Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Janji Dan Kedudukan Lafaz ‘Insya’ Allah’

الجواب

Islam adalah agama yang cukup prihatin terhadap budi pekerti dan tingkah laku umatnya. Kebaikan dan kecantikan tingkah laku yang diamalkan oleh umat Islam, bukan sahaja boleh menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan aman dan damai, malah menjadi model atau contoh yang baik kepada penganut agama lain. Keindahan yang wujud dalam Islam dari berbagai aspek itu, telah mendorong ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

Dari aspek hubungan sesama manusia umpamanya, Allah menjelaskan di dalam Al- Qur’an bagaimana menjaga kesejahteraan masyarakat dan individu termasuk menjaga pertalian antara satu sama lain. Demi menjaga kesejahteraan, maka membuat sebarang janji hendaklah ditepati. Menepati janji itu adalah tuntutan syara‘, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Surah Al-Isrâ’: 34)

Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji. Oleh kerana itu, janganlah kita mudah membuat janji, lebih-lebih lagi jika janji itu dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi.

Pendidikan memenuhi janji itu boleh kita dapati daripada amalan-amalan berbagai ibadat yang kita lakukan, umpamanya sembahyang yang kita tunaikan dalam waktunya. Lebih-lebih lagi jika dilakukan di awal waktunya adalah suatu janji. Ini janji kita dengan Allah. Kalau kita telah biasa memenuhi janji dengan Allah, nescaya kita boleh mendisiplinkan diri meneguhi janji dengan sesama manusia, kerana setiap perjanjian itu akan ditanya dan dipertanggungjawabkan.

Kekuatan kita antara lain diasaskan dengan berpegang teguh dengan tali Allah dan tali manusia. Tali dengan sesama manusia itu janji. Oleh kerana itu melepaskan ikatan daripada kedua-dua tali ini, akibatnya akan ditimpakan kehinaan di mana saja kita berada. Inilah peringatan Allah di dalam firmanNya:

Tafsirnya: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah). (Surah Âli ‘Imran: 112)

Bahkan antara sifat mengerjakan kebajikan itu ialah orang- orang yang menyempurnakan janjinya apabila berjanji dan mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa. Sifat ini adalah urutan daripada sifat al-birr (kebajikan) di mana sebelumnya disebut perkara kebajikan itu hanya menghadapkan muka kamu ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, Hari Akhirat, segala malaikat, segala kitab-kitab, sekalian nabi-nabi: dan mendermanya seseorang akan hartanya (sedang ia menyayanginya) kepada keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang yang meminta (bantuan) dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjakan seseorang akan sembahyang dan mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabîl. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 177)

Ini bererti bahawa orang Islam mestilah menyempurnakan janji-janjinya. Sebaliknya mungkir janji atau sengaja tidak mahu menyempurnakan janjinya, orang sedemikian tergolong dalam golongan orang-orang munâfiq. Hal orang munâfiq ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Dari tanda-tanda orang munâfiq itu ada tiga iaitu jika dia bercakap dia berbohong dan jika dia berjanji dia mengingkari janji dan jika diamanahkan dia khianat. (Hadis riwayat Muslim)

Munâfiq juga adalah satu sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subahnahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapapun yang boleh menolong mereka.

(Surah An-Nisâ’: 145)

Demikian, keburukan orang-orang yang sengaja mungkir janji sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun, orang yang berjanji dan dia berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh suatu keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu disempurnakan, maka tidaklah dia termasuk dalam golongan munâfiq itu.

Adab-Adab Berjanji

Sebagai agama yang syumûl (menyeluruh), Islam telah mengaturkan bagi umatnya adab-adab dalam berjanji. Antara adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mngucapkan lafaz ‘insyâ’ Allah” apabila berjanji. Suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, besok pagi” melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata) “Insya Allah” (jika dikehendaki Allah)”. (Surah Al-Kahf: 23-24)

Ayat yang disebutkan di atas turun ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya oleh orang Quraisy tentang roh, Ashhâb Al-Kahf dan Dzu Al-Qarnain. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjanji akan menjawabnya pada keesokan harinya (dengan janji secara pasti) dan mengharapkan Malaikat Jibril akan datang membawa wahyu. Walau bagaimanapun, Jibril tidak datang sehingga lima belas hari lamanya. Kekesalan Baginda menantikan sehingga lima belas hari itu dapatlah difahami sebagai pengajaran supaya tidak mengikat janji secara pasti, tetapi hendaklah mengatakan ‘insyâ’ Allah’, kerana kekuasaan yang tertinggi adalah di tangan Allah. Hal tersebut memberatkan Rasulullah dan menyebabkan Baginda dituduh sebagai pembohong oleh orang-orang Quraisy. (Al-Qurthubi: 10/385, Ar- Râzi: 21/92)

Maka Allah Ta‘ala dengan jelas menurunkan ayat ini sebagai petunjuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan umatnya supaya menyerahkan segala perkara kepada Allah, terutama apabila hendak melakukan sesuatu pada masa yang akan datang, dengan disertakan perkataan ‘insyâ’ Allah’ (jika dikehendaki Allah). Kerana Allah jualah yang mengetahui apa yang akan berlaku selepas itu dan Dialah yang berkuasa mengizinkan atau menghalangnya.

Sehubungan dengan itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil dengan penuh perhatian mengenainya sehingga suruhan melakukan sesuatu dengan menyatakan pengakuan ‘insyâ’ Allah’ itu ditekankan oleh Baginda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Nabi Sulaiman bin Daud ‘Alaihimassalam berkata: “Demi sesungguhnya, aku akan mendatangi pada malam ini semua isteri-isteriku seramai seratus orang di mana masing-masing daripada mereka itu akan melahirkan seorang anak laki-laki yang menyertai jihâd di jalan Allah”. Lalu malaikat berkata kepadanya: “Katakanlah: “Insyâ’ Allah”, namun Sulaiman tidak mengatakannya kerana lupa, lalu dia mendatangi isteri-isterinya dan tidaklah lahir daripada mereka kecuali salah seorang isterinya yang melahirkan separuh manusia. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Andainya dia berkata: “Insya Allah”, tentulah dia tidak melanggar sumpahnya dan itu akan lebih mendatangkan harapan bagi hajatnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini memberi pengajaran kepada kita bahawa dengan menyertakan perkataan ‘insyâ’ Allah’ ketika berjanji itu boleh menyelamatkan orang yang berjanji daripada termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memungkiri atau mengingkari janji.

Soalnya apakah ucapan ‘insyâ’ Allah’ itu dii‘tibârkan sebagai janji yang mesti dipenuhi mengikut hukum syara‘?

Kebiasaan sebahagian orang didapati apabila membuat janji akan mengatakan ‘insyâ’ Allah’ dengan tujuan tidak memberati apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain lafaz ‘insyâ’ Allah’ itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji tersebut. Sifat sedemikian adalah bertentangan dengan kehendak sebenar hukum syara‘.

Perlu difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, manakala ucapan ‘insyâ’ Allah’ itu adalah suruhan Allah dan RasulNya ketika berjanji, sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sahallallahu ‘alaihi wasallam. Maka di sini ada dua perkara yang berasingan dan saling berhubung kait di antara satu sama lain iaitu, kewajipan menunaikan janji dan suruhan ucapan dengan lafaz ‘insyâ’ Allah’ ketika melakukan janji.

Ini bererti ucapan ‘insyâ’ Allah’ itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Bahkan perkataan ‘insyâ’ Allah’ itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munâfiq.

Walau bagaimanapun menyebut perkataan ‘insyâ’ Allah’ dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah jua. Al-Qur’an juga mengajar umatnya apabila terlupa menyebut lafaz ‘insyâ’ Allah’ ketika itu hendaklah kita menyebutnya sebaik-baik sahaja teringat. Hal ini diperintahkan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan ingatlah serta sebutkanlah akan Tuhanmu jika engkau lupa. (Surah Al-Kahf: 24)

Daripada apa yang telah dijelaskan di atas dapat diambil pengajaran bahawa menyebut lafaz ‘insyâ’ Allah’ di samping usaha menyempurnakan mana-mana janji itu adalah suatu tuntutan agama Islam. Dengan melakukannya kita terhindar daripada sifat-sifat orang munâfiq.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9388

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص