Tuntutan Berselawat Dan Memberi Ucapan Salam Ke Atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi WA Sallam SelepasAzan Dan Iqâmah
الجواب
Berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah salah satu pernyataan rasa cinta kita kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Selawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ini bukan hanya sebagai pujian umat Islam serta rasa pengagungan untuk Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana kedudukan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang tinggi di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bahkan ia adalah suatu tuntutan yang merupakan rangkaian iman.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuliakan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada ketika hayat mahupun sesudah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam wafat. Begitu juga Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan orang-orang yang beriman untuk turut sama memuliakan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Adapun maksud Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berselawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melimpahkan dan mengurniakan rahmat dan keredhaanNya kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Selawat para malaikat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula bermaksud permohonan do‘a dan keampunan. Manakala selawat daripada umat Islam ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula bermaksud permohonan do‘a dan mengagungkan kedudukan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Mengenai ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula, makruh hukumnya jika selawat itu tidak diikuti dengan ucapan salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Oleh itu, sudah menjadi adab dan kebiasaan para ulama salaf jika menyebut atau mendengar nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, mereka berselawat dan bersekali dengan ucapan salam kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Para ulama telah berwasiat kepada umat Islam agar selalu berusaha untuk menjaga lafaz (selawat dan salam) tersebut secara sempurna. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh di dalam kitab al-Adzkâr:
Ertinya: Jika seseorang berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka hendaklah dia mengumpulkan selawat dan salam (kedua-duanya) sekali, dan janganlah dipisahkan di antara kedua-duanya. Maka tidak boleh dia berkata: atau sahaja.
Selawat dan ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam digalakkan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa keadaan dan waktu yang digalakkan dan diutamakan untuk berselawat dan memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya selepas dilaungkan azan dan iqâmah.
Selawat dan Ucapan Salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Selepas Azan dan Iqâmah
Sunat bagi al-mu’adzdzin (orang yang melaungkan azan) dan bagi al-muqîm (orang yang melaungkan iqâmah) serta orang-orang yang mendengar kedua-duanya untuk berselawat dan memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sesudah selesai dilaungkan azan dan juga sesudah selesai dilaungkan iqâmah.
Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru bin al- ‘Ash Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila kamu mendengar orang yang azan, maka kamu ucapkan sepertimana orang yang azan itu ucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, kerana barang siapa berselawat ke atasku satu selawat nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh selawat. Kemudian berdo‘alah kepada Allah bagiku “wasîlah”, kerana “wasîlah” itu suatu tempat di syurga yang tidak layak bagi seseorang melainkan bagi seorang hamba daripada hamba-hamba Allah. Aku berharap, akulah hamba itu. Barang siapa memohon “wasîlah” untukku, wajib baginya syafaat. (Hadits riwayat Muslim)
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh mengatakan:
Ertinya: (Dan) sunat hukumnya (bagi setiap orang) daripada orang yang melaungkan azan, orang yang melaungkan iqâmah dan orang yang mendengar kedua-duanya (berselawat) dan memberi ucapan salam (ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sesudah dia selesai) daripada melaungkan azan atau iqâmah kerana adanya perintah untuk berselawat sesudah selesai azan dalam hadits riwayat Imam Muslim.
Tuntutan berselawat dan memberi ucapan salam itu adalah pada ketika selepas dilaungkan azan dan juga selepas dilaungkan iqâmah, bukan selepas selesai dilaungkan kedua-duanya sekali, dalam keadaan jika jarak masa di antara azan dan iqâmah adalah lama. Akan tetapi jika jarak masa di antara azan dan iqâmah tidak lama, memadailah dengan berselawat dan memberi ucapan salam sekali sahaja iaitu selepas iqâmah.
Berkata as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn:
Ertinya: [Dan] sunat hukumnya [bagi setiap orang] daripada orang yang melaungkan azan, orang yang melaungkan iqâmah dan orang yang mendengar kedua-duanya [untuk berselawat] dan memberi ucapan salam [ke atas Nabi] Shallallâhu ‘alaihi wa sallam [sesudah dia selesai melaungkan kedua-duanya] iaitu selepas selesai melaungkan tiap-tiap kedua-duanya (azan dan iqâmah) jika panjang jarak masa di antara kedua-duanya, dan jika tidak (panjang jarak masa di antara kedua-duanya) maka memadai bagi kedua-duanya sekali do‘a (iaitu memadai mengucapkan selawat dan memberi ucapan salam ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas iqâmah).
Antara hikmah disunatkan berselawat dan juga memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas selesai azan dan iqâmah itu adalah bahawa selawat itu dapat membuka pintu-pintu langit.
Selawat dan Ucapan Salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Sebelum Azan dan Iqâmah
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, disunatkan juga berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebelum iqâmah. Sementara menurut Syaikh al-Kabir al-Bakri Rahimahullâh pula, disunatkan berselawat itu sebelum azan dan iqâmah.
Disunatkan juga untuk memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika berselawat sebelum azan dan iqâmah kerana makruh meninggalkan ucapan salam ketika berselawat ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Lafaz Selawat dan Ucapan Salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam
Menurut ulama, terhasil pahala sunnah dengan apa jua shîghah atau lafaz selawat dan ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Namun seperti yang diketahui, lafaz selawat yang afdhal menurut pendapat yang râjih (tepat) adalah selawat at-tasyahhud, iaitu selawat tahiyyat akhir atau dikenali juga sebagai selawat al-Ibrahimiyyah. Oleh itu, selayaknya didahulukan menggunakan lafaz selawat ini berbanding lafaz selawat yang lain. Lafaz selawat tersebut adalah:
Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Nabi Muhammad dan kepada keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Nabi Ibrahim dan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Pada alam semesta ini, sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
Akan tetapi, selawat ini tidak terdapat ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam padanya. Oleh itu, jika selawat ini yang dibaca, adalah wajar ditambah lagi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas selawat ini demi menjaga adab dan menjaga lafaz selawat dan salam secara sempurna.
Memadai juga dengan membaca lafaz selawat dan ucapan salam yang pernah dibawakan dan diamalkan oleh para mu’adzdzin zaman dahulu iaitu:
Ertinya: Selawat dan salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah.
Tidak disunatkan untuk menambah ucapan selepas habis dilaungkan azan dan iqâmah (iaitu selepas ) dan sebelum berselawat dan memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Adapun perkara menambah at-taradhdhi terhadap para sahabat Radhiallâhu ‘anhum, iaitu ucapan do‘a bagi para sahabat seperti Radhiallâhu ‘anhu atau Rahimahullâh, tidak ada dalil yang mengkhususkan untuk mengucapkannya selepas azan dan iqâmah, bahkan ia menjadi bid‘ah jika menganggapnya sebagai satu amalan sunnah selepas selesai azan dan iqâmah.
Namun jika ia menambah at-taradhdhi terhadap para sahabat Radhiallâhu ‘anhum selepas berselawat dan memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan tujuan ia adalah sunat secara umum berdasarkan ijmâ‘ para muslimin, maka ia dibolehkan.
Selawat dan Ucapan Salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Selepas Azan adalah Amalan Umat Islam yang Terdahulu
Amalan berselawat dan memberi ucapan salam sudah lama dipraktikkan oleh umat Islam yang terdahulu. Ia juga pernah dilaungkan setiap kali selepas azan di atas menara-menara.
Pada zaman Shalahuddin bin Ayyub, hanya ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang dilakukan setiap kali sebelum azan Shubuh pada setiap malam di Mesir dan Syam. Perkara ini berterusan sehingga pada tahun 767 Hijriyyah, al-Muhtasib Shalahuddin al-Burullusi memerintahkan supaya ditambah selawat berserta ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam setiap kali sebelum azan Shubuh, dengan lafaz:
Maksudnya: Selawat dan salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah.
Kemudian pada bulan Sya‘ban tahun 791 Hijriyyah, pada zaman Sultan al-Mansur Haji bin al-Asyraf Sya‘ban bin Husain bin Muhammad bin Qalawun, berselawat dan memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pertama sekali dilakukan setiap kali selepas azan pada setiap waktu sembahyang fardhu kecuali waktu Maghrib disebabkan waktunya yang singkat di atas menara-menara atas perintah al-Muhtasib Najmuddin ath-Thanbadi.
Para fuqaha’ mengatakan bahawa amalan atau rutin seperti yang dilakukan oleh umat Islam yang terdahulu itu adalah dikategorikan sebagai bid‘ah hasanah.
Waktu-waktu Lain yang Dianjurkan untuk Berselawat Selawat dan ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara umumnya digalakkan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu khusus ketika di luar sembahyang. Walau bagaimanapun, selain daripada tuntutan berselawat selepas azan dan iqâmah ini, terdapat beberapa waktu dan tempat lain yang utama dan dituntut untuk berselawat. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh telah merumuskan beberapa waktu dan tempat yang dituntut untuk berselawat berdasarkan hadits-hadits shahîh dan dha‘îf, antaranya: 1. Sesudah azan. 2. Pada permulaan do‘a, pertengahannya dan pada akhirnya. Pada awal do‘a adalah lebih dituntut. 3. Di antara takbir-takbir sembahyang Hari Raya. 4. Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya. 5. Dalam perkumpulan orang ramai dan ketika bersurai daripada perkumpulan. 6. Ketika hendak memulakan pelayaran dan ketika pulang dari pelayaran. 7. Ketika bangun untuk mengerjakan sembahyang malam (qiyâm al-lail) seperti sembahyang Tahajjud dan sebagainya. 8. Ketika khatam al-Qur’an. 9. Ketika ditimpa kesusahan dan keresahan. 10.Ketika bertaubat, iaitu ketika memohon keampunan. 11.Ketika membaca hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
12.Ketika menyampaikan ilmu kepada orang ramai. 13.Ketika berzikir. 14.Ketika lupa akan sesuatu dan ingin mengingatinya semula. 15.Ketika istilâm Hajar al-Aswad. 16.Ketika telinga berdengung. 17.Sesudah bertalbiyah. 18.Sesudah berwudhu’. 19.Ketika hendak menyembelih binatang. 20.Sesudah bersin. Waktu dan tempat lain lagi ketika di luar sembahyang antaranya: 1. Ketika seseorang menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. 2. Ketika hendak memulai sesuatu urusan penting dan berharga. 3. Pada malam hari Jumaat dan siangnya. 4. Di dalam khutbah. 5. Ketika berziarah ke makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. 6. Pada tiap-tiap mengadakan majlis di mana orang ramai berkumpul untuk mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti majlis-majlis keagamaan dan yang seumpamanya. Ini termasuklah dalam majlis sempena maulid Rasul Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. 7. Pada setiap pagi dan petang. Demikian penjelasan mengenai tuntutan berselawat dan memberi ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selepas azan dan iqâmah dan juga sebelum kedua-duanya. Selawat dan ucapan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara umumnya digalakkan pada bila-bila masa sahaja. Namun telah tsabit daripada hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa terdapat juga beberapa waktu dan tempat yang lebih dituntut dan diutamakan untuk berselawat seperti selepas azan dan iqâmah.
Oleh itu, amatlah rugi jika kita meninggalkan tuntutan ini kerana apabila kita beramal dengannya, kita bukan sahaja akan dapat meraih ganjaran pahala selawat secara umumnya, bahkan kita juga akan dapat meraih ganjaran pahala kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Mudah-mudahan dengan mengamalkannya secara istiqâmah, kita akan tergolong ke dalam umat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang akan mendapat syafaat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di akhirat kelak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9841
دليل الألوان
