Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Cincin Suasa Bolehkah Dipakai Oleh Lelaki

الجواب

Orang lelaki sunat memakai cincin daripada perak kerana Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah memakainya berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Selain cincin daripada perak ini dipakai orang lelaki, cincin emas suasa juga masih menjadi kegemaran sebahagian yang lain. Persoalannya bolehkah orang lelaki memakai cincin suasa ini?

Ramai orang lelaki beranggapan bahawa memakai cincin suasa tidak haram, kerana cincin suasa ini tidak lagi dianggap seperti cincin emas tulin sebagaimana yang diharamkan.

Perlu diingat bahawa cincin emas itu haram dipakai oleh orang lelaki, sama ada emas yang ada pada cincin itu sedikit ataupun banyak. Tidak kira sama ada melalui proses penyalutan (plating) seperti cincin gold plated dan proses pengaloian bahan emas bersama bahan yang lain seperti cincin suasa. Pengharaman ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melarang aku daripada memakai cincin emas.

Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengibaratkan seseorang yang memakai cincin emas itu seperti meletakkan bara api neraka ke tangannya sendiri sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda mencabut dan melontarkannya sambil bersabda:

Maksudnya: (Adakah) seseorang daripada kamu sengaja (mahu) mengambil bara api dari neraka lalu meletakkannya (api itu) di tangannya?

Nash pengharaman emas bagi orang lelaki sama ada sedikit ataupun banyak disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Ulama dalam mazhab kita (mazhab Syafi‘e) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syiradzi Rahimahullâh). Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun sebentuk cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan secara sepakat para ulama. (Kitab al-Majmû‘: 1/383)

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj Ismail bin Omar Abdul Aziz menyebutkan dalam fatwa beliau: “Haram atas lelaki memakai barang-barang kemas daripada emas suasa kerana emas suasa itu suatu logam yang terjadi daripada emas dan suasa.”

Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangan padanya, tetapi warna kuning itu tidak sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyalâ’ (rasa sombong atau bermegah-megah) pada memakai suasa seperti ada khuyalâ’ pada memakai emas.”

Dari itu jelaslah bahawa cincin emas suasa adalah haram dipakai oleh orang lelaki kerana terdapat padanya emas walaupun sedikit.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9348

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص