Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Tertinggal Rukun Tertib Antara Rukun SembahyangBagi Orang Yang Sembahyang Secara Munfarid

الجواب

Tertib melakukan rukun-rukun sembahyang termasuk dalam rukun sembahyang. Meninggalkannya dengan sengaja akan mengakibatkan sembahyang seseorang menjadi batal seperti sengaja meninggalkan perbuatan ruku‘ atau meninggalkan perbuatan sujud atau meninggalkan perbuatan berdiri. Jika seseorang itu tidak sengaja meninggalkan tertib, namun apabila tersedar dia tetap saja meneruskan sembahyangnya, maka batal sembahyangnya.

Rukun-rukun sembahyang ada tiga belas perkara dan terbahagi kepada tiga bahagian iatu rukun qalbi (hati), rukun qauli (perkataan) dan rukun fi‘li (perbuatan). Tiga belas rukun ini hendaklah dilakukan dengan tertib sebagaimana berikut:

1. Niat (rukun qalbi). 2. Takbîratul-ihrâm (rukun qauli). 3. Berdiri (rukun fi‘li). 4. Membaca al-Fâtihah (rukun qauli). 5. Ruku‘ dengan thuma’ninah (rukun fi‘li). 6. I‘tidâl dengan thuma’ninah (rukun fi‘li). 7. Sujud dengan thuma’ninah (rukun fi‘li). 8. Duduk di antara dua sujud dengan thuma’ninah (rukun fi‘li). 9. Duduk yang diikuti oleh salam (rukun fi‘li). 10. Tasyahhud (rukun qauli). 11. Selawat (rukun qauli). 12. Salam yang pertama (rukun qauli). 13. Tertib (rukun fi‘li).

Mendahulukan Rukun dari Rukun yang Lain

Jika seseorang mendahulukan rukun fi‘li seperti melakukan sujud sebelum ruku‘ atau melakukan ruku‘ sebelum membaca surah al-Fâtihah dengan sengaja, maka sembahyangnya itu batal kerana dia mempermain-mainkan rukun sembahyang.

Jika seseorang itu pula mendahulukan rukun qauli selain salam seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud terakhir, sembahyangnya itu tidak batal namun bacaannya itu tidak dikira kerana dia membaca bukan pada tempat yang sepatutnya dan hendaklah dia mengulang semula bacaan tasyahhud yang didahulukannya itu pada tempatnya.

Begitu juga jika dia mendahulukan rukun qauli daripada rukun qauli yang lain seperti mendahulukan selawat sebelum membaca tasyahhud, tidak batal sembahyangnya tapi hendaklah diulang semula bacaan selawatnya itu.

Teringat Rukun yang Tertinggal Sebelum Sampai pada Rukun yang Sama pada Rakaat Berikutnya

Apabila seseorang itu terlupa melakukan rukun sembahyang, kemudian teringat rukun yang tertinggal itu sebelum sampai pada rukun yang sama pada rakaat yang berikutnya, maka hendaklah dia melakukan rukun yang tertinggal itu dengan segera dan segala perbuatan dan bacaan sembahyang yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal itu adalah tidak dikira. Jika dia melambat-lambatkan atau diam walaupun dalam waktu singkat untuk mengingati apa yang tertinggal, maka batal sembahyangnya. Sebagai contoh, seseorang terlupa membaca surah al- Fâtihah dan kemudian teringat ketika dia sedang melakukan ruku‘, maka dia hendaklah berdiri semula dengan segera dan membaca surah al-Fâtihah dan ruku‘ yang dilakukannya sebelum itu tidak dikira. Contoh yang lain pula, seseorang terlupa melakukan ruku‘ dan kemudian teringat ketika dia sedang melakukan sujud, maka dia hendaklah berdiri semula dengan segera dan seterusnya melakukan ruku‘.

Dalam perkara seseorang yang bersembahyang dan merasa ragu adakah dia sudah atau belum melakukan rukun sembahyang juga hendaklah melakukan tindakan sama seperti orang yang terlupa melakukan rukun, namun kemudiannya teringat akan rukun yang tertinggal. Sebagai contoh, seseorang itu merasa ragu ketika sedang ruku‘ adakah dia sudah membaca surah al-Fâtihah atau belum. Maka dalam keadaan ini, dia hendaklah segera bangkit dari ruku‘ dan membaca surah al- Fâtihah. Jika dia menunggu walaupun dalam waktu singkat untuk mengingati apa yang diragukannya, maka batal sembahyangnya. Akan tetapi, jika dia ragu-ragu ketika berdiri sebelum ruku‘, adakah dia telah membaca surah al-Fâtihah atau tidak, maka dalam keadaan ini dia boleh diam seketika untuk mengingati apa yang diragukannya.

Jika dalam keadaan di mana seseorang itu teringat ketika sujud bahawa dia belum melakukan ruku‘ sebelumnya, maka dia hendaklah segera berdiri terlebih dahulu dan seterusnya melakukan ruku‘. Adalah tidak memadai baginya untuk terus melakukan ruku‘ selepas bangkit dari sujud.

Teringat Rukun yang Tertinggal Setelah Sampai pada Rukun yang Sama pada Rakaat Berikutnya

Apabila seseorang tertinggal rukun sembahyang dan teringat atau merasa ragu (adakah dia telah melakukan rukun tersebut atau belum) setelah sampai pada rukun yang sama pada rakaat berikutnya, maka memadailah rukun yang dilakukannya ketika itu menjadi ganti rukun yang tertinggal atau yang diraguinya sama ada dilakukan atau belum. Manakala perbuatan di antara rukun yang tertinggal sehingga rukun yang sama pada rakaat berikutnya (yang mana dia teringat atau diragui) adalah tidak dikira. Selepas itu hendaklah dia meneruskan baki sehingga sempurna rakaat sembahyangnya dan sebelum memberi salam disunatkan pula dia untuk melakukan sujud sahwi.

Sebagai contoh, seseorang yang bersembahyang fardhu ‘Isya’ tertinggal ruku‘ dalam rakaat pertama dan kemudian dia teringat ketika melakukan ruku‘ dalam rakaat kedua, maka ruku‘ pada rakaat kedua itu menjadi ganti ruku‘ yang ditinggalkannya pada rakaat pertama. Dengan yang demikian, sembahyang yang dilakukannya dikira masih pada rakaat pertama, bukan rakaat kedua. Kemudian dia hendaklah melakukan baki sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaat sembahyangnya (iaitu dengan meneruskan rakaat kedua sehingga rakaat keempat). Sebelum salam pula, sunat dia melakukan sujud sahwi.

Teringat Rukun yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam

Apabila seseorang terlupa melakukan rukun sembahyang dan teringat sesudah memberi salam, maka kedudukan ibadat sembahyangnya adalah tertakluk kepada beberapa keadaan berikut:

a. Rukun yang tertinggal adalah niat atau takbîratul-ihrâm.

Jika yang tertinggal itu niat atau takbîratul-ihrâm maka hendaklah dia mengulang semula sembahyangnya. Ini kerana pada asalnya dia dianggap tidak melakukan sembahyang disebabkan meninggalkan niat atau takbîratul-ihrâm, sama ada sengaja ditinggalkannya ataupun tidak, sama ada teringat sebelum atau selepas salam.

b. Rukun yang tertinggal bukan niat atau takbîratul-ihrâm.

Jika rukun yang tertinggal itu bukan niat atau takbîratul-ihrâm dan jarak masa di antara memberi salam dan waktu teringat itu pendek dan dia tidak terkena najis sekalipun dia telah bercakap sedikit ataupun telah membelakangi qiblat, maka dia hendaklah terus melakukan rukun yang tertinggal dan menyempurnakan sembahyangnya.

Sebagai contoh, seseorang yang bersembahyang fardhu ‘Isya’ teringat bahawa dia tertinggal membaca surah al-Fâtihah pada rakaat ketiga sebaik-baik sahaja selesai memberi salam, maka hendaklah dia segera berdiri dan membaca surah al-Fâtihah dan seterusnya menyempurnakan baki rakaat ketiga dan keempat. Sebelum memberi salam disunatkan dia melakukan sujud sahwi.

Adapun dalam menentukan kadar jangka masa panjang atau pendek itu menurut pendapat yang shahîh adalah mengikut ‘urf (adat atau kebiasaan sesuatu tempat) kerana tiada had yang ditentukan syara‘. Maka masa yang dianggap panjang pada sesuatu tempat itu dikira sebagai jangka masa panjang dan masa yang dianggap pendek pula dianggap masa yang pendek.

Disebutkan juga bahawa kadar jangka masa pendek itu adalah seperti apa yang dinukil tentang sembahyang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam daripada kisah Dzul Yadain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengerjakan satu daripada dua sembahyang siang. Menurut Muhammad (Ibnu Sirin): Berkemungkinan besar ia adalah sembahyang fardhu ‘Ashar sebanyak dua rakaat, lalu Baginda memberi salam. Kemudian Baginda pun bangun lantas menuju ke arah sebatang kayu (tiang) yang terletak di muka masjid lalu meletakkan tangan Baginda pada kayu tersebut (bersandar padanya). Antara kalangan para sahabat yang hadir pada ketika itu ialah Abu Bakar dan ‘Umar al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhumâ. Kedua-dua sahabat itu merasa segan untuk bertanyakan (mengenai sembahyang yang dilakukan dua rakaat) kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka jemaah yang berada dalam masjid pun keluar cepat-cepat lalu bertanya: “Adakah sembahyang ‘Ashar itu tadi diqasharkan?” Kemudian seorang sahabat yang digelarkan oleh Rasulullah Shallallâhu alaihi wa sallam sebagai Dzul Yadain berkata: “Adakah Tuan terlupa ataupun sembahyang (‘Ashar tadi) diqasharkan?” Baginda pun menjawab: “Aku tidak terlupa dan sembahyang itu tidak diqasharkan.” Lalu Dzul Yadain berkata lagi: “Sebenarnya, Tuan tadi terlupa”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyambung kembali sembahyangnya sebanyak dua rakaat, lalu memberi salam, kemudian bertakbîr, lalu melakukan sujud sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama daripada itu. Selepas itu Baginda pun bertakbîr kemudian sujud lagi sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama daripada itu. Sesudah itu Baginda mengangkat kepalanya dan bertakbîr. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, dalam semua keadaan di mana seseorang yang tertinggal rukun (kecuali niat dan takbîratul-ihrâm) mestilah meneruskan sembahyang dengan melakukan rukun yang tertinggal dengan segera serta menyempurnakan baki sembahyang tanpa perlu mengulang sembahyangnya dan sunat dia melakukan sujud sahwi. Namun apabila rukun yang tertinggal itu adalah salam, lalu dia teringat (bahawa dia tertinggal salam itu) dalam waktu terdekat dan sebelum dia berpindah dari tempat sembahyangnya, maka dia hanya perlu melakukan salam tanpa perlu melakukan sujud sahwi.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9474

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص