Mensyukuri ‘Dulfitri Dengan Tidak Mengabaikan Sembahyang Sunat Hari Raya
الجواب
Hari Raya adalah merupakan kurniaan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Pada ketika ini kita sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19 yang membawa kepada pelbagai perubahan terhadap rutin kehidupan seperti larangan mengadakan perkumpulan, penutupan sementara masjid dan seumpamanya. Jika keadaan ini berlarutan, ‘Idulfitri pada tahun ini akan disambut dengan cara yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana sembahyang Hari Raya tidak dapat dilaksanakan di masjid, budaya kunjung-mengunjung ditegah, menjejaskan kebiasaan menziarahi kubur dan sebagainya.
Ini tidaklah bermakna Hari Raya tidak dapat disambut dengan penuh rasa syukur kerana tetap saja ada cara untuk menghidupkan dan membesarkan sambutannya sebagaimana yang dituntut syara‘.
Takbîr Hari Raya
Pada malam ‘Idulfitri, sunat melaungkan takbîr dengan suara yang jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid dan sebagainya. Waktu melaungkan takbîr itu bermula selepas terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbîratul-ihrâm sembahyang Hari Raya.
Manakala had waktu bertakbîr bagi orang yang sembahyang sunat Hari Raya secara bersendirian pula, adalah dikira sehingga dia mengangkat takbîratul-ihrâm sembahyang Hari Raya ‘Idulfitri.
Melaungkan takbîr dengan suara jahr adalah disunatkan bagi kaum lelaki sahaja dan bagi perempuan atau khuntsâ, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara jahr ketika ada orang lain yang bukan mahram hadir bersama mereka.
Apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat, menurut asy- Syibramallisi Rahimahullâh, lakukanlah pada malam tersebut dengan bertakbîr, membaca surah al-Kahfi dan berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Lafaz takbîr yang disunatkan itu ialah:
Pada kebiasaannya, masjid-masjid dimeriahkan dengan takbîr Hari Raya yang dihadiri oleh para jemaah. Namun jika keadaan tidak mengizinkan kerana terdapat halangan untuk mengerjakannya sepertimana kebiasaannya, ia boleh saja dilakukan di rumah bersama keluarga.
Sembahyang Hari Raya
Sembahyang Hari Raya disyariatkan pada tahun kedua Hijriyyah. Hukum mengerjakannya adalah sunat mu’akkadah. Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Thalhah bin ‘Ubaidillah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Seorang lelaki daripada penduduk Najd datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan keadaan rambut yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam”. Lelaki tersebut bertanya lagi: “Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepadaku?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tidak, melainkan jika engkau ingin melakukan yang sunat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjelaskan bahawa sembahyang fardhu itu hanyalah sembahyang lima waktu sahaja. Oleh yang demikian, dengan sendirinya sembahyang Hari Raya termasuk dalam kategori sembahyang sunat.
Sembahyang Hari Raya itu sunat dikerjakan oleh orang yang mukallaf, sama ada lelaki atau perempuan, bermuqîm atau yang sedang musafir.
Sembahyang Hari Raya sunat dan afdhal dikerjakan secara berjemaah, akan tetapi boleh juga dilakukan secara seorang diri (bersendirian).
Sembahyang sunat Hari Raya itu afdhal dilakukan di masjid, kerana ia adalah tempat yang mulia. Namun dalam keadaan tertentu seperti sakit, musim penularan wabak dan sebagainya yang tidak memungkinkan orang mengerjakannya di masjid, sembahyang sunat Hari Raya itu tidak wajar ditinggalkan kerana ia boleh saja dikerjakan di rumah sama ada secara bersendirian atau berjemaah bersama keluarga.
Waktu Sembahyang Hari Raya
Waktu sembahyang Hari Raya itu adalah di antara terbit matahari (terbitnya sebahagian daripada matahari) dan tergelincir matahari (sebelum masuk waktu Zhuhur). Akan tetapi sunat dan afdhal diakhirkan sembahyang Hari Raya itu sehingga naik matahari dengan kadar tinggi segalah (kira-kira 7 hasta pada pandangan mata kasar) sebagai ittibâ‘ (mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).
Di Negara Brunei Darussalam, kebiasaannya sembahyang sunat Hari Raya di masjid-masjid, surau dan balai ibadat ditetapkan untuk dilaksanakan bermula pada jam 7.30 pagi.
Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya
Sembahyang Hari Raya itu sekurang-kurangnya dikerjakan seperti sembahyang sunat wudhu’. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbîr (at-takbirah az-zâ’idah). Cara mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya adalah seperti berikut: 1. Sunat menyeru untuk mendirikan sembahyang dengan seruan “ ” ketika hendak mengerjakan sembahyang Hari Raya. Tidak ada seruan azan dan iqâmah bagi sembahyang Hari Raya, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengerjakan sembahyang Hari Raya tanpa azan dan iqâmah. (Hadits riwayat Abu Daud) 2. Lafaz niat sembahyang ‘Idulfitri: a. Secara berjemaah bagi imam:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ‘Idulfitri dua rakaat menjadi imam kerana Allah Ta‘ala. b. Secara berjemaah bagi ma’mum:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ‘Idulfitri dua rakaat menjadi ma’mum kerana Allah Ta‘ala. c. Secara bersendirian:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat ‘Idulfitri dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.
3. Pada rakaat pertama sesudah membaca doʻa iftitâh, sunat melafazkan takbîr (at-takbîrah az-zâ’idah) dengan suara jahr sebanyak tujuh kali dengan mengangkat tangan pada setiap kali takbîr dan sunat diselangi setiap takbîr itu dengan suara isrâr mengucapkan zikir:
Selepas bertakbîr tujuh kali baharulah membaca at-ta‘awwudz dan surah al- Fâtihah. Kemudian sunat diikuti dengan membaca surah Qâf ( ), surah al- A‘lâ atau surah al-Kâfirun.
Kemudian ruku‘, i‘tidâl dan seterusnya sepertimana yang dilakukan pada sembahyang biasa.
4. Pada rakaat kedua pula sebelum membaca at-ta‘awwudz ( ), sunat bertakbîr sebanyak lima kali dengan mengangkat tangan pada setiap kali takbîr dan sunat diselangi setiap takbîr itu dengan suara isrâr mengucapkan zikir:
Selepas bertakbîr lima kali baharulah membaca at-ta‘awwudz dan surah al- Fâtihah. Kemudian sunat diikuti dengan membaca surah al-Qamar, surah al- Ghâsyiyah atau surah al-Ikhlâsh.
Kemudian ruku‘, i‘tidâl dan seterusnya sepertimana yang dilakukan pada sembahyang biasa sehingga memberi salam.
Khutbah Hari Raya
Membacakan dua khutbah selepas sembahyang Hari Raya secara berjemaah hukumnya adalah sunat sebagai mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para Khulafâ’ ar-Râsyidîn Radhiallâhu ‘anhum. Tetapi tidak disunatkan berkhutbah bagi orang yang mengerjakan sembahyang Hari Raya dengan bersendirian. Demikian juga bagi jemaah perempuan, melainkan ada lelaki yang membacakan khutbah untuk mereka.
Segala rukun dan perkara sunat ketika berkhutbah adalah sama dengan rukun dan perkara sunat khutbah Jumaat. Walau bagaimanapun sedikit perbezaan pada syarat khutbah Hari Raya dan Jumaat, iaitu ketika imam membaca khutbah Hari Raya tidak disyaratkan untuk berdiri, duduk di antara dua khutbah, berthahârah dan menutup aurat, akan tetapi semua perkara yang disebutkan itu sunat dilakukan.
Di mulakan pada khutbah pertama dengan bertakbîr sebanyak sembilan kali dan khutbah kedua sebanyak tujuh kali dibaca dengan berturut-turut. Hendaklah khatib memisahkan antara dua khutbah itu dengan memperbanyakkan takbîr, boleh juga dipisahkan dengan bertahmîd, tahlîl dan pujian-pujian sebagaimana dinyatakan dalam syarah az-Zubad. Hal melafazkan takbîr sebagai pemisah di antara dua khutbah tersebut, tidak disunatkan bagi ma’mum melafazkannya, bahkan disunatkan mendengarnya daripada khatib.
Ziarah Kubur
Selain melakukan sembahyang sunat ‘Idulfitri, ziarah kubur juga merupakan amalan yang biasa dilakukan pada Hari Raya. Namun ziarah kubur di sini bukanlah khusus kerana Hari Raya atau bulan Ramadhan, tetapi ziarah kubur sunat dilakukan pada bila-bila masa jua walau di luar Hari Raya dan Ramadhan.
Hukum menziarahi kubur bagi lelaki adalah sunat. Manakala bagi golongan perempuan pula adalah makruh dengan syarat dapat mengawal kesedihan, menjaga aurat, terhindar daripada fitnah dan sebagainya. Jika tidak berupaya untuk mematuhi syarat-syarat tersebut, seperti menangis dengan cara meraung atau boleh mendatangkan fitnah, maka hukum menziarahi kubur bagi perempuan menjadi haram. Amalan menziarahi kubur menjadi lebih ketara dalam bulan Ramadhan dan Syawwal berbanding dengan hari-hari atau bulan-bulan yang lain. Oleh sebab situasi yang melanda pada masa sekarang, sekiranya keadaan belum mengizinkan untuk melakukan ziarah kubur sepertimana keadaan yang biasa, ia tetap sahaja dapat dilaksanakan dengan mengambil kira panduan-panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan. Oleh itu, sebagai panduan eloklah dilakukan perkara berikut:
a. Membataskan jumlah ahli keluarga yang menziarahi kubur. b. Mengadakan ziarah secara bergilir dan menghadkan waktu ziarah. c. Memilih waktu yang sesuai (kurang sesak). d. Dalam keadaan berwudhu’.
e. Sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan lain-lain yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. f. Khusus bagi perempuan, memandangkan hukum menziarahi kubur bagi mereka adalah makruh, maka adalah dinasihatkan untuk tidak perlu melakukan ziarah kubur. g. Bagi yang tidak dapat pergi menziarahi kubur, bolehlah merafa‘kan doʻa dan menyedekahkan bacaan-bacaan al-Qur’an di rumah masing-masing.
Sebagai kesimpulan, walaupun suasana Hari Raya kali ini mungkin berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, akan tetapi ia tidak menghalang kita untuk tetap bersyukur atas limpah kurnia Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada kita kerana memberi peluang meniʻmati keistimewaan bulan Ramadhan dan menemukan bulan Syawwal pada tahun ini. Banyak cara yang boleh dibuat untuk mensyukuri kurnia Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu, antaranya dengan mengerjakan sembahyang Hari Raya, bertakbîr, membaca al-Qur’an dan sebagainya secara berjemaah bersama keluarga ataupun bersendirian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9923
دليل الألوان
