Pertembungan Iqâmah Sembahyang Fardhu DenganSembahyang Seorang Munfarid
الجواب
Salah satu perkara yang biasa dihadapi ketika menghadiri sembahyang berjemaah ialah bilal mendirikan iqâmah ketika seseorang baru masuk masjid atau ketika dia masih menunaikan suatu sembahyang. Sebagai contoh, seseorang yang baru masuk masjid hendak mengerjakan sembahyang tahiyyat masjid, lalu iqâmah bagi mengerjakan sembahyang fardhu dilaungkan atau ketika dia mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Zhuhur, tiba-tiba iqâmah bagi mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur dilaungkan.
Memandangkan laungan iqâmah merupakan satu seruan untuk mendirikan sembahyang berjemaah dan membawa maksud bahawa sembahyang berjemaah hendak didirikan, maka keadaan-keadaan di atas menimbulkan beberapa persoalan. Antaranya, adakah boleh diputuskan sembahyang yang sedang dikerjakan itu serta merta bagi mengikuti jemaah atau perlukah sembahyang itu disempurnakan terlebih dahulu? Begitu juga timbul persoalan adakah boleh memulakan sembahyang sunat dan sebagainya setelah iqâmah sembahyang fardhu dilaungkan?
Hukum Memulakan Sembahyang Lain Setelah Iqâmah Sembahyang Fardhu Dilaungkan
1. Memulakan sembahyang sunat setelah dilaungkan iqâmah bagi sembahyang fardhu. Bagi orang yang menghadiri suatu jemaah sembahyang fardhu, sunat baginya untuk tidak memulakan mana-mana sembahyang sunat setelah iqâmah bagi sembahyang fardhu dilaungkan. Bahkan makruh hukumnya jika dia mengerjakan sembahyang sunat tersebut. Ini bagi membolehkannya memperolehi fadhilat mengangkat takbîratul-ihrâm bersama imam.
Dasar bagi tuntutan ini adalah sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila sembahyang sudah diiqâmahkan, maka tidak ada sembahyang (yang boleh dikerjakan) melainkan sembahyang fardhu. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut para ulama asy-Syafi‘iyyah, makruh juga hukumnya memulakan mana-mana sembahyang sunat ketika iqâmah tidak lama lagi akan dilaungkan.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebutkan dalam Tuhfah al- Muhtâj bahawa selain sembahyang sunat, memulakan thawaf juga makruh setelah iqâmah dilaungkan.
Berlainan halnya dengan iqâmah sembahyang fardhu Jumaat. Menurut Imam al-Bujairami Rahimahullâh, apabila iqâmah bagi menunaikan sembahyang fardhu Jumaat sudah dilaungkan, maka orang yang menghadiri sembahyang fardhu Jumaat diharamkan untuk memulakan mana-mana sembahyang sunat sekiranya dengan mengerjakan sembahyang sunat itu dia boleh terlepas mengerjakan ruku‘ bagi rakaat kedua sembahyang fardhu Jumaat bersama imam.
2. Memulakan sembahyang fardhu secara bersendirian setelah iqâmah bagi sembahyang fardhu dilaungkan.
Menurut Imam al-Bujairami Rahimahullâh, memulakan sembahyang fardhu secara bersendirian setelah iqâmah bagi menunaikan sembahyang fardhu dilaungkan hukumnya adalah makruh jika sembahyang fardhu yang dikerjakannya secara bersendirian itu adalah tunai.
Sekiranya sembahyang fardhu yang dikerjakannya secara bersendirian itu adalah qadha’, maka yang demikian itu adalah khilâf al-aulâ yakni menyalahi yang utama.
Hukum Meneruskan Sembahyang Sunat yang Sedang Dikerjakan Ketika Iqâmah Sembahyang Fardhu Dilaungkan
Sekiranya ketika seseorang sedang mengerjakan sembahyang sunat lalu jemaah sembahyang fardhu didirikan, contohnya seseorang sedang mengerjakan sembahyang qabliyyah Maghrib lalu iqâmah bagi mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib dilaungkan, maka dalam hal ini dilihat dua perkara berikut:
1. Dia masih sempat mengikut sembahyang jemaah sekiranya dia menyempurnakan sembahyang sunatnya.
Sekiranya orang yang sedang bersembahyang sunat itu menyangka bahawa jika dia menyempurnakan sembahyangnya dia masih sempat mengikuti jemaah sebelum imam memberi salam, maka dalam hal ini, sunat baginya menyempurnakan sembahyangnya itu secara takhfîf iaitu dengan ringkas dan ringan serta tidak memanjangkan sembahyang sunat berkenaan.
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah Muhammad, ayat 33:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amalan-amalan kamu. (Surah Muhammad: 33)
Dengan yang demikian, dia telah memperolehi dua ganjaran, iaitu ganjaran kelebihan mengerjakan sembahyang sunat dan ganjaran kelebihan mengerjakan sembahyang secara berjemaah.
2. Dia tidak akan sempat mengikut sembahyang jemaah sekiranya dia menyempurnakan sembahyang sunatnya.
Sekiranya orang yang sedang bersembahyang sunat itu menyangka bahawa jika dia menyempurnakan sembahyangnya dia tidak akan sempat mengikuti jemaah sebelum imam memberi salam, maka dalam hal ini, terdapat perbezaan di antara sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu yang lain.
i. Bagi sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya dia menyangka bahawa dia tidak akan sempat mengikuti sekurang-kurangnya satu rakaat sembahyang fardhu Jumaat secara berjemaah bersama imam, wajib baginya memutuskan sembahyang sunat yang sedang dikerjakannya itu.
Ini bermakna, sekiranya seseorang itu khuatir jika dia menyempurnakan sembahyang sunatnya dia tidak akan sempat mengerjakan ruku‘ bagi rakaat kedua sembahyang fardhu Jumaat bersama imam, maka wajib atasnya memutuskan sembahyang sunatnya itu untuk mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat bersama imam.
Adapun sembahyang sunat yang diputuskannya itu tetap diberikan ganjaran dari permulaan sembahyang sehingga saat ia diputuskan kerana ia diputuskan atas suatu keuzuran iaitu bagi mengikuti sembahyang berjemaah.
ii. Adapun bagi sembahyang fardhu yang lain pula, sebagai contoh sembahyang fardhu Maghrib, sekiranya dia khuatir jika dia menyempurnakan sembahyang sunatnya dia tidak akan sempat mengikuti jemaah sebelum imam memberi salam, maka dalam hal ini, sunat dan lebih utama baginya memutuskan sembahyang sunatnya itu untuk mengikut jemaah sembahyang fardhu Maghrib bagi meraih kelebihan mengerjakan sembahyang secara berjemaah.
Bagaimanapun, sekiranya kuat sangkaannya bahawa akan ada jemaah sembahyang Maghrib yang lain selepas itu, maka dalam hal ini sunat dan lebih utama baginya menyempurnakan sembahyang sunatnya terlebih dahulu dan kemudian bolehlah dia mengikuti jemaah sembahyang fardhu Maghrib yang kedua itu.
Hukum Meneruskan Sembahyang Fardhu yang Dikerjakan Bersendirian Ketika Sembahyang Jemaah Fardhu Hendak Didirikan
Bagi membincangkan hal ini, terdapat dua situasi yang berbeza, iaitu:
1. Sembahyang fardhu yang dikerjakan oleh munfarid itu dikerjakan secara tunai, lalu ketika dia bersembahyang itu sembahyang fardhu secara berjemaah didirikan.
2. Sembahyang fardhu yang dikerjakan oleh munfarid itu dikerjakan secara qadha’, lalu ketika dia bersembahyang itu sembahyang fardhu secara berjemaah didirikan.
Kedudukan hukum bagi kedua-dua situasi di atas adalah berbeza mengikut keadaan-keadaan yang tertentu. Penjelasannya adalah seperti berikut:
i. Orang yang bersembahyang secara bersendirian (munfarid) mengerjakan sembahyang fardhu secara tunai, lalu sembahyang fardhu secara berjemaah didirikan.
Dalam hal ini, dilihat dua keadaan:
a. Sembahyang yang dikerjakan itu adalah sembahyang fardhu Shubuh atau dia telah bangkit mengerjakan rakaat ketiga bagi sembahyang fardhu yang lain.
Orang yang sedang mengerjakan sembahyang fardhu secara tunai bersendirian (munfarid) lalu ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu sembahyang fardhu secara berjemaah didirikan, maka sekiranya sembahyang fardhu yang sedang dikerjakannya itu adalah sembahyang fardhu Shubuh atau dia sudah bangkit untuk mengerjakan rakaat ketiga bagi sembahyang fardhu Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib atau ‘Isya’, maka sunat dan lebih utama dia menyempurnakan sembahyang fardhunya itu terlebih dahulu (tanpa menukar niat) kemudian selepas memberi salam, bolehlah dia mengikuti jemaah tersebut. Ini sekiranya dia menyangka bahawa dia sempat mengikut sembahyang jemaah tersebut.
Jika dia takut terlepas mengerjakan sembahyang bersama jemaah berkenaan sebelum imam memberi salam, maka sunat dia memutuskan sembahyangnya itu untuk mengerjakan sembahyang bersama jemaah.
Satu pilihan lain yang dinilai harus akan tetapi tidak disunatkan ialah dengan menukar niat sembahyang yang dikerjakan itu menjadi sembahyang sunat dan kemudian memberi salam setelah dia menyempurnakan rakaat yang sedang dikerjakannya ketika itu.
b. Dia belum bangkit mengerjakan rakaat ketiga bagi sembahyang Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib atau ‘Isya’.
Sekiranya dia belum lagi bangkit untuk mengerjakan rakaat ketiga, yakni dia masih dalam rakaat pertama atau kedua, maka sunat dia menukar niat menjadikan sembahyang itu sebagai sembahyang sunat muthlaq dan membataskannya kepada dua rakaat sahaja lalu memberi salam. Selepas itu bolehlah dia mengikuti jemaah sembahyang fardhu.
Bagaimanapun, sekiranya dia khuatir dia akan terlepas mengikuti sembahyang jemaah jika dia menyempurnakan dua rakaat, maka dalam hal ini sunat dia memutuskan sembahyang fardhu yang dikerjakannya secara bersendirian dan kemudian menyertai jemaah.
Harus diingat bahawa ketika menukar niat menjadi sembahyang sunat itu, hendaklah diniatkan sebagai sembahyang sunat muthlaq. Jika diniatkan sebagai sembahyang sunat tertentu seperti sembahyang sunat Dhuha’, Hajat dan sebagainya, maka yang demikian itu tidak sah.
ii. Orang yang bersembahyang secara bersendirian (munfarid) mengerjakan sembahyang fardhu secara qadha’, lalu sembahyang fardhu secara berjemaah didirikan.
Sebagai contoh, seseorang mengerjakan qadha’ sembahyang fardhu Shubuh pada waktu Maghrib lalu ketika dia mengerjakan sembahyang itu sembahyang fardhu Maghrib secara berjemaah didirikan.
Dalam hal ini, wajib orang tersebut menyempurnakan sembahyang qadha’ yang dikerjakannya dan haram dia menghentikan atau menukar niat sembahyang itu menjadi sembahyang sunat. Setelah selesai mengerjakan sembahyang qadha’, bolehlah dia menyertai jemaah sembahyang Maghrib itu.
Walau bagaimanapun, sekiranya sembahyang jemaah yang didirikan itu adalah sembahyang qadha’ fardhu yang sama dengan sembahyang qadha’ yang sedang dikerjakannya, sebagai contoh, ketika dia mengerjakan qadha’ sembahyang fardhu Shubuh, terdapat jemaah yang juga mengerjakan qadha’ sembahyang fardhu Shubuh, maka bolehlah dia memutuskan sembahyangnya itu untuk menyertai jemaah sembahyang qadha’ tersebut. Dalam hal ini, hukum memutus sembahyang itu adalah harus, tetapi tidak disunatkan.
Demikian beberapa penjelasan mengenai kedudukan sembahyang yang dikerjakan ketika iqâmah dilaungkan serta hukum memulakan sembahyang selain sembahyang fardhu yang diiqâmahkan. Mudahan-mudahan penjelasan ini akan dapat menjawab kekeliruan yang timbul mengenai isu berkenaan sekaligus meningkatkan ilmu, kefahaman serta kualiti amal ibadat kita khususnya ibadat sembahyang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9482
دليل الألوان
