Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Kepentingan Sifat Amanah Dalam Menjayakan Wawasan Negara

الجواب

Amanah adalah salah satu sifat yang dituntut bagi setiap orang Islam. Ia merupakan kunci utama kepada kejayaan sesuatu matlamat. Betapa besar kepentingan amanah itu sehingga ia dijadikan sebagai salah satu sifat yang wajib ada bagi seorang rasul. Tanpa ada sifat amanah, sesuatu matlamat itu tidak mungkin akan tercapai seperti yang dirancang.

Bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-37 tahun pada tahun 2021 Masihi yang bertemakan ‘Menjayakan Wawasan Negara’, di sini kita akan menumpukan sifat amanah dan kepentingannya dalam menjayakan wawasan negara.

Pengertian Amanah

Dari segi bahasa, perkataan amanah berasal daripada perkataan bahasa Arab “amina” dan “amuna” yang bererti tenteram, aman, selamat, tidak belot dan tidak menipu. Amanah adalah lawan bagi sifat khianat. Menurut Kamus Dewan pula, amanah bermaksud sesuatu yang dipercayakan kepada orang (diserahkan untuk disimpan dan lain-lain). Ia juga bermaksud kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang.

Amanah itu dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa dia dapat melaksanakannya sebagaimana dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan kepercayaan yang diberikan dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakan amanah mendapati dirinya tenteram, aman, dan selamat.

Perkataan Amanah Dalam Al-Qur’an

Di dalam al-Qur’an, perkataan yang merujuk kepada amanah disebutkan beberapa kali seperti berikut:

1. Kewajiban memberikan kesaksian yang benar (tidak menyembunyikan kesaksian). Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan jika kamu sedang musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedang kamu tidak mendapati pencatat, maka hendaklah diadakan barang jaminan untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (saksi-saksi) menyembunyikan perkara-perkara yang dipersaksikan itu. (Surah al-Baqarah: 283)

2. Pelaksanaan hukum secara adil. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia (hendaklah) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah (dengan suruhanNya itu) memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah an-Nisâ’: 58)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh ketika mentafsirkan ayat di atas, amanah yang disebutkan dalam ayat tersebut ditujukan secara umum kepada sekalian manusia.

3. Larangan mengkhianati amanah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui. (Surah al-Anfâl: 27)

4. Sifat amanah adalah salah satu ciri-ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Mu’minûn. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menjaga amanah-amanah dan janji mereka (mereka inilah orang-orang beriman yang berjaya itu). (Surah al-Mu’minûn: 8) 5. Kesanggupan manusia memikul amanah. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami pernah mengemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia pula sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia adalah sangat zalim lagi jahil. (Surah al-Ahzâb: 72)

Hakikatnya, amanah merangkumi hak-hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas hamba-hambaNya iaitu segala tuntutan syara‘ yang apabila dilaksanakan akan diberikan pahala dan apabila ditinggalkan akan memperolehi dosa seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya. Ia juga termasuk segala amanah yang terdapat pada anggota badan seperti faraj, telinga, mata, lidah, tangan dan lain-lain. Inilah pendapat yang disepakati oleh jumhûr ulama.

Amanah juga merangkumi hak-hak manusia sesama mereka seperti pemeliharaan wadî‘ah (simpanan), memandikan jenazah dan selainnya.

Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah menyedari bahawa dia sentiasa memikul amanah, sama ada amanahnya itu pada diri, keluarga, masyarakat, negara mahupun agama agar tanggungjawab dan tugasnya terlaksana dengan sempurna.

Larangan Mencuaikan Amanah

Agama Islam mewajibkan umatnya untuk menjaga dan memelihara amanah dan mengharamkan untuk melakukan khianat dengan mencuaikan amanah. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diamanahkan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui. (Surah al-Anfâl: 27)

Maksud mengkhianati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu ialah tidak melakukan kewajiban-kewajiban yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ perintahkan atau melanggar batasan-batasan dan pengharaman yang telah ditetapkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Maksud mengkhianati RasulNya pula ialah tidak menuruti sunnah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan tidak mengikuti apa yang telah disuruh atau tidak menjauhi apa yang telah dilarang oleh Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Manakala maksud mengkhianati amanah adalah tidak menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya seperti mencuaikan penjagaan harta wadî‘ah atau membuka rahsia-rahsia umum dan khusus.

Hadits juga ada menyebutkan mengenai perkara ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Tunaikanlah amanah kepada siapa yang mengamanahkanmu dan jangan mengkhianati siapa yang telah mengkhianatimu. (Hadits riwayat al-Hakim)

Larangan melakukan khianat itu turut membawa beberapa ancaman daripada al- Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya:

1. Orang yang mencuaikan amanahnya adalah orang yang munâfiq. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Tanda-tanda orang munâfiq itu tiga (perkara); (pertama) apabila berkata dia berbohong, (kedua) apabila berjanji dia memungkiri, (ketiga) apabila diberi amanah dia mengkhianati. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Orang yang mencuaikan amanahnya adalah orang yang tidak sempurna imannya. Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Tidak (sempurna) iman bagi sesiapa yang tidak (menjaga) amanah (yang diberikan) kepadanya. (Hadits riwayat Ahmad)

Orang yang berlaku khianat juga tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang beriman yang berjaya kerana salah satu ciri-ciri orang beriman yang berjaya itu ialah orang yang menjaga dan memelihara amanahnya sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menjaga amanah-amanah dan janji mereka. (Surah al-Mu’minûn: 8)

3. Orang yang berlaku khianat akan menerima balasan seksa di akhirat kelak sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan tidak mungkin seorang nabi berkhianat (dalam urusan harta rampasan perang). Dan sesiapa yang berkhianat, nescaya dia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu pada Hari Kiamat. Kemudian setiap diri akan diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang diusahakannya sedangkan mereka tidak dizalimi. (Surah Âli ‘Imran: 161)

Dalam sebuah hadits, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu telah berkata: “Kami keluar bersama Rasululah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menuju Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan rampasan perang berupa emas atau perak. Hanya kami perolehi adalah barang-barang makanan dan pakaian. Kemudian kami menuju satu lembah dan bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah seorang hamba pemberian seorang lelaki dari Judzam yang bernama Rifa‘ah bin Zaid daripada Bani adh- Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu berdiri untuk melepaskan tali ikatan kenderaannya. Malangnya, dia terkena anak panah dan di situlah dia meninggal, lalu kami berkata: “Kami bersyukur dia gugur dalam mati syahîd”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lantas bersabda:

Maksudnya: Tidak! Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya (kekuasaan Allah)! Sesungguhnya sehelai pakaian jubah akan memarakkan api neraka ke atasnya. Pakaian itu dia ambil daripada harta rampasan perang Khaibar, padahal pakaian itu bukan bahagiannya.

Abu Hurairah berkata lagi: “Lalu orang ramai menjadi takut. Maka datang seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali kasut dan berkata: “Ya Rasulullah! Aku mendapatkannya ketika perang Khaibar”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Seutas tali tersebut (boleh membawa) kepada neraka atau dua utas tali tersebut (boleh membawa) kepada neraka. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan penerangan daripada al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam di atas, amat jelas bahawa perbuatan mencuaikan amanah atau melakukan khianat itu amat besar ancamannya sehinggakan hanya kerana sehelai pakaian atau seutas tali kasut yang didapatkan dengan cara yang tidak amanah pun akan menerima balasan seksa di akhirat. Wa‘i yâdzu billahi min dzâlik.

Amanah Komponen Penting Dalam Menjayakan Wawasan Negara

Tidak syak lagi sifat amanah merupakan asas untuk mencapai kemajuan sesebuah negara dan mempunyai peranan yang besar dan penting dalam perkembangan sesebuah negara itu. Jika sifat amanah tidak dipraktikkan di semua peringkat sama ada di peringkat kerajaan, swasta mahupun di semua lapisan masyarakat, negara pasti akan sukar untuk mencapai kemajuan yang dimahukan. Kemajuan yang dimaksudkan bagi Negara Brunei Darussalam itulah Wawasan Negara 2035. Oleh yang demikian, perlulah diingat bahawa amanah tidak hanya terhad kewajibannya kepada seorang pemimpin sahaja atau suatu pihak sahaja, bahkan amanah itu diwajibkan juga kepada setiap individu terhadap apa yang telah diamanahkan kepadanya.

Tidak salah untuk dikatakan bahawa tanpa sifat amanah, suatu matlamat atau misi itu tidak akan tercapai sepenuhnya. Bagi mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2035 dengan rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi, ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan, sifat amanah perlulah ditanai dalam setiap diri individu dan dalam setiap peringkat kepimpinan dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

• Melaksanakan amanah terhadap hak-hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang wajib dilakukan oleh orang Islam dengan menjalankan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk melaksanakan amanah tersebut, orang Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan ajaran al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam apa jua perkara.

Begitu juga halnya dalam konteks negara. Apabila rakyat sesebuah negara itu melaksanakan amanah tersebut dengan menzahirkan keimanan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya dan Hari Kiamat, serta bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan menjauhi setiap perkara yang mendapat dosa apabila dilakukan atau ditinggalkan, sama ada dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berjanji untuk mengurniakan keberkatan dalam pelbagai bentuk sama ada daripada langit seperti hujan dan angin yang penuh berkat, daripada bumi seperti tumbuh-tumbuhan yang subur, hasil daripada perut bumi, ladang ternakan yang banyak, keamanan dan keselamatan penduduk, pengurniaan ilham kepada manusia dari segi penyingkapan atau penemuan jalan-jalan yang membawa kepada kemakmuran dan kesenangan hidup dan sebagainya.

Semua ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (Surah al-A‘râf: 96)

Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir yang ingin mencapai wawasan negara itu, adalah wajar perkara amanah dijaga, dipelihara dan dilaksanakan sebaik-baiknya dengan melaksanakannya mengikut ajaran Islam yang betul oleh setiap orang daripada pelbagai peringkat, sama ada daripada peringkat penjawat awam, swasta mahupun individu agar dapat menjadikan negara sebagai negara yang baik, aman dan makmur dan Tuhan Yang Maha Pengampun ( ).

• Melaksanakan amanah terhadap hak-hak manusia sesama mereka yang berupa tugasan atau kepercayaan yang diberikan sama ada secara individu atau dalam sebuah organisasi. Ini kerana setiap hak yang tidak ditunaikan itu akan dituntut di Hari Kiamat berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Setiap hak (yang tidak ditunaikan di dunia) akan diberikan kepada ahlinya (orang-orang yang di bawah tanggungannya) di Hari Kiamat, sehinggakan diambil (hak) bagi seekor kambing yang tidak bertanduk daripada kambing yang bertanduk. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hal ini, seseorang itu hendaklah berusaha menjalankan tugasnya atau melaksanakan kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan baik dan sempurna, bersungguh-sungguh, mempunyai rasa tanggungjawab, menunjukkan sifat komitmen, tidak membebankan orang lain, tidak menangguh-nangguhkan tugasan yang diberikan (menyiapkan tugasan yang diberikan tepat pada waktunya), tidak mencuaikan kepercayaan yang diberikan dan sebagainya.

Seseorang yang tidak melaksanakan amanah ini biasanya akan mudah terjebak melakukan perkara yang tidak bermaruah seperti melakukan pecah amanah, rasuah, menganiaya orang lain dan berlaku khianat. Perkara ini setentunya akan menyebabkan kegagalan mencapai matlamat yang diinginkan dan boleh mengakibatkan kemunduran suatu organisasi atau negara.

Sebagai umat Islam, kita juga sangat dituntut untuk meneladani keperibadian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memiliki akhlak yang sangat mulia. Sebelum diutus menjadi Nabi lagi, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memang dikenali sebagai seorang yang sangat beramanah sehinggakan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam digelar sebagai ‘al-Amîn’ (orang yang boleh dipercayai).

Akhirnya, untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 itu, sama-samalah kita menunaikan hak-hak yang wajib untuk ditunaikan serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah khususnya dalam memberikan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang jelas, kita tidak akan dapat mencapai wawasan negara itu tanpa menyemai dengan penuh komitmen sifat amanah dalam diri kita kerana sifat amanah itu terbukti mempunyai peranan yang penting dalam merealisasikan dan menjayakan Wawasan Negara 2035.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10072

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص