentang kewajipan manusia dalam melaksanakan ibadah-ibadah wajib itu. Sekalipun sesuatu ibadah itu wajib dilaksanakan, namun tahap kewajipan melaksanakannya adalah mengikut kadar yang termampu oleh manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah Al-Baqarah: 286)
Ayat di atas juga dengan jelasnya menerangkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu bersifat Rahîm iaitu amat Pengasihani. Begitulah cantiknya syariat Islam itu. Walaupun demikian hakikatnya, tidak bererti kita bersikap cuai atau mengambil ringan tentang hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Kecuaian atau sikap mengambil ringan soal hukum-hukum Islam boleh membawa kepada berleluasanya perkara mungkar dan maksiat yang akhirnya meleburkan iman dan taqwa manusia.
Berbalik kepada kelonggaran atau keringanan yang diberikan oleh syariat Islam itu, maka bagaimanakah hukum dan kewajipan berpuasa terhadap perempuan hamil atau menyusukan anak?
Seperti yang kita jelaskan sebelum ini puasa itu wajib ke atas orang-orang Islam yang mukallaf. Ini bererti perempuan yang hamil atau perempuan yang menyusukan anak itu termasuk di bawah hukum di atas. Hamil itu boleh terjadi atas jalan pernikahan dan tanpa pernikahan. Menyusukan anak pula, boleh terjadi kerana menyusukan anak sendiri atau anak orang lain. Perempuan yang menyusukan anak ini disebut dalam bahasa Arab sebagai murdhi‘.
Menurut hukum syara‘ perempuan yang hamil sekalipun hasil daripada perzinaan dan perempuan yang menyusukan anak damit (murdhi‘) walaupun anak damit itu kepunyaan orang lain disebabkan menderma atau diupah, adalah diharuskan bagi mereka untuk berbuka puasa semata-mata kerana dua perkara tersebut.
Sekalipun demikian, persoalan lain yang timbul, apakah hukum yang berbangkit dari berbuka puasa itu? Adakah diwajibkan ke atas mereka qadha atau lain hukum mengenainya?
Dalam hal ini para fuqahâ’ telah merumuskan hukum-hukum mengenainya. Rumusan hukum dan perbincangan mereka lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang menyebabkan mereka berbuka puasa.
Jika mereka berbuka puasa kerana takut akan kemudaratan kepada anak dalam kandungan atau anak yang disusukan itu sahaja, maka wajib ke atas mereka membayar fidyah dan juga qadha pada tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkannya itu.
Jika mereka berbuka puasa kerana takut akan timbul kemudaratan atas diri mereka atau kedua-duanya iaitu takut ke atas diri mereka dan anak dalam kandungan atau anak yang disusukan, maka wajib ke atas mereka mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tanpa wajib mengeluarkan fidyah.
Jika perempuan yang hamil atau yang menyusukan anak (murdhi‘) itu sedang dalam musafir ataupun sakit, lalu mereka berbuka puasa dengan berniat rukhshah (kelonggaran) atas sebab musafir atau sakit, bukan kerana takut akan kemudaratan kepada anaknya, maka diwajibkan ke atas mereka mengqadha puasa itu tanpa membayar fidyah di hari-hari puasa yang ditinggalkan ketika musafir itu.
Dalam keadaan musafir atau sakit, jika perempuan hamil atau yang menyusukan anak (murdhi‘) berbuka kerana takut akan kemudaratan anaknya dan bukan berbukanya itu atas rukhshah musafir atau sakit, menurut pendapat yang ashah dia juga tidak diwajibkan membayar fidyah. Sebagaimana tidak diwajibkan membayar kaffârah kepada orang musafir yang sampai ke kediamannya ketika siang hari puasa, lalu dia melakukan persetubuhan di siang hari itu bersama isterinya yang tidak berpuasa disebabkan baru bersih daripada haidh atau nifas di siang hari itu juga. (Al- Majmû‘: 6/272 & 375)
Berkait dengan hukum ini, ingin juga dijelaskan apakah dia fidyah kerana meninggalkan puasa itu? Kepada siapakah ia diserahkan dan bagaimanakah melaksanakannya?
Fidyah ialah denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadah. Ia juga merujuk kepada menebus ibadah (kerana uzur dan disyariatkan), dengan memberi sedekah kepada fakir miskin berupa makanan yang mengenyangkan. (Ensiklopedia Islam: 3/264)
Adapun makna fidyah dalam hal puasa ialah bayaran denda kerana tidak berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambatkan mengqadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan berikutnya.
Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri seperti Negara Brunei Darussalam makanan asasinya adalah beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu kira-kira lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.
Pihak yang berhak menerima fidyah itu ialah orang-orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi dengan lebih daripada satu cupak kepada seorang miskin berlainan dengan kaffârah, kerana ia hendaklah satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin hingga enam puluh orang iaitu tidak boleh dua cupak untuk satu orang miskin bagi membayar kaffârah.
Membayar fidyah itu diharuskan selepas terbit fajar di hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan kerana keuzuran seperti orang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang terlalu tua yang tidak berdaya untuk puasa dan perempuan yang hamil dan murdhi‘. Walau bagaimanapun diharuskan juga mengeluarkan fidyah itu sebelum terbit fajar bagi hari yang dikeluarkan fidyah itu dan diharuskan juga mengeluarkan fidyah terlebih dahulu sebelum berbuka, akan tetapi hanyalah satu fidyah sahaja di hari berbukanya itu dan tidak harus mendahuluinya bagi hari kedua dia berbuka puasa. Begitu juga tidak diharuskan membayar fidyah sebelum masuk bulan Ramadhan. (Raudah Ath-Thâlibîn: 2/385)
iv. Puasa Dalam Pelayaran
Pada kelazimannya di musim Ramadhan inilah ramai masyarakat kita mengambil kesempatan untuk membuat perjalanan jauh seperti belayar ke luar negara untuk menziarahi sanak saudara, menunaikan umrah untuk mengambil ganjaran pahalanya yang besar di bulan mubarak ini dan juga ada yang membeli belah untuk keperluan Hari Raya atau sebagainya. Tidak kurang pula mereka yang berada di luar negara khasnya para pelajar yang akan balik bercuti ke tanah air untuk sama-sama menyambut Ramadhan dan berhari raya bersama-sama kaum keluarga.
Pada dasarnya ibadah puasa itu tidak diwajibkan ke atas orang yang dalam pelayaran (musafir). Ini kerana musafir itu adalah salah satu keuzuran syar‘i yang menyebabkan beberapa kewajipan yang berbentuk ‘azimah diangkat daripada mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)
Ada juga hadis-hadis Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan tentang keharusan perkara ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Saiyidatuna Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Sesungguhnya Hamzah bin ‘Amr Al-Aslamiy berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam: “Adakah mesti aku berpuasa di dalam musafir?” (Walhal) adalah Hamzah itu seorang yang banyak mengerjakan ibadah puasa. Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika engkau hendak berpuasa, berpuasalah dan jika engkau hendak berbuka, berbukalah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Walau bagaimanapun tidak semua musafir itu diberikan rukhshah berbuka puasa. Mereka yang diberikan kelonggaran itu hanya orang yang memenuhi syarat-syarat berikut:
a) Perjalanannya mestilah mencapai atau melebihi jarak yang dibolehkan mengqashar sembahyang. Iaitu jarak dari tempat ia memulakan pelayarannya ke tempat yang ditujunya itu dan mestilah tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira lapan puluh sembilan kilometer.
b) Perjalanan itu ialah perjalanan yang diharuskan oleh hukum syara‘ bukan perjalanan yang melibatkan perkara maksiat.
Pelayaran Yang Tidak Membebankan
Adakah pelayaran yang tidak membebankan orang yang bermusafir seperti yang berlaku di zaman yang serba canggih ini boleh dianggap sebagai uzur syar‘i yang mana si musafir ini boleh mengambil rukhshah berbuka?
Mengikut apa yang telah dijelaskan oleh ayat al-Qur’an di atas bahawa musafir itu adalah merupakan satu keuzuran syar‘i tanpa memperincikan sama ada pelayaran yang dilakukan itu pelayaran yang mendatangkan beban kepayahan ataupun tidak.
Menurut apa yang telah diperjelaskan oleh Imam Asy-Syafi‘e dan ashhâbnya Rahimahullah, keharusan berbuka puasa itu lebih kepada wujudnya kepayahan sepertimana yang disebutkan:
Maksudnya: Jika dengan berpuasa akan memudharatkannya maka berbuka itu afdhal dan jika sebaliknya maka berpuasa itu lebih afdhal. (Kitab Al-Majmû‘: 6/265)
Ini bererti apa jua jenis pengangkutan yang digunakan untuk bermusafir maka dia adalah diharuskan dan berhak untuk mengambil rukhshah berbuka mengikut syarat yang telah dijelaskan. Akan tetapi berpuasa itu adalah lebih utama (afdhal) jika tidak memudaratkan dirinya sebagimana yang telah dijelaskan oleh Imam Asy-Syafi‘e dan ashhâb beliau Rahimahumullah.
Bila Diharuskan Mengambil Rukhshah Berbuka
Syarat lain yang membawa kepada keharusan berbuka ketika musafir itu ialah orang berkenaan memulakan perjalanan sebelum terbit fajar shâdiq. Maksud memulakan perjalanan di sini ialah apabila dia melewati sempadan atau perbatasan kampung tempat tinggalnya.
Jika dia melewati tempat tersebut selepas terbit fajar shâdiq maka kewajipan puasa itu dituntut ke atasnya dan tidak harus baginya berbuka kecuali ada sesuatu kesusahan yang menyebabkan dia tidak berkuasa meneruskan puasanya. Dalam keadaan ini dia diharuskan berbuka kerana tidak berkemampuan berpuasa atau khuatir akan memudaratkan dirinya bukan kerana perjalanan (safar).
Tetapi jika dia singgah di sesuatu tempat bukan dengan niat bermuqîm maka dia diharuskan berbuka, walaupun selepas terbit fajar shâdiq dia keluar untuk meneruskan perjalanannya kerana ia masih dihukumkan sebagai orang musafir.
Wajib Mengqadha Puasa Yang Ditinggalkan
Walaupun orang yang musafir itu diharuskan berbuka puasa semasa dalam pelayaran tetapi dia masih diwajibkan menqadha hari-hari puasa yang di tinggalkan itu tanpa membayar fidyah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)
Sekiranya pelayaran itu menuju negeri yang lambat kelihatan anak bulan Ramadhan yang menyebabkan penduduk negeri tersebut terkemudian menunaikan puasa Ramadhannya daripada negeri asalnya, maka dia dikehendaki berpuasa bersama-sama dengan penduduk negeri itu menurut pendapat yang ashah sekalipun ia telah berpuasa tiga puluh hari penuh.
Begitu juga halnya jika dia membuat pelayaran menuju negeri yang lebih awal kelihatan anak bulan, apabila dia sampai di sana penduduknya telah menyambut Hari Raya, maka ketika itu dia diwajibkan berbuka (berhari raya bersama mereka) dan haram baginya berpuasa. Walaupun bilangan puasanya pada waktu mereka menyambut Hari Raya itu kurang daripada sebulan penuh pada perkiraannya.
Sekiranya jumlah puasanya sebanyak dua puluh lapan hari dia akan berhari raya pada hari yang kedua puluh sembilan mengikut negeri tersebut, tetapi dalam keadaan ini dia dikenakan mengqadha sebanyak sehari untuk mencukupkan sebulan kerana satu bulan itu sekurang-kurangnya adalah sebanyak dua puluh sembilan hari. Berlainan pula halnya jika dia sudah berpuasa sebanyak dua puluh sembilan hari maka dia tidak perlu mengqadha kerana bilangan dua puluh sembilan hari itu adalah bilangan sebulan yang paling minima. (Mughni Al-Muhtâj: 1/422-423)
Hukum Menahan Diri (Imsâk)Bagi Orang Musafir
Jika dia sampai ke negeri tempat dia hendak bermuqîm dalam keadaan dia berbuka atau tidak berpuasa maka adalah disunatkan ke atasnya imsâk iaitu menahan diri bagi menghormati waktu. Imsâk itu tidak wajib ke atasnya kerana dia berbuka atas sebab keuzuran syar‘i iaitu musafir. Walau bagaimanapun dalam mazhab Hanafi pula mewajibkan imsâk ke atasnya.
Walaupun imsâk itu hanya sunat ke atasnya tetapi jika dia makan sesuatu hendaklah bukan di khalayak orang ramai yang tidak mengetahui keuzuran itu kerana ditakuti akan menimbulkan tohmahan dan hukuman.
Jika orang yang musafir itu sampai ke tempat yang ditujunya dalam keadaan dia berpuasa maka dia mesti menyempurnakan puasanya itu. (Kitab Al-Majmû‘: 6/267 dan I‘ânah Ath-Thâlibîn: 2/269)
Waktu Berbuka Dalam Perjalanan
Menurut hukum syara‘ waktu berbuka puasa itu ialah apabila tenggelam matahari (waktu Maghrib). Soalnya bagaimana halnya jika pelayaran menggunakan kapal terbang yang pada kebisaannya matahari akan masih lagi wujud pada penglihatan penumpang walaupun ia sudah hilang (tenggelam) bagi mereka yang berada di bumi?
Dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menjelaskan:
Tafsirnya: Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam (Maghrib). (Surah Al-Baqarah: 187)
Sementara itu hadis Baginda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abu Aufa Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika matahari telah terbenam Baginda bersabda: “Hai Fulan! Turunlah, dan siapkan makanan kita!” Jawab orang itu: “Hari masih siang, ya Rasullullah!” Sabda Rasulullah: “Turunlah dan siapkan makanan kita!” Kata Abdullah: “Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam, dan Baginda langsung minum. Kemudian Baginda bersabda sambil menunjuk dengan tangannya: “Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka.” (Hadis Muttafaq ‘alaihi)
Maka berpandukan ayat Al-Qur’an dan hadis di atas, jika seseorang itu berpuasa lalu belayar dengan menaiki kapal terbang dan dia sedang berada di udara, waktu berbukanya ialah apabila matahari itu hilang daripada penglihatannya. Tidak sah puasanya jika dia berbuka selagi matahari ternampak olehnya walaupun negeri dari tempat dia memulakan perjalanan itu sudah tiba saatnya untuk berbuka.
Sebagaimana yang berlaku bagi mereka yang menuju ke arah Timur, maka waktu siangnya adalah pendek berbanding dengan mereka yang menuju ke arah Barat waktu siangnya adalah panjang. Oleh yang demikian apa yang diambil kira sekarang bagi orang yang berpuasa itu ialah dengan terbenamnya matahari daripada penglihatannya, walau di mana dia berada ketika itu dan bukan dikira dengan waktu tempatan yang dilaluinya atau waktu negerinya sendiri yang ditinggalkannya.
Sekiranya puasa sepanjang hari itu menyusahkannya, maka baginya terdapat kelonggaran yang mengharuskannya berbuka, sebaliknya jika tidak menyusahkan dan dia dapat menyempurnakan puasanya itu, maka yang afdhal baginya ialah menerus dan menyempurnakan puasanya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9316
دليل الألوان
