Syarat-Syarat Penerima Wasiat
الجواب
Perkataan wasiat bermaksud memberikan hak pemilikan selepas kematian. Menurut syara‘, wasiat ialah pemberian (hak milik) secara sukarela tanpa apa-apa balasan terhadap suatu hak kepada seseorang selepas kematian (pemberi wasiat).
Pada permulaan Islam, mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan kaum kerabat hukumnya adalah wajib sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang antara kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, hendaklah berwasiat dengan ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, (ini adalah) sebagai suatu kewajiban ke atas orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 180)
Namun demikian, kewajiban berwasiat ini telah dimansukhkan dengan ayat-ayat dan hadits-hadits yang berkaitan harta pusaka yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian-bahagian yang telah ditetapkan kepada waris-waris dalam pembahagian harta pusaka.
Asas Pensyariatan Wasiat
Dalil yang menyatakan tentang pensyariatan wasiat itu antaranya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Pembahagian itu dibuat) setelah dilaksanakan terlebih dahulu wasiat yang diwasiatkan oleh si mati atau setelah dibayar segala hutangnya. (Surah an-Nisâ’: 11)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mensyariatkan pembahagian pusaka selepas menjelaskan hutang dan wasiat. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa wasiat adalah harus hukumnya.
Terdapat banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menjelaskan dalil pensyariatan wasiat, antaranya yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak sepatutnya seorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, (membiarkan) tidur dua malam melainkan dia menulis wasiat di sisinya. (Hadits riwayat Muslim)
Maka mewasiatkan harta itu adalah sunat dengan tidak melebihi ⅓ daripada harta peninggalan yang diberikan kepada selain ahli waris. Manakala berwasiat kepada ahli waris yang ditentukan oleh orang yang berwasiat itu hukumnya harus dan ia terlaksana dengan adanya persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain terhadap wasiat tersebut.
Oleh itu, praktik perlaksanaan wasiat hendaklah memenuhi syarat-syarat dalam setiap rukun wasiat. Adapun rukun wasiat ada empat (4), iaitu pemberi wasiat, penerima wasiat, barang wasiat dan shîghah (lafaz wasiat).
Terdapat syarat-syarat yang perlu diikuti pada setiap rukun-rukun di atas. Walau bagaimanapun, penjelasan dalam ruangan ini hanya tertumpu kepada syarat-syarat penerima wasiat sahaja.
Syarat-syarat Penerima Wasiat
Penerima wasiat ialah orang yang menerima faedah daripada wasiat itu untuk dimanfaatkan dengannya. Penerima wasiat dibahagikan kepada dua golongan iaitu penerima wasiat yang tidak ditentukan dan penerima wasiat yang ditentukan.
Pertama: Penerima wasiat yang tidak ditentukan iaitu seseorang berwasiat untuk tujuan yang umum seperti berwasiat kepada orang-orang fakir, orang-orang miskin dan masjid-masjid.
Syarat sah wasiat kepada tujuan yang umum itu hendaklah bukan tujuan maksiat atau perkara-perkara yang dilarang seperti berwasiat untuk meng‘imârahkan atau memperbaiki gereja, berwasiat untuk penulisan kitab-kitab yang diharamkan seperti kitab-kitab yang menyesatkan dan lain-lain.
Kedua: Penerima wasiat yang ditentukan iaitu seseorang berwasiat kepada seseorang yang ditentukan dengan syarat-syaratnya sebagaimana berikut:
1) Hendaklah berwasiat bukan bertujuan maksiat.
2) Hendaklah penerima ditentukan (ta‘yîn) bagi mengelak berlaku kekeliruan, kesamaran atau ketidaktahuan. Umpamanya berwasiat kepada seorang penerima sahaja dengan katanya: “Aku wasiatkan harta ini untuk Zaid” ataupun berwasiat kepada penerima yang berbilang-bilang dengan katanya: “Aku wasiatkan harta ini untuk Zaid, ‘Amru dan Bakar”.
Dalam perkara penerima wasiat yang ditentukan atau dikhususkan ini, sekiranya seseorang berwasiat kepada salah seorang daripada dua lelaki tanpa menentukan penerima khusus di antara kedua-duanya, maka hukum wasiat itu tidak sah kerana berlaku kesamaran.
3) Hendaklah penerima itu wujud ketika wasiat dibuat kerana pemilikan bagi orang yang tidak wujud adalah mustahil. Sebagai contoh, tidak sah wasiat kepada kandungan yang belum wujud.
4) Hendaklah penerima itu berkelayakan terhadap pemilikan harta ketika berlaku kematian orang yang berwasiat. Ini kerana wasiat itu adalah perbuatan serah milik daripada orang yang berwasiat kepada penerima wasiat, maka disyaratkan penerima wasiat adalah orang yang berkelayakan terhadap pemilikan sesuatu, sama ada dia berkelayakan pada masa itu (ketika berlaku kematian orang yang berwasiat) atau berkelayakan pada waktu akan datang seperti keadaan anak yang dalam kandungan (ketika berlaku kematian orang yang berwasiat).
Dibawakan beberapa perkara mengenai kelayakan terhadap pemilikan sebagaimana berikut:
a. Sah wasiat kepada anak yang ada dalam kandungan dengan syarat:
- Hendaklah kandungan dilahirkan hidup. Sekiranya anak yang dilahirkan meninggal dunia, maka tiada berlaku wasiat ke atasnya.
Hendaklah diketahui atau kuat sangkaan bahawa wujud kandungan tersebut pada waktu wasiat dibuat, iaitu kadar tempoh di antara tarikh wasiat dibuat dan kelahiran anak adalah kurang daripada enam bulan. Ini menunjukkan wasiat itu telah dibuat semasa anak itu wujud dalam kandungan kerana sekurang-kurang tempoh seorang perempuan itu hamil dan melahirkan anak adalah enam bulan.
Dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: (Dan diketahui) atau kuat sangkaan (akan kewujudan kandungan ketika demikian) iaitu ketika wasiat dibuat (dengan lahirnya anak dalam kandungan dalam tempoh kurang enam bulan) dari waktu wasiat dibuat, dan perempuan yang melahirkan hasil hubungan suami atau tuan, kerana sesungguhnya tempoh enam bulan adalah sekurang-kurang tempoh kehamilan, maka yang demikian dapat diketahui bahawa anak yang dalam kandungan sudah wujud ketika wasiat dibuat.
Dengan demikian, jika kelahiran berlaku kurang daripada enam bulan setelah wasiat itu dibuat, maka sah wasiat tersebut.
Manakala jika kadar tempoh di antara tarikh wasiat dibuat dan kelahiran anak adalah enam bulan dan lebih dari tarikh wasiat dibuat, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: (Maka jika lahir anak dalam tempoh enam bulan dan lebih) dari waktu wasiat dibuat (dan perempuan itu melahirkan hasil hubungan dengan suami atau tuan) dan dapat menghasilkan anak daripada hubungan itu maka (tidak berhak) kerana kebarangkalian terjadi kehamilan daripada hubungan tersebut selepas wasiat dibuat, maka ia tidak berhak dengan adanya syak.
Dengan demikian, jika kadar tempoh di antara tarikh wasiat dibuat dan kelahiran anak adalah enam bulan atau lebih, maka tidak sah wasiat tersebut kerana ada kemungkinan wasiat itu dibuat sebelum terjadinya kehamilan.
b. Tidak sah berwasiat kepada orang yang meninggal dunia.
c. Tidak sah wasiat kepada binatang kerana binatang tidak berkelayakan terhadap pemilikan harta. Walau bagaimanapun sekiranya dia berwasiat untuk makanan binatang atau berwasiat bagi tempat tinggal binatang tersebut, maka sah wasiatnya kerana wasiat tersebut dimaksudkan adalah kepada pemilik binatang yang mana bertanggungjawab memberi makan atau menyediakan makan dan tempat tinggal kepada binatang tersebut.
d. Sah wasiat untuk tujuan meng‘imârahkan masjid kerana yang sedemikian itu adalah qurbah (perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala) dan bagi mashlahat masjid.
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, pendapat yang dikuatkan ialah sah wasiat seseorang yang menyebutkan: “Aku berwasiat untuk meng‘imârahkan masjid tersebut”. Maka diambil apa-apa yang dapat digunakan bagi meng‘imârahkan masjid daripada harta peninggalannya.
Begitu juga sah wasiat umpamanya kepada masjid secara muthlaq (menyebut masjid semata-mata) sebagai contoh: “Aku berwasiat dengan wang ini kepada masjid tersebut”, tanpa menyebut untuk ‘imârah dan mashlahat masjid. Maka dilaksanakan perwasiatan tersebut untuk meng‘imârahkan atau bagi mashlahat masjid menurut ‘urf (kebiasaan).
Begitu juga halnya berwasiat untuk sekolah atau untuk hospital atau untuk universiti atau untuk jambatan-jambatan atau untuk perigi-perigi yang digunakan orang awam dan yang lainnya.
e. Sah wasiat kepada dzimmi (orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam) dengan sesuatu yang boleh diberi pemilikan kepadanya. Sementara sesuatu yang tidak boleh diberi pemilikan kepadanya seperti pemberian Mushhaf, maka tidak sah berwasiat dengan yang sedemikian itu.
Termasuk juga sah berwasiat kepada mu‘âhad (orang bukan Islam yang mengadakan perjanjian keamanan atau gencatan senjata dengan orang Islam) atau kepada musta’min (orang bukan Islam yang diberikan keamanan memasuki negara Islam pada waktu yang ditentukan untuk menunaikan tugas tertentu) sebagaimana dzimmi di atas.
f. Bagi harbi (orang bukan Islam dari negara bukan Islam yang memerangi orang-orang Islam) dan orang murtad pula, maka menurut pendapat yang ashah, sah wasiat kepada harbi yang ditentukan sebagai contoh, seorang berkata: “Aku berwasiat dengan jumlah ini kepada si Fulan”, tanpa menyebut si Fulan yang harbi, walaupun pada hakikatnya si Fulan itu merupakan seorang harbi. Walau bagaimanapun tidak semua harta sah diwasiatkan kepada harbi tersebut. Sesuatu yang tidak boleh diberi pemilikan kepadanya seperti pemberian Mushhaf, pedang, lembing atau alat-alat perang lain adalah tidak sah diwasiatkan kepadanya.
Begitu juga sah wasiat kepada orang murtad yang ditentukan pada waktu wasiat dibuat, selagi dia belum mati dalam keadaan murtad.
Sebagai contoh “Aku berwasiat dengan jumlah ini kepada si Fulan”, tanpa menyebut si Fulan yang murtad, walaupun pada hakikatnya si Fulan pada waktu wasiat itu dibuat merupakan seorang murtad. Namun sekiranya dia mati dalam keadaan murtad, maka batal wasiat tersebut.
Keharusan harbi dan murtad ini dalam pemberian wasiat adalah sama kedudukannya dengan keharusan pemberian sedekah kepada mereka. Berbeza pula halnya dengan waqaf, maka tidak sah berwaqaf kepada golongan ini. Ini kerana tujuan waqaf itu adalah pemanfaatan yang berterusan, sedangkan mereka tidak dapat memanfaatkan waqaf tersebut disebabkan orang harbi dibunuh kerana memerangi orang Islam dan orang murtad pula dibunuh disebabkan menolak untuk kembali kepada Islam.
Walau bagaimanapun sekiranya orang yang berwasiat menyebut: “Aku berwasiat dengan jumlah ini kepada Zaid yang harbi” atau “Aku berwasiat dengan jumlah ini kepada Zaid yang murtad” ataupun “Aku berwasiat dengan jumlah ini kepada Zaid yang kafir” iaitu dengan menyebut orang yang diwasiatkan itu harbi, murtad atau kufur, maka tidak sah wasiatnya. Ini kerana lafaz wasiat sedemikian seolah-olah dia berwasiat kepada Zaid kerana harbinya, kemurtadannya atau kekafirannya.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa dalam perkara wasiat, tidak semua berhak menerimanya. Terdapat syarat-syarat yang telah ditentukan syara‘ bagi mereka yang boleh menjadi penerima wasiat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10076
دليل الألوان
