Bertudung:Fesyen Lawan Syariat
الجواب
Menutup aurat merupakan kewajipan utama setiap orang Islam. Bagi kaum wanita, wajib ke atas mereka menutup seluruh badan mereka selain muka dan dua pergelangan tangan apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram.
Ini bermakna bahagian kepala wanita termasuk rambut dan telinga adalah wajib ditutup. Antara cara yang digunakan untuk menutup aurat di bahagian tersebut adalah dengan memakai tutup kepala yang lebih dikenali sebagai tudung di kalangan masyarakat kita.
Tidak dinafikan, kebanyakan wanita di negara kita sekarang menunjukkan kesedaran mereka dalam menutup aurat. Kecenderungan mereka untuk memakai pakaian menutup aurat kini didukung pula oleh kemajuan dunia fesyen yang menyajikan pelbagai jenis busana Muslimah dan tudung yang nampaknya seperti cendawan tumbuh di pasaran.
Ada yang murah dan ada yang mahal, ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang tebal dan ada yang nipis, ada yang polos dan ada yang berwarna-warni, bercorak, berkerawang, berlabuci, beropol dan sebagainya.
Tidak kurang juga cara atau gaya pemakaian tudung, terdapat bermacam fesyen yang boleh kita lihat. Ada yang dilipat, ada yang dililit, ada yang dimasukkan sahaja, ada yang berlapis-lapis dan ada pula yang hanya diletak di atas kepala dan disidai pada bahu, boleh turun boleh naik dengan sekelip mata. Semua ini tergantung kepada citarasa si pemakai.
Terdapat fesyen atau cara bertudung yang tidak menepati maksud sebenar menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘. Sebahagian wanita kadang-kadang tersilap dalam memilih cara seorang Muslimah dengan memakai tudung mengikut arus moden atau up-to-date. Pada hakikatnya mereka masih belum menepati gaya sebenar yang dituntut dalam menutup aurat. Ini mungkin disebabkan mereka kurang memahami konsep sebenar pemakaian tudung dalam Islam kerana lebih mengutamakan fesyen.
Maka ruangan Irsyad Hukum pada kali ini akan menjelaskan cara yang patut diikuti dalam pemakaian tudung supaya kesilapan mengenainya tidak berterusan dilakukan oleh orang Islam, khususnya para wanita Islam.
Pensyariatan Memakai Tudung
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Menurut Imam al-Qurthubi, ayat di atas diturunkan sebagai panduan dan teguran kepada wanita-wanita Islam dahulu yang menutup kepala mereka dengan khimar atau tudung dengan melabuhkannya ke belakang sehingga menyebabkan bahagian dada terbuka, leher dan telinga juga kelihatan.
Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan kewajipan yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas setiap wanita Islam untuk membezakannya daripada sifat dan perbuatan wanita jahiliah yang bertudung tetapi masih mendedahkan dada, leher, telinga dan rambut.
Lantaran turunnya ayat tersebut, para wanita Muhajirin yang awal terus mematuhi apa yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan memakai tudung yang labuh melimpasi dada dan menutupi seluruh anggota aurat mereka sebagaimana yang dikhabarkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merahmati wanita-wanita Muhajirin yang awal kerana apabila Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menurunkan ayat yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”, lantas mereka segera mengoyakkan pakaian (kain) bulu mereka dan mereka menutup kepala dengannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum Memakai Tudung
Menutup kepala bagi wanita Islam apabila di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib. Ini bererti, tidak boleh tidak, seorang wanita Islam wajib memakai tudung apabila berada di khalayak ramai atau di hadapan lelaki asing.
Pada dasarnya, wanita yang memakai tudung itu akan mendapat pahala kerana telah menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. Sekalipun demikian kita perlu mengetahui ciri-ciri dan cara memakai tudung yang menepati kehendak hukum syara‘.
Ciri-Ciri Dan Cara Pemakaian Tudung Menurut Syara‘
Agama Islam telah menggariskan ciri-ciri tudung dan cara pemakaian tudung yang perlu diikuti. Antaranya adalah seperti berikut:
1. Memakai tudung labuh yang menutupi aurat di bahagian kepala sehingga ke bahagian dada.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Berdasarkan ayat di atas, wajib ke atas wanita Islam memakai tudung yang menutupi seluruh kepala dengan melabuhkannya sehingga ke dada kecuali kawasan muka. Ini termasuk menutupi seluruh rambut, kedua cuping telinga, tengkuk dan leher.
Belahan baju itu letaknya di kawasan leher dan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian leher dan dada.
Ini bererti tidak memadai memakai tudung itu jika masih nampak rambut, leher, tengkuk, telinga dan bahagian dada.
2. Memakai tudung yang diperbuat daripada material tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan.
Maksud tudung yang tebal ialah tudung tersebut tidak jarang, tidak nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:
Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)... (Hadits riwayat Muslim)
Ulama dalam mensyarahkan hadits ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bertelanjang itu ialah wanitaِ yang berpakaian nipis yang masih menampakkan warna kulit dan berpakaian menutupi sebahagian anggota aurat dan membuka sebahagiannya lagi.
Oleh itu ketahuilah bahawa memakai tudung nipis atau jarang itu tidak menepati kehendak sebenar cara bertudung untuk menutup aurat kerana ia masih menampakkan warna kulit. Selain itu, tudung yang terlalu nipis dan ringan juga mudah tersingkap apabila ditiup oleh angin dan menyebabkan aurat terbuka.
Selain itu, terdapat juga telekung yang diperbuat daripada material nipis dan jarang serta mempunyai kerawang yang besar dan banyak. Telekung sebegini boleh menyebabkan sembahyang tidak sah kerana syarat menutup aurat masih tidak terlaksana dengan sempurna.
3. Tidak memakai cemara atau sanggul yang tinggi.
Terdapat segelintir wanita yang bertudung dengan memakai sanggul palsu. Tujuannya agar kelihatan lebih cantik berbanding tidak memakainya.
Perlu diketahui bahawa memakai sanggul yang terlalu menonjol merupakan antara perkara yang dilarang melakukannya. Larangan tersebut sangat keras sehingga dinyatkan bahawa seorang wanita yang melakukannnya tidak akan masuk syurga hatta tidak dapat menghidu bau syurga. Padahal bau syurga itu boleh dihidu dari jarak yang sangat jauh. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyatakan perkara tersebut dalam sabda Baginda:
Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh). (Hadits riwayat Muslim)
Memakai cemara itu termasuk memakai rambut tambahan, sama ada daripada rambut lain atau bukan daripada rambut seperti nilon atau lain-lain yang digunakan untuk membesarkan sanggul.
Selain larangan memakai cemara, menyambung rambut juga termasuk perkara yang dilarang meskipun lengkap memakai tudung. Memakai rambut tambahan atau menyambung rambut dihukumkan haram bagi perempuan dan juga lelaki.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melaknat orang yang memakai rambut tambahan sekalipun orang itu adalah perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin. Hukum tersebut adalah berdasarkan kepada hadits shahîh, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Seorang perempuan telah datang (bertanya) kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, katanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak saya yang akan melangsungkan perkahwinan telah terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur, apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Para ashhâb (ulama-ulama asy-Syafi‘e) dalam menghuraikan hadits di atas mengatakan bahawa tiada perbezaan pendapat ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.
Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ia najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan haram juga disambung dengannya.
4. Tudung tidak mengandungi gambar atau lukisan objek yang bernyawa atau lambang yang diharamkan
Islam melarang menggunakan kain, selimut atau langsir yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia atau haiwan.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya:ِ Sewaktu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku, tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap. Lalu Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) maka aku pun menanggalkannya (dari pintu itu). (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, menggunakan tudung yang terdapat padanya gambar manusia atau binatang juga adalah dilarang.
Orang Islam juga dilarang memakai tudung yang memaparkan gambar-gambar seperti imej atau tulisan jenama tertentu seperti jenama minuman keras atau memaparkan lambang-lambang agama lain. Sebagai contoh, haram memakai tudung yang memaparkan lambang salib. Salib termasuk simbol atau lambang yang dipakai khas bagi orang Nashrani.
Larangan tersebut adalah untuk mengelakkan diri kita daripada terlibat dalam mempromosi imej dan jenama-jenama berkenaan dan menghindari diri kita daripada menyerupai orang-orang bukan Islam kerana memakai lambang-lambang tersebut. Larangan ini disebut dengan jelas oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam al-Munawi dan al-‘Alqami Rahimahullâhu Ta‘âlâ sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abu Daud, maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu kaum itu ialah berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.
Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu adalah juga dalam berpakaian. Ini bermakna, tasyabbuh dalam pemakaian tudung juga merupakan larangan.
Sementara memakai tudung yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan seumpamanya adalah tidak mengapa dan harus.
5. Tidak melampau atau berlebih-lebihan.
Perbuatan berlebih-lebihan boleh sahaja mengubah fungsi tudung yang pada asalnya digunakan untuk menutup aurat kepada perhiasan untuk mencantikkan diri dan menjadi tarikan kepada orang yang melihatnya.
Selain itu, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuk bertudung kadang-kadang akan menimbulkan perkara-perkara negatif yang dilarang orang Islam melakukannya antaranya membazir.
Pembaziran boleh berlaku jika seseorang itu berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung. Sikap berlebih-lebihan ini didorong oleh nafsu keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik atau keinginan untuk bermegah dan menunjuk-nunjuk. Seseorang sanggup membeli tudung dan aksesori tudung yang terlalu mahal dan terlalu banyak sehingga melebihi had yang sepatutnya demi memastikan penampilannya kelihatan menarik dan sentiasa mengikut trend terkini.
Umat Islam sangat dilarang daripada melakukan perbuatan membazir dan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (Surah al-Isrâ’: 26)
Daripada penjelasan ini, sayugia disarankan khususnya kepada setiap wanita Islam untuk mengetahui, memahami dan seterusnya mengikuti konsep bertudung yang dikehendaki oleh syara‘.
Wanita Islam perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dan tudung memandangkan terdapat juga fesyen yang pada zahirnya nampak Islamik tetapi sebenarnya tidak menepati kehendak syara‘ dan maksud menutup aurat.
Begitu juga jangan memakai tudung tetapi dalam masa yang sama mengenakan pakaian sendat, baju lengan pendek, kain berbelah, seluar yang masih juga menampakkan bahagian aurat atau yang seumpamanya. Cara sedemikian ini masih sahaja tidak menepati hukum menutup aurat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9332
دليل الألوان
