Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث٠ مشاهدة

Bolehkah Berwasiat Kepada Ahli Waris?

الجواب

Wasiat bermaksud pemberian suatu hak kepada seseorang selepas berlakunya kematian pewasiat. Antara dalil yang menyatakan tentang pensyari‘atan wasiat itu ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Pembahagian itu dibuat) setelah dilaksanakan terlebih dahulu wasiat yang diwasiatkan oleh si mati atau setelah dibayar segala hutangnya. (Surah an-Nisâ’: 11)

Sementara itu di dalam hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam disebutkan satu riwayat daripada Sa‘d bin Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Wahai Rasullullah, aku telah ditimpa sakit sedangkan aku mempunyai harta, apakah pandanganmu kerana tiada seorang pun yang akan mewarisi harta itu melainkan anak perempuanku seorang, adakah boleh aku menyedekahkan dua pertiga daripada hartaku itu? Baginda bersabda: “Tidak”. Kemudian aku bertanya lagi: “Bagaimana jika aku sedekahkan separuh daripada hartaku?”Baginda bersabda lagi: “Tidak”. Akupun berkata lagi: “Apakah boleh satu pertiga?” Baginda bersabda: “Satu pertiga adalah banyak, sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka (ahli warismu) dalam keadaan miskin meminta-minta kepada orang ramai.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Wasiat

Pada permulaan Islam, mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan kaum kerabat hukumnya adalah wajib. Ini adalah berdasarkan dalil daripada al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu hampir mati, sekiranya ada meninggalkan harta, berwasiat untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 180)

Akan tetapi hukum wajib mewasiatkan harta itu dimansukhkan setelah diturunkan ayat-ayat pusaka. Maka hukum mewasiatkan harta menjadi sunat dengan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan yang diberikan kepada selain ahli waris.

Berwasiat harta kepada bukan daripada kalangan ahli waris, sama ada ahli waris dalam keadaan kaya ataupun fakir disunatkan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan, malah lebih baik jika kurang daripada kadar satu pertiga itu kerana kadar satu pertiga itupun dikira banyak.

Wasiat itu adalah lebih utama didahulukan pemberiannya kepada kaum kerabat yang bukan daripada kalangan ahli waris. Oleh itu didahulukan mahram kemudian yang bukan mahram. Seterusnya diikuti keluarga sesusuan, kemudian keluarga kerana perkahwinan seperti suami kepada saudara perempuan (ipar) atau suami kepada anak perempuan (menantu), selepas itu diikuti dengan jiran-jiran dan orang yang memerlukan.

Bagaimana pula jika wasiat kepada selain ahli waris itu melebihi daripada satu pertiga?

Jika wasiat itu melebihi daripada jumlah satu pertiga, dan ahli waris yang berhak menerima harta waris tidak bersetuju dengan wasiat itu, maka batallah kadar tambahan itu menurut apa yang disepakati oleh para ulama. Disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Jika wasiat melebihi satu pertiga dan ahli waris tertentu yang mempunyai kuasa untuk mengurus harta membantah lebihan itu, maka batallah wasiat pada kadar yang berlebihan itu secara ijmâ‘ kerana (bahagian tambahan itu adalah) haknya (waris). (Kitab Tuhfah al-Muhtâj)

Berlainan halnya jika ahli waris itu bersetuju. Jika mereka bersetuju dengan lebihan daripada satu pertiga itu maka sahlah wasiat tersebut.

Wasiat Kepada Ahli Waris

Sebagaimana yang dijelaskan, wasiat itu adalah diberikan kepada bukan ahli waris. Akan tetapi jika wasiat itu diberikan juga kepada ahli waris maka hukumnya adalah harus, dengan syarat ahli waris yang lain bersetuju dengan wasiat tersebut. Dengan persetujuan mereka itu maka wasiat kepada ahli waris itu dikira sah. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Tidak harus memberikan wasiat kepada ahli waris melainkan dipersetujui oleh ahli waris yang lain. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)

Dalam keadaan hanya terdapat seorang sahaja ahli waris atau dikira sebagai pewaris tunggal, jika si mati berwasiat kepadanya, maka dalam hal ini wasiat itu tidak sah. Ini kerana sebagai pewaris tunggal sememangnya akan mendapat bahagian yang besar dalam pembahagian harta pusaka. Oleh sebab itu tidak sah untuk dia diberi wasiat. Namun jika ada lagi ahli waris lain yang juga berhak menerima harta pusaka maka wasiat itu dikira sah asalkan ada persetujuan ahli waris yang lainnya.

Perkara ini ada disebutkan dalam kitab Asnâ al-Mathâlib: “Wasiat kepada ahli waris jika tidak ada ahli waris yang lain melainkan orang yang diwasiatkan seorang sahaja walau bukan dengan kadar satu pertiga adalah batal (tidak sah). Namun jika ada ahli waris yang lain (selain orang yang diwasiatkan itu), maka ia tertakluk kepada persetujuan daripada ahli waris yang lain.”

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang itu masing-masing akan haknya, maka tidak ada wasiat untuk ahli waris. (Hadits riwayat Abu Daud)

Untuk lebih jelas dibawakan contoh persetujuan ahli waris dalam memberikan wasiat kepada ahli waris yang lain. Apabila dilihat kepada senarai ahli waris, tidak semua ahli waris akan mendapat bahagian daripada harta pusaka. Maka persetujuan adalah diambil kira daripada ahli waris yang berhak menerima harta pusaka dan mendapat bahagian dalam farâ’idh dan bukanlah daripada ahli waris yang tidak berhak menerima harta pusaka itu.

Secara umumnya ahli waris itu terdiri daripada pewaris lelaki dan pewaris perempuan.

Ahli waris daripada kalangan lelaki yang boleh mewarisi harta melalui keturunan, perkahwinan dan persaudaraan itu ialah:

1. Anak lelaki (al-ibn). 2. Anak lelaki kepada anak lelaki (ibn al-ibn) dan ke bawah. 3. Bapa (al-ab). 4. Datuk (al-jadd) iaitu bapa kepada bapa dan ke atas. 5. Adik-beradik lelaki (al-akh) seibu sebapa, sebapa atau seibu. 6. Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki seibu sebapa (ibn al-akh asy-syaqîq) dan anak lelaki kepada adik-beradik lelaki sebapa (ibn al-akh min al-ab).

7. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (al-‘amm asy-shaqîq) dan sebapa (al-‘amm min al-ab). 8. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa (ibn al-‘amm min al-ab). 9. Suami (az-zauj). 10. Orang yang memerdekakan hamba.

Manakala ahli waris daripada kalangan perempuan yang boleh mewarisi harta melalui keturunan, perkahwinan dan persaudaraan itu pula ialah:

1. Anak perempuan (al-bint). 2. Anak perempuan kepada anak lelaki (bint al-ibn) dan ke bawah. 3. Ibu (al-umm). 4. Nenek iaitu ibu kepada ibu sebelah ibu atau bapa (al-jaddah min al-umm au al-ab) dan ke atas. 5. Adik-beradik perempuan (al-ukht) daripada mana-mana kedudukan, sama ada seibu sebapa (asy-syaqîq) atau sebapa (lil-ab) atau seibu (lil-umm). 6. Isteri atau isteri-isteri (az-zaujah). 7. Wanita yang memerdekakan hamba.

Jika kesemua ahli waris lelaki dan perempuan ini masih hidup ketika kematian si mati, maka hanya lima golongan sahaja yang boleh mewarisi harta sementara yang lain terhalang. Mereka yang berhak itu ialah anak lelaki (al-ibn), anak perempuan (al-bint), bapa (al-ab), ibu (al-umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri.

Maka apabila hendak berwasiat kepada salah seorang daripada lima golongan yang berhak mendapat harta seperti anak lelaki (al-ibn), maka persetujuan ahli waris yang lain seperti anak perempuan (al-bint), bapa (al-ab), ibu (al-umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri adalah diperlukan untuk menjadikan wasiat itu dikira sah. Sebaliknya jika mereka semua tidak bersetuju maka wasiat itu dikira tidak sah.

Manakala jika sebahagian ahli waris bersetuju dan sebahagian yang lain pula membantah, maka wasiat itu dibatalkan daripada bahagian waris yang membantah tetapi boleh dilaksanakan pada bahagian waris yang bersetuju mengikut kadar bahagian dalam pusaka.

Sebagai contoh lima golongan yang berhak mendapat harta pusaka yang disebutkan sebelum ini, jika si mati berwasiat kepada anak lelaki (al-ibn), kemudian dibantah oleh anak perempuan (al-bint) dan dipersetujui oleh bapa (al-ab), ibu (al-umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri, maka sebelum melaksanakan wasiat kepada anak lelaki itu hendaklah bahagian anak perempuan yang tidak bersetuju itu diberikan terlebih dahulu sepertimana yang ditentukan dalam farâ’idh, kemudian barulah wasiat kepada anak lelaki itu dikira dan diambil daripada bahagian golongan yang bersetuju mengikut kadar yang ditentukan dan seterusnya pembahagian hak mereka masing-masing mengikut kiraan farâ’idh.

Setelah ahli waris yang lain bersetuju dengan wasiat yang ditentukan kepada salah seorang ahli waris itu, maka mereka tidak lagi dapat menarik balik persetujuan mereka walaupun orang yang diwasiatkan belum menerima wasiat yang diberikan kepadanya. Ini kerana persetujuan awal mereka itu sudah memadai untuk dilaksanakan wasiat tersebut bukannya bermula sebaik penyerahan daripada waris.

Berlainan halnya bagi si pewasiat yang ingin menarik balik wasiatnya, kerana dia boleh menarik balik wasiat yang diucapkannya seperti dengan berkata: “Aku batalkan wasiatku.”

Sebagai kesimpulan, hukum berwasiat kepada ahli waris adalah harus dengan adanya persetujuan ahli waris yang lain. Walaupun ada antara ahli waris lain tidak bersetuju, maka wasiat itu dibatalkan daripada bahagian waris yang membantah tetapi dilaksanakan pada bahagian waris yang bersetuju dengan kadar pembahagian mengikut farâ’idh. Namun keharusan berwasiat kepada ahli waris itu tidaklah termasuk ahli waris tunggal kerana berwasiat kepada ahli waris tunggal adalah tidak sah.

Begitu juga ahli waris yang bersetuju dengan pembahagian wasiat kepada ahli waris yang lain itu tidak lagi dapat menarik balik persetujuannya itu walaupun orang yang diwasiatkan itu belum menerima harta yang diwasiatkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9340

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص